Selasa, 4 Mei 2021

Mengapa Sahabat Lebih Banyak Menghafal Hadis Daripada Menulisnya?

1 - Masyarakat Arab dahulu terkenal sebagai masyarakat yang ummi (tidak membaca dan menulis). Tetapi mereka juga terkenal sebagai masyarakat yang bijaksana dan mempunyai kekuatan dan kepantasan dari segi hafalan. Perkara tersebut dapat dilihat dari segi kemampuan mereka menghafal syair-syair, nasab keturunan dan sejarah hidup mereka.

2 - Para sahabat memberikan perhatian dan fokus sepenuhnya untuk menulis al-Quran dan tidak selainnya.

3 - Nabi sallahu 'alaihi wasallam melarang para sahabat daripada menulis selain daripada al-Quran kerana bimbang berlaku campur aduk antara al-Quran dengan hadis.

4 - Para sahabat yang mampu untuk menulis pun mempunyai kekangan dari segi alatan menulis. Mereka hanya mampu menulis pada batu, tulang, pelepah kurma, dan kulit haiwan. Itu pun hanya sedikit sahaja yang mereka ada.

[علوم الحديث أصيلها ومعاصرها - الأستاذ الدكتور محمد أبو الليث الخير آبادي]

Bagaimana Sahabat Menjaga Sunnah?

1 - Mengamalkannya dan mengaplikasikannya secara amali dalam kehidupan mereka.

Mujahid berkata: "Kami bersama dengan Ibnu Umar dalam satu permusafiran. Apabila beliau melalui sebuah tempat, beliau berjalan melencong dari tempat tersebut. Beliau ditanya: Mengapa engkau lakukan sedemikian? Beliau menjawab: Aku melihat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam melakukan begitu maka aku lakukan sedemikian juga."

2 - Berbincang sesama sahabat.

Abdullah bin Mas'ud berkata: "Berbincanglah tentang hadis kerana cara untuk menghidupkannya adalah dengan berbincang tentangnya."

Ali bin Abi Thalib berkata: "Banyakkanlah menyebut tentang hadis. Kalau kalian tidak melakukan sedemikian maka hadis akan hilang."

Anas bin Malik berkata: "Kami bersama-sama dengan Nabi sallahu 'alaihi wasallam dan kami mendengar hadis daripada baginda. Apabila kami beredar, kami akan berbincang tentangnya sesama kami sehinggalah kami menghafalnya."

[علوم الحديث أصيلها ومعاصرها - الأستاذ الدكتور محمد أبو الليث الخير آبادي]

Salah Faham Maksud Zuhud

Imam Abdul Rauf al-Munawi (m. 1031 H) dalam kitab Fath al-Qadir Syarah Jami' al-Saghir berkata:

"Bukanlah zuhud itu engkau menjauhi harta secara keseluruhannya, sebaliknya engkau menganggap sama sahaja  wujudnya harta tersebut mahupun tiadanya serta hatimu tidak terikat dengan harta tersebut.

Sesungguhnya Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam itu merupakan contoh ikutan bagi golongan zahid. Baginda juga memakan daging, manisan dan madu. Baginda juga mencintai wanita, wangian dan pakaian yang cantik-cantik. Maka gunakanlah setiap perkara-perkara yang baik tanpa berlebih-lebihan dan tanpa berbangga-bangga dan waspadalah kamu daripada kezuhudan para rahib."

 Sebahagian arifin berkata:

"Bukanlah zuhud itu engkau tinggalkan dunia dari tanganmu sedangkan ia berada di hatimu. Sesungguhnya zuhud itu engkau tinggalkan dunia dari hatimu sedang ia berada di tanganmu."

Sabtu, 27 Mac 2021

Status Hadis: Kejahilan Ahli Keluarga Adalah Dosa Paling Besar

 

لا يَلْقَى اللَّهَ أَحَدٌ بِذَنْبٍ أَعْظَمَ مِنْ جَهَالَةِ أَهْلِهِ

"Tidak seorang pun yang menghadap Allah dengan membawa dosa yang lebih besar daripada kejahilan ahli keluarganya."

1 - Hadis ini disebutkan oleh Abu Thalib al-Makki dalam Qut al-Qulub, Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulum al-Din dan Syeikh Nawawi al-Bantani dalam 'Uqud al-Lujain.

2 - Imam Tajuddin al-Subki dalam kitab Thabaqat al-Syafi'ieyyah al-Kubra menyenaraikan hadis ini di kalangan hadis Ihya' Ulum al-Din yang beliau tidak temui sanadnya.

3 - Menurut al-Hafiz al-Iraqi dalam Takhrij Hadith al-Ihya', hadis ini disebutkan oleh pengarang kitab al-Firdaus daripada hadis Abi Sa'id dan anaknya Abu Mansur al-Dailami dalam Musnad al-Dailami tidak menemui (sanadnya).

4 - Al-Hafiz al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin tidak memberi sebarang komen terhadap hadis ini.

5 - Ulama lain yang menyenaraikan hadis ini sebagai tidak ada asal ialah al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah dan al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu'at.

Wallahu a'lam.

Ahad, 17 Januari 2021

Ayah Dan Ibu Saidina Umar bin al-Khattab

1 - Nama ayah Saidina Umar adalah al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Riyah (رياح) bin Abdullah bin Qurth (قرط) bin Razah (رزاح) bin ‘Adi bin Ka’ab bin Lu’ai (لؤي) bin Ghalib.

2 – Nasabnya bersambung dengan nasab Nabi sallahu ‘alaihi wasallam pada Ka’ab bin Lu’ai.

3 – Al-Khattab bukanlah daripada kalangan pembesar dan tokoh kaum Quraisy.

4 – Beliau mengikut agama kaumnya yang menyembah berhala. Bahkan beliau juga tidak suka jika ada orang yang meninggalkan agama nenek moyangnya dan akan menyakiti orang tersebut.

5 – Misalnya, beliau pernah mendera anak saudaranya yang bernama Zaid bin ‘Amru bin Nufail  (bapa kepada Sa’id bin Zaid, salah seorang daripada sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga) yang meninggalkan amalan menyembah berhala dan mengikuti agama Nabi Ibrahim ‘alaihis salam. Beliau pernah menyuruh Safiyyah binti al-Hadhrami untuk mengintip Zaid bin ‘Amru dan mengkhabarkan kepadanya jikalau Zaid bin ‘Amru merancang untuk melarikan diri dari Mekah.

6 - Setelah itu beliau mengurung Zaid bin ‘Amru di sebuah bukit di Mekah yang berhampiran dengan gua Hira’. Beliau mewakilkan beberapa orang pemuda daripada kaum Quraisy untuk mengawasinya dan melarangnya daripada masuk ke Mekah dan bercampur dengan orang ramai agar Zaid bin ‘Amru tidak mempengaruhi mereka.

7 – Saidina Umar sendiri pernah mengambarkan ayahnya sebagai seorang yang bengis, keras, kasar dan berhati kering. Beliau sendiri pernah dipukul oleh ayahnya.

8 – Ibu Saidina Umar bernama Hantamah binti Hasyim bin al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Beliau merupakan sepupu kepada Abu Jahal.

9 – Menurut Abdul Sattar al-Syeikh, ibu ayah Saidina Umar tidak sempat melalui zaman Islam, kerana tidak ada sebarang maklumat sejarah tentang pendirian mereka terhadap Islam, sama ada menerima Islam atau menolaknya.

Rujukan:

عمر بن الخطاب رضي الله عنه الخليفة الراشدي العظيم والإمام العادل الرحيم - عبد الستار الشيخ.


Khamis, 24 Disember 2020

Takhrij Kabir Untuk Kitab Ihya' Sudah Dicetak!

 

Takhrij kabir untuk kitab Ihya' yang dikarang oleh al-Hafiz al-Iraqi sudah dicetak. Takhrij al-Hafiz al-Iraqi yang banyak tersebar selama ini adalah takhrij beliau yang paling ringkas yang beliau namakan sebagai al-Mughni 'An Haml al-Asfar. Al-Hafiz al-Iraqi mempunyai 3 jenis takhrij untuk kitab Ihya'; besar, sederhana dan ringkas. Takhrij tersebut beliau usahakan ketika berusia 20 tahun.

Takhrij Hadis Minhaj al-Wusul oleh al-Hafiz al-Iraqi


1 - Selain kitab takhrij hadis Ihya', al-Hafiz al-Iraqi (m. 806) ada juga mengarang takhrij hadis kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi (m. 685 H). Terdapat 89 buah hadis yang telah ditakhrij oleh beliau. Manhaj takhrij beliau dalam kitab ini sama seperti manhaj beliau dalam kitab al-Mughni 'An Haml al-Asfar iaitu secara ringkas sahaja.

2 – Sebahagimana yang dikhabarkan oleh murid beliau iaitu Sibth ibn al-‘Ajami (m. 841 H), al-Hafiz al-Iraqi menulis kitab takhrij ini antara waktu Zohor dan Asar sahaja.

3 – Sebelum al-Hafiz al-Iraqi, Imam al-Zarkasyi (m. 794 H) telah pun menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang berjudul al-Mu’tabar Fi Takhrij Ahadith al-Minhaj Wa al-Mukhtasar. Dalam kitab ini, beliau turut menggabungkan takhrij bagi kitab Mukhtasar Muntaha al-Sul Wa al-Amal karangan Imam Ibnu al-Hajib dengan takhrij kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi.

4 – Sahabat al-Hafiz al-Iraqi iaitu al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804 H) juga tidak ketinggalan mengusahakan takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang bertajuk Tazkirah al-Muhtaj Ila Ahadith al-Minhaj.



5 – Ulama moden yang menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul ialah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (m. 1993 M) dengan kitab yang berjudul al-Ibtihaj Bi Takhrij Ahadith al-Minhaj. Takhrij ini lebih luas dan memuaskan berbanding takhrij al-Zarkasyi menurut Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1960 M) dalam kitab Husul al-Tafrij.