Tuduhan:
Sebahagian pihak yang mempunyai niat buruk menyatakan
bantahan terhadap perkahwinan Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam
dengan Saidatina Aisyah ketika beliau masih dalam usia yang sangat muda, yang
menurut dakwaan mereka, belum cukup matang untuk berkahwin pada usia tersebut.
Pada masa yang sama, Nabi ketika itu telah berusia lebih daripada lima puluh
tahun. Mereka menggunakan hujah ini untuk menuduh baginda sallahu ‘alaihi
wasallam hanya mengutamakan keinginan dan kehendaknya sendiri tanpa
mengambil kira perasaan seorang kanak-kanak kecil yang masih bermain dengan
rakan sebayanya.
Hujah-hujah Untuk Membatalkan Tuduhan:
1 - Perkahwinan Nabi dengan Saidatina Aisyah pada usia
tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa atau aneh.
Ini kerana amalan seperti itu adalah perkara biasa dalam
masyarakat ketika itu. Adalah satu kesilapan besar untuk memisahkan sesuatu
peristiwa daripada konteks persekitaran di mana ia berlaku. Selain itu,
Saidatina Aisyah pada masa itu bukanlah seorang kanak-kanak seperti yang
didakwa, sebaliknya beliau merupakan seorang gadis yang matang. Bahkan, sebelum
berkahwin dengan Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam, beliau telah
dipinang oleh Jubair bin Mut’im bin Adi.
2 - Perkahwinan Nabi dengan Saidatina Aisyah mempunyai
hikmah dan tujuan yang jelas.
Antaranya ialah untuk memperkukuh hubungan antara Nabi
Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam dan Abu Bakar As-Siddiq, serta untuk
membolehkan umat Islam mempelajari sunnah baginda, sama ada dari segi ucapan
mahupun perbuatan, terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan wanita.
Hikmah dakwah dan tujuan syariah ini tidak difahami oleh mereka yang
mempersoalkan, lalu mereka menuduh baginda mengikut keinginan hawa nafsu
semata-mata.
3 - Jika Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam
seorang yang bernafsu, pastinya baginda cenderung untuk berpoligami ketika usia
mudanya.
Namun, realitinya menunjukkan bahawa baginda tidak berbuat
demikian. Baginda hanya berkahwin dengan Saidatina Khadijah, seorang wanita
yang hampir mencecah usia empat puluh tahun, sedangkan baginda ketika itu
berada pada puncak usia mudanya
Penjelasan Terperinci:
Pertama: Perkahwinan Nabi Muhammad dengan Aisyah bukan
sesuatu yang asing dalam masyarakat dan budaya pada masa itu.
Melalui sejarah dapat diketahui bahawa kaum Quraisy – yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan memburukkan nama Baginda – tidak menunjukkan rasa terkejut apabila berita perkahwinan antara dua pasangan yang paling rapat dan setia ini diumumkan. Bahkan, mereka menerima berita tersebut sebagaimana mereka menerima apa-apa hal yang biasa.
Sekiranya perkahwinan ini mempunyai apa-apa kelemahan atau
sesuatu yang memalukan, sudah tentu Quraisy akan menjadikannya sebagai isu
besar dan memfitnah Muhammad bin Abdullah. Mereka akan berkata:
"Bukankah ini Muhammad yang mengajak kita kepada
kesucian dan kemuliaan akhlak? Bagaimana dia boleh melakukan hal ini?"
Namun, hakikatnya, tiada sebarang tuduhan atau fitnah
seperti itu berlaku. Sebaliknya, perkahwinan ini dianggap sebagai sesuatu yang
normal dan diterima oleh masyarakat Arab ketika itu.
Tambahan pula, Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam
sendiri tidak secara langsung mengambil inisiatif untuk meminang Aisyah.
Perkahwinan tersebut adalah hasil cadangan dari Khaulah binti Hakim
al-Sulamiyyah (juga dikenali sebagai Ummu Syarik), yang mencadangkan kepada
Nabi agar memperkukuhkan lagi hubungan dengan orang yang paling disayanginya,
iaitu Abu Bakar As-Siddiq, melalui ikatan perkahwinan.
Selain itu, berdasarkan kitab-kitab sirah yang diiktiraf,
Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam bukanlah orang pertama yang
meminang Aisyah. Sebelum itu, Aisyah telah pun bertunang dengan Jubair bin
Mut’im bin Adi. Fakta ini menunjukkan bahawa Aisyah telah mencapai kematangan
dari segi kewanitaan, yang terbukti melalui peminangan yang berlaku sebelum
cadangan daripada Khaulah.
Saidatina Aisyah bukanlah gadis pertama dalam masyarakat itu
yang berkahwin dengan lelaki seusia ayahnya dan bukan juga yang terakhir.
Sebagai contoh, Abdul Muttalib, seorang lelaki tua, telah berkahwin dengan
Halah binti Amr, sepupu Aminah (ibu Nabi), pada hari yang sama anak bongsunya,
Abdullah (ayah Nabi), berkahwin dengan seorang gadis muda seusia Halah, iaitu
Aminah binti Wahb.
Selain itu, Saidina Umar bin Al-Khattab telah berkahwin
dengan seorang anak perempuan Saidina Ali bin Abi Talib walaupun beliau sebaya dengan datuk perempuan
tersebut. Malah, Saidina Umar sendiri pernah menawarkan anak perempuannya,
Saidatina Hafsah yang masih muda, untuk berkahwin dengan Saidina Abu Bakar
As-Siddiq, meskipun perbezaan umur antara mereka adalah sama seperti perbezaan
umur antara Nabi Muhammad dan Saidatina Aisyah.
Namun, terdapat pihak tertentu yang datang lebih 1,400 tahun
selepas perkahwinan ini berlaku, lalu mengabaikan perbezaan zaman dan tempat.
Hakikatnya, kita tidak boleh memisahkan sesuatu peristiwa daripada persekitaran
budaya dan sosial di mana ia berlaku. Kita juga perlu mengambil kira peranan
adat sosial dalam menilai sesuatu perkara dan tidak sepatutnya mengecam apa
yang bertentangan dengan adat dan ukuran masyarakat kita pada masa kini.
Setiap zaman mempunyai adat dan norma sosialnya sendiri.
Oleh itu, adalah tidak wajar untuk membandingkan perkahwinan yang berlangsung
di Makkah sebelum hijrah dengan apa yang berlaku hari ini di negara-negara
Barat, di mana biasanya wanita tidak berkahwin sebelum berusia 25 tahun.
Perlu difahami bahawa tahap kematangan gadis dipengaruhi
oleh keadaan iklim. Di kawasan beriklim panas, gadis biasanya mencapai
kematangan lebih awal, iaitu sekitar usia lapan tahun. Sebaliknya, di kawasan
beriklim sejuk, kematangan gadis mungkin terlewat sehingga usia 21 tahun,
seperti yang berlaku di beberapa negara beriklim sejuk.
Oleh itu, tidak ada alasan untuk membantah perkahwinan Nabi
Muhammad dengan Saidatina Aisyah pada usia tersebut. Yang pasti, pada zaman
itu, usia gadis dinilai berdasarkan tanda-tanda tertentu, bukan hanya mengikut
kalendar. Kematangan seseorang gadis diukur berdasarkan perkembangan fizikal,
sama seperti seorang petani mengenali tahap kematangan buah di ladangnya.
Tanda-tanda kematangan ini dilihat oleh Khaulah binti Hakim
pada diri Saidatina Aisyah dan perkara ini turut diakui oleh masyarakat
sekitar pada waktu itu. Berdasarkan pemerhatiannya, Khaulah mengusulkan nama
Aisyah kepada Nabi Muhammad untuk dikahwini.
Maka, pada usia tersebut, Saidatina Aisyah bukanlah seorang
kanak-kanak seperti yang didakwa, tetapi seorang gadis yang sudah matang. Nama
beliau juga sudah berada dalam senarai calon perkahwinan dalam masyarakat Makkah,
menandakan bahawa beliau memang layak dan bersedia untuk mendirikan rumah
tangga.
Kedua: Hikmah dan tujuan di sebalik perkahwinan Nabi
dengan Saidatina Aisyah
Perkahwinan Nabi Muhammad dengan Saidatina Aisyah pada usia tersebut adalah ketetapan daripada
Allah, yang paling sesuai untuk tujuan dakwah Islam. Saidatina Aisyah telah
meriwayatkan banyak hadis daripada Nabi, khususnya berkaitan sunnah Baginda
dalam ucapan, perbuatan, interaksi dengan wanita, dan hukum-hakam syariah yang
melibatkan kaum wanita.
Nabi juga telah melihat isyarat ilahi melalui mimpinya
bahawa Aisyah adalah bakal isterinya. Saidatina Aisyah meriwayatkan bahawa
Rasulullah bersabda: “Aku melihatmu dalam mimpiku selama tiga malam.
Malaikat datang membawamu dalam sehelai kain sutera, lalu berkata: Ini adalah
isterimu. Aku membuka kain itu dan ternyata engkau adalah orangnya. Maka aku
berkata: Jika ini daripada Allah, pasti Dia akan melaksanakannya.” (Riwayat
al-Bukhari).
Dalam riwayat lain, Nabi bersabda: "Aku melihatmu
dalam mimpiku sebanyak dua kali."
Mimpi para nabi adalah wahyu dan kebenaran daripada Allah. Selepas kira-kira dua tahun kewafatan Saidatina Khadijah, Khaulah binti Hakim, isteri kepada Uthman bin Maz’un, datang kepada Nabi untuk mencadangkan perkahwinan. Beliau mencadangkan dua nama, iaitu Saidatina Aisyah dan Saidatina Saudah. Nabi bersetuju dan meminta Khaulah untuk melamar mereka berdua bagi pihak Baginda.
Diriwayatkan daripada Abu Salamah dan Yahya, mereka berkata:
Setelah Saidatina Khadijah wafat, Khaulah binti Hakim, isteri kepada Uthman bin
Maz’un, datang menemui Rasulullah dan berkata:
"Wahai Rasulullah, tidakkah engkau ingin
berkahwin?"
Baginda bertanya: "Dengan siapa?"
Khaulah menjawab: "Jika engkau mahu, dengan seorang
gadis, dan jika engkau mahu, dengan seorang janda."
Rasulullah bertanya lagi: "Siapakah gadis itu?"
Khaulah menjawab: "Anak kepada orang yang paling
engkau cintai, Aisyah binti Abu Bakar."
Baginda bertanya: "Dan siapa pula janda itu?"
Khaulah menjawab: "Saudah binti Zam’ah, yang telah
beriman kepadamu dan mengikuti apa yang engkau serukan."
Baginda bersabda: "Pergilah dan sebutkan perkara ini
kepada mereka untukku."
Khaulah pun pergi ke rumah Abu Bakar dan berkata kepada Ummu
Ruman (isteri Abu Bakar):
"Wahai Ummu Ruman, apakah yang Allah telah kurniakan
kepada kalian daripada kebaikan dan keberkatan?"
Ummu Ruman bertanya: "Apa maksudmu?"
Khawlah menjawab: "Rasulullah mengutusku untuk
melamar Aisyah."
Ummu Ruman berkata: "Tunggulah sehingga Abu Bakar
pulang."
Apabila Abu Bakar tiba, Khaulah berkata kepadanya:
"Wahai Abu Bakar, apakah yang Allah telah kurniakan
kepada kalian daripada kebaikan dan keberkatan?"
Abu Bakar bertanya: "Apa maksudmu?"
Khaulah menjawab: "Rasulullah SAW mengutusku untuk
melamar Aisyah."
Abu Bakar berkata: "Adakah dia layak untuknya? Dia
hanyalah anak kepada saudaranya (yakni anak kepada Abu Bakar)."
Khaulah kembali kepada Rasulullah dan menyampaikan apa yang dikatakan oleh Abu Bakar. Rasulullah berkata:
"Kembalilah kepadanya dan katakan: Aku adalah
saudaramu dalam Islam, dan engkau adalah saudaraku, dan anakmu layak
untukku."
Khaulah pun kembali dan menyampaikan perkara itu kepada Abu
Bakar. Abu Bakar berkata: "Tunggu sebentar."
Kemudian Abu Bakar pun keluar.
Ummu Ruman lalu berkata:
"Sesungguhnya Mut'im bin Adi telah menyebutkan untuk
menikahkan Aisyah dengan anaknya dan demi Allah, Mut'im tidak pernah membuat
janji dengan Abu Bakar lalu mengingkarinya."
Maka Abu Bakar pergi berjumpa Mut'im bin Adi yang bersama
isterinya, Ummul Fata. Ummul Fata berkata: "Wahai Ibn Abi Quhafah,
mungkinkah engkau akan mempengaruhi anak kami untuk memasuki agamamu jika dia
berkahwin dengan anakmu."
Abu Bakar bertanya kepada Mut’im: "Adakah engkau
setuju dengan apa yang dikatakan oleh isterimu?"
Mut’im pun berkata: “Dia sudah berkata begitu.”
Abu Bakar lalu keluar dan Allah telah menghilangkan apa yang
ada dalam hatinya tentang janji yang telah dibuat
Abu Bakar kembali kepada Khaulah dan berkata kepadanya: "Panggilkan
Rasulullah kepadaku."
Khaulah memanggil Rasulullah
dan Baginda pun berkahwin dengan Saidatina Aisyah yang ketika itu yang
berusia enam tahun.
Perkahwinan antara Nabi Muhammad dengan Saidatina Aisyah
berlaku pada bulan Syawal, pada tahun ke-12 selepas baginda dilantik menjadi
nabi. Tiada perselisihan bahawa baginda tidak pernah mengahwini wanita lain
yang kedua-dua ibu bapanya adalah golongan muhajirin selain Aisyah.
Selepas peristiwa hijrah ke Madinah, pada tahun kedua
hijrah, selepas berlakunya Perang Badar al-Kubra, Rasulullah pun tinggal
bersama dengan Saidatina Aisyah pada bulan Syawal. Disebabkan itu, Saidatina
Aisyah sangat menyukai pernikahan yang dilangsungkan pada bulan Syawal.
Beliau berkata:
"Rasulullah menikahi aku pada bulan Syawal dan tinggal
bersama denganku juga pada bulan Syawal. Maka isteri-isteri Nabi manakah yang
lebih beruntung daripadaku?"
Oleh itu, Saidatina Aisyah menganjurkan agar wanita lain
juga menikah pada bulan Syawal.
Pada waktu itu, Saidatina Aisyah berusia sembilan tahun.
Nabi Muhammad sentiasa berusaha menggembirakan hatinya. Baginda pernah
mengangkat Aisyah di atas bahunya agar dia dapat menyaksikan orang-orang
Habsyah bermain tombak di halaman masjid. Nabi juga sering bermain bersamanya.
Aisyah menceritakan:
"Aku pernah berlumba lari dengan Nabi, dan aku
mendahuluinya. Kemudian, apabila tubuhku mulai berisi, kami berlumba lagi dan
Nabi mendahuluiku. Lalu Baginda berkata: Wahai Aisyah, ini sebagai balasan
untuk yang dahulu.”
Jadi, di manakah dakwaan segelintir pihak tentang Nabi
mencabut hak kanak-kanak?
Ketahuilah bahawa Nabi adalah suami terbaik bagi Saidatina
Aisyah.
Nabi pernah memanggilnya dengan penuh mesra, "Wahai
pengantin perempuanku", apabila Baginda merindui Aisyah.
Suatu hari, Aisyah mengadu sakit kepala sambil berkata, "Aduhai
kepalaku." Nabi membalas: "Bahkan, aduhai kepalaku."
Kasih sayang Nabi kepada Aisyah terbukti dengan pilihan
Baginda untuk dijaga di rumah Aisyah pada saat-saat akhir kehidupannya. Nabi
wafat di pangkuan Aisyah, antara dada dan lehernya. Baginda juga dikebumikan di
dalam rumah Aisyah, di tempat yang disepakati oleh umat Islam sebagai salah
satu kawasan terbaik di muka bumi.
Para sahabat mengetahui betapa besar kasih sayang Nabi
Muhammad terhadap Saidatina Aisyah, sehingga mereka mencintai apa yang dicintai
oleh Baginda. Mereka sering menghantar hadiah kepada Nabi di rumah Aisyah,
isteri yang paling disayangi Baginda, dengan niat untuk menggembirakan hati
Rasulullah SAW.
Kasih sayang Nabi terhadap Aisyah menjadi tanda istimewa
baginya, sehingga beliau dikenali dengan gelaran seperti ‘Kekasih Kekasih
Allah', ‘Kesayangan Rasulullah’ dan ‘Kekasih Rasulullah’.
Kasih sayang ini memberikan Aisyah keistimewaan di sisi Nabi
yang memungkinkannya mendalami banyak perkara tentang agama, khususnya yang
berkaitan dengan hubungan suami isteri dalam kerangka Islam. Oleh sebab itu,
Aisyah menjadi rujukan utama para sahabat dalam hal-hal tersebut. Imam al-Zuhri
pernah berkata:
"Sekiranya ilmu Aisyah, ilmu semua isteri Nabi dan
ilmu semua wanita digabungkan, nescaya ilmu Aisyah adalah yang terbaik."
Hidupnya di rumah Rasulullah, insan yang paling mulia, meningkatkan lagi kedudukannya yang asalnya sudah terhormat kerana merupakan anak kepada Abu Bakar al-Siddiq. Sebagai isteri Rasulullah dan ibu kepada orang-orang beriman (Ummul Mukminin), Aisyah menerima ilmu secara langsung daripada Rasulullah, guru pertama umat Islam.
Aisyah menjadi seorang yang sangat alim dalam bidang
al-Quran dan sunnah. Bahkan, para sahabat besar sering merujuk kepada beliau
kerana keluasan dan kehebatan ilmunya.
Meskipun taraf kehidupan di rumah Rasulullah berbeza
daripada kehidupan mewah di rumah bapanya, Aisyah tetap memahami kehidupan
barunya, menerimanya dan bersabar dengannya. Apabila Nabi memberikan pilihan
kepadanya antara kehidupan bersamanya dan akhirat atau dunia dan
kesenangannya, Aisyah memilih Allah, Rasul-Nya dan akhirat tanpa sedikit pun
keraguan.
Aisyah hidup sebagai rujukan utama dalam hadis dan sunnah
serta menjadi seorang ahli fikah pertama dalam Islam. Abu Musa al-Asy'ari
berkata: "Tidak ada satu perkara pun yang sukar bagi kami, lalu kami
bertanya kepada Aisyah, melainkan kami dapati dia memiliki ilmu
mengenainya."
Sesungguhnya Aisyah benar-benar layak menjadi isteri kepada
penutup para nabi dan rasul kerana sifat-sifat istimewa yang jarang terdapat
pada wanita seusianya. Aisyah memiliki kematangan pemikiran, kecerdasan yang
tajam dan kebijaksanaan yang menjadikannya sesuai untuk menjadi isteri kepada
manusia teragung yang pernah disaksikan oleh umat manusia, iaitu Nabi Muhammad.
Ketiga: Waktu yang paling sesuai untuk berpoligami adalah
semasa usia muda:
Sekiranya baginda hanya mementingkan wanita dan menikmati
keindahan mereka, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, pastilah baginda
melakukannya semasa usia mudanya, ketika tiada bebanan kenabian, tiada beban
usia tua, tetapi berada pada puncak kemudaan dan keinginan yang kuat. Namun,
apabila kita melihat kehidupan baginda semasa usia mudanya, kita dapati baginda
tidak mengingini semua itu. Malah, baginda menerima perkahwinan dengan
Saidatina Khadijah yang sudah berusia 40 tahun, sedangkan baginda baru berumur
25 tahun.
Jika benar baginda memiliki obsesi terhadap wanita, seperti
yang didakwa, tentu baginda tidak akan berpuas hati dengan perkahwinan itu
dalam tempoh yang lama. Namun, baginda tetap setia kepada Saidatina
Khadijah sehingga beliau wafat dan tanpa
pernah berkahwin dengan wanita lain sepanjang hayatnya. Dan jika perkahwinannya
dengan Khadijah hanyalah satu kebetulan, setelah Khadijah wafat, dengan siapa
baginda menikah selepas itu?
Baginda menikahi Saudah binti Zam’ah al-‘Amiriyyah, demi
menghiburkan hati dan memberi sokongan emosi kepadanya setelah kematian
suaminya. Saudah ketika itu sudah berusia lanjut dan bukanlah wanita yang
menarik perhatian lelaki. Ini menunjukkan bahawa perkahwinan baginda mempunyai
matlamat kemanusiaan dan syariat yang tidak difahami oleh mereka yang membuat
tuduhan tersebut.
Apabila Khaulah binti Hakim mencadangkan agar baginda
berkahwin dengan Aisyah, baginda berfikir: "Patutkah aku menolak puteri
Abu Bakar?" Baginda tidak sanggup berbuat demikian kerana persahabatan
yang panjang dan penuh keikhlasan antara baginda dan Abu Bakar, serta kedudukan
istimewa Abu Bakar di sisi Rasulullah yang tiada bandingannya.
Ketika Saidatina Aisyah
datang ke rumah Rasulullah, Saidatina Saudah memberi ruang utama di
rumah itu kepadanya. Aisyah pula menjaga Saudah dengan penuh perhatian sehingga
Saudah wafat dalam ketaatan dan ibadah kepada Allah. Selepas itu, Aisyah terus
menjadi isteri yang setia kepada Rasulullah, menuntut ilmu daripadanya sehingga
menjadi seorang yang arif dalam ilmu agama dan hukum syariat.
Kecintaan Rasulullah kepada Aisyah adalah kesinambungan
daripada kecintaan baginda kepada ayahnya, Abu Bakar. Apabila Rasulullah
ditanya, "Siapakah orang yang paling engkau cintai?" Baginda
menjawab, "Aisyah." Lalu ditanya lagi, "Dari kalangan
lelaki?" Baginda menjawab, "Ayahnya (Abu Bakar)."
Inilah Aisyah isteri kesayangan Rasulullah dan insan yang
paling baginda cintai. Perkahwinan baginda dengan Aisyah bukanlah semata-mata
kerana dorongan nafsu atau keinginan terhadap keseronokan perkahwinan, tetapi
lebih kepada penghormatan kepada Abu Bakar, memuliakannya, mendekatkan dirinya,
dan memberikan kedudukan yang tinggi kepada puterinya di rumah kenabian.
Oleh itu, tiada alasan bagi sesiapa pun untuk mencela
perkahwinan Nabi dengan Aisyah, kerana perkahwinan tersebut berlaku dalam
sebuah masyarakat yang menerima lelaki berkahwin dengan wanita yang seusia
ibunya atau wanita seusia anaknya.
Oleh itu, tidak wajar untuk mengatakan bahawa Nabi bersifat
bernafsu hanya kerana baginda berkahwin dengan Saidatina Aisyah. Sebabnya,
tidaklah sukar bagi baginda untuk mengumpulkan wanita paling cantik dari
kalangan wanita Arab, bahkan hamba-hamba wanita Parsi dan Rom yang paling
mempesona di sempadan Semenanjung Arab. Tidak juga sukar bagi baginda untuk
menyediakan makanan, pakaian, dan perhiasan untuk dirinya dan keluarganya
dengan kemewahan yang tiada tandingan oleh mana-mana pemimpin di Semenanjung
Arab pada zamannya.
Apakah baginda melakukannya sejak awal kehidupannya atau
setelah Arab dan 'Ajam tunduk di bawah pemerintahannya? Sama sekali tidak.
Baginda tidak melakukan demikian, bahkan sebaliknya baginda hampir kehilangan
isteri-isterinya kerana mereka mengadu tentang kesukaran hidup di rumah
baginda.
Kesimpulan:
1 - Perkahwinan Nabi dengan Saidatina Aisyah adalah perkara
biasa dalam masyarakat ketika itu. Tidak ada keanehan yang ditunjukkan oleh
kaum Quraisy apabila mendengar berita tersebut. Malah, terdapat pemuka Quraisy,
seperti Abdul Muttalib, datuk Nabi, yang berkahwin dengan wanita seusia isteri
kepada anak bongsunya.
2 - Sekiranya perkahwinan ini dianggap tidak wajar, kaum
Quraisy pasti akan mencela kesucian dan kemuliaan Nabi. Namun, perkara seperti
itu tidak berlaku. Tambahan pula, perkahwinan ini adalah perintah daripada
Allah, seperti yang ditunjukkan melalui mimpi Nabi, di mana baginda melihat
Aisyah diperlihatkan kepadanya oleh Jibril. Mimpi para nabi adalah wahyu yang
benar. Bahkan, Nabi tidak memulakan cadangan perkahwinan ini, tetapi Khaulah
binti Hakim yang mencadangkannya.
3 - Persekitaran yang panas mempercepatkan kematangan
seorang gadis berbanding persekitaran yang sejuk. Di kawasan panas, gadis boleh
mencapai kematangan pada usia yang lebih muda, berbanding gadis di kawasan
sejuk yang biasanya matang selepas usia 21 tahun. Adalah tidak bijak untuk
memisahkan sesuatu peristiwa daripada konteks masa dan tempat di mana ia
berlaku.
4 - Saidatina Aisyah memiliki kecerdasan dan kepintaran yang
luar biasa, yang melayakkannya untuk berkahwin pada usia tersebut. Perkahwinan
ini juga membawa kebaikan besar kepada umat Islam, kerana ia menjadi peluang
untuk menyampaikan ajaran dan syariat Nabi, terutamanya berkaitan hukum-hukam
wanita.
5 - Nabi adalah suami terbaik untuk Saidatina Aisyah.
Baginda melayan Aisyah dengan penuh kasih sayang, seperti kasih seorang ayah
kepada anak perempuannya. Dalam dirinya, Aisyah menemukan seorang ayah dan juga
seorang suami.
Rujukan:
Mausu’ah Bayan al-Islam