Khamis, 31 Mac 2016

Hukum Membaca al-Quran di Kubur


Diriwayatkan daripada Imam Ahmad (bin Hanbal) bahawa beliau berkata:
“Jika kamu masuk ke kawasan perkuburan bacalah ayat kursi dan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali. Kemudia berdoalah: Ya Allah, fadhilatnya (fadhilat ayat al-Quran) untuk ahli kubur.”

Dan diriwayatkan daripada beliau bahawa beliau pernah berkata membaca al-Quran di kubur itu bidaah.
Kemudian beliau sendiri menarik kembali pendapat tersebut.
Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama bahawa Imam Ahmad pernah melarang seorang lelaki buta daripada membaca al-Quran di kubur.
Imam Ahmad berkata kepada lelaki tersebut bahawa membaca al-Quran di kubur itu bidaah.
Kemudian Muhammad bin Qudamah al-Jauhari berkata kepada Imam Ahmad:
“Wahai Abu Abdillah (gelaran Imam Ahmad), apa pendapat kamu tentang Mubassyir al-Halabi?”
Imam Ahmad menjawab: “Thiqah (dapat dipercayai).”
Muhammad bin Qudamah berkata: “Telah mengkhabarkan kepadaku oleh Mubassyir daripada ayahnya, ayahnya mewasiatkan agar dibacakan surah al-Fatihah dan surah al-Baqarah setelah dia dikebumikan. Ayahnya berkata bahawa Ibnu Umar turut mewasiatkan perkara tersebut.”
Imam Ahmad berkata: “Kembalilah dan katakan kepada lelaki tersebut agar dia membaca al-Quran (kembali di kubur tersebut).”
Al-Khallal meriwayatkan daripada Abu ‘Ali al-Hasan bin Haitham al-Bazzar, beliau berkata: “Aku pernah melihat Ahmad bin Hanbal sedang solat di belakang seorang lelaki buta yang sedang membaca al-Quran di kubur.”
Diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda bersabda:
“Sesiapa yang masuk ke kawasan perkuburan maka bacalah surah Yasin. Diringankan bagi mereka (azab kubur) ketika itu. Baginya (orang yang membaca surah Yasin tersebut) beberapa kebaikan yang terkandung di dalamnya (surah Yasin).” [1]
Diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:
“Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka, bacalah di sisinya atau kedua mereka surah Yasin, mudah-mudahan diampunkan baginya.” [2]
Tamat nukilan daripada kitab al-Mughni oleh Imam Ibnu Qudamah al-Maqdisi rahimahullah.
________________
[1] Menurut pentahqiq kitab, mereka tidak menjumpai sumber hadis ini. Wallahu a’lam.
[2] Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal daripada Abu Bakar. Hadis ini menurut Ibnu 'Adi adalah batil kerana dalam sanadnya terdapat Amru bin Ziyad yang dituduh memalsukan hadis. Tetapi menurut al-Sayuthi baginya ada penyokong sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath dan al-Saghir dengan sanad yang daif daripada Abu Hurairah dengan lafaz: "Sesiapa yang menziarahi kubur ibu bapanya atau salah satu daripadanya setiap hari Jumaat diampunkan dosanya dan ditulis baginya kebaikan."

Rabu, 9 Mac 2016

Hadis Tidak Ada Asal: Memberitahukan Berita 1 Safar Kepada Yang Lain

مَن بشَّرني بخروجِ صَفَرٍ بشَّرْتُه بالجنةِ

“Sesiapa yang memberi khabar gembira kepadaku tentang keluarnya bulan Safar, aku memberi khabar gembira kepadanya dengan syurga.”

‘Hadis’ ini dihukumkan sebagai palsu atau tiada asalnya oleh:

1. Al-Saghani (w. 650 H) dalam  al-Maudhu’at.

2. Al-Fattani (w. 986 H) dalam Tazkirah al-Maudhu’at.

3. Al-Mulla ‘Ali al-Qari (w. 1014 H) dalam al-Asrar al-Mafru’ah.

4.  Al-‘Ajluni (w. 1162 H) dalam Kasyf al-Khafa’.

5. Al-Syaukani (w. 1250 H) dalam al-Fawaid al-Majmu’ah.

6. Al-Qawuqji (w. 1305 H) dalam al-Lu’lu’ al-Marsu’.

Rabu, 2 Mac 2016

Hadis: Doa pada hari Rabu

عَنْ جَابِرٌ ابْنَ عَبْدِ اللهِ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا فِي مَسْجِدِ الْفَتْحِ ثَلَاثًا: يَوْمَ الِاثْنَيْنِ، وَيَوْمَ الثُّلَاثَاءِ، وَيَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ، فَاسْتُجِيبَ لَهُ يَوْمَ الْأَرْبِعَاءِ بَيْنَ الصَّلَاتَيْنِ، فَعُرِفَ الْبِشْرُ فِي وَجْهِهِ " قَالَ جَابِرٌ: " فَلَمْ يَنْزِلْ بِي أَمْرٌ مُهِمٌّ غَلِيظٌ، إِلَّا تَوَخَّيْتُ تِلْكَ السَّاعَةَ، فَأَدْعُو فِيهَا فَأَعْرِفُ الْإِجَابَةَ "

Terjemahan

Daripada Jabir bin Abdillah, Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berdoa di Masjid al-Fath pada tiga hari: hari Isnin, hari Selasa dan hari Rabu. Dikabulkan doanya pada hari Rabu antara dua solat. Diketahui (makbulnya doa baginda) dengan kegembiraan pada wajahnya.

Jabir berkata: “Tidaklah menimpa padaku sesuatu urusan yang penting melainkan aku berdoa pada masa tersebut. Maka aku berdoa pada waktu tersebut dan aku mengetahui bahawa doa aku dikabulkan.”

Riwayat Ahmad, al-Bazzar, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan lain-lain.

Kata al-Munziri dalam al-Targhib Wa al-Tarhib: “Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan selain mereka berdua dan sanad riwayat Ahmad baik (jayyid).”

Kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid: “Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazzar. Perawi riwayat Ahmad adalah thiqah.”

Sebahagian ahli hadis mendaifkan hadis ini disebabkan terdapat khilaf tentang status salah seorang perawi hadis ini yang bernama Kathir bin Zaid.

Kata al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Sunan wa al-Ahkam: “Dalam sanadnnya terdapat Kathir bin Zaid dan padanya terdapat perbincangan (sama ada diterima atau ditolak periwayatannya).”

Kata Ibnu Taimiyyah dalam Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim: “Dalam sanadnnya terdapat Kathir bin Zaid dan padanya terdapat perbincangan. Ibnu Ma’in menthiqahkannya suatu ketika dan mendaifkannya pada ketika yang lain.”

Jumaat, 26 Februari 2016

Hadis: Syurga di bawah telapak kaki ibu

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ جَاهِمَةَ السَّلَمِيِّ، أَنَّ جَاهِمَةَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَدْتُ أَنْ أَغْزُوَ وَقَدْ جِئْتُ أَسْتَشِيرُكَ، فَقَالَ: هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ؟. قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا

Dari Muawiyah bin Jahimah As-Salami, (katanya) : "Bahawasanya Jahimah datang kepada Nabi saw dan bertanya, ‘Wahai Rasululullah, aku ingin berperang dan aku datang untuk meminta pendapat engkau?’ Rasulullah saw bertanya, “Apakah engkau masih memiliki ibu?” Ia menjawab, ‘Ya.’ Maka baginda sallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Maka tetaplah bersamanya, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.” 

Riwayat al-Nasa’ie, Ibnu Syahin dalam al-Targhib, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, al-Hakim dalam al-Mustadrak dan lain-lain.

Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Dalam riwayat Ahmad dengan lafaz:

الْزَمْهَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ عِنْدَ رِجْلِهَا

Dalam riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir dengan sanad yang daif (sebagaimana kata al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid) dengan lafaz:

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ جَاهِمَةَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: أَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْتَشِيرُهُ فِي الْجِهَادِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَلَكَ وَالِدَانِ؟ قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: الْزَمْهُمَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ أَرْجُلِهِمَا

Dari Muawiyah bin Jahimah  daripada bapanya, beliau berkata: "Aku datang kepada Nabi saw untuk meminta pendapat untuk berjihad. Rasulullah saw bertanya, “Apakah engkau masih memiliki ibu bapa?” Aku menjawab, ‘Ya.’ Maka baginda sallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Maka tetaplah bersama mereka, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kaki mereka berdua.” 

Selasa, 23 Februari 2016

Perawi Syiah Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim?

Al-Hafiz Ibnu Hajar menyebutkan dalam kitab Tahzib al-Tahzib:

“Cenderung kepada fahaman Syiah (tashayyu’) pada kebiasaan ulama mutaqaddimin (terdahulu) adalah sesiapa yang beriktikad melebihkan Ali ke atas Uthman RA, Ali adalah adalah seorang yang benar dalam peperangannya (perang Jamal dan perang Siffin) dan sesiapa yang berselisih dengan beliau adalah orang yang salah, serta dia mendahulukan dan melebihkan Ali berbanding dua orang Syeikh (Abu Bakar dan Umar). Mungkin juga mereka beriktikad bahawa Ali adalah sebaik-baik makhluk selepas Rasulullah SAW. 

Jika seseorang yang beriktikad sedemikian itu adalah seorang yang warak, beragama, jujur dan bertaraf mujtahid, maka tidak ditolak periwayatannya disebabkan iktikadnya itu, lebih-lebih lagi jika dia tidak menyeru kepada iktikadnya itu.

Adapun tashayyu’ pada kebiasaan ulama mutaakhirin (terkemudian), mereka adalah golongan Rafidah (Syiah yang menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar) semata-mata. Maka tidak diterima golongan Rafidah yang melampau, dan tidak dihormati mereka itu.”

Cenderung kepada syiah semata-mata tidak menjadi kritikan kepada perawi

Ramai daripada ahli hadis dan perawi hadis yang hebat-hebat tidak terselamat daripada dituduh cenderung kepada fahaman Syiah. Pada awalnya mereka dikenali dengan rasa cinta mereka kepada Ali dan melebihkannya ke atas Uthman RA.

Sesiapa yang berkeyakinan sebegini tanpa mencela salah seorang pun daripada Sahabat dan tidak mengkafirkan mereka, maka situasinya lebih mudah kerana perkara tersebut masih tertakluk dalam ruang lingkup ijtihad dan tidak menghalang ahli hadis untuk meriwayatkan daripadanya.

Sebagai contoh:

1 - Ali bin al-Munzir al-Thariqi

Al-Nasaie berkata mengenai beliau: “Seorang Syiah yang tulen dan beliau thiqah (dapat dipercayai).”

Ibnu Abi Hatim berkata: “Saduq (seorang yang benar) dan dapat dipercayai.”

2 - Ali bin Hasyim.

Abu Daud berkata: “Thabt (mantap periwayatannya) dan cenderung kepada fahaman Syiah.”

Al-Bukhari berkata: “Beliau dan bapanya seorang yang ekstrem dalam mazhabnya.”

Walaupun begitu, Muslim masih meriwayatkan hadis daripadanya.

Al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal berkata: “Disebabkan sifat ekstremnya maka al-Bukhari meninggalkan riwayat beliau. Al-Bukhari banyak menjauhi periwayatan hadis daripada golongan Rafidah kerana beliau bimbang sikap kuat beragama mereka itu hanya sekadar taqiyyah (pura-pura). Tidak dilihat bahawa beliau menjauhi periwayatan daripada golongan Khawarij dan Jahmiyyah kerana walaupun ada bidaah yang mereka lakukan namun mereka masih melazimi sikap benar.”

3. Fithr bin Khalifah

Imam Ahmad berkata: “Thiqah, salih al-hadis (baik hadisnya), hadisnya adalah hadis seorang yang baik, meskipun beliau cenderung kepada fahaman Syiah.”

4. Khalid bin Makhlad al-Qathawani, Abu al-Haitham al-Jabali.

Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan daripada beliau meskipun beliau cenderung kepada fahaman Syiah.

Abu Daud berkata: “Saduq (seorang yang benar) tetapi cenderung kepada fahaman Syiah.”

Ibnu Sa’ad berkata: “Seorang yang cenderung kepada fahaman Syiah, mungkar al-hadith (ditolak hadisnya), seorang yang melampau dalam fahaman Syiahnya, ditulis hadis daripadanya untuk keperluan sahaja.”

Al-‘Ijli berkata: “Thiqah, sedikit cenderung kepada fahaman Syiah dan banyak meriwayatkan hadis.”

Al-Jurjani berkata: “Seorang yang suka menzahirkan cercaan disebabkan buruk mazhabnya.”

Perawi Syiah Tidak Semestinya Ditolak

Cenderung kepada fahaman Syiah sahaja tidak mencukupi untuk mengkritik seorang perawi.

Kritikan hanya berlaku pada perawi yang menghimpunkan antara fahaman Syiah dan sifat pendusta sebagaimana kata Abu Nu’aim pada seorang perawi yang bernama Abdul Jabbar bin al-‘Abbas al-Syami al-Kufi: “Tidak ada di Kufah seorang yang lebih pendusta daripadanya dan dia seorang yang berfahaman Syiah.”

Ahad, 7 Februari 2016

Kenali Seseorang Melalui Musafir

Pertama

عَنْ خَرَشَةَ بْنِ الْحُرِّ، قَالَ: شَهِدَ رَجُلٌ عِنْدَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ بِشَهَادَةٍ، فَقَالَ لَهُ: لَسْتُ أَعْرِفُكَ، وَلَا يَضُرُّكَ أَلَّا أَعْرِفَكَ، ائْتِ بِمَنْ يَعْرِفُكَ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: أنا أَعْرِفُهُ، قَالَ: فَبِأَيِّ شَيْءٍ تَعْرِفُهُ؟ قَالَ: بِالْعَدَالَةِ وَالْفَضْلِ، قَالَ: فَهُوَ جَارُكَ الْأَدْنَى الَّذِي تَعْرِفُ لَيْلَهُ وَنَهَارَهُ وَمُدْخَلَهُ وَمُخْرَجَهُ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَمُعَامِلُكَ بِالدِّينَارِ وَالدِّرْهَمِ اللَّذَيْنِ بِهِمَا يُسْتَدَلُّ عَلَى الْوَرَعِ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: فَرَفِيقُكَ فِي السَّفَرِ الَّذِي يُسْتَدَلُّ بِهِ عَلَى مَكَارِمِ الْأَخْلَاقِ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: لَسْتَ تَعْرِفُهُ، ثُمَّ قَالَ لِلرَّجُلِ: ائْتِ بِمَنْ يَعْرِفُكَ.

Daripada Kharasyah bin al-Hurr, beliau berkata:

“Seorang lelaki memberi kesaksian di hadapan Umar bin al-Khattab r.a., lalu Umar berkata kepadanya: Aku tidak mengenalimu, dan tidak mengapa jika aku tidak mengenalimu. Bawalah orang yang mengenalimu."

Lalu seorang lelaki daripada sekumpulan orang ramai di situ berkata: "Aku mengenalinya."

Umar bertanya: "Dengan apa engkau mengenalinya?"

Dia menjawab: "Dengan keadilan dan keutamaan."

Umar bertanya: "Adakah dia jiran terdekatmu yang engkau ketahui malam dan siangnya, keluar masuknya?"

Dia menjawab: "Tidak."

Umar bertanya: "Pernahkah engkau bermuamalah dengannya dengan dinar dan dirham yang dengannya dapat diketahui sifat waraknya?"

Dia menjawab: "Tidak."

Umar bertanya: "Adakah dia temanmu dalam perjalanan yang dengannya dapat diketahui kemuliaan akhlaknya?"

Dia menjawab: "Tidak."

Umar berkata: "Engkau tidak mengenalinya."

Kemudian Umar berkata kepada lelaki (yang memberi kesaksian) itu: "Bawalah orang yang mengenalimu."

(Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Ma’rifah al-Sunan Wa al-Athar, al-Sunan al-Sughra dan al-Sunan al-Kubra dan al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Kifayah)

Kedua

عَنْ أَبِي غَنِيَّةَ، قَالَ: سَمِعَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَجُلًا يُثْنِي عَلَى رَجُلٍ، فَقَالَ: أَسَافَرْتَ مَعَهُ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: أَخَالَطْتَهُ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: وَاللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ مَا تَعْرِفُهُ.

Daripada Abu Ghaniyyah, beliau berkata:

“Umar mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki yang lain. Maka Umar bertanya padanya:

Adakah kamu pernah bermusafir bersamanya?”

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”

Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah bergaul dengannya?

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”

Umar berkata: “Demi Allah yang tiada Tuhan selainnya, kamu tidak mengenalinya.”

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya dalam al-Samt)

Ketiga

عَنْ عَبْدِ اللهِ الْعُمَرِيِّ؛ قَالَ: قَالَ رَجُلٌ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ: إِنَّ فُلَانًا رَجُلُ صِدْقٍ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: هَلْ سَافَرْتَ مَعَهُ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فهل كان بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ مُعَامَلَةٌ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَهَلِ ائْتَمَنْتَهُ عَلَى شَيْءٍ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَأَنْتَ الَّذِي لَا عِلْمَ لَكَ بِهِ، أَرَاكَ رَأَيْتَهُ يَرْفَعُ رَأْسَهُ وَيَخْفِضُهُ فِي الْمَسْجِدِ .

Daripada Abdullah al-‘Umri, beliau berkata:

“Seorang lelaki berkata pada Umar: Sesungguhnya si fulan itu adalah seorang yang jujur. Maka Umar berkata padanya:

Adakah kamu pernah bermusafir bersamanya?”

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.” 

Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah berurusan dengannya?”

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”

Umar bertanya lagi: “Adakah kamu pernah mengamanahkan padanya sesuatu?”

Lelaki tersebut menjawab: “Tidak.”

Maka Umar berkata: “Maka kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Aku rasa kamu sekadar pernah melihat dia mengangkat dan menundukkan kepalanya (solat) di masjid.”

(Diriwayatkan oleh al-Dinawari dalam al-Mujalasah)

Hadis palsu: hadis abjad

تَعَلَّمُوا أَبْجَدَ وَتَفْسِيِرَهَا، وَيْلٌ لِعَالِمٍ جَهِلَ تَفْسِيرَهَا، فِيهَا الأَعَاجِيبُ أَمَّا الأَلِفُ فَإِنَّهُ إِلا اللَّهُ، وَحَرْفٌ مِنْ أَسْمَاءِ اللَّهِ، وَالْبَاءُ بَهَاءُ اللَّهِ، وَالْجِيمُ جَنَّةُ اللَّهُ، وَالدَّالُ دِينُ اللَّهِ، وَذكر لكل حرف شَيْئا

Terjemahan

“Pelajarilah abjad dan tafsirannya. Kecelakaan bagi seorang alim yang jahil tentang tafsirannya. Padanya ada keajaiban. Adapun huruf alif ianya adalah illa Allah dan satu huruf daripada nama-mana Allah. Huruf ba’ adalah baha Allah. Huruf jim adalah jannatullah. Huruf dal adalah dinullah. Dan disebutkan bagi setiap huruf itu sesuatu (tafsirannya).”

Riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada Ibnu ‘Abbas.

Komen Ibnu ‘Arraq al-Kinanni dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah:

“Dalam sanadnya terdapat Muhammad bin Ziyad al-Yasykuri (مُحَمَّد بن زِيَاد الْيَشْكُرِي).  Daripada jalannya  dikeluarkan juga oleh Ibnu Fanjawaih dalam kitab al-Mu’allimin kecuali dia menjadikannya daripada hadis Anas.”

Muhammad bin Ziyad al-Yasykuri dinilai sebagai pendusta oleh ulama sebagaimana berikut:

1. Imam Ahmad: “Pendusta, buta sebelah matanya, seorang pereka hadis.”

2. Ibnu Ma’in: “Pendusta.”

3. Abu Zur’ah: “Pendusta.”

4. Al-Daraqutni: “Pendusta.”

5. Ibnu al-Madini: “Aku telah lemparkan apa yang aku telah tulis darinya. Beliau (Ibnu al-Madini) menilainya sangat daif.”

6. Al-Bukhari: “Matruk.”

6. Ibnu Hajar: “Pendusta.”