Rabu, 15 April 2026

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (19) – Kitab al-Jarh wa al-Ta'dil dan Jenisnya

Kitab-kitab dalam bidang al-Jarh wa al-Ta'dil boleh diklasifikasikan kepada enam bahagian berikut:

Bahagian Pertama: Kitab-kitab yang membincangkan perawi-perawi yang daif sahaja.

Bahagian Kedua: Kitab-kitab yang membincangkan perawi-perawi yang thiqah (dipercayai) sahaja.

Bahagian Ketiga: Kitab-kitab yang menggabungkan antara perawi yang thiqah dan daif.

Bahagian Keempat: Kitab-kitab yang dikhususkan untuk perawi-perawi dalam kitab-kitab hadis yang tertentu.

Bahagian Kelima: Kitab-kitab yang berbentuk soal jawab (al-su’alat).

Bahagian Keenam: Kitab-kitab yang membincangkan perawi-perawi bagi tempat yang tertentu.

Penyusunan kitab mengenai perawi daif dan kitab yang menggabungkan perawi thiqah dan daif telah mendahului penyusunan kitab-kitab yang hanya mengkhususkan perawi thiqah sahaja.

Hal ini kerana Imam Yahya bin Ma'in (meninggal dunia pada tahun 233 H) telah menyusun karya pertama mengenai perawi daif, dan al-Layth bin Sa'ad (meninggal dunia pada tahun 175 H) merupakan orang pertama yang menyusun karya yang menggabungkan antara perawi thiqah dan daif.

Adapun kitab mengenai perawi thiqah, maka orang pertama yang menyusunnya ialah Imam 'Ali bin 'Abdillah bin al-Madini (meninggal dunia pada tahun 234 H).

Bilangan karya yang disusun mengenai perawi daif adalah lebih banyak berbanding karya yang disusun mengenai perawi thiqah.

Kitab yang telah disusun mengenai perawi daif sehingga penghujung kurun kelima Hijrah sebanyak 29 buah karya, manakala tidak disusun dalam tempoh ini mengenai perawi thiqah melainkan hanya 7 buah karya sahaja!

Adapun karya yang menggabungkan antara perawi thiqah dan daif, maka ia juga banyak bilangannya. Karya yang disusun dalam kategori ini sepanjang kurun ketiga, keempat, dan kelima mencecah sebanyak 41 buah karya.

Selepas ini akan disebutkan pengenalan ringkas mengenai jenis-jenis karya yang terpenting dalam bidang al-Jarh wa al-Ta'dil berdasarkan bahagian-bahagian yang telah disebutkan tadi.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan