Soalan:
Apakah hukum menyapu muka dengan kedua-dua tangan selepas
membaca surah al-Fatihah? Demikian juga selepas selesai berdoa? Ini kerana kami
telah membaca fatwa bahawa sapuan ini adalah bidaah kerana ia tidak terdapat
dalam athar. Kami juga telah membaca fatwa Syeikh al-Albani bahawa ia adalah
bidaah. Adapun hadis:
فَإِذَا فَرَغْتُمْ فَامْسَحُوا بِهَا وُجُوهَكُمْ
"Apabila kamu selesai, sapulah wajah kamu dengan
kedua-dua tapak tanganmu"
Ia adalah daif walaupun ia berasal daripada Ibn Abbas. Ini
kerana perawinya — iaitu 'Abdullah bin Ishaq al-Qurazi — diragui.
Kami juga mendengar kata-kata al-'Izz bin 'Abd al-Salam:
"Tidak ada yang menyapu dengan kedua-dua tapak tangannya melainkan orang
yang jahil."
Saya harap dapat diselesaikan masalah ini yang telah
menimbulkan perdebatan dalam kalangan belia di kawasan kami, dan semoga Allah
membalas kamu dengan kebaikan.
Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di:
Menyapu muka dengan kedua-dua tapak tangan selepas berdoa
bukanlah bidaah, bahkan ia adalah sunnah kerana terdapat hadis-hadis
mengenainya melalui banyak sanad.
Antaranya antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Abu
Dawud daripada Ibn Abbas, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
سَلُوا اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ، وَلَا تَسْأَلُوهُ
بِظُهُورِهِمَا، فَإِذَا فَرَغْتُمْ فَامْسَحُوا بِهَا وُجُوهَكُمْ
"Mohonlah kepada Allah 'Azza wa Jalla dengan tapak
tangan kamu, dan janganlah kamu memohon dengan belakang tapak tangan kamu.
Apabila kamu selesai, sapulah wajah kamu dengannya."
Antaranya hadis yang terdapat dalam riwayat Ibn Majah:
إِذَا دَعَوْتَ اللَّهَ فَادْعُ بِبُطُونِ كَفَّيْكَ،
وَلَا تَدْعُ بِظُهُورِهِمَا، فَإِذَا فَرَغْتَ فَامْسَحْ بِهَا وَجْهَكَ
"Apabila kamu berdoa kepada Allah, maka berdoalah
dengan tapak tangan kamu, dan janganlah berdoa dengan belakang tapak tangan
kamu. Apabila kamu selesai, sapulah wajah kamu dengannya."
Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ibn 'Umar RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ، يَسْتَحِي أَنْ يَرْفَعَ الْعَبْدُ يَدَيْهِ إِلَيْهِ فَيَرُدَّهُمَا صِفْرًا لَا خَيْرَ فِيهِمَا، فَإِذَا رَفَعَ أَحَدُكُمْ يَدَيْهِ فَلْيَقُلْ: يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، فَإِذَا رَدَّ يَدَيْهِ فَلْيَمْسَحْ بِهِمَا وَجْهَهُ
"Sesungguhnya Tuhan kamu Maha Pemalu lagi Maha Pemurah. Dia malu apabila seorang hamba mengangkat kedua-dua tangannya kepada-Nya lalu Dia memulangkannya dalam keadaan hampa tanpa kebaikan. Maka apabila salah seorang daripada kamu mengangkat kedua-dua tangannya, hendaklah dia berkata: “Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri Sendiri, tiada Tuhan melainkan Engkau, Wahai Yang Maha Penyayang di antara para penyayang”, sebanyak tiga kali. Apabila dia menurunkan kedua-dua tangannya, hendaklah dia menyapu wajahnya dengannya."
Dalam satu riwayat yang juga diriwayatkan oleh al-Tirmidhi
daripada Ibn 'Umar RA:
إِذَا مَدَّ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ لَمْ يَرُدَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ
بِهِمَا وَجْهَهُ
"Apabila dia menghulurkan kedua-dua tangannya sewaktu
berdoa, janganlah dia menurunkannya sehingga dia menyapu wajahnya
dengannya."
Walaupun kami telah menyebutkan riwayat-riwayat tersebut,
namun sanad-sanadnya tidak terlepas daripada kelemahan. Akan tetapi, kelemahan
sanad tidak semestinya membawa kepada kelemahan matan kerana matan menjadi kuat
apabila jalur-jalur sanad hadis tersebut banyak, walaupun setiap jalur itu
lemah secara bersendirian. Namun, penggabungannya dengan jalur-jalur lain
mengangkat status matan tersebut daripada daif kepada hasan li-ghayrihi
(hasan kerana faktor luaran). Demikian juga apabila terdapat syawahid
(penguat) baginya.
Maka al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani mengulas tentang
riwayat yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Ibn 'Umar dan berkata:
أَخْرَجَهُ التِّرْمِذِيُّ وَلَهُ شَوَاهِدُ: مِنْهَا عِنْدَ أَبِي دَاوُدَ مِنْ حَدِيثِ ابْنِ عَبَّاسٍ وَغَيْرِهِ، وَمَجْمُوعُهَا يَقْضِي بِأَنَّهُ حَدِيثٌ حَسَنٌ
"Al-Tirmizi telah mengeluarkannya, dan ia mempunyai syawahid (riwayat penguat): antaranya terdapat pada Abu Dawud daripada hadis Ibn Abbas dan selainnya. Gabungan kesemuanya menunjukkan bahawa ia adalah hadis hasan."
Maka pendapat al-Albani — sebagaimana kebiasaan beliau —
bahawa ia adalah bidaah, adalah tidak tepat kerana bidaah ialah perkara yang
diada-adakan yang tidak terdapat sebarang dalil daripada Nabi SAW mengenainya,
dan tidak terdapat nas daripada al-Quran al-'Aziz, dan tidak terdapat ijmak
atau qiyas mengenainya, dan tidak termasuk di bawah mana-mana prinsip Islam.
Ini kerana sebarang perkara yang diada-adakan sedangkan ia termasuk di bawah prinsip
syarak, tidak harus dinamakan bidaah, apatah lagi telah terdapat hadis-hadis
tentang menyapu wajah?!
Andaikata kita menganggap hadis-hadis tersebut lemah, tetap
tidak harus dinamakan ia sebagai bidaah kerana hadis daif boleh diamalkan dalam
fada'il al-a'mal (keutamaan amal), namun kita tidak menisbahkannya
kepada Nabi SAW secara pasti. Engkau telah pun mengetahui bahawa hadis tersebut
adalah hasan, bukan daif, berdasarkan kaedah-kaedah yang dipegang oleh para
ulama hadis.
Saya ingin berkata kepada saudara penanya: Sesungguhnya
al-Albani hanya mempunyai minat dalam bidang hadis sahaja dan bukan seorang
ahli fiqh. Maka fatwa diambil daripada ahli fiqh, dan peranan ahli hadis
hanyalah menilai hadis sahaja, dan menyerahkan urusan tersebut kepada para
fuqaha kerana merekalah yang mengetahui sama ada boleh diambil hukum daripada
hadis ini atau tidak.
Sekiranya al-Albani kekal dengan bidang hadis sahaja dan
mengelak daripada campur tangan dalam perkara-perkara fiqh, nescaya beliau
telah memberikan perkhidmatan yang besar kepada umat Islam, tetapi beliau telah
mencampuri dalam perkara yang bukan bidangnya.
Kemudian kami kembali dan berkata kepada mereka yang
mengatakan bahawa menyapu wajah dengan kedua-dua tangan adalah bidaah: Adakah
kita berdoa dengan mengangkat tapak tangan kita atau tidak? Adakah kita
mengucapkan:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، يَا أَرْحَمَ
الرَّاحِمِينَ
"Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri
Sendiri, tiada Tuhan melainkan Engkau, Wahai Yang Maha Penyayang di antara para
penyayang,”…sebanyak tiga kali?
Sudah pasti dia akan menjawab: “Ya, kita berdoa dengan tapak
tangan kita dan kita mengucapkan doa yang disebutkan.”
Kami akan katakan kepadanya: Mengapa kamu mengamalkan hadis
yang daif tentang berdoa dengan mengangkat tapak tangan dan doa tersebut,
tetapi tidak mengatakan bahawa keduanya adalah bidaah, namun kamu menjadikan
menyapu wajah itu sebagai bidaah, padahal kesemuanya sabit dengan hadis ini?!
Maka apakah perbezaan semua ini?!
Sumber:
Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh
Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di


Tiada ulasan:
Catat Ulasan