Sabtu, 4 April 2026

Nu'aiman: Sahabat Nabi Kaki Bergurau

 Nama dan Nasab Keturunan

Nama beliau ialah al-Nu'aiman bin 'Amr bin Rifa'ah bin al-Harith bin Sawad bin Malik bin Ghanm bin Malik bin al-Najjar al-Ansari.

Namun dalam kitab al-Jarh wa al-Ta’dil oleh Ibn Abu Hatim, nama beliau disebut sebagai Nu'aiman bin Rifa'ah, daripada Bani Tamim bin Malik bin al-Najjar.

Nama Ibu Beliau

Menurut Ibnu al-Kalbi, ibunya bernama Fatimah al-Kahinah.

Saudara Perempuan Beliau

Dikatakan saudara perempuan kepada Nu’aiman merupakan salah seorang isteri kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.

Dalam Musnad al-Ruyani diriwayatkan daripada Abu Salamah yang berkata:

“Abdul Rahman bin 'Auf meninggal dunia dengan meninggalkan empat orang isteri, (dua orang daripadanya): Umm Kulthum binti 'Uqbah bin Abu Mu'it dan saudara perempuan Nu'aiman.”

Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar tidak pasti sama ada Nu'aiman tersebut adalah orang yang sama yang dibincangkan di sini atau orang lain.

Penyertaan dalam Perang Badar

Musa bin 'Uqbah menyebutkan beliau dalam kalangan Sahabat yang menyertai Perang Badar.

Penyertaan dalam Bai'ah al-'Aqabah

Ibnu Ishaq menyebutkan bahawa beliau menyertai Bai'ah al-'Aqabah yang terakhir.

Penglibatan dalam Kesemua Peperangan Bersama Nabi SAW

Ibnu Sa'ad berkata: “Beliau menyertai Perang Badar, Uhud, Khandaq, dan kesemua peperangan yang lain.”

Kisah Hukuman Minum Arak

Al-Bukhari dalam Sahihnya ada meriwayatkan kisah beliau dibawakan kepada Nabi SAW untuk dihukum kerana minum arak, namun ada sedikit keraguan dalam kisah tersebut sama ada beliau sendiri yang dibawakan atau anaknya. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar pandangan yang kuat adalah al-Nu'aiman tersebut sendiri yang dibawakan.

Dalam hadis riwayat Ahmad pula disebutkan bahawa yang dibawakan tersebut ialah al-Nu'aiman, tanpa ada sebarang keraguan.

Ibnu 'Abdil Barr berkata: “Sesungguhnya penama dalam kisah ini ialah anak al-Nu'aiman.” Namun pandangan ini dipertikaikan oleh Ibnu Hajar.

Demikian juga yang disebutkan oleh al-Zubair bin Bakkar dalam kitab al-Fukahah wa al-Muzah daripada 'Amr bin Hazm, beliau berkata:

“Terdapat seorang lelaki di Madinah yang dipanggil al-Nu'aiman yang terkena (hukuman kerana) minuman keras.”

Dalam riwayat tersebut, seorang lelaki daripada kalangan sahabat Nabi SAW telah berkata kepada al-Nu'aiman: "Semoga Allah melaknatmu," lalu Nabi SAW bersabda kepadanya:

"Janganlah engkau berbuat demikian, kerana sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya."

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitab Fath al-Bari, orang yang melaknat tersebut ialah 'Umair, akan tetapi beliau mengatakannya kepada 'Abdullah yang digelar sebagai Himar. Perkara ini menguatkan pendapat mereka yang mendakwa bahawa pelaku dalam kisah ini adalah anak kepada al-Nu'aiman. Berkemungkinan kejadian itu telah berlaku kepada al-Nu'aiman dan juga anaknya.

Gurauan Menghadiahkan Barangan Kepada Nabi SAW Tanpa Membuat Bayaran

Al-Zubair berkata:

“Tidak ada barangan yang menarik dibawa masuk ke Madinah melainkan al-Nu'aiman akan membelinya, kemudian membawanya kepada Nabi SAW lalu berkata: "Ini aku hadiahkan untukmu."

Namun apabila pemilik barang tersebut datang meminta bayaran barangannya daripada al-Nu'aiman, beliau akan membawa orang itu berjumpa Nabi SAW dan berkata: "Berikanlah kepada orang ini harga barangannya."

Lalu Baginda bersabda: "Bukankah engkau telah menghadiahkannya kepadaku?"

Beliau pun menjawab: "Demi Allah, sesungguhnya aku tidak mempunyai wang untuk membayarnya, namun aku teringin untuk melihat engkau memakannya."

Maka Baginda pun ketawa, dan mengarahkan agar pemilik barang itu dibayar harga barangannya.

Nabi SAW Ketawa Melihat al-Nu'aiman dan Kisah Unta yang Disembelih

Ibnu al-Kalbi menyebutkan di dalam kitab al-Jamharah dan Ibn Duraid di dalam kitab al-Ishtiqaq bahawa apabila Nabi SAW melihat al-Nu'aiman, Baginda tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa.

Pada suatu hari, al-Nu'aiman telah membeli seekor unta lalu menyembelihnya. Kemudian, pemilik unta tersebut datang untuk meminta bayarannya namun dia tidak menjumpai al-Nu'aiman. Lalu dia mengadukannya kepada Nabi SAW, maka Baginda bersabda:

"Marilah pergi bersama kami untuk mencarinya."

Lalu Baginda menemuinya, maka Baginda bersabda kepada pemilik unta tersebut:

"Inilah Nu'aim."

Maka Nu'aim berkata: "Sudah tentu tidak ada yang akan menanggung bayaran harga unta ini melainkan engkau."

Baginda pun lalu membayarnya.

Kisah Menyembelih Unta Milik Arab Badwi dan Bersembunyi di Bawah Tanah

Al-Zubair turut meriwayatkan kisah unta tersebut dengan susunan yang lain, melalui sanad kepada Rabi'ah bin 'Uthman, beliau berkata:

“Seorang Arab Badwi datang menemui Nabi SAW, lalu menderumkan unta betinanya di halaman rumah Baginda.

Sebahagian Sahabat berkata kepada al-Nu'aiman al-Ansari: "Kalaulah engkau menyembelihnya supaya kita dapat memakannya, kerana sesungguhnya kita sudah sangat teringinkan daging."

Kemudian Arab Badwi itu keluar (dari rumah Nabi) dan menjerit: "Aduhai untaku yang disembelih, wahai Muhammad!"

Lalu Nabi SAW keluar dan bersabda:

"Siapakah yang melakukan perkara ini?"

Mereka menjawab: "Al-Nu'aiman."

Maka Baginda mencarinya sambil bertanya tentangnya sehinggalah Baginda mendapatinya telah masuk ke dalam rumah Duba'ah binti al-Zubair bin 'Abd al-Muttalib, dan dia bersembunyi di dalam sebuah lubang yang dilitupi dengan pelepah tamar di atasnya. Lalu seorang lelaki menunjukkan kepada Nabi SAW ke arah tempat dia berada. Maka Baginda bersabda:

"Apakah yang mendorongmu untuk melakukan perbuatan ini?"

Beliau menjawab: "Orang-orang yang telah menunjukkan engkau ke arahku wahai Rasulullah, merekalah yang telah menyuruhku berbuat demikian."

Baginda pun menyapu debu tanah daripada wajah al-Nu'aiman sambil ketawa, kemudian Baginda membayarkan ganti rugi unta tersebut kepada Arab Badwi itu.

Gurauan Nakal Terhadap Makhramah bin Naufal dan Saidina Uthman

Al-Zubair juga berkata: Bapa saudaraku menceritakan kepadaku, daripada datukku, dia berkata:

“Makhramah bin Naufal telah mencapai usia 115 tahun. Pada suatu hari, dia berdiri di dalam masjid dengan niat untuk membuang air kecil. Maka orang ramai pun menjerit kepadanya: "Masjid! Masjid!"

Lalu Nu'aiman bin Amr memegang tangannya dan membawanya pergi, kemudian mendudukkannya di satu sudut yang lain, dan berkata kepadanya: "Kencinglah di sini."

Orang ramai sekali lagi menjerit kepadanya.

Makhramah berkata: "Celakalah kamu semua, siapakah yang membawa aku ke tempat ini?"

Mereka menjawab: "Nu'aiman."

Makhramah berkata: "Demi Allah, jika aku dapat menangkapnya, aku akan memukulnya dengan tongkatku ini dengan sekuat-kuat pukulan."

Berita tentang sumpah tersebut sampai ke pengetahuan Nu'aiman. Lalu dia membiarkan masa berlalu (menunggu beberapa lama), sehinggalah pada suatu hari dia mendatangi Makhramah, manakala pada ketika itu Uthman sedang berdiri menunaikan solat di satu penjuru masjid.

Nu'aiman berkata kepada Makhramah: "Adakah kamu mahukan Nu'aiman (untuk membalas dendam)?"

Makhramah menjawab: "Ya."

Lalu Nu'aiman memegang tangannya dan membawanya sehingga dia diberdirikan tepat di hadapan Uthman. Uthman pula apabila sedang bersolat, beliau tidak akan menoleh ke kiri atau ke kanan.

Nu'aiman berkata kepada Makhramah: "Ambillah, ini dia Nu'aiman."

Maka Makhramah pun menggenggam tongkatnya erat-erat lalu memukul Uthman dengan kuat sehingga melukakan beliau.

Orang ramai lantas menjerit kepadanya: "Kamu telah memukul Amirul Mukminin!"

Helah Nu'aiman Terhadap Abu Sufian bin al-Harith

Al-Zubair meriwayatkan daripada 'Abdan bin Mus'ab, beliau berkata:

“Nu'aiman bertemu dengan Abu Sufian bin al-Harith, lalu beliau berkata kepadanya:

"Wahai musuh Allah, engkaukah yang mengeji penghulu golongan Ansar, Nu'aiman bin 'Amr (iaitu dirinya sendiri)?"

Maka Abu Sufian pun memohon maaf kepadanya.

Apabila dia beredar pergi, dikatakan kepada Abu Sufyan bahawa Nu'aiman sendirilah yang berkata sedemikian kepadanya, lalu Abu Sufyan berasa hairan dengannya.

Nu’aiman Menyamar Menjadi Tukang Tenung Nasib

'Abdul Razzaq meriwayatkan daripada Muhammad bin Sirin bahawa beberapa orang daripada kalangan Sahabat Rasulullah SAW singgah di suatu kawasan air dan al-Nu'aiman bin 'Amr berkata kepada penduduk di kawasan air tersebut: "Akan berlaku perkara sekian dan sekian," lalu mereka membawakan kepadanya susu dan makanan. Beliau kemudian menghantarkannya kepada sahabat-sahabatnya.

Berita tentang perkara ini sampai kepada Abu Bakar, lalu beliau berkata: "Rupa-rupanya aku sedang makan daripada hasil tenungan al-Nu'aiman pada hari ini," lalu beliau memuntahkan apa yang ada di dalam perutnya.

Kisah Lucu Menjual Suwaibit Sebagai Hamba Sewaktu Bermusafir

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Umm Salamah bahawa Abu Bakar keluar untuk berniaga ke Busra dan bersama-sama beliau ialah Nu'aiman dan Suwaibit bin Harmalah, dan kedua-duanya merupakan Ahli Badar.

Suwaibit ditugaskan untuk menjaga bekalan makanan, lalu Nu'ayman berkata kepadanya: "Berikan aku makanan."

Beliau menjawab: "Tunggu sehinggalah Abu Bakr datang."

Nu'aiman merupakan seorang yang sangat suka ketawa dan kuat bergurau.

Lalu beliau pergi kepada sekumpulan orang yang membawa haiwan tunggangan (kafilah dagang), lalu beliau berkata: "Belilah daripadaku seorang hamba Arab yang cergas tangkas."

Mereka menjawab: "Ya."

Beliau berkata lagi: "Sesungguhnya dia petah bercakap, dan mungkin dia akan berkata: “Aku orang yang merdeka”. Maka jika kalian ingin melepaskannya disebabkan kata-katanya itu, maka biarkanlah dia (jangan beli), jangan kalian merosakkan urus niagaku ini."

Mereka menjawab: "Bahkan kami tetap akan membelinya."

Lalu mereka membelinya daripada beliau dengan harga sepuluh ekor unta betina muda.

Nu'aiman pun datang menuntun unta-unta tersebut dan berkata (kepada para pembeli): "Ambillah, inilah dia orangnya (Suwaibit)."

Suwaibit terus berkata: "Dia berbohong, aku ialah seorang lelaki yang merdeka!"

Mereka menjawab: "Kami telah pun diberitahu tentang keadaanmu," lalu mereka mencampakkan tali ke lehernya, dan membawanya pergi.

Kemudian Abu Bakar datang lalu diberitahu tentang kejadian itu. Maka beliau dan sahabat-sahabatnya pergi menemui para pembeli tersebut, lalu memulangkan semula unta-unta betina itu dan mengambil semula Suwaibit.

Kemudian mereka menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi SAW, lalu Baginda dan para Sahabat ketawa apabila teringat tentang kisah itu selama setahun.

Kewafatan Beliau

Ibnu Sa'ad berkata: “Al-Nu'aiman terus hidup sehinggalah beliau meninggal dunia pada zaman kekhalifahan Muawiyah (41H-60H).”

Rujukan:

Al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan