Rabu, 30 Disember 2015
Hadis: Aku tidak pernah melihat kebaikan daripada kamu
Ahad, 20 Disember 2015
Kitab hadis palsu: Nuskhah Nubaith bin Syarith al-Asyja’ie Fi al-Ahadith al-Maudhu’ah
Selasa, 8 Disember 2015
Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China
(Hadith ini) dikeluarkan oleh Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm (7/1), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4/290), al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ (2/ 230), Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil (4/1438), mereka semua (meriwayatkan) daripada Anas bin Malik radiallahu ‘anhu. Dalam sanadnya terdapat Abu ‘Atikah al-Basri, dia adalah sangat daif. Lihat biodatanya dalam al-Mizan (2/335) dan (4/335).
Hadis ini masih diperselisihkan statusnya. Ada yang menyatakan ianya palsu, antaranya Imam Ahmad bin Hanbal, al-Bazzar, Ibnu Jauzi, Ibnu Hibban dan al-‘Uqaili. Dan antara ulama yang berpendapat hadis ini hanyalah daif adalah al-Baihaqi, al-Iraqi dan al-Sayuthi.
Isnin, 7 Disember 2015
Kitab Ma La Yasa’a al-Muhaddith Jahluhu oleh al-Yamanishi
Kemasyhuran yang Mengelirukan
Risalah al-Mayanishi ini adalah sebuah risalah kecil yang indah namanya, tetapi lemah kandungan dan susunannya. Pada hakikatnya, kalaulah tidak kerana al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkannya dalam mukadimah Syarah al-Nukhbah, nescaya ia tidak akan disebut-sebut dan tidak mempunyai apa-apa kedudukan.
Tindakan al-Hafiz Ibnu Hajar menyebut risalah ini selepas menyebut kitab-kitab al-Khatib, Qadi 'Iyad, dan imam-imam lain, telah menimbulkan salah faham bahawa ia setaraf atau sejenis dengan karya-karya mereka dari segi ketelitian (tahqiq), kedalaman ilmu, manfaat, dan kualiti penulisan.
Maka tindakan al-Hafiz Ibnu Hajar itu – semoga Allah mengampuninya –
telah menarik minat para ulama dan pengkaji bidang ini terhadapnya. Akan
tetapi, apabila mereka menelitinya, mereka tidak mendapati pada kandungannya
apa yang sepadan atau bahkan menghampiri nama mahupun maknanya. Ia lemah dari
segi bahan ilmiah, tidak menepati standard, penuh dengan kesilapan-kesilapan
ilmiah, dan tampak jelas sekali kekurangan pengarangnya rahimahullah Ta’ala
dalam bidang ini.
Kelemahan Struktur dan Penggunaan Hadis Palsu
Pengarangnya telah memulakannya dengan mukadimah yang panjang yang mencecah 42 baris, menjadikannya lebih panjang daripada suku kandungan risalah itu.
Mukadimah itu sedikit faedahnya, kosong hasilnya, dan dipenuhi pula dengan hadis-hadis da‘if dan mawdhu‘ (palsu), tanpa beliau memberi peringatan tentang kepalsuan dan kemungkarannya.
Kemudian, beliau membentangkan perbincangan secara sambil lewa dalam kebanyakan babnya, dan jarang sekali anda dapati di dalamnya perbahasan yang disunting rapi serta tepat dari segi pandangan dan hukumnya, di samping kelemahan dari segi pembahagian bab dan buruknya susunan.
Maka menurut pentahqiq kitab ini,
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, ini menuntut beliau untuk memberikan
penjelasan, kerana bimbang orang lain akan terpedaya dengan judulnya!
Kesilapan Fakta Mengenai Syarat al-Bukhari dan Muslim
Perkara yang aneh dan menghairankan ialah al-Hafiz Ibn Hajar
rahimahullah Ta’ala, telah menyebut risalah kecil ini dalam senarai
kitab-kitab yang paling masyhur, lengkap dan disunting rapi yang dikarang dalam
ilmu Mustalah.
Al-Suyuti telah menukilkan daripadanya dalam Tadrib al-Rawi rasa amat terkejut Ibn Hajar terhadap tindakan al-Mayanishi yang menyebut di dalamnya syarat al-Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka berdua, dengan cara yang sangat menyalahi realiti dan pengetahuan sebenar mengenai kedua-dua kitab tersebut. Ini kerana al-Mayanishi berkata pada halaman 266:
“Sifat hadis sahih ialah ia diriwayatkan daripada Rasulullah
sallahu ‘alaihi wasallam
oleh seorang sahabat yang terhindar daripada nama jahalah (tidak
dikenali), iaitu dengan diriwayatkan daripadanya oleh dua orang tabi‘in yang
adil, kemudian ia diterima pakai oleh ahli ilmu, dan ia seumpama kedudukan
kesaksian di atas kesaksian, ini dihikayatkan oleh al-Hakim Abu ‘Abdillah.
Adapun syarat yang ditetapkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari
dan Muslim) dalam Sahih mereka berdua ialah, mereka tidak memasukkan ke dalam
kitab mereka melainkan apa yang sahih di sisi mereka, iaitu apa yang
diriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam oleh dua orang sahabat atau lebih, dan apa yang
diriwayatkan daripada setiap seorang sahabat itu oleh empat orang tabi‘in, dan
hendaklah (diriwayatkan) daripada setiap seorang tabi‘in itu oleh lebih
daripada empat orang.”
Maka al-Hafiz Ibn Hajar berkata selepas mengemukakan kata-kata al-Mayanishi tersebut:
“Ini adalah kata-kata orang yang tidak pernah menelaah al-Sahihayn
walaupun sedikit! Kalaulah ada orang berkata: 'tidak ada satu hadis pun di dalam
kedua-dua kitab ini yang mempunyai sifat sebegini', nescaya kata-katanya itu
tidaklah jauh (daripada kebenaran).”
Al-Hafiz telah berkata seumpamanya dalam al-Nukat ‘ala
Kitab Ibn al-Salah.
Sandaran Kepada Hadis Palsu dan Sindiran Para Ulama
Yang lebih teruk dan lebih buruk daripada ini ialah
perkataan al-Mayanishi pada ms. 253:
“Para ulama dalam bidang ini telah berselisih pendapat mengenai lafaz: haddathana, dan akhbarana, adakah kedua-duanya mempunyai satu makna atau dua makna yang berbeza?
Maka majoriti ulama berpendapat bahawa tiada perbezaan antara perkataan seorang ahli hadis: haddathana, dengan perkataannya: akhbarana.
Ulama lain berpendapat bahawa perkataannya: akhbarana, menunjukkan bahawa dia mendengarnya melalui bacaannya sendiri atau bacaan orang lain di hadapan syeikh.
Kami telah meriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda bersabda: ‘Haddathana dan akhbarana adalah sama’.
Ini sedangkan di sisi orang Arab, tiada perbezaan antara perkataan seseorang: si fulan telah memberitahuku (haddathani), atau si fulan telah mengkhabarkan kepadaku (akhbarani).
Sebahagian ulama telah berkata: ‘Membeza-bezakan antara keduanya adalah satu perbuatan ta'ammuq (mendalam-dalam secara berlebihan)’.
Saya menyangka hadis yang kami kemukakan
ini tidak sampai kepadanya, dan kalaulah ia sampai kepadanya, nescaya
penolakannya akan lebih keras daripada ini.”
Ia adalah kata-kata yang sangat gugur (nilainya) dan wajar ditolak! Hadis yang disebutkan itu adalah satu pembohongan semata-mata, yang jelas rekaan dan kepalsuannya!
Maka jika beginilah tahap pengetahuan
al-Mayanishi tentang Sunnah, maka kita memohon kepada Allah kesejahteraan dan
taufik. Semoga Allah mengampuni al-Hafiz Ibn Hajar, kerana telah menyebutkannya
sebaris dengan para imam yang mahir lagi unggul itu. Kalaulah tidak kerana
beliau menyebutkannya, nescaya dia dan kitabnya tidak akan disebut-sebut. Selayaknya kitabnya itu dinamakan: Ma Yasa'u al-Muhaddith Jahluh (Apa
yang Boleh Diabaikan oleh Seorang Ahli Hadis)
Risalah ini juga telah dikritik oleh Syeikh Mahmud Tahhan
dalam kitabnya, al-Khatib al-Baghdadi wa Atharuhu fi ‘Ulum al-Hadith.
Beliau berkata selepas menyebutkan sebahagian kritikan ke atasnya: “Sesungguhnya
kitabnya lebih layak dinamakan: Ma Yasa'u al-Muhaddith Jahluh (Apa yang
Boleh Diabaikan oleh Seorang Ahli Hadis). Amat aneh tindakan al-Hafiz Ibn
Hajar, bagaimana beliau boleh menyebutkannya dalam kalangan karya-karya masyhur
dalam ilmu hadis, seolah-olah ia adalah antara kitab-kitab induk dalam bidang
ini! Kemudian al-Hafiz Ibn Hajar tidak menyebutkan sifatnya walau dengan sepatah kata pun...”
Ini sedangkan al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah Ta’ala telah
mengkritik al-Ramahurmuzi, pengarang al-Muhaddith al-Fasil kerana tidak
merangkumi (semua bab), dan mengkritik al-Hakim kerana tidak menyusun dan
menyaring, dan mengkritik Abu Nu‘aim kerana meninggalkan ruang untuk dikritik,
dan mengkritik Ibn al-Salah kerana susunan kitabnya tidak mengikut aturan yang
bersesuaian. Beliau mengkritik mereka semua – sedangkan mereka lebih alim dan
lebih agung, dan kitab-kitab mereka lebih lengkap dan lebih bermanfaat – tetapi
beliau membiarkan al-Mayanishi dan risalah kecilnya, tanpa mengkritik
kedua-duanya walau dengan sepatah kata pun!
Punca Utama Kelemahan Risalah
Punca segala kritikan terhadap risalah al-Mayanishi ini
adalah kerana pengarangnya tidak menguasai ilmu hadis secara mendalam, di
samping kebergantungannya pada sebahagian besar apa yang ditulisnya di dalam
risalah ini kepada al-Hakim al-Naisaburi. Sedangkan kitab al-Hakim –
sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar – tidak disaring dan tidak
tersusun. Perkara ini boleh dimaafkan bagi al-Hakim kerana beliau hidup pada
zaman yang awal dan kurangnya karya yang ditulis sebelum beliau dalam bidang
Mustalah, di samping itu, beliau mempunyai kesilapan-kesilapan (awham)
yang sedia maklum, dan sikap bermudah-mudah (tasahulat) yang aneh dalam
kedua-dua kitabnya: al-Ma'rifah dan al-Madkhal.
Al-Mayanishi pula bukan sahaja tidak cukup dengan hanya
bergantung kepada al-Hakim dalam sebahagian kesilapan atau sikap
bermudah-mudahnya, bahkan beliau menambah lagi kesilapan-kesilapan lain yang
lebih teruk dan lebih mungkar, sepertimana yang telah diisyaratkan kepada
sebahagiannya sebelum ini. Pembaca akan menemui perkara-perkara lain dalam
ulasan-ulasan pentahqiq kitab ini, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ke
atas risalah ini.
Kesimpulan dan Husnuzon Terhadap Pengarang
Walau bagaimanapun, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah tidak
menafikan bahawa di dalam risalahnya mungkin terdapat beberapa faedah, dan beliau
tidak mengatakan bahawa ia adalah sebuah karya yang tidak bernilai sama sekali.
Walau apa pun keadaannya, pengarangnya rahimahullah Ta‘ala akan diberi
pahala atas keikhlasan dan niat baiknya, dan Allah tidak mensia-siakan ganjaran
orang-orang yang berbuat kebaikan.
Sumber:
Mukadimah tahqiq Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah bagi
kitab Ma Yasa'u al-Muhaddith Jahluh
Ahad, 29 November 2015
Status Hadis: Solat Orang Berkahwin Lebih Baik Daripada Solat Orang Bujang
Hadis Pertama
كْعَتَانِ مِنَ الْمُتَزَوِّجِ أَفْضَلُ مِنْ
سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنَ الأَعْزَبِ.
“Dua rakaat (solat) daripada orang yang telah berkahwin
lebih baik daripada 70 rakaat daripada orang bujang.”
Sumber Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’
al-Kabir dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada jalur sanad:
Mujasyi’ bin ‘Amru daripada Abdul Rahman bin Zaid bin
Aslam daripada bapanya daripada Anas bin Malik.
Penilaian Hadis:
1 – Al-‘Uqaili berkata:
“Mujasyi’ hadisnya mungkar dan tidak mahfuz.”
2 – Ibnu al-Jauzi berkata:
“Al-‘Uqaili berkata: Mujasyi’ hadisnya mungkar dan tidak mahfuz.
Yahya bin Ma’in berkata: Aku melihatnya sebagai salah seorang daripada penipu. Ibnu
Hibban berkata: Dia mereka-reka hadis atas nama perawi yang thiqah. Tidak halal
menyebutkannya kecuali dengan celaan.”
3 - Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mughir ‘Ala
al-Ahadith al-Maudhu’ah Fi al-Jami’ al-Saghir berkata:
“Al-‘Uqaili berkata tentangnya: Ia adalah mungkar. Maksud
beliau, ia adalah palsu.”
Hadis Kedua
رَكْعَتانِ مِنَ المُتأَهِّلِ خَيْرٌ مَنْ اثْنَيْنِ
وَثَمانِينَ رَكْعَةً مِنَ العَزْبِ.
"Dua rakaat daripada orang yang telah berkeluarga lebih
baik daripada 82 rakaat orang bujang."
Sumber Hadis:
Hadis ini diriwayatkan oleh Tammam al-Razi dalam al-Fawaid
dan al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah melalui jalur sanad:
Mas’ud bin ‘Amru al-Bakri daripada Humaid al-Thawil daripada
Anas bin Malik.
Penilaian Hadis:
1 – Al-Hafiz al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal
berkata:
“Mas’ud bin ‘Amru al-Bakri, aku tidak mengenalinya dan
hadisnya batil.”
Lalu al-Zahabi menyebutkan hadis di atas.
2 – Al-Hafiz al-Suyuti menukilkan dalam al-Laali al-Masnu’ah
daripada al-Hafiz Ibnu Hajar, beliau berkata dalam Athraf al-Mukhtarah:
“Hadis ini munkar tidak ada maknanya (faedahnya) untuk beliau
(al-Dhiya’ al-Maqdisi) meriwayatkannya.”
Hadis Ketiga
شِرَارُكُمْ عُزَّابُكُمْ، رَكْعَتَانِ مِنْ
مُتَأَهِّلٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً مِنْ غَيْرِ مُتَأَهِّلٍ.
“Seburuk-buruk
orang di kalangan kalian adalah orang yang bujang. Dua rakaat yang dilakukan
oleh orang yang berkeluarga adalah lebih baik daripada orang yang tidak
berkeluarga.”
Sumber Hadis:
Hadis ini
diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal dan Ibnu
al-Jauzi dalam al-Maudhu’at melalui jalur sanad:
Yusuf bin
al-Safar daripada al-Auza’i
daripada Yahya bin Abu Kathir daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah.
Penilaian Hadis:
1 – Ibnu ‘Adi
dalam al-Kamil membawakan hadis di atas bersama beberapa buah hadis lain
yang mempunyai sanad yang sama, lalu beliau berkata:
“Hadis-hadis ini
daripada Yahya daripada Abu Salamah bersama hadis-hadis lain dengan sanad ini yang
diriwayatkan semuanya oleh Yusuf bin al-Safar, semuanya adalah palsu.”
2 – Ibnu al-Jauzi
berkata:
“Ibnu ‘Adi
berkata: Ini adalah hadis palsu. Abu Zur'ah dan An-Nasa'i berkata: "Yusuf
adalah perawi yang ditinggalkan hadisnya (matruk al-hadith)." Abu Hatim
bin Hibban berkata: "Dia meriwayatkan daripada Al-Auza'i perkara yang
bukan daripada hadisnya (pada hakikatnya), maka tiada keraguan bagi pendengar
bahawa ia adalah palsu. Tidak halal berhujah dengannya dalam apa jua keadaan.
Ad-Daraqutni berkata: "Dia ditinggalkan dan seorang pendusta.”
Kesimpulan
Ketiga-tiga hadis di atas adalah palsu. Oleh itu tidak dibenarkan menyandarkannya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan disebarkan melainkan untuk menyatakan kepalsuannya.
*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 2/12/2024.
Ahad, 15 November 2015
Selasa, 10 November 2015
Hadis sesiapa yang mempelajari dua hadis
“Sesiapa yang mempelajari dua hadis yang memberi manfaat dua hadis tersebut kepada dirinya, atau mengajarkan dua hadis tersebut kepada orang lain dan memberi manfaat dua hadis tersebut kepada orang lain adalah lebih baik daripada beribadat selama 60 tahun.”




