Jumaat, 14 Januari 2022

Doa Masuk Tandas

Sebelum masuk ke tandas, bacalah doa berikut:

باسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبْثِ وَالخَبَائِثِ.

“Dengan nama Allah. Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.”

Sumber Doa:

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

سَتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ: إِذَا دَخَلَ أَحَدُهُمُ الخَلاَءَ، أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ.

“Perlindung antara pandangan jin dan aurat anak Adam adalah apabila seseorang kamu memasuki  tandas dengan membaca بِسْمِ اللَّهِ (Dengan nama Allah).”

Riwayat al-Tirmizi (no. 606). Kata al-Tirmizi: “Sanadnya tidak kuat.”

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الخَلاَءَ قَالَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبَائِثِ.

“Apabila Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ingin masuk ke tandas, baginda akan membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الخُبْثِ وَالخَبَائِثِ.

“Ya Allah aku berlindung denganMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.”

Riwayat al-Bukhari (no. 142 & 6322) dan Muslim (no. 375).

Keterangan dan Hikmah Doa:

1 - Sunat memohon perlindungan daripada Allah sebelum masuk ke tandas supaya selamat daripada kejahatan dan keburukan syaitan.

2 - Doa memohon perlindungan daripada Allah adalah salah satu cara menunjukkan rasa kehambaan manusia yang sentiasa berhajat kepada Allah.

3 - Nabi sallahu ‘alaihi wasallam membaca doa tersebut dengan kuat sehingga dapat didengari oleh sahabat dengan tujuan agar sahabat dapat mempelajari doa tersebut.

4 - Membaca Bismillah ketika hendak masuk ke tandas dapat menghalang pandangan mata syaitan.

5 - Syaitan tinggal di tempat-tempat yang kotor serta tidak disebut nama Allah di dalamnya.

6 - Jika buang air di tempat yang lapang seperti padang pasir atau bukan di tempat yang khas untuk qada hajat, maka doa ini dibaca sebelum membuka pakaian untuk qada hajat.

Khamis, 6 Januari 2022

Doa Membuka Pakaian


Boleh membaca salah satu daripada bacaan di bawah ini:

Doa Pertama:

Daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

سَتْرُ مَا بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا نَزَعَ أَحَدُهُمْ ثَوْبَهُ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ.

“Pendinding antara pandangan jin dan aurat anak Adam ketika mereka membuka pakaian  adalah dengan membaca:

 بِسْمِ اللَّهِ 

Dengan nama Allah.”

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Sunni dalam kitab Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 274) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada perawi bernama Sa’id bin Salamah dan Zaid al-‘Ammi, keduanya adalah daif.

Doa Kedua:

Daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

سِتْرٌ بَيْنَ أَعْيُنِ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ أَنْ يَقُولَ الرَّجُلُ الْمُسْلِمُ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَطْرَحَ ثِيَابَهُ: بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ.

“Pendinding antara pandangan jin dan aurat anak Adam adalah dengan seorang Muslim itu membaca ketika dia ingin menanggalkan pakaianya:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ.

“Dengan nama Allah yang tidak ada tuhan selain Dia.”

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Sunni dalam kitab Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 273) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada perawi bernama Zaid al-‘Ammi, dia adalah daif.

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Nataij al-Afkar, tidak ada hadis yang sabit dalam bab ini (bab doa ketika membuka pakaian).

Namun begitu, tiada masalah untuk beramal dengan hadis daif dalam bab doa dan zikir.

Keterangan dan Hikmah Doa:

1 - Disunatkan membaca doa ini ketika membuka pakaian dan hikmah membaca doa tersebut adalah memohon perlindungan daripada Allah supaya syaitan tidak melihat auratnya ketika dia membuka pakaiannya.

2 - Dalil menunjukkan wujudnya syaitan dan jin dan mereka mampu untuk melihat manusia sedangkan manusia tidak mampu melihat mereka. Firman Allah:

 إِنَّهُ يَراكُم هُوَ وَقَبيلُهُ مِن حَيثُ لا تَرَونَهُم.

“Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah al-A’raf: ayat 27)

3 - Kesempurnaan agama Islam yang mengajar penganutnya doa dan zikir bagi sekecil-kecil perbuatan seperti membuka pakaian.

Selasa, 4 Januari 2022

Doa Memakai Pakaian

 


1 - Dimulakan dengan membaca:

 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحَمَٰنِ الرَّحِيمِ.

"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani."

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitab al-Azkar:

“Disunatkan menyebut: بسْمِ الله (Dengan nama Allah) (ketika memakai pakaian). Begitu juga disunatkan menyebut Bismillah pada setiap amalan (yang baik disisi syarak).”

2 - Kemudian membaca doa berikut:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي، وَلَا قُوَّةٍ.

“Segala puji bagi Allah yang memberikan pakaian ini dan mengurniakannya kepada aku tanpa daya dan upaya daripadaku.”

Sumber Doa:

Diriwayatkan daripada Mu’az bin Anas, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبًا فَقَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي، وَلَا قُوَّةٍ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ.

“Sesiapa yang memakai pakaian lalu membaca:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي، وَلَا قُوَّةٍ.

Segala puji bagi Allah yang memberikan pakaian ini dan mengurniakannya kepada aku tanpa daya dan upaya daripadaku,

maka akan diampunkan dosanya yang terdahulu dan yang terkemudian.”

Takhrij Hadis:

Riwayat Abu Daud (no. 4023) daripada jalur perawi:

Abu Marhum Abdul Rahim bin Maimun daripada Sahl bin Mu’az daripada Mu’az bin Anas.

Hadis ini diperselisihkan hukumnya antara hasan dan daif kerana perbezaan pendapat tentang status perawi Abu Marhum dan Sahl bin Mu’az. 

Al-Hafiz Ibnu Hajar menghasankan hadis ini dalam kitab Nataij al-Afkar dan al-Khisal al-Mukaffarah Lil Zunub

Al-Hafiz al-Munziri dalam Mukhtasar Sunan Abi Daud kelihatan seperti cenderung mendaifkan hadis ini kerana beliau menyebutkan bahawa kedua perawi tersebut adalah daif. Al-Hafiz al-Zahabi dalam Talkhis al-Mustadrak juga mengkritik al-Hakim yang mensahihkan hadis ini kerana menurut beliau perawi Abu Marhum adalah perawi daif.

Hadis ini turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad (no. 15632) tanpa tambahan (وَمَا تَأَخَّرَ) pada hujung hadis. Penambahan ini adalah mungkar menurut Syeikh Syu’aib al-Arnauth dalam tahqiq Sunan Abu Daud.

Namun begitu, hadis ini masih boleh diamalkan dalam bab doa dan zikir, insyaAllah.

Keterangan dan Hikmah Doa:

1 - Pengampunan dosa yang disebutkan dalam hadis ini adalah pengampunan dosa kecil yang berkaitan dengan hak Allah. Adapun dosa besar maka ia tidak diampunkan melainkan dengan taubat atau kurniaan daripada Allah. Dosa yang berkaitan dengan hak manusia pula tidak diampunkan melainkan dimaafkan dan diredai oleh orang yang dia zalimi tersebut.

2 - Sunat untuk memuji Allah ketika memakai pakaian supaya kita sentiasa mengingati bahawa pakaian tersebut adalah nikmat dan kurniaan Allah dan manusia itu tidak mampu untuk memperolehinya melainkan apabila dibantu oleh Allah.

3 - Besarnya kurniaan bagi orang yang memuji Allah dengan janji pengampunan dosa-dosanya.

Isnin, 3 Januari 2022

Doa Bangun Dari Tidur

 

Doa Pertama:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ.

“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadanyalah kami akan kembali.”

Doa Kedua:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي رَدَّ عَلَيَّ رُوحِي، وَعَافَانِي فِي جَسَدِي، وَأَذِنَ لِي بِذِكْرِهِ.

“Segala puji bagi Allah yang mengembalikan rohku, menyihatkan tubuh badanku dan mengizinkan aku untuk mengingatiNya.”

Sumber Doa:

Doa Pertama:

Diriwayatkan daripada Huzaifah radiallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اسْتَيْقَظَ قَالَ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ.

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam apabila bangun (daripada tidur) akan membaca:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ.

“Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadanyalah kami akan kembali.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Bukhari (no. 6312, 6314, 6324, 7394).

Doa Kedua:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ، فَلْيَقُلِ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي رَدَّ عَلَيَّ رُوحِي، وَعَافَانِي فِي جَسَدِي، وَأَذِنَ لِي بِذِكْرِهِ.

“Apabila kamu bangun (daripada tidur) maka bacalah:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي رَدَّ عَلَيَّ رُوحِي، وَعَافَانِي فِي جَسَدِي، وَأَذِنَ لِي بِذِكْرِهِ.

“Segala puji bagi Allah yang mengembalikan rohku, menyihatkan tubuh badanku dan mengizinkan aku untuk mengingatiNya.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Tirmizi (no. 3401), al-Nasa’ie dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 866) dan Ibnu al-Sunni dalam Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 9). 

Al-Tirmizi menghasankannya. Al-Nawawi dalam al-Azkar pula mensahihkannya tetapi dikritik oleh Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar kerana dalam sanadnya ada perawi bernama Muhammad bin ‘Ajlan yang ada sedikit kekurangan dari segi hafalannya khususnya ketika dia meriwayatkan hadis daripada gurunya, Sa’id al-Maqburi dan ini salah satunya daripadanya. Namun hadisnya masih bertaraf hasan.

Keterangan dan Hikmah Doa:

1 - Dalam doa yang pertama tersebut Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menyamakan tidur dengan mati. Ini kerana apabila seorang manusia itu tidur maka hilanglah seluruh pancainderanya seolah-olah dia telah mati. Tidur juga memutuskan hubungan antara roh dengan badan. 

Imam al-Qurtubi menyebutkan: “Tidur dan mati itu kedua-duanya memutuskan hubungan roh dengan badan. Dan ia boleh berlaku secara zahir iaitu dengan tidur. Disebabkan itu dikatakan bahawa tidur itu adalah saudara kepada mati. Terputus hubungan roh dengan badan juga boleh berlaku secara zahir dan batin iaitu mati.” 

Apabila manusia itu tidur zahir kelihatan terputus hubungan roh daripada jasadnya dan apabila dia benar-benar mati maka hubungan roh daripada jasadnya terputus secara zahir mahupun batin.

2 - Ini adalah salah satu petunjuk Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam kepada umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa ini ketika tidur supaya dapat mengingatkan seorang mukmin itu bahawa dunia ini bukan tempat yang kekal. Pada setiap hari manusia itu mati dan hidup semula. Disebabkan itu tidur juga disebut sebagai kematian kecil.

3 - Hikmat menyebut zikir dan doa ketika bangun tidur supaya pemulaan amalan seorang mukmin itu adalah dengan mengingati Allah dan menyebut kalimah tauhid.

4 - Sentiasa mengingati mati supaya hati tidak lalai daripada mengingati Allah.

5 - Sentiasa bersyukur atas nikmat kehidupan, sihat tubuh badan dan dimudahkan untuk mengingati Allah.

Sabtu, 13 November 2021

Arak Ditukar Nama Di Akhir Zaman


Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ أُنَاسًا مِنْ أُمَّتِي يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ، يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا.

“Sesungguhnya ada beberapa orang daripada umatku yang meminum arak dan mereka menamakannya dengan selain nama sebenarnya.”

Takhrij Hadis:

Hadis ini sahih. Riwayat Ahmad (no. 18073) dan al-Nasa’ie (5658) daripada hadis seorang lelaki daripada sahabat Rasulullah. Hadis ini mempunyai banyak syawahid (penguat) daripada hadis Aisyah, Ibnu Abbas, Abu Umamah al-Bahili, Abu Malik al-Asy’ari, Ubadah bin al-Samit dan lain-lain.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan bukti mukjizat dan kenabian Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang dapat mengkhabarkan peristiwa yang akan berlaku setelah kewafatan baginda dan apa yang baginda khabarkan tersebut memang benar-benar berlaku.

2 - Wujudnya kelompok manusia tertentu yang cuba untuk menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dengan menukar nama aslinya kepada nama yang lain agar mengelabui keharamannya.

3 - Arak adalah setiap perkara yang memabukkan dan ‘illah (sebab) pengharamannya adalah kerana sifat memabukkannya. Apabila wujudnya sifat memabukkan itu maka haramlah hukumnya walaupun diubah namanya sekalipun.

Selasa, 9 November 2021

Doa Yang Paling Banyak Nabi Baca

 


عَنْ أَنَسٍ، قَالَ: كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata:

“Doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ialah:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Takhrij Hadis:

Hadis sahih riwayat Ahmad (11981), al-Bukhari (6389), Muslim (2690), Abu Daud (1519), al-Tirmizi (3489) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (10826).

Huraian dan Pengajaran Hadis

1 - Doa ini merupakan ayat ke 201 daripada surah al-Baqarah.

2 - Ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud ‘kebaikan di dunia’. Ada yang menafsirkannya sebagai kesihatan, harta yang mencukupi, ilmu, ibadah, isteri yang solehah dan sebagainya. Secara umumnya kebaikan di dunia adalah segala bentuk kenikmatan dan keinginan duniawi yang disukai oleh manusia.

3 - Maksud ‘kebaikan di akhirat’ pula adalah dapat masuk ke syurga. Kemuncak kepada kebaikan dan kenikmatan di akhirat adalah dapat melihat Allah di syurga. Begitu juga keamanan dan keselamatan daripada azab dan penderitaan ketika berada di kubur, hari kebangkitan (al-hasyr) dan sirat.

4 - Maksud ‘peliharalah kami dari azab neraka’ adalah perliharalah dan lindungilah kami daripada api neraka dengan memudahkan kepada kami sebab-sebab yang dapat menyelamatkan kami daripada neraka iaitu dengan menjauhi perkara-perkara haram dan dosa.

5 - Disunatkan untuk memperbanyakkan doa ini kerana mengikut sebagaimana perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam iaitu dengan membacanya selepas solat, ketika bertawaf dan wuquf sewaktu menunaikan haji dan setiap kali berdoa. 

Para sahabat Nabi juga sentiasa membaca doa ini sebaimana mana Anas bin Malik yang pasti menyertakan doa ini dalam setiap doa beliau. Umar bin al-Khattab pula membaca doa ini ketika bertawaf. 

Keistimewaan doa ini adalah kerana ia mengandungi intisari doa secara keseluruhannya daripada kebaikan urusan duniawi dan ukhrawi serta keselamatan dan perlindungan daripada puncak segala keseksaan dan penderitaan iaitu api neraka.

Rujukan:

- I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam karangan Syeikh Dr Nuruddin 'Itr.

- Minhah al-'Allam Syarah Bulugh al-Marram karangan Syeikh Abdullah Soleh al-Fauzan.

Ahad, 31 Oktober 2021

Syeikh Husain Salim Asad al-Darani

 

Kelahiran

Beliau dilahirkan di Daraya, Syiria pada tahun 1351 Hijrah bersamaan 1932 Masihi. Beliau membesar sebagai anak yatim kerana bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia dua tahun. Ibunya lalu mengalas tanggungjawab mendidik dan membesarkan beliau. 

Pelajaran

Beliau memulakan pembelajaran di sekolah peringkat ibtidaiyyah di Daraya. Setelah itu di peringkat i'dadi dan thanawi di Dimasyq. Beliau lalu menyambung pelajaran di Kuliah Bahasa Arab, Universiti Dimasyq.

Guru-Guru

Antara guru-guru beliau di Universiti Dimasyq adalah:

1 - Dr Subhi al-Soleh (m. 1987 M).

2 - Sa'id al-Afghani (m. 1997 M).

3 - 'Umar Farukh (m. 1987 M).

4 - Ahmad Ratib al-Nafakh (m.1992 M).

5 - Dr Mustafa al-Siba'ie (m. 1964 M).

Guru-guru beliau di luar universiti pula adalah:

1 - Dr Muhammad Amin al-Misri (m. 1977 M).

2 - Muhammad Nasiruddin al-Albani (m. 1999 M).

3 - Muhammad Hasan Syurrab (m. 2013 M).

Pekerjaan

Setelah tamat belajar, beliau bekerja sebagai guru bahasa Arab di beberapa buah tempat di Syria. Beliau lalu membuat keputusan untuk kembali ke kampung halaman beliau, Daraya. Pada tahun 1970, beliau mula menumpukan perhatian untuk membaca kitab-kitab berkaitan Islam terutamanya kitab-kitab tafsir. Beliau juga turut mengajar di Masjid Anas bin Malik yang terletak di Daraya.

Mula Mentahqiq Kitab

Beliau mula berkenalan dengan beberapa orang pentahqiq kitab yang terkenal seperti Ahmad al-Daqqaq, Abdul Aziz Rabah, Abdul Qadir al-Arnauth dan Syu'aib al-Arnauth yang membuka peluang kepada beliau untuk terjun dalam dunia pentahqiqan kitab. Beliau berkerjasama dengan Syeikh Syu'aib al-Arnauth untuk mentahqiq kitab Siyar A'lam al-Nubala dan beliau mentahqiq dua jilid daripada kitab tersebut. Hasil tahqiq beliau terhadap kitab tersebut juga menjadi pencetus untuk beliau terus istiqamah mentahqiq banyak kitab terutamanya kitab-kitab hadis.

Keluarga

Beliau mempunyai sembilan orang anak, lima lelaki dan empat perempuan. Dua orang anak perempuan beliau meninggal dunia sebelum beliau. Anak-anak beliau ada yang menjadi doktor perubatan dan jurutera. 

Hasil Tahqiq

Hasil tahqiq beliau sangat banyak terutamanya kitab-kitab hadis, antaranya:

1 - Mawarid al-Zam'an Fi Zawaid Ibnu Hibban karya al-Haithami (9 jilid). Ditahqiq bersama anak saudara merangkap menantu beliau al-Marhum Syeikh 'Abduh 'Ali Kusyak (pentahqiq kitab al-Syifa).

2 - Musnad Abi Ya'la (16 jilid).

3 - Musnad Al-Humaidi. Mulanya dicetak dalam 2 jilid. Setelah itu beliau membuat semakan semula kitab ini bersama anak beliau, Murhaf Husain Asad lalu dicetak dalam 3 jilid.

4 - Majma' Al-Zawaid Wa Manba' Al-Fawaid karya al-Haithami (23 jilid). Diusahakan selama 20 tahun.

5 - Sunan Al-Darimi (4 jilid).

6 - Nasikh al-Quran Wa Mansukhuhu karya Ibnu al-Jauzi (1 jilid).

7 - Mu'jam Shuyukh Abi Ya'la al-Mausuli (3 jilid). Ditahqiq bersama Syeikh 'Abduh 'Ali al-Kusyak.

8 - Al-Adab al-Mufrad karya Imam al-Bukhari (3 jilid). Ditahqiq bersama anak beliau.

9 - Al-Fath al-Rabbani  Li Tartib Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (9 jilid) karya Syeikh Ahmad Abdul Rahman al-Banna al-Sa'ati (ayah Hasan al-Banna). Juga ditahqiq bersama anak beliau.


10 - Siyar A'lam al-Nubala' karya al-Zahabi. Beliau mentahqiq jilid pertama dan keenam bersama Syeikh Syu'aib al-Arnauth.

11 - Al-Nasihah Fi Ad'iyyah al-Sahihah karya Abdul Ghani al-Maqdisi.

12 - Al-Mustadrak 'Ala al-Sahihain karya al-Hakim al-Naisaburi. Beliau mentakhrij hampir 2000 buah hadis-hadisnya tetapi tidak sempat menyempurnakannya.

13 - Al-Birr al-Walidain karya Imam al-Bukhari.

14 - Al-Muntakhab Min Al-Arba'in Fi Syu'ab al-Din karya Abu al-Qasim Ali bin al-Hasan al-Saffar. Ditahqiq bersama anak beliau.

15 - Akhlaq al-Nabi Wa Adabuhu karya Abu al-Syeikh al-Asbahani. Ditahqiq bersama anak beliau.

16 - Musnad Abi Umayyah al-Tharsusi. Ditahqiq bersama anak beliau.

Berpindah ke Mesir

Syeikh Husain Salim Asad menetap di Iskandariah, Mesir selama hampir 7 tahun setelah beliau keluar dari bandar Daraya, Syria pada tahun 2014 disebabkan kekacauan dan peperangan yang berlaku di sana.

Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada 31 Oktober 2021 disebabkan oleh COVID-19. Beberapa hari sebelum kematian beliau, isteri dan anak beliau, Murhaf juga meninggal dunia disebabkan oleh COVID-19.

Semoga Allah merahmati beliau atas khidmat beliau terhadap ilmu hadis.