Perbahasan Pertama: Pengenalan Umum Tentang Sahih al-Bukhari
Kitab ini merupakan karya pertama yang disusun khusus untuk
menghimpunkan hadis-hadis yang sahih. Imam al-Bukhari menyusunnya berdasarkan
bab-bab fiqh, dan beliau menunjukkan kehebatan luar biasa dalam bidang ilmu
hadis, termasuk dalam menetapkan judul bab (tarajim al-abwab). Beliau
juga unggul dalam mengemukakan pelbagai istinbat (kesimpulan hukum),
manfaat-manfaat yang agung, serta pelbagai perkara lain yang menunjukkan
keluasan ilmu dan kehebatan kefahaman beliau.
Di samping itu, ketelitian beliau dalam memilih perawinya telah
menjadikan Sahih al-Bukhari menduduki tempat tertinggi selepas al-Quran
al-Karim. Umat Islam sejak dahulu hingga kini memberikan perhatian yang besar
kepada kitab ini sama ada dngan menghafalnya, mempelajarinya, serta ramai ulama
yang menulis syarahan untuk menjelaskan kandungan ilmu dan manfaat yang
terdapat di dalamnya. Oleh sebab itu, kitab ini menjadi tumpuan hafalan,
pengajian, kajian, dan penghormatan dalam kalangan umat Islam sepanjang zaman.
Imam al-Bukhari memilih hadis-hadis dalam kitabnya daripada
600,000 hadis. Tidak diragukan bahawa sebahagian besar hadis ini telah
direkodkan dalam kitab-kitab musnad dan karya hadis lain yang ditulis oleh
ulama pada abad kedua hijrah. Al-Bukhari mendengar hadis-hadis tersebut
daripada para gurunya dengan sanad mereka kepada para penyusun asalnya.
Beliau mengambil masa selama 16 tahun untuk menyusun kitab
ini, dan hanya mencatatkan hadis-hadis yang sahih sahaja. Al-Bukhari adalah
orang pertama yang menghimpunkan hadis-hadis sahih secara berasingan dalam satu
kitab, tetapi beliau tidak menghimpunkan semua hadis sahih. Beliau sendiri
mengakui bahawa hadis sahih yang tidak dimasukkan lebih banyak daripada yang dicatatkan,
kerana tidak mahu kitab itu menjadi terlalu panjang.
Hadis-hadis yang dimuatkan dalam bentuk ta'liq (hadis
tanpa sanad lengkap), mutaba‘at dan syawahid (hadis sokongan) tidak termasuk dalam kategori
hadis-hadis sahih utama.
Para ulama telah mengkaji kitab ini untuk mengetahui syarat
al-Bukhari dalam pemilihan hadis. Mereka mendapati bahawa beliau meletakkan
syarat tambahan selain sifat ‘adil perawi dan bersambung sanad iaitu
perawi dalam rantai sanad mesti berada dalam lapisan teratas daripada kalangan yang meriwayatkan daripada
gurunya. Sebagai contoh, jika perawi-perawi yang meriwayatkan daripada Imam Ibnu
Shihab al-Zuhri dibahagikan kepada lima lapisan berdasarkan tahap hafalan,
ketelitian, dan lama perguruan mereka dengannya, al-Bukhari hanya mengambil
hadis daripada mereka yang berada dalam lapisan pertama.
Beliau juga kadang-kadang mengambil hadis daripada perawi
lapisan kedua jika hadis itu boleh diterima, tetapi bukan secara keseluruhan.
Kebanyakan hadis daripada lapisan kedua dimasukkan dalam bentuk ta'liq
dan sesekali beliau juga mengambil sedikit hadis daripada lapisan ketiga dalam
bentuk yang sama. Pendekatan ini lebih sesuat bagi perawi-perawi yang banyak
meriwayatkan hadis (mukthirun).
Bagi perawi lain yang kurang meriwayatkan hadis, al-Bukhari meletakkan kriteria untuk dipilih hadis mereka berdasarkan tahap kethiqahan perawi, sifat ‘adil dan kadar kesilapan yang sangat kecil yang dilakukan perawi itu.
Perbahasan Kedua: Nama Kitab dan Maknanya
Nama yang dipilih oleh Imam al-Bukhari untuk kitabnya ialah:
Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min Umur
Rasulillah sallahu ‘alihi wasallam wa Sunanihi wa Ayyamihi.
Nama ini disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitab Tahzib
al-Asma’ dan juga Syarah Sahih al-Bukhari. Nama ini juga disebutkan
oleh Ibnu al-Solah dalam Muqaddimah-nya.
Nama ini juga disebut oleh al-Hafiz Abu Nasr al-Kalabazi
pada awal kitabnya, Rijal Sahih al-Bukhari. Nama yang sama juga
dinyatakan oleh al-Qadhi Abdul Haq bin ‘Atiyyah al-Andalusi yang merupakan
seorang ahli tafsir, ahli hadis, dan faqih dalam kitabnya, Fihrist Ibn
Atiyyah. Begitu juga oleh muridnya, al-Hafiz Ibnu Khair al-Ishbili
al-Andalusi dalam kitabnya, Fihrist Ma Rawahu ‘An Shuyukhihi. Al-Hafiz
Ibnu Rushaid al-Sabti al-Andalusi juga menyebut nama ini secara lengkap dalam
kitabnya, Ifadah al-Nasih fi al-Ta’rif bi Sanad al-Jami’ al-Sahih.
Demikian juga yang disebut oleh Imam Badruddin al-‘Ayni
dalam ‘Umdah al-Qari dan perkara ini ditegaskan oleh al-‘Allamah
Jamaluddin al-Qasimi dalam kitabnya Hayat al-Bukhari, yang berkata: “Inilah
nama kitab sahihnya, maka hendaklah diingati.” Beliau juga menjelaskan
bahawa nama yang disebut oleh al-Hafiz dalam Huda al-Sari adalah kurang
lengkap.
Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah turut menyebut dalam kitabnya,
Tahqiq Asma al-Sahihain wa Ism Jami’ al-Tirmidhi bahawa nama ini terdapat
dalam dua manuskrip lama.
Al-Hafiz Ibn Hajar menamakan kitab ini dalam Huda al-Sari
sebagai:
Al-Jami’ al-Sahih al-Musnad min Hadith Rasulillah sallahu
‘alaihi wasallam wa Sunanihi wa Ayyamihi.
Namun, terdapat kekurangan dalam nama yang disebut oleh
al-Hafiz Ibnu Hajar ini. Nama yang lebih tepat dan lengkap ialah seperti yang
disebut oleh ulama sebelum ini. Dalam versi Ibnu Hajar, istilah ‘al-Sahih’
didahulukan sebelum ‘al-Musnad’, sedangkan susunan yang lebih baik ialah
seperti yang disebutkan sebelum ini, iaitu mendahulukan ‘al-Musnad’.
Selain itu, Ibnu Hajar menggantikan frasa ‘al-Mukhtasar min Umur Rasulillah’
dengan ‘min Hadith Rasulillah’, yang mana penamaan ulama sebelum ini
dianggap lebih tepat dan menyeluruh.
Menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, nampaknya al-Hafiz
Ibn Hajar menulis nama ini ketika dalam keadaan fikirannya sibuk. Ini kerana
beliau merupakan seorang imam yang sangat teliti, mahir dan berada di puncak
ketepatan dalam keilmuan sehingga perkara seperti ini biasanya tidak terlepas
dari perhatiannya. Namun, gangguan tertentu kadang-kadang boleh mempengaruhi fikiran
atau ketelitian seseorang.
Penjelasan Al-Suyuti Tentang Maksud Nama Ini
Al-Suyuti dalam kitabnya al-Taushih ‘Ala al-Jami’
al-Sahih menjelaskan maksud nama ini seperti berikut:
Al-Jami’: Menunjukkan bahawa kitab ini tidak
dikhususkan untuk satu jenis ilmu sahaja, tetapi merangkumi hukum-hakam,
keutamaan (fadhail), kisah-kisah masa lalu dan yang akan datang, serta
pelbagai adab dan amalan pelembut jiwa (raqaiq).
Al-Sahih: Bermaksud tiada hadis daif dalam kitab ini
menurut pandangan Imam al-Bukhari. Walaupun ada beberapa hadis yang dikritik
oleh ulama lain namun jawapan telah diberikan bagi kritikan tersebut. Imam
al-Bukhari juga pernah berkata: "Aku tidak memasukkan dalam al-Jami’
melainkan yang sahih."
Al-Musnad: Merujuk kepada tujuan utama kitab ini
iaitu meriwayatkan hadis-hadis dengan sanad yang bersambung daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada
berupa ucapan, perbuatan, atau perakuan baginda. Adapun apa yang dimuatkan
dalam kitab ini selain daripada itu, ia hanya dimasukkan secara tambahan dan sampingan,
bukannya tujuan asal.
Al-Mukhtasar: Menunjukkan bahawa Imam al-Bukhari
tidak memasukkan semua hadis yang beliau hafal dan riwayatkan. Sebaliknya,
beliau memilih sebahagian kecil sahaja daripada hadis-hadis yang beliau
ketahui.
Perbahasan Ketiga: Faktor yang Mendorong Penulisan Kitab
Al-Bukhari sendiri telah menjelaskan sebab beliau menyusun al-Jami‘
as-Sahih. Beliau berkata:
"Kami berada di sisi Ishaq bin Rahuyah, lalu beliau
berkata: Alangkah baiknya jika kamu semua mengumpulkan sebuah kitab ringkas
yang memuatkan hadis-hadis sahih daripada sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.’"
Beliau berkata: "Kata-kata itu terkesan mendalam di
hatiku, lalu aku mula mengumpulkan al-Jami‘ as-Sahih."
Diceritakan juga sebuah kisah lain berkaitan sebab penulisan
kitab ini. Al-Bukhari berkata:
"Aku bermimpi melihat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam seolah-olah
aku berdiri di hadapannya dan di tanganku ada kipas yang aku gunakan untuk
melindungi baginda daripada sesuatu. Aku bertanya kepada seorang ahli tafsir
mimpi tentang mimpi itu dan dia berkata: Engkau akan melindungi baginda
daripada kebohongan. Maka itulah yang mendorongku untuk menyusun al-Jami‘
as-Sahih."
Tiada percanggahan antara kedua-dua riwayat ini.
Kedua-duanya mungkin merupakan gabungan faktor yang mendorong beliau untuk
menyusun kitab Sahih al-Bukhari. Permintaan Ishaq bin Rahuyah telah
menanamkan keinginan yang kuat dalam hati al-Bukhari, manakala mimpi itu pula
menjadi penguat dan petunjuk bahawa usaha tersebut adalah satu kerja besar yang
diberkati.
Perbahasan Keempat: Cara Penyusunan Kitab
Al-Firabri meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ismail
(al-Bukhari) berkata:
"Aku tidak meletakkan satu hadis pun dalam kitab
Sahihku melainkan aku telah mandi terlebih dahulu dan menunaikan solat dua
rakaat."
Diriwayatkan juga bahawa beliau berkata:
"Aku menyusun kitab Sahih ini selama enam belas
tahun dan aku memilihnya daripada 600,000 hadis, lalu aku jadikan ia sebagai
hujah (pembela) antara diriku dengan Allah Ta‘ala."
Dalam riwayat lain, beliau berkata:
"Aku memilih hadis-hadis dalam kitab ini daripada sekitar 600,000 hadis."
Al-Isma‘ili meriwayatkan bahawa al-Bukhari berkata:
"Aku tidak memasukkan dalam kitab ini melainkan
hadis-hadis yang sahih dan apa yang aku tinggalkan daripada hadis-hadis sahih
jauh lebih banyak."
Al-Isma‘ili berkata: “Ini kerana sekiranya Imam
al-Bukhari memasukkan semua hadis sahih yang beliau ketahui maka setiap bab
akan mengandungi hadis daripada ramai sahabat dan beliau akan menyebutkan jalan
periwayatan setiap seorang daripada mereka jika ia sahih. Maka kitab itu akan
menjadi sangat besar."
Ibrahim bin Ma‘qil al-Nasafi berkata:
"Aku mendengar al-Bukhari berkata: ‘Aku tidak
memasukkan dalam kitab al-Jami‘ ini melainkan hadis-hadis yang sahih dan aku
tinggalkan sebahagian hadis sahih supaya kitab ini tidak menjadi terlalu
panjang.’"
Umar bin Muhammad bin Bujair al-Bujairi pula meriwayatkan:
"Aku mendengar Muhammad bin Ismail berkata: ‘Aku
menyusun kitab al-Jami‘ ini di Masjid al-Haram. Aku tidak memasukkan satu hadis
pun melainkan aku telah memohon petunjuk daripada Allah Ta‘ala (istikharah),
menunaikan solat dua rakaat, dan memastikan kesahihannya.’"
Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan:
"Untuk menggabungkan riwayat ini dengan riwayat
terdahulu yang menyebut beliau menyusunnya di pelbagai tempat, difahami bahawa
al-Bukhari memulakan penyusunan, pengaturan, dan pembahagian bab kitab ini di
Masjid al-Haram. Namun, setelah itu, beliau melengkapkan penyusunan
hadis-hadisnya di tempat asal beliau dan tempat-tempat lain. Hal ini dikuatkan
oleh kenyataan beliau bahawa beliau mengambil masa enam belas tahun untuk
menyelesaikannya. Beliau tidak menetap di Mekah sepanjang tempoh ini."
Ibn ‘Adi meriwayatkan daripada sekumpulan ulama bahawa
al-Bukhari menyusun tarajim (judul-judul bab) al-Jami‘ di antara
makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
dan mimbarnya. Setiap kali beliau menyusun satu tarjamah, beliau akan
menunaikan solat dua rakaat terlebih dahulu.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:
"Hal ini tidak bercanggah dengan apa yang disebut
sebelum ini, kerana ia boleh difahami bahawa pada peringkat awal beliau
menulisnya dalam bentuk draf kasar (musawwadah), dan kemudian di tempat
tersebut beliau memindahkannya ke salinan akhir yang lebih teratur
(mubayyadah)."
Imam al-Nawawi pula berkata:
"Sebahagian ulama lain, termasuk Abu al-Fadl
Muhammad bin Tahir al-Maqdisi, berpendapat bahawa beliau menyusun kitab ini di
Bukhara. Ada pula yang mengatakan di Mekah, dan ada juga yang mengatakan di
Basrah. Semua pendapat ini benar kerana maksudnya ialah beliau menyusun kitab
ini di setiap tempat yang beliau kunjungi. Ini kerana beliau mengambil masa
enam belas tahun untuk menyelesaikan kitab ini."
Al-Hakim Abu Abdullah meriwayatkan:
"Abu ‘Amr Ismail berkata: Telah memberitahu kami Abu
Abdullah Muhammad bin ‘Ali, katanya: Aku mendengar al-Bukhari berkata: Aku
tinggal di Basrah selama lima tahun bersama kitab-kitabku. Di sana, aku
menyusun kitab, menunaikan haji setiap tahun, dan kembali ke Basrah.’"
Al-Bukhari juga berkata:
"Aku berharap Allah Ta‘ala memberkati umat Islam
melalui karya-karya ini."
Abu Ja‘far al-‘Uqayli berkata: "Setelah al-Bukhari
menyusun kitab Sahih-nya, beliau mempersembahkannya kepada Ali bin al-Madini,
Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma‘in, dan ulama-ulama lain. Mereka semua memuji
kitab tersebut dan mengesahkannya sebagai sahih, kecuali empat hadis.”
Al-‘Uqayli lalu berkata: “Dalam hal ini, pendapat
al-Bukhari lebih kuat dan hadis-hadis tersebut adalah sahih.”
Hal ini tidaklah menghairankan kerana al-Bukhari memiliki
teladan dalam pendekatan ini yang menunjukkan sikap rendah hati, kehati-hatian,
dan semangat kerjasama di kalangan ulama dalam berkhidmat kepada sunnah serta
membersihkannya daripada perkara-perkara yang tidak sahih.
Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dengan sanadnya daripada
al-Walid ibn Muslim, beliau berkata: "Aku mendengar al-Awza‘i berkata:
‘Kami mendengar hadis, lalu kami mempersembahkannya kepada sahabat-sahabat kami
seperti mana kami mempersembahkan dirham palsu (kepada pengurup wang). Apa yang
mereka sahkan, kami ambil dan apa yang mereka tolak, kami tinggalkan.”
Begitu juga dengan Imam Malik, imam Dar al-Hijrah, yang
mempersembahkan kitabnya, al-Muwatta’, kepada tujuh puluh orang faqih
dari kalangan fuqaha Madinah, dan mereka bersetuju dengannya setelah
beliau menghabiskan empat puluh tahun mengumpulkan dan memilih hadis-hadisnya.
Pendekatan ini dalam kalangan ulama kita menunjukkan betapa
telitinya mereka dalam meriwayatkan dan menulis sunnah, terutama setelah
tersebarnya bid‘ah, hawa nafsu, dan munculnya pemalsuan hadis. Para ulama
memeriksa sanad-sanad, menilai perawi dan mengkaji keadaan mereka. Namun,
mereka tidak cukup berpuas hati dengan itu sahaja sehinggalah mereka
mempersembahkan hadis-hadis yang mereka riwayatkan kepada para ahli yang
memiliki kepakaran, hafalan yang kuat dan pengalaman, demi memastikan kesahihan
dan ketepatan hadis tersebut.
Perbahasan Kelima: Kandungan Kitab
Tujuan utama Imam al-Bukhari menyusun kitab al-Jami‘
al-Sahih ialah:
1 - Memilih Hadis-Hadis Sahih
Beliau memilih sekumpulan hadis sahih yang berkaitan dengan
fiqh, akidah, sirah, amalan kerohanian dan pelembut hati (raqaiq) dan
pelbagai bidang lain untuk dimuatkan dalam kitab ini. Kitab ini bertujuan
menjadi sumber murni sunnah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang boleh
dijadikan rujukan oleh umat Islam sepanjang zaman dan di semua tempat.
Imam al-Bukhari sangat teliti dan berhati-hati dalam memilih
hadis yang dimuatkan dalam kitabnya. Pemilihan hadis ini dilakukan dengan usaha
yang maksimum dan ketelitian yang luar biasa, sehingga kitab ini mendapat
pengiktirafan sebagai kitab paling sahih selepas al-Quran.
2 - Mengemukakan Istinbat dan Huraian Hukum
Imam al-Bukhari juga berkeinginan untuk membuat istinbat
(kesimpulan hukum) dan mengemukakan huraian yang bernilai terhadap hadis-hadis
dalam kitab ini. Oleh itu, beliau membahagikan kitab ini kepada beberapa kitab
(tajuk besar) dan setiap kitab kepada bab-bab yang lebih kecil.
Dalam setiap bab, beliau memberikan judul (tarajim
al-abwab) yang sesuai. Beliau tidak hanya memberi satu judul untuk setiap
hadis, tetapi kadangkala meletakkan satu hadis di beberapa bahagian dengan
judul yang berbeza. Hal ini dilakukan untuk menjelaskan makna-makna tertentu
yang terkandung dalam hadis tersebut atau untuk membincangkan variasi riwayat
hadis dengan judul yang sesuai bagi setiap variasi.
Demi mencapai tujuan ini, al-Bukhari juga sering menyebut
ayat-ayat al-Quran dalam judul bab sebagai sokongan kepada pendapat atau isu
yang dibincangkan. Kadangkala, beliau juga menyebut hadis yang tidak memenuhi
syarat beliau tetapi relevan dengan isu tertentu, dengan mencatatnya secara mu‘allaq
(hadis tanpa sanad lengkap). Pendekatan ini dilakukan dengan kaedah yang
teliti, yang akan dibincangkan lebih lanjut ketika membahas hadis mu‘allaq.
Selain itu, beliau turut memanfaatkan riwayat mauquf
(ucapan sahabat), maqtu‘ (ucapan tabiin), dan pelbagai athar
daripada generasi salaf dalam judul-judul babnya sebagai sokongan kepada
tujuannya ini.
Oleh itu, Sahih al-Bukhari bukan sahaja memuatkan
hadis-hadis sahih yang menjadi topik utama kitab ini, tetapi juga mengandungi
pelbagai aspek lain seperti hadis-hadis mu‘allaq, istinbat
hukum dan pendapat generasi salaf yang disertakan dalam judul bab. Semua ini
menunjukkan keluasan ilmu dan kefahaman Imam al-Bukhari serta kepentingan kitab
ini sebagai rujukan Islam sepanjang zaman.
Imam al-Nawawi berkata:
"Tujuan Imam al-Bukhari bukan sekadar menghimpunkan
hadis semata-mata. Beliau juga berniat untuk membuat istinbat hukum dan
memberikan dalil bagi bab-bab yang beliau kehendaki. Oleh sebab itu, beliau
sering kali meninggalkan sanad penuh dalam banyak bab dan hanya menyebut frasa
seperti: ‘Di dalamnya disebutkan bahawa si fulan meriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atau yang
seumpamanya."
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:
"Kemudian beliau melihat bahawa kitabnya tidak
sepatutnya kosong daripada faedah-faedah fiqh dan kupasan-kupasan yang bernilai.
Oleh itu, beliau dengan kefahamannya mengeluarkan banyak makna daripada
matan-matan hadis lalu membahagikannya kepada bab-bab dalam kitabnya mengikut
kesesuaian. Beliau turut memberi perhatian terhadap ayat-ayat hukum, mengambil
daripadanya petunjuk yang indah, dan menggunakan pendekatan yang luas dalam
menjelaskan tafsirannya."
Dengan itu, Imam al-Bukhari berjaya menghimpunkan dalam
kitabnya, al-Jami‘ al-Sahih, gabungan antara riwayat dan dirayah
(pemahaman), antara menjaga sunnah Rasulullah sallahu ‘laihi wasallam
dan memahami maksudnya.
Ibnu al-Munayyir, dalam membincangkan judul-judul bab dalam
kitab al-Bukhari, menyatakan:
"Seolah-olah beliau merasa keberatan untuk menulis
kitab fiqh dengan gaya kitab-kitab fiqh biasa yang dipenuhi perkara-perkara
yang banyak daripadanya mungkin tidak berlaku. Ini agar beliau tidak termasuk
dalam golongan yang menyusahkan dirinya sendiri yang mana orang seperti ini
diancam tidak akan diberi pertunjuk untuk mencapai kebenaran. Maka, inilah –
wallahu a‘lam – rahsia mengapa al-Bukhari menyebutkan perbahasan fiqh dalam
judul-judul bab. Beliau membebaskan sunnah daripada hal-hal yang mengganggu,
mengeluarkan faedah-faedah hadis daripada tempat tersembunyinya dan menjelaskan
maksud-maksud yang tersirat melalui petunjuk-petunjuk yang jelas. Kitabnya
mengumpulkan dua ilmu dan dua kebaikan yang besar. Kitabnya memperoleh
keagungan sunnah dan inti pati masalah fiqh. Ini adalah hasil penerokaan
mendalam yang dibantu oleh taufik Allah dan merupakan pendekatan yang amat
halus dalam mengkaji."
Ibn al- Munayyir menegaskan bahawa al-Bukhari telah mencapai
dua tujuan utama dalam kitabnya dengan cara yang paling sempurna:
1 - Menghimpunkan hadis dan membezakan hadis daripada
perkara-perkara lain seperti istinbat (kesimpulan hukum) dan pandangan
fiqh. Dengan ini, kitabnya menjadi sumber yang penting dalam ilmu hadis Nabi sallahu
‘alaihi wasallam.
2 - Membuat istinbat hukum daripada hadis-hadis
tersebut tanpa mencampurkannya dengan hadis itu sendiri. Sebaliknya, beliau
menyebut istinbat ini dalam judul-judul bab. Dengan cara ini, kitabnya
menjadi salah satu rujukan utama dalam ilmu fiqh.
Kesimpulannya, al-Bukhari menulis kitabnya dengan tujuan
menjadikannya sebuah kitab yang menghimpunkan hadis dan fiqh. Beliau tidak
berniat sekadar meriwayatkan hadis tanpa memahami maksudnya kerana hadis tanpa
kefahaman tidak mempunyai makna. Pada masa yang sama, beliau juga ingin
menunjukkan bahawa fiqh hanya bernilai apabila ia dibina di atas dalil-dalil
yang sahih. Oleh itu, kitabnya berjaya menjadi sebuah rujukan lengkap yang
menghimpunkan hadis dan fiqh secara serentak.
Perbahasan Keenam: Syarat al-Bukhari Pada Perawi Hadisnya
Perkara yang perlu diketahui ialah Imam al-Bukhari tidak
pernah dinukilkan daripadanya kenyataan yang jelas tentang syarat tertentu yang
digunakannya dalam kitab Sahihnya. Sebaliknya, syarat tersebut dikenal pasti
melalui kaedah istiqra’ (kajian menyeluruh) terhadap cara beliau
menyusun kitabnya.
Al-Hafiz al-Suyuti berkata: "Ketahuilah bahawa
al-Bukhari tidak pernah menyatakan secara jelas syarat tertentu (yang
digunakannya) tetapi syarat tersebut difahami daripada penamaan kitabnya dan
kajian mendalam terhadap caranya menyusun hadis."
Al-Hafiz Abu al-Fadl Ibnu Tahir al-Maqdisi berkata dalam
kitabnya, Syarat al-A'immah al-Sittah:
"Tidak dinukilkan daripada salah seorang pun
daripada enam imam tersebut bahawa mereka berkata: Aku mensyaratkan untuk
meriwayatkan dalam kitabku hanya hadis yang memenuhi syarat tertentu.
Sebaliknya, syarat-syarat tersebut dikenal pasti melalui kajian teliti terhadap
kitab-kitab mereka dan daripadanya diketahui syarat setiap seorang daripada
mereka."
Melalui kaedah istiqra’ terhadap cara al-Bukhari
memilih perawi hadis, diketahui bahawa beliau memilih perawi yang paling lama
berguru dengan gurunya dan yang paling arif tentang hadis gurunya. Jika beliau
meriwayatkan daripada perawi yang tidak memiliki ciri-ciri ini, maka ia hanya
dilakukan dalam rangka mutaba‘at (riwayat sokongan) atau apabila
terdapat petunjuk yang kuat bahawa perawi tersebut telah meriwayatkan hadis
tersebut dengan tepat.
Berdasarkan gabungan faktor-faktor ini, para ulama, baik
dahulu mahupun kini, menggambarkan kitabnya sebagai kitab yang paling sahih di
kalangan kitab-kitab hadis yang disusun.
Ulama pertama yang menjelaskan syarat Imam al-Bukhari dengan
baik adalah Imam al-Hazimi dalam kitabnya Shurut al-A’immah al-Khamsah.
Beliau berkata:
"Para perawi yang banyak meriwayatkan hadis
(al-Mukthirun) seperti al-Zuhri, Nafi', al-A'mash, dan Qatadah mempunyai
perawi-perawi (yakni murid-murid) lain
yang meriwayatkan daripada mereka. Perawi-perawi ini pula berbeza-beza dari
segi hafalan hadis dan ketelitian, serta dari segi sejauh mana mereka sering
mendampingi guru mereka serta dari sudut berapa banyak mereka meriwayatkan
hadis darinya. Oleh itu, ada perawi yang layak untuk dijadikan hadisnya sebagai
hadis utama (al-Usul) sementara ada juga yang hanya layak dimasukkan dalam bab
sokongan atau penguat (al-Shawahid wa al-Mutaba'at). Inilah satu bidang yang
agak kompleks dan sukar difahami."
Untuk al-Zuhri sebagai contoh, Imam al-Hazimi membahagikan
perawi-perawi yang mengambil hadis daripadanya kepada lima peringkat:
Peringkat Pertama:
Golongan yang menghimpunkan hafalan yang kuat, ketelitian,
lama berguru dengan al-Zuhri, serta mendalami hadisnya dan memeliharanya dengan
baik. Contohnya ialah Malik, Ibnu ‘Uyainah, ‘Ubaidullah bin ‘Umar, Ma‘mar,
Yunus, ‘Uqail, Shu‘aib dan yang seumpamanya. Golongan ini disepakati oleh para
ulama untuk dijadikan rujukan utama dalam periwayatan hadis daripada al-Zuhri. Hadis
mereka dianggap paling sahih.
Peringkat Kedua:
Golongan yang mempunyai hafalan yang baik dan teliti, tetapi
tidak lama berguru dengan al-Zuhri. Mereka hanya mendampinginya dalam tempoh
yang singkat dan tidak banyak mendalami hadis-hadisnya. Dari segi ketelitian
terhadap hadis al-Zuhri, mereka berada di bawah peringkat pertama. Contohnya
ialah al-Awza‘i, al-Layth, ‘Abdul Rahman bin Khalid bin Musafir dan yang
seumpamanya. Hadis-hadis mereka daripada al-Zuhri biasanya diriwayatkan oleh
Imam Muslim.
Peringkat Ketiga:
Golongan yang lama berguru dan mendampingi al-Zuhri serta
banyak meriwayatkan daripadanya, tetapi terdapat kritikan terhadap hafalan
mereka. Contohnya ialah Sufyan bin Husain, Muhammad bin Ishaq, Salih bin Abi
al-Akhdar, Zam‘ah bin Salih dan yang seumpamanya. Hadis-hadis mereka
diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, dan al-Nasa’i. Ada kalanya, Imam Muslim
meriwayatkan daripada mereka sebagai sokongan (mutaba‘at).
Peringkat Keempat:
Golongan yang turut menerima kritikan seperti golongan dalam
peringkat ketiga, namun mereka kurang menguasai hadis al-Zuhri kerana tidak
lama berguru dengannya. Contohnya ialah Ishaq bin Yahya al-Kalbi, Mu‘awiyah bin
Yahya al-Sadafi, Ishaq bin Abi Farwah, Ibrahim bin Yazid al-Makki, dan yang
seumpamanya. Imam al-Tirmizi ada meriwayatkan daripada sebahagian mereka.
Peringkat Kelima:
Golongan yang terdiri daripada perawi yang ditinggalkan (matruk)
atau tidak dikenali (majhul). Contohnya ialah al-Hakam al-Aili, ‘Abdul
Quddus bin Habib, Muhammad bin Sa‘id al-Maslub, Bahr al-Saqqa’ dan yang
seumpamanya. Periwayatan daripada mereka tidak boleh diterima melainkan untuk
tujuan kajian lanjut atau sokongan (al-i‘tibar wa al-istishhad).
Golongan ini tidak diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud, atau al-Nasa’i.
Sebahagian mereka ada diriwayatkan oleh Ibn Majah.
Mengenai peringkat pertama: Mereka adalah yang memenuhi
syarat al-Bukhari. Beliau kadangkala meriwayatkan hadis daripada peringkat kedua,
tetapi tidak secara menyeluruh.
Mengenai peringkat kedua: Mereka memenuhi syarat Muslim, di
mana beliau meriwayatkan hadis peringkat pertama dan kedua secara menyeluruh,
serta meriwayatkan hadis peringkat ketiga dengan kaedah yang sama seperti
al-Bukhari dalam peringkat kedua.
Adapun peringkat keempat dan kelima: Mereka tidak diambil oleh
kedua-duanya.
Al-Hafiz Ibn Hajar memberikan komen terhadap kenyataan
al-Hazimi:
"Saya katakan, kebanyakan hadis daripada golongan
kedua yang diriwayatkan oleh al-Bukhari adalah secara ta’liq dan kadangkala
beliau turut meriwayatkan sedikit hadis daripada golongan ketiga juga secara
‘ta’liq’.”
Beliau juga berkata:
"Contoh yang kami sebutkan ini adalah khusus bagi
perawi yang banyak meriwayatkan hadis (mukthirun). Maka, murid-murid bagi
Nafi’, al-A’mash, Qatadah dan lain-lain juga diukur berdasarkan hal ini.
Adapun perawi yang kurang meriwayatkan hadis (ghayr
mukthirun), maka kedua-dua imam hanya bergantung kepada sifat thiqah, ‘adil,
dan sedikitnya kesalahan untuk dijadikan ukuran bagi pemilihan hadis-hadis
mereka.
Namun, di kalangan mereka ada yang sangat dipercayai,
sehingga kedua-dua imam meriwayatkan hadis yang hanya diriwayatkan secara
bersendirian (tafarrud) oleh mereka sahaja seperti Yahya bin Sa’id al-Ansari.
Manakala, ada pula di kalangan mereka yang kurang
dipercayai, sehingga kedua-dua imam hanya meriwayatkan hadisnya yang turut
diriwayatkan oleh perawi lain bersamanya dan hal ini adalah yang paling banyak
berlaku.”
Perbahasan Ketujuh: Metodologi Imam al-Bukhari dalam
Menyusun Bab-Bab
Imam al-Bukhari tidak menyediakan mukadimah khusus untuk
kitab ini, sebaliknya, beliau memulakan kitabnya terus dengan bab ‘Permulaan
Wahyu kepada Rasulullah’. Kemudian, beliau menyusunnya berdasarkan bab-bab fiqh
dan ilmu yang berada di bawah ‘kitab’ (tajuk besar). Kitab yang pertama ialah ‘Kitab
Permulaan Wahyu’, diikuti dengan ‘Kitab Iman’, ‘Kitab Ilmu’, dan seterusnya. Kitab
terakhir ialah ‘Kitab Tauhid’.
Setiap kitab dibahagikan kepada beberapa bab kecil dan
setiap bab diberikan tajuk yang teliti dan sesuai dengan kandungannya.
Tajuk-tajuk ini mencerminkan keluasan pemahaman fiqh Imam al-Bukhari serta
kebolehannya yang tinggi dalam melakukan istinbat daripada hadis-hadis
yang dimuatkan di bawah setiap bab.
Perbahasan Kelapan: Metodologi Imam al-Bukhari Dalam Penamaan
Tajuk-Tajuk Bab
Yang dimaksudkan dengan tatajim al-abwab (tajuk-tajuk
bab) ialah tajuk-tajuk yang menunjukkan kandungan di bawahnya, sama ada kandungan
itu berupa hadis yang marfu' (disandarkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam), mauquf
(disandarkan kepada sahabat), maqtu' (disandarkan kepada tabi'in),
amalan yang diijmakkan atau pendapat ijtihad penyusun kitab. Tajuk-tajuk ini
berperanan menjelaskan maksud teks dan hadis yang rumit, menerangkan maksud
sebenar, serta menolak maksud yang tidak dikehendaki. Kadangkala, tajuk-tajuk
tersebut menggantikan keperluan untuk menerangkan teks itu secara langsung atau
menakwilkannya.
Imam al-Bukhari terkenal di kalangan penyusun kitab hadis
kerana ketelitiannya yang luar biasa dalam tajuk-tajuk bab yang disusun dalam
kitab ini. Beliau mencurahkan kefahaman dan ijtihadnya terhadap hadis ke dalam
setiap tajuk bab, berdasarkan apa yang dicapai oleh usahanya. Dalam setiap
tajuk, al-Bukhari turut menyertakan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dan
kadangkala menyusun ayat-ayat tersebut secara lengkap berdasarkan hubungan
dengan bab tersebut.
Kehebatan ijtihad Imam al-Bukhari serta ketelitiannya dalam
mengembangkan ijtihad ini melalui tajuk-tajuk babnya menjadikan beliau dikenali
dengan ungkapan: ‘Fiqh al-Bukhari terletak pada tajuk-tajuk babnya.’ Melalui
tajuk-tajuk ini, beliau menonjolkan kehebatannya yang luar biasa serta kefahaman
mendalam yang membezakan beliau daripada imam-imam lain yang menyusun
kitab-kitab hadis.
Jenis-Jenis Tajuk Bab dalam Kitab Ini
Tajuk-tajuk bab dalam kitab ini terbahagi kepada tiga jenis,
iaitu:
1 - Tajuk-tajuk yang jelas (al-Tarajim al-Zahirah).
2 - Tajuk-tajuk yang tersembunyi (al-Tarajim al-Khafiyyah).
3 - Tajuk-tajuk yang umum (al-Tarajim al-Mursalah).
Berikut adalah penjelasan setiap jenis tersebut:
Jenis Pertama: Tajuk-Tajuk Yang Jelas (al-Tarajim
al-Zahirah)
Ini adalah tajuk-tajuk yang ditunjukkan oleh hadis bab secara
jelas dan sepadan dengan kandungannya secara nyata, di mana pembaca tidak perlu
menggunakan pemikiran dan penelitian untuk memahami hubungan antara tajuk
dengan hadis bab tersebut.
Contoh:
Imam al-Bukhari menulis tajuk: ‘Bab: Tanda Iman adalah
Mencintai Kaum Ansar,’ kemudian beliau memasukkan hadis Anas bin Malik yang marfu':
"Tanda iman ialah mencintai kaum Ansar dan tanda
nifaq ialah membenci kaum Ansar.”
Jenis Kedua: Tajuk-Tajuk Yang Tersembunyi (al-Tarajim
al-Khafiyyah)
Ini merujuk kepada tajuk-tajuk yang diistinbat
(diambil kesimpulan) oleh Imam Bukhari dari hadis yang terdapat dalam bab
tersebut, di mana pembaca tidak dapat memahami hubungan antara tajuk dengan
hadis secara langsung. Ini memerlukan perenungan terhadap tajuk-tajuk tersebut
dan penggunaan pemikiran untuk memahami hubungan antara tajuk dengan
hadis-hadis di bawahnya.
Contoh:
Imam al-Bukhari menulis dalam Kitab al-Adzan tajuk:
‘Bab: Ahli Ilmu dan Yang Mempunyai Kemuliaan Lebih Layak
Menjadi Imam.’
Beliau kemudian memasukkan hadis dari beberapa riwayat yang
hampir sama tentang perintah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam agar Abu Bakar menjadi imam solat
ketika baginda sakit. Dalam hadis tersebut, Aisyah berkata:
"Sesungguhnya dia (Abu Bakar) adalah seorang yang
lemah lembut. Jika dia berdiri di tempatmu, dia tidak akan mampu memimpin solat
jemaah dengan baik."
Namun Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
"Suruhlah Abu Bakar memimpin solat bagi orang
ramai...”
Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam telah mengutamakan Abu Bakar untuk menjadi imam
walaupun ada sahabat lain yang lebih lantang suara dan lebih kuat secara
fizikal pada ketika itu. Diketahui bahawa Abu Bakar adalah sahabat yang paling
tinggi ilmunya dan paling mulia di kalangan mereka. Berdasarkan dalil-dalil
lain yang banyak, jelaslah bahawa keutamaan untuk menjadi imam diberikan kepada
mereka yang lebih berilmu dan mulia. Oleh itu, Imam al-Bukhari menulis tajuk
tersebut untuk bab ini.
Jenis Ketiga: Tajuk-Tajuk Umum (al-Tarajim al-Mursalah)
Tajuk ini adalah tajuk yang bersifat umum dan tidak terikat
kepada frasa, perkataan, atau seumpamanya. Dalam hal ini, Imam al-Bukhari hanya
menyebutkan perkataan ‘Bab’ tanpa menambahkan sebarang penjelasan atau tajuk
yang spesifik. Tajuk jenis ini digunakan oleh al-Bukhari dalam dua keadaan:
Keadaan Pertama: Sebagai Pemisah Daripada Bab Sebelumnya
Dalam keadaan ini, kandungan bab ini bersambung dengan bab
sebelumnya dan melengkapkannya, sehinggakan jika tajuk umum ini tidak wujud,
hadis-hadis yang datang selepasnya masih sesuai dengan bab sebelumnya.
Seolah-olah bab ini adalah pecahan daripada bab sebelumnya dan di sini Imam
Bukhari memisahkannya sama ada kerana terdapat faedah tambahan yang terdapat
dalam hadis yang lain atau untuk menarik perhatian pembaca kepada kepentingan
apa yang terkandung di dalamnya. Contoh:
Dalam Kitab al-Tayammum, al-Bukhari menulis tajuk:
‘Bab: Tayammum dengan Satu Tepukan,’ lalu beliau membawakan
hadis di mana Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
"Sesungguhnya memadai bagimu seperti ini," lalu
baginda menyapu wajah dan kedua tangannya dengan sekali tepukan.
Selepas itu, al-Bukhari menulis tajuk umum ‘Bab’ dan
membawakan hadis Imran bin Husain:
"Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang menyendiri
dan tidak solat bersama orang lain. Baginda bertanya: Wahai fulan, apa yang
menghalangmu daripada solat bersama mereka? Lelaki itu menjawab: Aku dalam
keadaan junub dan tidak ada air. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Gunakanlah tanah yang bersih
kerana ia mencukupi bagimu.”
Dalam bab ini, Imam al-Bukhari membawakan hadis tanpa
memberikan tajuk yang khusus. Namun, kerana kandungan bab sebelumnya adalah
tentang ‘Bab: Tayammum dengan Satu Tepukan,’ dan hadis dalam bab yang
berikutnya membincangkan tayammum dengan menggunakan tanah yang bersih tanpa
menyatakan sama ada ia dilakukan dengan satu tepukan atau dua tepukan, maka
hadis ini dianggap sebagai pecahan daripada bab sebelumnya.
Imam al-Bukhari mengambil pendekatan ini kerana beliau tidak
mengkhususkan cara tayammum, tetapi menjelaskan bahawa melakukan tayammum
dengan sekali tepukan adalah cara paling minimum untuk menunaikan kewajipan
tersebut dan kewajipan ini adalah sesuatu yang pasti.
Dalam erti kata lain, hadis yang dibawakan oleh Imam
al-Bukhari dalam bab ini (iaitu tajuk bab yang umum) menjadi sokongan kepada
hadis dalam bab sebelumnya. Sebab mengapa beliau tidak menyatukan kedua-dua
hadis ini dalam satu bab adalah kerana hadis yang kedua tidak secara
terang-terangan menyebut bahawa tayammum dilakukan dengan satu tepukan. Sebaliknya,
pemahaman itu hanya dapat diperoleh melalui istinbat . Oleh itu, Imam
al-Bukhari memutuskan untuk memberikan bab ini tempat yang tersendiri, tetapi
tanpa menamakannya, kerana ia masih berkaitan rapat dengan bab sebelumnya
Keadaan Kedua: Tajuk Yang Tidak Berfungsi Sebagai Pemisah
Tetapi Berkaitan Dengan Kitab
Dalam keadaan ini, kandungan bab tidak bertindak sebagai
pemisah kepada bab sebelumnya, tetapi ia masih berkaitan dengan tema utama
kitab (tajuk besar) yang menjadi asas kepada bab-bab tersebut.
Contoh:
Dalam Kitab al-Solat, Imam al-Bukhari menulis tajuk:
Bab: Membawa Unta ke Masjid Kerana Keperluan,’ dan beliau
menyebutkan hadis daripada Ummu Salamah, yang berkata:
"Aku mengadu kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bahawa aku
sedang sakit. Maka baginda bersabda: Lakukan tawaf di belakang orang ramai
dengan menaiki tungganganmu. Maka aku pun bertawaf sedemikian, sementara
Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam sedang solat di sisi Kaabah..”
Selepas itu, Imam al-Bukhari memasukkan satu bab lagi tanpa
memberikan tajuk dan hanya menyebut ‘Bab’ lalu menyertakan hadis daripada Anas
bin Malik:
"Dua orang lelaki daripada kalangan sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam keluar dari
sisi baginda pada malam yang gelap dan bersama mereka berdua ada sesuatu
seperti dua pelita yang menerangi jalan di hadapan mereka. Apabila kedua-duanya
berpisah, setiap seorang daripadanya mendapat satu pelita sehingga mereka tiba
di rumah masing-masing.”
Seperti yang dapat diperhatikan, tiada hubungan langsung
atau kaitan yang jelas antara kedua-dua bab ini. Maka, bab tanpa tajuk yang
disebut oleh Imam al-Bukhari itu tidak berfungsi sebagai pemisah kepada bab
sebelumnya. Sebaliknya, jika diperhatikan secara umum, bab-bab sebelum ini
membincangkan hal berkaitan masjid, manakala hadis yang dimasukkan oleh Imam
al-Bukhari dalam bab umum ini menyentuh kelebihan pergi ke masjid pada waktu
gelap.
Perbahasan Kesembilan: Metodologi Imam al-Bukhari Dalam
Pengulangan Hadis
Maksud pengulangan hadis ialah penyebutan sebuah hadis dalam
satu bab atau lebih, sama ada dengan lafaz yang sama atau dengan tambahan atau
pengurangan, sama ada melalui satu sanad atau lebih.
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Hafiz Abu al-Fadl
Muhammad bin Tahir al-Maqdisi yang berkata:
"Ketahuilah bahawa al-Bukhari - rahimahullah - sering
kali menyebutkan sebuah hadis dalam kitabnya di beberapa tempat, dengan
menggunakan sanad yang berbeza di setiap bab. Beliau mengeluarkan daripada hadis
tersebut melalui cara istinbat yang baik dan pemahaman fiqh yang mendalam,
selaras dengan tema bab yang dimasukkan hadis tersebut. Jarang sekali beliau
menyebutkan hadis dalam dua tempat dengan sanad dan lafaz yang sama.
Sebaliknya, beliau mengulanginya melalui jalur lain untuk tujuan-tujuan
tertentu yang akan kami akan sebutkan - dan Allah lebih mengetahui maksudnya:
1 - Salah satu tujuannya adalah beliau meriwayatkan hadis
daripada seorang sahabat, kemudian menyebutkannya semula melalui seorang
sahabat lain. Tujuannya adalah untuk mengangkat hadis tersebut daripada status
‘gharib’ (diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja). Beliau juga
menggunakan kaedah yang sama terhadap perawi daripada generasi kedua, ketiga,
dan seterusnya sehingga sampai kepada gurunya. Orang yang bukan ahli dalam
bidang ini mungkin menyangka ia adalah pengulangan, tetapi sebenarnya tidak,
kerana setiap penyebutan itu mengandungi faedah tambahan.
2 - Antara tujuannya juga adalah untuk mensahihkan hadis
berdasarkan prinsip ini, di mana setiap riwayat hadis mengandungi makna yang
berbeza. Oleh itu, beliau menyebutkannya dalam setiap bab melalui jalur yang
berbeza daripada jalur yang pertama.
3 - Ada juga hadis yang diriwayatkan oleh sebahagian perawi
secara lengkap, tetapi oleh sebahagian perawi lain secara ringkas. Beliau
menyebutkannya seperti mana yang diriwayatkan untuk menghilangkan keraguan
terhadap perawi yang meriwayatkan hadis itu.
4 - Kadangkala para perawi menggunakan ungkapan yang
berbeza. Seorang perawi meriwayatkan hadis dengan satu lafaz yang membawa satu
makna, sementara perawi lain meriwayatkannya dengan ungkapan yang berbeza
tetapi membawa makna lain. Dalam keadaan ini, jika semua jalur tersebut sahih
mengikut syarat al-Bukhari, beliau akan menyebutkan hadis itu melalui semua
jalurnya dan memperuntukkan bab yang khusus untuk setiap lafaz.
5 - Antara tujuannya juga ialah hadis-hadis yang ada
percanggahan antara riwayat yang bersambung (mawsul) dan riwayat yang
terputus (mursal). Jika sanad bersambung lebih kuat menurut beliau, maka
beliau mengutamakannya, tetapi tetap menyebutkan riwayat mursal untuk
menunjukkan bahawa ia tidak memberi kesan terhadap kesahihan sanad bersambung.
6 - Begitu juga hadis-hadis yang ada percanggahan antara
riwayat yang terhenti pada sahabat (mawquf) dan yang diangkat hingga
kepada Nabi (marfu‘). Hukum dalam hal ini sama seperti sebelumnya, iaitu
riwayat yang lebih kuat diutamakan.
7 - Ada juga hadis-hadis di mana sebahagian perawi menambah
seorang perawi dalam sanad, sedangkan perawi lain tidak menyebutkannya. Beliau
akan menyebutkan kedua-dua versi, jika menurutnya perawi itu mendengar daripada
gurunya yang meriwayatkan daripada perawi lain, kemudian perawi itu sendiri
bertemu dengan perawi lain tersebut dan meriwayatkan daripadanya. Maka, hadis
itu diriwayatkan dengan kedua-dua cara.
8 - Kadangkala al-Bukhari menyebutkan hadis yang sanadnya
berbentuk ‘an‘anah (lafaz “daripada” yang tidak menunjukkan mendengar
hadis secara langsung). Kemudian beliau menyebutkannya melalui jalur lain yang
secara jelas menyatakan pendengaran langsung (sama‘), sebagaimana yang
diketahui daripada kaedah beliau yang mensyaratkan sabitnya pertemuan perawi
bagi hadis mu‘an‘an.
Semua ini berkaitan dengan pengulangan teks hadis yang sama
satu tempat lain atau beberapa tempat.
9 - Adapun tentang pecahan hadis ke dalam beberapa bab atau
hanya menyebut sebahagian daripada hadis itu, hal ini kerana jika teks hadis
itu pendek atau bahagian-bahagiannya saling berkaitan tetapi mengandungi dua
hukum atau lebih, beliau akan mengulanginya mengikut keperluan. Dalam hal ini,
beliau memastikan tetap ada faedah hadis yang diperoleh, iaitu menyebutkan
hadis itu melalui guru yang berlainan daripada guru sebelumnya, sebagaimana
yang telah dijelaskan. Dengan cara ini, kita memperoleh tambahan jalur
periwayatan bagi hadis tersebut.
10 - Jika beliau memiliki keterbatasan dalam periwayatan dan
hadis tersebut beliau hanya memiliki satu jalurnya sahaja, maka beliau akan
memanfaatkannya dengan cara yang berbeza. Beliau akan menyebutnya dalam satu
tempat secara mawsul dan di tempat lain secara mu‘allaq.
11 - Beliau kadangkala meriwayatkan hadis tersebut secara
lengkap, dan kadangkala hanya menyebutkan bahagian yang diperlukan untuk bab
tertentu.
Sebahagian pensyarah Sahih al-Bukhari meriwayatkan bahawa
al-Bukhari berkata:
"Namun, aku tidak ingin memasukkan dalam kitab ini
sesuatu yang berulang."
Ibnu Hajar mengulas:
"Kenyataan ini menunjukkan bahawa beliau tidak
berniat untuk meriwayatkan hadis yang berulang dalam kitabnya dengan sanad dan
matan yang sama secara sengaja. Jika terdapat pengulangan seperti itu, ia
berlaku tanpa sengaja dan jumlahnya sangat sedikit.
Apabila perkara ini jelas, dapat difahami bahawa
al-Bukhari tidak mengulang kecuali untuk tujuan tertentu. Sekiranya manfaat
daripada pengulangan itu tidak terlihat sama ada dari aspek sanad mahupun
matan, maka pengulangannya dilakukan kerana adanya perbezaan hukum yang
terkandung dalam bab kedua, yang menjadikan pengulangan itu diperlukan supaya
tidak dianggap berulang tanpa faedah.
Bagaimana mungkin, sedangkan beliau tidak membiarkan
pengulangan itu tanpa faedah sanad, seperti menyebutkan sanad melalui guru yang
berbeza daripada guru sebelumnya, atau alasan lain sebagaimana yang telah
dijelaskan.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas bagi sesiapa yang
mengkaji kitabnya secara menyeluruh dan bersikap adil terhadap dirinya sendiri.”
Perbahasan Kesembilan: Metodologi Imam al-Bukhari Dalam
Menyebutkan Hadis Mu’allaq
Mu'allaq ialah hadis yang dibuang atau dihilangkan
dari permulaan sanadnya seorang perawi atau lebih, ataupun keseluruhan
sanadnya.
Mengenai hadis-hadis mu'allaq dalam Sahih al-Bukhari,
ulasan terbaik mengenainya adalah oleh al-Hafiz Ibnu Hajar. Menurut beliau, hadis-hadis
marfu' yang tidak disebut sanadnya secara sempurna oleh al-Bukhari dalam
kitab Sahihnya ada dua jenis:
Pertama, ada yang ditemukan sanadnya dalam tempat lain di
dalam kitabnya.
Kedua, ada yang hanya ada sebagai mu'allaq sahaja.
Bagi jenis pertama, sebab al-Bukhari menggugurkannya adalah
kerana kebiasaannya dalam kitab Sahihnya, beliau tidak mengulangi sesuatu
kecuali ada manfaat tertentu. Jika matan hadis mengandungi hukum-hakam, beliau
akan mengulanginya dalam bab-bab tertentu mengikut keperluan atau memecahkannya
dalam bab-bab jika setiap bahagian matan boleh berdiri sendiri. Walaupun
begitu, beliau tidak mengulangi sanad, sebaliknya menggantikan dengan perawi
yang berbeza, sama ada dari kalangan gurunya, guru kepada gurunya, atau yang
seumpamanya.
Jika jalan periwayatan hadis itu terbatas dan hanya
mempunyai satu sanad sahaja, tetapi matan tersebut mengandungi banyak hukum
yang memerlukan pengulangan, maka dalam situasi ini beliau akan memilih sama
ada untuk meringkaskan matan atau meringkaskan sanad. Inilah salah satu sebab
beliau menggugurkan sanad dalam satu tempat tetapi menyempurnakannya di tempat
lain.
Adapun jenis kedua, iaitu hadis yang hanya terdapat dalam
bentuk mu'allaq, ia mempunyai dua bentuk:
Pertama, sama ada dengan menggunakan lafaz yang tegas (jazm)
seperti “dia berkata”, “dia menyebutkan”, dan “dia menceritakan”.
Kedua, lafaz yang menunjukkan kelemahan (tamridh) seperti
“dikatakan”. “disebutkan" dan “diceritakan”.
Bagi bentuk pertama, iaitu mu'allaq dengan lafaz yang
jazm, hadis tersebut adalah sahih sehingga kepada perawi yang diambil hadis
daripadanya, tetapi perinciannya bergantung kepada status perawi-perawinya dan
sebahagiannya memenuhi syarat al-Bukhari.
Sebab beliau menggugurkan sanadnya adalah kerana beberapa
faktor, sama ada kerana beliau tidak mendapatkan hadis itu secara mendengar
langsung tetapi melalui kaedah seperti muzakarah atau ijazah atau kerana beliau
telah menyebut hadis yang sama dalam bentuk yang lain, sehingga memadai baginya
untuk tidak menyebutkan mu'allaq ini dengan lengkap atau mungkin juga
kerana sebab-sebab lain yang tertentu.
Sebahagian daripada hadis mu'allaq tidak memenuhi
syarat al-Bukhari, walaupun disahihkan oleh ulama lain atau dinilai sebagai
hasan. Sebahagian lagi adalah lemah disebabkan masalah terputusnya sanad.
Adapun jenis kedua, iaitu mu'allaq dengan lafaz tamridh
dan tidak disebutkan di tempat lain, kebanyakannya tidak memenuhi syarat
al-Bukhari kecuali beberapa tempat yang sedikit, di mana beliau menyebutkan
dengan lafaz ini kerana ingin menyebutkannya secara maknanya sahaja.
Namun, terdapat mu’allaq yang sahih walaupun tidak
memenuhi syaratnya, sama ada kerana perawi hadis mu’allaq tersebut tidak
diriwayatkan hadisnya oleh beliau atau kerana ada kecacatan padanya menurut
pandangan beliau. Sebahagian daripadanya dinilai sebagai hasan, dan sebahagian
lagi adalah lemah. Hadis-hadis lemah ini terbahagi kepada dua kategori:
Pertama, yang dapat dikuatkan dengan hadis lain.
Kedua, yang kekal berada dalam kategori lemah. Jika hadis
itu berada dalam keadaan lemah seperti ini, al-Bukhari akan menjelaskan
kelemahannya secara jelas apabila menyebutkannya dalam kitabnya.
Hukum Hadis Mu'allaq dalam Sahih al-Bukhari
Berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar, hukum bagi hadis
mu'allaq dalam Sahih al-Bukhari adalah seperti berikut:
1- Hadis mu'allaq dengan lafaz jazm yang sahih
dan memenuhi syarat al-Bukhari.
2 - Hadis mu'allaq dengan lafaz jazm yang
sahih tetapi tidak memenuhi syarat al-Bukhari.
3 - Hadis mu'allaq dengan lafaz jazm yang
lemah disebabkan terputusnya sanad.
4 - Hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh yang
sahih tetapi tidak memenuhi syarat al-Bukhari.
5 - Hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh yang
dinilai sebagai hasan.
6 - Hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh yang lemah.
Ibnu Hajar telah memberikan contoh bagi setiap kategori
hadis mu'allaq ini. Beliau seterusnya berkata:
"Daripada contoh-contoh ini jelas bahawa banyak
hadis yang tidak memenuhi syarat al-Bukhari dalam kategori mu'allaq dengan
lafaz jazm. Adapun hadis mu'allaq dengan lafaz tamridh, jika digunakan untuk
tujuan berhujah atau sebagai sokongan, maka ia sama ada sahih, hasan, atau
lemah tetapi dapat dikuatkan. Jika digunakan dalam konteks ingin menolaknya,
maka ia lemah menurut al-Bukhari. Dan seperti yang telah kami jelaskan, beliau
akan menyatakan kelemahannya dengan jelas."
Hadis-hadis mu'allaq dalam kitab ini berjumlah 1,341
buah dan kebanyakannya disempurnakan sanadnya di tempat lain dalam kitab
tersebut. Al-Hafiz Ibn Hajar telah mengarang sebuah kitab khusus untuk
menyambungkan baki hadis mu'allaq ini, iaitu sebanyak 159 hadis dan
beliau menamakannya sebagai Taghliq al-Ta'liq 'ala Sahih al-Bukhari.
Dalam kitab itu, beliau turut menambah mutaba'at (riwayat sokongan) dan mawqufat
(riwayat yang terhenti pada sahabat). Ibn Hajar juga telah meringkaskan
kitabnya ini dalam mukadimah kitabnya yang terkenal, Fath al-Bari Syarh
Sahih al-Bukhari.
Perbahasan Kesepuluh: Syarat Imam al-Bukhari Tentang Kebersambungan
Sanad Bagi Hadis Mu’an’an
Hadis mu’an’an adalah hadis yang perawinya tidak
menyatakan bahawa dia mendengar hadis secara langsung daripada perawi
sebelumnya sebaliknya dia berkata: “Daripada si fulan (‘An Fulan).”
Al-Bukhari menetapkan syarat khusus dalam memastikan sanad mu'an'an
itu bersambung dan ini juga merupakan salah satu sebab mengapa kitab Sahih
al-Bukhari dianggap lebih utama berbanding kitab-kitab hadis lain. Penjelasan
mengenainya adalah seperti berikut:
Menurut majoriti ulama hadis, sanad mu'an'an dianggap
bersambung apabila memenuhi dua syarat:
Pertama, bersambungnya sanad antara perawi dengan orang yang
meriwayatkan daripadanya melalui lafaz ‘an’.
Kedua, perawi yang meriwayatkan dengan lafaz ‘an’
bukan seorang mudallis (perawi yang menyembunyikan kecacatan sanad).
Secara umum, para ulama hadis sepakat tentang perkara ini.
Namun, mereka berbeza pandangan dalam perincian mengenai cara untuk menetapkan bersambungnya
sanad antara perawi dan gurunya. Apakah bersambungnya sanad itu hanya
ditetapkan melalui bukti jelas tentang pertemuan mereka atau cukup dengan mereka
hidup dalam zaman yang sama (mu’asarah) dan adanya kemungkinan untuk
bertemu tanpa ada halangan?
Syarat al-Bukhari dalam bersambungnya sanad mu'an'an
ialah kewujudan bukti yang jelas bahawa perawi pernah bertemu dengan gurunya.
Beliau tidak memadai dengan sekadar mu’asarah (hidup dalam zaman yang
sama) atau kemungkinan untuk bertemu.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:
"Muslim berpendapat - seperti yang dinyatakan dengan
jelas dalam mukadimah kitab Sahih beliau, malah beliau tegas dalam membantah
mereka yang tidak sependapat - bahawa sanad mu'an'an dianggap bersambung
apabila perawi dan orang yang meriwayatkan daripadanya hidup sezaman, walaupun
tiada bukti yang menunjukkan mereka pernah bertemu. Kecuali jika perawi itu
seorang mudallis, maka sanad tersebut tidak dianggap bersambung.
Namun, al-Bukhari tidak menganggap sanad itu bersambung
kecuali terdapat bukti bahawa mereka pernah bertemu, walaupun hanya sekali.
Beliau menjelaskan pandangannya ini dalam kitab al-Tarikh dan menerapkannya
secara konsisten dalam Sahihnya. Bahkan, beliau sering menyebutkan hadis yang
kelihatannya tidak berkaitan langsung dengan bab tertentu hanya untuk
menunjukkan bahawa perawi tertentu mendengar secara langsung daripada gurunya
apabila ada keraguan atau kritikan tentang bersambungnya sanad mereka. Ini
berlaku terutamanya jika beliau telah menyebutkan hadis mereka yang bersifat
mu'an'an sebelum itu.
Inilah salah satu aspek yang menjadikan kitab Sahih
al-Bukhari lebih unggul. Meskipun kita menerima pandangan Muslim yang menghukum
sanad mu'an'an sebagai bersambung, jelas bahawa syarat al-Bukhari lebih kukuh
dalam memastikan ketersambungan sanad.”
Perbahasan Kesebelas: Keistimewaan Sahih al-Bukhari
1 - Salah satu keutamaan terbesar Sahih al-Bukhari ialah
kesepakatan umat Islam terhadap kesahihan hadis-hadisnya. Kitab ini diterima
dengan penuh penghormatan dan ditempatkan pada kedudukan yang paling tinggi.
Tiada kitab hadis bagi mana-mana ahli hadis, mahupun kitab mana-mana imam atau faqih
daripada kalangan ulama terdahulu dan terkemudian, yang mencapai kedudukan,
keutamaan, penerimaan, pujian, dan sanjungan sebagaimana yang diperoleh Sahih
al-Bukhari. Para ulama umat Islam sepakat bahawa kitab ini adalah kitab paling
utama selepas Al-Qur'an al-Karim.
2 - Al-Bukhari amat teliti, cermat, dan berhati-hati dalam
memilih hadis-hadis untuk dimuatkan dalam kitabnya. Beliau memilih para perawi
dari kalangan perawi terbaik, yang tergolong dalam lapisan tertinggi dari segi
penerimaan hadis, baik dalam aspek periwayatan mahupun penyampaian. Jika ada
perawi yang dipertikaikan kerana kelemahan, kekeliruan, atau sebab lain yang
boleh mencacatkan periwayatan mereka, al-Bukhari hanya meriwayatkan hadis
mereka yang bebas daripada sebarang kritikan. Semua kriteria yang menjadi asas
penilaian kesahihan hadis diterapkan secara lebih tinggi dan sempurna dalam
kitab ini berbanding kitab-kitab hadis lain.
3 - Setelah menyelesaikan penyusunan kitabnya, al-Bukhari
mempersembahkannya kepada sekumpulan ulama besar dan huffaz pada zamannya,
termasuk Ibn Ma’in, Ibn al-Madini, dan Ahmad bin Hanbal. Mereka semua mengakui
kesahihan isi kandungan kitab tersebut kecuali terhadap empat hadis, namun
pendapat al-Bukhari yang mensahihkan hadis tersebut lebih tepat.
4 - Al-Bukhari berkata: “Tidaklah aku meletakkan satu
hadis pun dalam kitab Sahih ini melainkan aku mandi terlebih dahulu dan solat
dua rakaat sebelum itu.” Beliau juga solat dua rakaat untuk setiap tajuk
bab yang disusun olehnya.
5 - Al-Bukhari memulakan penulisan, penyusunan, dan
pengolahan bab-bab kitab ini di Masjidil Haram dan beliau menyempurnakannya di
pelbagai tempat lain. Penyusunan yang dimulakan di Tanah Haram ini menunjukkan
keberkatan dan keistimewaan, kerana ia dilakukan di tempat turunnya wahyu,
sumber cahaya Islam, tumpuan hati para mukminin, serta kiblat solat dan doa
mereka.
6 - Salah satu keistimewaan kitab ini ialah al-Bukhari
menyelesaikan proses penyalinan bab-bab kitabnya daripada draf kasar kepada salinan
akhir di tempat yang diberkati, iaitu di antara makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan
mimbar baginda. Oleh itu, kitab ini dihimpunkan bersama gabungan niat yang
baik, ibadah yang ikhlas, istikharah, tahap ketelitian dan ketepatan yang
tinggi, pengiktirafan daripada para ulama besar, serta keberkatan tempat-tempat
suci, cahaya wahyu, dan hembusan keberkatan kenabian di dua masjid suci.
7 - Kitab ini adalah yang pertama seumpamanya yang secara
khusus menyaring hadis-hadis sahih daripada yang daif. Al-Bukhari mengkhususkan
kitabnya hanya untuk hadis-hadis yang sahih. Dengan cara ini, beliau
mendahului semua rakan sezamannya dan para ulama lain dalam bidang ini.
8 - Al-Bukhari membezakan dirinya daripada penulis kitab
hadis lain dengan menetapkan syarat bahawa perawi dalam sanad mu'an'an
mesti disahkan pernah bertemu selain hidup sezaman (mu'asarah). Syarat
ini berbeza daripada pendekatan Muslim dan mereka yang sependapat dengannya yang hanya mensyaratkan mu'asarah.
9 - Kitab ini juga istimewa kerana tajuk-tajuk babnya yang
unik, teliti, dan mendalam. Al-Bukhari terkenal dengan keahliannya dalam
menyusun tajuk-tajuk ini yang memukau pemikiran, mencetuskan kekaguman, dan
mengundang renungan yang mendalam daripada para ulama serta pembaca.
10 - Al-Bukhari sering mengulangi hadis-hadis dalam
kitabnya, memecahkannya kepada bahagian-bahagian, dan menyusunnya mengikut
maksud tertentu yang sesuai dengan bab-bab tertentu. Pendekatan ini membolehkan
beliau mengeluarkan pelbagai kandungan fiqh, pengetahuan zahir dan tersembunyi
serta pelbagai faedah lain yang sangat berharga yang dikupas secara mendalam
oleh para pensyarah kitab ini.
Rujukan:
- Al-Madkhal Ila Sahih al-Imam al-Bukhari oleh
Muhammad Muhammadi bin Muhammad Jamil al-Nursatani.
- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi
al-Hadith oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
- Al-Wadih Fi Manahij al-Muhaddithin oleh Yasir
al-Syamali.
- Masadir al-Hadith Wa Maraji'uhu oleh Sayyid Abdul
Majid al-Ghauri.
- Mukadimah Sahih al-Bukhari terbitan Muassasah al-Risalah.