Soalan:
Sebahagian golongan Hasyawiyyah mempertikaikan penggunaannya
bagi Allah Ta'ala, dan sebahagian daripada mereka mendakwa bahawa ia tidak terdapat
dalam wahyu (naqli). Jadi bagaimana kita boleh menyebutkannya bagi Allah
Ta'ala?
Jawapan Syeikh Sa’id Fudah:
Pertama: Kami menolak dakwaan mereka bahawa lafaz ini
tidak pernah ada penggunaannya bagi Allah Ta'ala. Sesungguhnya ia terdapat
dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Haywah bin Shurayh, beliau
berkata:
“Aku bertemu dengan 'Uqbah bin Muslim lalu aku berkata
kepadanya: “Telah sampai berita kepadaku bahawa engkau meriwayatkan daripada
'Abdullah bin 'Amr bin al-'As, daripada Nabi SAW bahawa apabila Baginda masuk
ke dalam masjid, Baginda akan membaca:
أَعُوذُ بِاللَّهِ الْعَظِيمِ، وَبِوَجْهِهِ الْكَرِيمِ، وَسُلْطَانِهِ
الْقَدِيمِ، مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
"Aku berlindung dengan Allah Yang Maha Agung, dengan Zat-Nya
Yang Maha Mulia, dan kekuasaan-Nya Yang Qadim, daripada syaitan yang
direjam."
'Uqbah bertanya: "Itu sahaja?"
Aku menjawab: "Ya."
Baginda turut bersabda:
فَإِذَا قَالَ ذَلِكَ قَالَ الشَّيْطَانُ: حُفِظَ مِنِّي سَائِرَ
الْيَوْمِ
"Maka apabila dia mengucapkan demikian, syaitan
berkata: “Dia telah terpelihara daripadaku sepanjang hari ini."
Dalam hadis yang sahih ini, engkau dapat melihat bahawa
Rasulullah SAW telah menyifatkan kekuasaan Allah Ta'ala itu sebagai ‘Qadim’.
Maksud ‘Qadim’ di sini ialah: Sesuatu yang tiada permulaan
baginya. Apa sahaja yang menjadi sifat kepada salah satu daripada sifat-sifat
Allah Ta'ala, maka ia lebih utama untuk menjadi sifat bagi Allah Ta'ala. Oleh
itu, harus untuk mengatakan bahawa Allah Ta'ala itu bersifat Qadim.
Kedua: Pendapat yang mengatakan bahawa tidak harus
menyifatkan Allah Ta'ala dengan sesuatu yang tidak warid adalah pendapat yang
tidak boleh diterima, dan tidak sah berhujah ke atasnya dengan menggunakan
ijmak. Ini kerana umat Islam telah bersepakat tentang keharusan berdoa kepada
Allah Ta'ala bagi sesiapa yang tidak mengetahui bahasa Arab dengan menggunakan
bahasanya sendiri, dengan syarat lafaz yang digunakannya itu layak bagi Allah
Ta'ala.
Ketiga: Jika pihak yang membantah mendakwa wujudnya
ijmak ke atas apa yang dikatakannya, maka kami membatalkan dakwaan tersebut.
Ini kerana al-Qadi al-Baqillani telah mengharuskan penggunaan perkataan yang
tidak membawa sangkaan (waham) kekurangan bagi Allah Ta'ala walaupun ia
tidak warid. Manakala Imam al-Ghazali pula membezakan antara nama dan sifat,
lalu beliau berkata: “Sesungguhnya nama tidak harus disebutkan melainkan jika
ia warid. Adapun sifat maka ia diharuskan walaupun tidak warid, dengan syarat
ia tidak difahami dengan maksud yang tidak layak bagi Allah Ta'ala.”
Sumber:
Hashiyah 'ala Tahzib Syarh al-Kharidah oleh Syeikh Dr.
Sa'id Fudah


Tiada ulasan:
Catat Ulasan