Isnin, 19 Ogos 2019

Terlalu Asyik Dengan Hadis

1 - Muhammad bin Ahmad al-Wa’iz berkata:

“Abu Bakar bin al-Baghandi  bangun untuk menunaikan solat lalu beliau bertakbir. Kemudian beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sulaiman Luwain.

Kami mengucapkan tasbih. Lalu barulah beliau membaca (al-Fatihah):

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ. الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ.

2 - Diriwayatkan juga daripada al-Baghandi bahawa beliau pernah berkata:

“Telah diberikan kepadaku kecintaan kepada hadis. Aku telah melihat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam (di dalam mimpi) tetapi aku tidak meminta kepada baginda: Doakanlah untukku. Sebaliknya aku bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, siapakan yang lebih mantap dalam hadis: Mansur atau al-A’masy? Baginda menjawab: Mansur, Mansur.”

3 - Hibatullah al-Lalaka'i berkata:

"Al-Baghandi membacakan hadis daripada hafalannya, dan melafazkannya dengan laju seperti bacaan al-Quran yang pantas, dan beliau akan berkata: Telah menceritakan kepada kami si fulan, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami si fulan, dan telah menceritakan kepada kami si fulan.

Beliau menggerakkan kepalanya (ketika membaca) sehinggakan serbannya jatuh."

4 - Ibnu Kathir berkata: “Beliau kadang-kala menyebut beberapa buah hadis berserta sanad-sanadnya dalam solat dan tidur dalam keadaan beliau tidak sedar!”

[‘Uluw al-Himmah, Muhammad Ahmad Isma’il al-Muqaddam]

_____________

Muhammad bin Muhammad bin Sulaiman, Abu Bakar al-Baghandi (m. 312 H) salah seorang huffaz hadis. Beliau mengembara untuk menuntut hadis ke Kufah, Syam, Mesir, Basrah dan lain-lain. Beliau menetap di Baghdad dan meninggal dunia di situ.

Antara guru beliau ialah Ali bin al-Madini dan Ibnu Abi Syaibah.

Muridnya yang terkenal ialah al-Thabarani dan Ibnu Syahin.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Beliau telah mengembara untuk (mencari) hadis ke negeri-negeri yang jauh, dan memberikan perhatian yang amat besar kepadanya. Beliau telah mengambil (ilmu) daripada para huffaz (pakar hadis) dan para imam. Beliau seorang yang hafiz (pakar hadis), faham, lagi 'arif (mendalam pengetahuannya).

Aku telah mendengar Ahmad bin 'Ali al-Bada dalam satu perbincangan, beliau berkata:

Aku telah mendengar Abu Bakr al-Abhari berkata: Aku telah mendengar Abu Bakr al-Baghandi berkata:

Aku dapat menjawab tiga ratus ribu persoalan berdasarkan hadis Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Lalu aku khabarkan kepada Ibn al-Muzaffar tentang perkataan al-Abhari itu, maka beliau berkata: Benarlah. Aku telah mendengarnya daripadanya."

Beliau gemar melakukan tadlis (menyembunyikan kecacatan sanad hadis) sehingga beliau dicela oleh beberapa ahli hadis sehingga ada yang menyifatkan beliau sebagai pendusta. Tetapi beliau telah dipertahankan oleh Ibnu ‘Adi, al-Khatib al-Baghdadi, al-Zahabi dan lain-lain.

Ahad, 18 Ogos 2019

Hadis Yang Tidak Diketahui Oleh Imam al-Bukhari

Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq[1] berkata:

“Aku pernah mendengar Muhammad bin Isma’il (al-Bukhari) berkata:

“Murid-murid ‘Amru bin ‘Ali (al-Fallas)[2] pernah berbincang denganku tentang sebuah hadis. Maka aku katakan bahawa aku tidak mengetahui tentangnya.”

Mereka berasa gembira tentang perkara tersebut.

Mereka kemudian bertemu dengan ‘Amru bin Ali dan berkata kepadanya: “Kami berbincang dengan Muhammad bin Isma’il al-Bukhari tentang suatu hadis dan dia tidak mengetahuinya.”

‘Amru bin ‘Ali lalu berkata: “Hadis yang tidak diketahui oleh Muhammad bin Isma’il adalah bukan hadis (sebenarnya).”

Sumber:

Tarikh Baghdad oleh al-Khatib al-Baghdadi.


[1] Al-Warraq ini merupakan salah seorang murid rapat dan jurutulis kepada Imam al-Bukhari. Beliau sentiasa melazimi Imam al-Bukhari semasa bermukim dan bermusafir serta banyak menyalin kitab-kitab al-Bukhari. Beliau ada menulis tentang biografi al-Bukhari bertajuk Syamail al-Bukhari. Al-Khatib al-Baghdadi, al-Zahabi dan ulama yang lain banyak menukilkan maklumat tentang al-Bukhari daripada kitab ini.

[2] ‘Amru bin ‘Ali al-Fallas (meninggal dunia 249 Hijrah) adalah seorang imam, al-Hafiz dan al-Naqid (pakar hadis). Beliau merupakan guru kepada imam hadis yang enam, Abu Hatim al-Razi dan Abu Zur’ah al-Razi.

Rabu, 24 Julai 2019

Hadis Palsu: Bercakap Di Masjid Menghilangkan Pahala

 

الحَدِيث فِي الْمَسْجِد يَأْكُل الْحَسَنَات كَمَا تَأْكُل الْبَهِيمَة الْحَشِيش

"Bercakap di dalam masjid akan memakan kebaikan (pahala) sebagaimana haiwan memakan rumput."

Dalam lafaz yang lain:

الكلام المباح في المسجد يأكل الحسنات كما تأكل النار الحطب

"Bercakap perkara yang harus di dalam masjid memakan kebaikan (pahala) sebagaimana api memakan kayu bakar."

Penilaian Ahli Hadis

Hadis ini tidak ditemui sumber asalnya oleh al-Hafiz al-'Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya'

Menurut al-Fairuzzabadi juga, ia tidak ditemui sumber asalnya.

Hukum ini diikuti oleh para ulama selepasnya seperti Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Masnu' dan al-Asrar al-Marfu'ah, al-'Ajluni dalam Kasyf al-Khafa, al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu'at dan al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu'ah.

Hadis Lain

مَنْ تَكَلَّمَ بِكَلامِ الدُّنْيَا فِي الْمَسَاجِدِ - أَوْ فِي الْمَسْجِدِ - أَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً

"Sesiapa yang bercakap tentang suatu ucapan yang berkaitan dengan urusan dunia di dalam masjid-masjid - atau di sebuah masjid - nescaya Allah akan membatalkan (pahala) amalannya selama empat puluh tahun."

Syeikh Abdul Aziz al-Ghumari dalam kitab al-Tihani mengulas tentang hadis ini:

“Ia adalah batil (palsu) dari sudut asal-usulnya. Percakapan yang mempunyai hukum harus adalah harus untuk dibicarakan di dalam masjid sepertimana yang telah terdapat di dalam hadis yang sahih.

Antara kaedah yang telah ditetapkan di sisi ahli hadis ialah, apabila sesuatu hadis itu mengkhabarkan tentang ganjaran yang sangat besar ke atas amalan yang sedikit, atau ancaman yang sangat dahsyat ke atas dosa yang kecil, maka perkara itu menjadi bukti ke atas kepalsuannya (iaitu ia adalah hadis rekaan), sepertimana dalam hadis ini. Ini kerana bercakap di dalam masjid pada asalnya adalah harus, dan kalau pun ia tidak harus, hukumnya tidak akan lebih daripada tahap makruh, maka bagaimana ia boleh membatalkan amalan pelakunya?

Al-Hafiz al-Suyuti telah berkata di dalam bait-bait Alfiyyah beliau ketika menerangkan tentang ciri-ciri yang melaluinya dapat dikenali suatu hadis palsu: "Dan apa jua yang padanya terdapat janji (ganjaran) yang besar, atau ancaman yang dahsyat ke atas perkara yang remeh dan (dosa) kecil, maka ketahuilah perkara ini dan sentiasalah beringat tentangnya."

Oleh itu, kedua-dua hadis ini tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Nabi SAW.

Hukum Bercakap Dalam Masjid

Imam Ibnu 'Abidin al-Hanafi dalam kitab Radd al-Muhtar berpendapat bahawa harus untuk bercakap perkara yang harus hukumnya di dalam masjid berdasarkan perbuatan Ahli Suffah yang sentiasa melazimi masjid, tidur dan bercakap-cakap di dalamnya.

Begitu juga Imam Ibnu Hazm dalam kitab al-Muhalla menghimpunkan dalil-dalil akan keharusan bercakap di dalam masjid tentang perkara yang tiada dosa padanya.

Di dalam Sahih Muslim juga ada diriwayatkan bahawa para sahabat bersembang di dalam masjid selepas solat Subuh tentang kehidupan mereka sewaktu zaman jahiliyyah dan mereka saling ketawa. Rasulullah SAW  pula tersenyum mendengar kisah mereka.

Manhaj Kitab Sahih Ibnu Hibban

Sahih Ibnu Hibban dalam versi asal

1 - Imam Ibnu Hibban (m. 354 H) menamakan kitab ini sebagai:

المسند الصحيح على التقاسيم والأنواع من غير وجود قطع في سندها ولا ثبوت جرح في ناقلها.

Tetapi seperti kebiasaan kitab hadis yang lain yang dinisbahkan kepada pengarangnya kitab ini terkenal sebagai Sahih Ibnu Hibban. 

2 - Di dalam kitab ini, beliau meletakkan 5 kategori besar (أقسام) iaitu:

Pertama: Perintah-perintah Rasulullah.

Kedua: Larangan-larangan Rasulullah.

Ketiga: Khabar (sirah) Rasulullah.

Keempat: Perkara-perkara yang diharuskan oleh Rasulullah. 

Kelima: Perbuatan Rasulullah yang khusus bagi baginda.

Di dalam kategori-kategori tersebut terkandung beberapa buah jenis (أنوع). 

Bagi setiap jenis tersebut dipecahkan kepada beberapa bab kecil yang yang dinamakan dengan (ذِكْر) lalu diletakkan beberapa buah hadis yang bersesuaian dengannya. 

Tujuan beliau adalah untuk memudahkan orang ramai menghafal hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam

Namun, penyusunan kitab ini dengan cara sedemikian sebenarnya lebih  menyukarkan orang awam untuk mengambil faedah daripada kitab ini kerana kesukaran mencari hadis yang diingini dalam kitab ini.

Oleh itu, sebahagian ulama mengambil inisiatif untuk menyusun semula kitab ini berdasarkan bab-bab fekah sebagaimana kitab al-Sunan, antaranya oleh al-Hafiz Mughlathai (m. 761 H), Ibnu Zuraiq (m. 803 H) dan Ibnu Balban al-Farisi (m. 739 H) dengan kitab yang berjudul al-Ihsan Fi Taqrib Sahih Ibnu Hibban.

Kitab al-Ihsan yang menyusun semula hadis-hadis Sahih Ibnu Hibban

3 - Kitab ini mengandungi hadis sahih dan hasan kerana pengarangnya berpendapat bahawa tidak ada beza di antara hadis sahih dan hadis hasan. Hadis hasan di sisi beliau termasuk dalam kategori hadis sahih. Oleh itu, hadis-hadis dalam kitab ini sama ada ianya hadis sahih ataupun hadis hasan (menurut pandangan beliau) dan beliau tidak memasukkan hadis daif.

4 - Sebahagian ahli hadis menganggap beliau sebagai mutasahil oleh kerana beliau menamakan hadis hasan sebagai sahih. Demikian juga beliau dianggap mutasahil dalam menthiqahkan perawi hadis yang majhul walaupun beliau dianggap sebagai seorang mutasyaddid ketika mengkritik perawi hadis.

Rujukan:

1 - Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2 - Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Rabu, 17 Julai 2019

Manhaj Kitab Sunan al-Tirmizi

Pengenalan Kitab Sunan al-Tirmizi

Sunan al-Tirmizi merupakan karya Imam al-Hafiz Abu Isa, Muhammad bin Isa bin Saurah al-Tirmizi (meninggal dunia pada tahun 279 Hijrah).

Beliau menyusunnya mengikut bab-bab fiqh, dan ia merupakan antara kitab hadis yang paling lengkap dan paling kaya dari segi ilmu dan kesenian ilmu hadis.

Kandungan dan Perbahasan Ilmu Hadis dalam Sunan al-Tirmizi

Imam al-Tirmizi telah meriwayatkan dalam kitabnya hadis sahih, hasan, da'if, gharib, dan mu'allal, serta mendedahkan 'illahnya (kecacatan tersembunyi). Beliau juga menyebut hadis munkar dan menjelaskan aspek kemungkarannya. Beliau turut membahaskan tentang fiqh hadis, mazhab-mazhab salaf, para perawi, dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan hadis dan ilmu-ilmunya.

Metodologi Imam al-Tirmizi Berbanding al-Bukhari dan Muslim

Di dalamnya, Imam al-Tirmizi telah menggabungkan metodologi gurunya, al-Bukhari, dari sudut perhatiannya terhadap fiqh dan istinbat hukum, serta metodologi Muslim dengan meletakkan hadis di tempatnya yang sesuai walau berapa banyak pun riwayat dan sanadnya, kerana beliau berusaha untuk mengumpulkan riwayat-riwayat bersanad di satu tempat. Akan tetapi, Imam al-Tirmizi mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding al-Bukhari dan Muslim dengan meletakkan istilah-istilahnya sendiri dan menyentuh isu-isu fiqh yang tidak dibincangkan oleh mereka berdua.

Penilaian Hadis dan Kritikan Perawi

Di samping itu, beliau mengulas hadis-hadis yang diriwayatkannya, dengan menyatakan darjat setiap hadis selepasnya sama ada sahih, hasan, atau da'if, serta jalan-jalan periwayatannya yang berbeza, dan para perawinya dari sudut al-jarh wa al-ta'dil (kritikan dan pujian), sambil memberi peringatan tentang 'illah (kecacatan tersembunyi) yang terdapat pada sanad-sanad.

Tema dan Skop Hadis dalam Sunan al-Tirmizi

Kebanyakan hadis dalam kitab ini bersifat sahih, dan terdapat juga sebilangan hadis hasan, dan sedikit hadis da'if. Tema-tema hadisnya tidak terhad kepada hadis-hadis hukum sahaja, malah ia juga merangkumi hadis-hadis berkaitan adab, nasihat, manaqib (keutamaan), dan tafsir. Jumlah hadis-hadis hukum dalam kitab ini mencapai sekitar separuh daripada keseluruhan hadis di dalamnya.

Sebab Dinamakan al-Sunan

Imam al-Tirmizi mengambil kira dalam susunan hadis-hadis hukum agar ia dikemukakan secara tersusun mengikut bab-bab fiqh, dan oleh sebab itu, kitabnya dinamakan sebagai 'al-Sunan'.

Kaedah Imam al-Tirmizi dalam Menyusun Hadis Hukum

Dalam periwayatannya bagi setiap hadis hukum, beliau akan mengemukakan hadis tersebut serta hadis-hadis lain yang bersesuaian, kemudian menghuraikan pandangan-pandangan para ahli fiqh dalam isu fiqh yang dibahaskan oleh hadis tersebut, dan menunjukkan amalan mereka berdasarkan hadis ini.

Syarat al-Tirmizi dalam kitab Jami'nya:

Al-Tirmizi telah menyatakan syarat-syaratnya dalam kitab al-'Ilal di akhir kitab Jami'nya. Syarat-syarat ini boleh diringkaskan kepada dua syarat berikut:

Syarat Pertama: Berdasarkan Amalan Ulama terhadap Hadis

Kitab Jami' al-Tirmizi dibina atas dasar amalan para ulama terhadap hadis.

Al-Tirmizi berkata di awal kitab al-'Ilal pada akhir Jami'nya: “Kesemua hadis dalam kitab ini diamalkan, dan telah diambil (sebagai hujah) oleh sebahagian ahli ilmu, kecuali dua hadis: hadis Ibn Abbas: ‘Nabi sallahu ‘alaihi wasallam telah menjamakkan solat Zohor dan Asar di Madinah, serta Maghrib dan Isyak, tanpa sebab takut atau hujan.’ Dan hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda bersabda: ‘Apabila seseorang meminum arak, sebatlah dia. Jika dia mengulanginya bagi kali keempat, maka bunuhlah dia.’ Kami telah menjelaskan 'illah (kecacatan) kedua-dua hadis ini di dalam kitab ini.”

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Sesungguhnya beliau hanya menjelaskan apa yang boleh dijadikan dalil untuk nasakh (pembatalan hukum), bukan menjelaskan kelemahan sanad kedua-dua hadis tersebut.”

Ini tidaklah bermaksud bahawa al-Tirmizi rahimahullah Ta'ala telah merangkumkan kesemua hadis yang diamalkan, kerana beliau tidak beriltizam untuk menyebut setiap hadis yang diamalkan, kerana beliau menyusun kitabnya secara ringkas sepertimana katanya: “Kami telah menyusun kitab ini secara ringkas, demi manfaat yang kami harapkan daripadanya.”

Akan tetapi, beliau tidak menyebutkan sesuatu hadis melainkan ia diamalkan, selain daripada apa yang telah dikecualikannya, dan selain hadis-hadis yang mempunyai 'illah (kecacatan) yang disebutkannya bagi tujuan menjelaskan 'illahnya, dan mendedahkan sebab-sebab ia ditolak, atau hadis-hadis yang sangat da'if yang beliau riwayatkan sebagai perbandingan, atau kerana ia menyempurnakan pemahaman hadis yang sahih, atau dikuatkan oleh hadis yang sahih, atau dikuatkan dengan amalan yang diwarisi, dan fiqhnya, atau dengan qarinah-qarinah (petunjuk) lain, atau kerana pada pandangannya, ia lebih kuat daripada ijtihad para ulama, kerana kemungkinan berlakunya kesilapan dalam ijtihad para ulama boleh jadi lebih besar berbanding kesilapan dalam hadis yang da'if.

Syarat Kedua: Penilaian Terhadap Para Perawi

Al-Tirmizi tidak berhujah dengan hadis-hadis daripada perawi yang sangat da'if. Jika beliau meriwayatkan hadis daripadanya, maka beliau akan menjelaskannya menurut ijtihadnya. Al-Tirmizi berkata: “Maka sesiapa yang diriwayatkan hadis daripadanya, dari kalangan orang yang dituduh (berdusta atau memalsukan hadis), atau dilemahkan kerana kelalaiannya dan banyaknya kesilapannya, dan hadis itu tidak diketahui melainkan daripada riwayatnya, maka ia tidak dijadikan hujah.”

Kedudukan Syarat Imam al-Tirmizi Berbanding Abu Dawud

Dengan merujuk kepada pembahagian al-Hazimi mengenai para perawi daripada kalangan al-Mukthirin (perawi yang banyak meriwayatkan hadis), kita dapati beliau berkata: “Kategori keempat ialah sekumpulan perawi yang berkongsi dengan ahli kategori ketiga dari segi al-jarh wa al-ta'dil (kritikan dan pujian), dan mereka berbeza kerana kurangnya penglibatan mereka dengan hadis al-Zuhri, kerana mereka tidak banyak mendampingi al-Zuhri. Ini adalah sebahagian daripada syarat Abu Isa al-Tirmizi. Pada hakikatnya, syarat al-Tirmizi adalah lebih tinggi daripada syarat Abu Dawud, kerana apabila sesuatu hadis itu da'if, atau puncanya adalah daripada hadis ahli kategori keempat, maka beliau akan menjelaskan kelemahannya, dan memberi peringatan tentangnya, maka hadis itu di sisinya menjadi sebahagian daripada bab al-syawahid dan al-mutaba'at (riwayat sokongan dan penguat), dan sandarannya adalah pada hadis yang sahih di sisi jamaah (ulama hadis). Secara keseluruhannya: kitabnya merangkumi bidang ini, maka kerana inilah kami meletakkan syaratnya di bawah syarat Abu Dawud.”

Syarat al-Tirmizi bukanlah di bawah syarat Abu Dawud, kerana kedua-duanya meriwayatkan hadis-hadis ahli kategori keempat sebagai i'tibar (untuk pertimbangan). Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Hadis-hadis gharib yang beliau riwayatkan, di dalamnya terdapat sebahagian hadis munkar – terutamanya dalam kitab al-Fadha'il (Keutamaan-keutamaan) – akan tetapi beliau menjelaskannya pada kebiasaannya, dan tidak mendiamkan diri tentangnya. Saya tidak mengetahui beliau meriwayatkan daripada seorang yang dituduh berdusta yang disepakati tuduhannya, sebuah hadis dengan sanad yang bersendirian (tararrud), melainkan beliau mungkin meriwayatkan sebuah hadis yang diriwayatkan melalui beberapa jalan, atau yang terdapat perbezaan pendapat pada sanadnya dan pada sebahagian jalannya terdapat perawi yang dituduh (berdusta atau memalsukan hadis)...Benar, beliau kadangkala meriwayatkan daripada perawi yang buruk hafalannya, dan daripada orang yang hadisnya dikuasai oleh al-wahm (kesilapan/kekeliruan), dan beliau menjelaskannya pada kebiasaannya, dan tidak mendiamkan diri tentangnya. Abu Dawud telah berkongsi dengannya dalam meriwayatkan daripada kebanyakan perawi dari kategori ini, berserta sikap mendiamkan diri tentang hadis mereka, seperti Ishaq bin Abi Farwah, dan lain-lain.”

Dr. Nuruddin 'Itr berkata: “Kedua-dua kitab ini adalah setara dari sudut periwayatan daripada para perawi, dan kekallah keistimewaan al-Tirmizi dengan apa yang disebutkan oleh al-Hazimi tentang syaratnya yang lebih tinggi, dan kelebihannya berbanding Abu Dawud, kerana beliau memberi peringatan tentang para perawi da'if ini, dan tidak mendiamkan diri tentang mereka.”

Susunan Jami' al-Tirmizi:

Imam al-Tirmizi menyusun kitab ini berasaskan bab-bab, dengan menggunakan tajuk “Abwab” bagi hadis-hadis yang berkaitan dengan isu-isu yang pelbagai yang merangkumi beberapa cabang, dan menggunakan tajuk “Bab” bagi hadis-hadis yang berkaitan dengan satu isu tertentu. Contohnya ialah perkataannya: “Bab-bab (abwab) Bersuci daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, dan “Bab Yang Datang Bahawa Kunci Solat adalah Bersuci”.

Istilah-Istilah al-Tirmizi Dalam Menghukum Hadis:

Telah sedia maklum: bahawa para ulama hadis telah menetapkan definisi bagi istilah-istilah mereka, yang telah menjadi kebiasaan dan disepakati penggunaannya di kalangan mereka.

Imam al-Tirmiz telah membicarakan di penutup kitabnya, al-Jami' dalam kitab al-'Ilal tentang definisinya bagi hadis hasan dan hadis gharib. Akan tetapi, kewujudan istilah-istilah gabungan yang banyak digunakan oleh al-Tirmizi, seperti perkataannya: “Hasan sahih”, “hasan sahih gharib”, dan “hasan gharib” telah menyebabkan pandangan para ulama berbeza-beza mengenainya dengan perbezaan yang ketara. Hal ini memerlukan kajian, penelitian, dan penelaahan mendalam terhadap kitab al-Tirmizi untuk mengetahui maksud beliau.

1 - Hadis Hasan:

Ia adalah hadis yang bersambung sanadnya melalui periwayatan seorang yang ‘adil, yang kurang sedikit dhabit (hafalan dan ketepatannya), serta tidak syaz dan tidak mu'allal (mempunyai kecacatan tersembunyi).

Inilah definisi di sisi ahli hadis bagi hadis hasan li-zatihi, maka ia adalah seperti hadis sahih tetapi dengan satu perbezaan, iaitu dhabit kurang sedikit, yakni ia memenuhi syarat dhabit yang diterima pada tahap minimum.

Adapun definisi al-Tirmizi bagi hasan dalam kitabnya al-Jami', maka beliau mempunyai istilah khusus mengenainya yang telah didefinisikan di akhir kitabnya al-Jami' dalam kitab al-'Ilal, di mana beliau berkata: “Apa yang kami sebutkan dalam kitab ini sebagai: 'hadis hasan', maka sesungguhnya yang kami maksudkan dengannya ialah sanadnya hasan di sisi kami: setiap hadis yang diriwayatkan yang mana pada sanadnya tidak terdapat perawi yang dituduh berdusta, dan hadis itu tidak syaz, serta diriwayatkan melalui jalan lain yang seumpamanya, maka ia di sisi kami adalah hadis hasan.”

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali telah menjelaskan maksud al-Tirmizi dengan definisi itu, lalu beliau berkata: “Maka berdasarkan (definisi) ini, hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah yang ‘adil, dan orang yang banyak kesilapannya, dan orang yang hadisnya dikuasai oleh al-wahm (kekeliruan), apabila tiada seorang pun daripada mereka yang dituduh (berdusta), kesemuanya adalah hasan, dengan syarat ia tidak syaz yang menyalahi hadis-hadis sahih, dan dengan syarat maknanya telah diriwayatkan melalui beberapa jalan yang berbeza.”

Jika para ahli hadis telah menetapkan satu lagi kategori bagi hadis hasan, iaitu hadis hasan li-ghayrihi, yang merupakan hadis da'if yang jalan-jalannya berbilang-bilang dan banyak sehingga dapat menampung kelemahan dan kedaifannya, maka sesungguhnya inilah yang dinamakan oleh al-Tirmizi rahimahullah sebagai hasan. Maka, dengan itu al-Tirmizi bersepakat dengan para ahli hadis dalam penamaan hasan, tetapi berbeza dengan mereka dalam membezakan antara kedua-dua jenisnya. Apabila beliau menggunakan perkataan hasan tanpa sifat atau qarinah (petunjuk) lain, maka maksudnya ialah hasan li-ghayrihi.

Adapun perkataan al-Tirmizi: Hasan gharib, maka al-Tirmizi telah menggunakannya bagi merujuk kepada hasan li-zatihi, seperti yang dikatakan oleh al-Biqa'i.

Adalah jelas daripada definisi al-Tirmizi bagi hadis hasan, dan pembatasannya, bahawa ia merupakan istilah khusus bagi beliau dalam Jami'-nya, yang berbeza daripada apa yang telah diistilahkan oleh ulama Mustalah al-Hadith dalam definisinya dari segi syarat-syarat, iaitu: bersambungnya sanad, tidak syaz, tidak mu'allal (mempunyai kecacatan tersembunyi), dan kurang sedikit dhabitnya.

Daripada itu, kita dapat simpulkan: bahawa perkataan sesetengah orang yang berkecimpung dalam bidang hadis: “Diriwayatkan oleh al-Tirmizi”, dan beliau berkata: “Ini adalah hadis hasan, dan ia adalah seperti yang dikatakannya”, menunjukkan dia tidak mengetahui maksud Imam al-Tirmizi daripada istilah ini. Atau dia berkata: “Bahkan ia da'if” sebagai tanda tidak bersetuju dengan penilaian hasan oleh al-Tirmizi, dan dia tidak sedar bahawa perkataan al-Tirmidhi itu merujuk kepada penilaian hasannya melalui jalan-jalan riwayatnya, kerana al-Tirmidhi telah berkata dalam definisinya: “dan diriwayatkan melalui jalan-jalan lain.”

Bagi melengkapkan faedah, disebutkan di sini ringkasan dapatan yang telah dicapai oleh al-Ustaz Abdul Rahman bin Saleh Muhyiddin dalam tesisnya ‘Hadis-hadis yang Dinilai Hasan oleh Abu Isa al-Tirmizi dan Beliau Bersendirian Meriwayatkannya Berbanding Para Penyusun Kutub al-Sittah’:

- Telah jelas baginya bahawa hukum Abu Isa ke atas hadis hasan ialah hadis da'if yang dikuatkan oleh riwayat lain, dan menjadi hasan li-ghayrihi. Ini adalah pada kebanyakan keadaan. Ia mungkin didapati pada apa yang dinamakan hasan li-zatihi, dan sahih li-ghayrihi, dan sedikit sahaja di dalamnya hadis da'if yang tidak mempunyai penguat, dan beliau tidak mendapati di dalamnya hadis mawdhu' (palsu).

- Telah jelas baginya bahawa perkataan al-Hafiz al-zahabi: “Sesungguhnya kebanyakan hadis hasan Abu Isa adalah da'if” tidak boleh diterima secara mutlak, kecuali jika beliau memaksudkan dengan da'if itu adalah yang kelemahannya ditampung dan dikuatkan oleh riwayat lain, maka itu berkemungkinan, tetapi tidak wajar menggunakannya secara mutlak tanpa batasan kerana ia boleh menimbulkan salah faham bahawa yang dimaksudkan adalah da'if yang ditolak, padahal tidak begitu, kerana kebanyakannya adalah hasan dari jenis hasan li-ghayrihi, dan syarat yang telah ditetapkan oleh Abu Isa telah pun dipenuhinya.

- Beliau mendapati melalui kajian ini bahawa hadis-hadis yang dinilai hasan oleh Abu Isa, dan beliau bersendirian meriwayatkannya, sedangkan ia da'if, dan beliau tidak menemui penguat baginya, bilangannya mencapai empat buah hadis berdasarkan penelitiannya.

- Beliau mendapati bahawa hadis-hadis yang dinilai hasan oleh Abu Isa, sedangkan ia adalah sahih li-zatihi atau li-ghayrihi, bilangannya mencapai lima buah hadis.

- Selain daripada itu, maka baki hadis-hadisnya adalah hasan, sepertimana yang telah beliau jelaskan pada tempatnya di dalam risalah tersebut.

2 - Hadis Gharib:

Gharib dari segi bahasa, ialah yang bersendirian, atau yang jauh daripada kaum kerabatnya. Di sisi para ahli hadis: ia adalah hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh perawinya, sama ada dia bersendirian meriwayatkannya daripada seorang imam yang hadisnya dikumpulkan, atau daripada seorang perawi selain imam.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam definisinya: “Ia adalah hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang sahaja pada mana-mana bahagian sanad yang berlaku padanya periwayatan secara bersendirian.”

Al-Tirmizi telah mendefinisikannya dalam kitab al-'Ilal di akhir kitabnya al-Jami', lalu beliau berkata: “Apa yang kami sebutkan dalam kitab ini: “hadis gharib”, maka sesungguhnya ahli hadis menganggap gharib sesuatu hadis itu kerana beberapa makna (sebab). Boleh jadi sesuatu hadis itu gharib kerana ia tidak diriwayatkan melainkan melalui satu jalan sahaja.”

Al-Hafiz Ibn Rajab berkata sambil menjelaskan maksud al-Tirmizi: “Maka berdasarkan apa yang disebutkan oleh al-Tirmizi: setiap hadis yang pada sanadnya terdapat (perawi) yang dituduh (berdusta) maka ia bukanlah hasan, dan selainnya adalah hasan dengan syarat ia tidak syaz. Dan yang zahir bahawa beliau memaksudkan dengan syaz itu apa yang dikatakan oleh al-Syafi'i, iaitu: bahawa para perawi thiqah meriwayatkan daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam (sesuatu) yang menyalahinya, dan dengan syarat diriwayatkan yang seumpamanya melalui jalan lain, yakni: diriwayatkan makna hadis tersebut melalui jalan-jalan lain daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang berbeza itu.

Maka berdasarkan definisi ini, hadis yang diriwayatkan oleh (perawi) thiqah yang adil, dan orang yang banyak kesilapannya, dan orang yang hadisnya dikuasai oleh al-wahm (kekeliruan), apabila tiada seorang pun daripada mereka yang dituduh (berdusta), kesemuanya adalah hasan dengan syarat ia tidak syaz yang menyalahi hadis-hadis sahih, dan dengan syarat maknanya telah diriwayatkan melalui beberapa jalan yang berbeza.”

Istilah-istilah Gabungan di sisi al-Tirmizi:

Iaitu seperti perkataannya: “Ini adalah hadis hasan sahih”, “hasan sahih gharib”, “sahih hasan gharib”, maka dalam hal itu terdapat perbincangan yang panjang untuk disebut disebabkan perselisihan ulama yang meluas mengenainya dan penyebutan mereka tentang pandangan-pandangan yang disanggah oleh sebahagian mereka. Oleh itu, ia memerlukan satu kajian yang meluas dan khusus, dan itu hanya boleh dilakukan selepas kita mempunyai naskhah yang disemak dan dibandingkan dengan naskhah-naskhah asal, yang dapat menjelaskan kepada kita sifat yang betul yang diletakkan oleh al-Tirmizi bagi setiap hadis, tanpa tahrif (perubahan) atau keguguran, sepertimana yang berlaku pada semua cetakan.

3 - 'Qala Ashabuna' (Ulama-ulama kami berkata).

Penggunaan lafaz ini banyak di sisi al-Tirmizi dalam Jami'nya, dan yang dimaksudkan dengannya ialah para ahli fiqh mujtahid dari kalangan ahli hadis seperti Malik bin Anas, Muhammad bin Idris al-Syafi'i, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahwayh, dan lain-lain.

4 - 'Qala Ahl al-Kufah' (Ahli Kufah berkata).

Al-Tirmizi banyak menggunakan ungkapan ini dalam Jami'nya dalam menjelaskan mazhab-mazhab, dan beliau menyebutkannya sebagai perbandingan dengan tiga imam: Malik, al-Syafi'i, dan Ahmad pada kebanyakan masa, lalu beliau berkata: “Ahli Kufah berkata” atau: “Sebahagian Ahli Kufah berkata” dan ungkapan-ungkapan seumpamanya. Maka sebahagian mereka menyangka bahawa maksudnya dengan ‘Ahli Kufah’ ialah Imam Abu Hanifah, dan bahawa beliau mengabaikan penyebutan namanya kerana ta'assub (sikap fanatik) menentangnya!

Akan tetapi, pandangan ini tidak benar, kerana penelitian terhadap penggunaan lafaz ini oleh al-Tirmizi menunjukkan bahawa beliau tidak mengkhususkannya kepada Abu Hanifah, bahkan beliau memaksudkan sesiapa sahaja dari kalangan ahli fiqh yang berada di sana seperti Waki', dan dua Sufyan (al-Thawri dan Ibn 'Uyaynah), seperti perkataannya dalam bab mengenai riwayat bahawa baginda memulakan (membasuh kepala) dengan bahagian belakang kepala (ketika berwujuk): “Sebahagian ahli Kufah telah berpegang kepada hadis ini, di antara mereka ialah Waki' bin al-Jarrah.”

Ini menunjukkan bahawa beliau memaksudkan dengan perkataannya ‘Ahli Kufah’ lebih umum daripada golongan Hanafiyyah. Jika tidak, nescaya tidak sahlah perkataannya selepas itu: “di antara mereka ialah Waki' bin al-Jarrah.” Itu adalah ungkapan yang lazim dalam kitab-kitab hadis khususnya, bahkan di kalangan Hanafiyyah sendiri. Al-'Aini dalam kitabnya, 'Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari banyak menggunakan lafaz ini dengan memaksudkan apa yang dimaksudkan oleh al-Tirmizi, yakni: para imam yang berada di Kufah.

Kita tidak boleh memastikan bahawa tindakan al-Tirmizi meninggalkan penyebutan nama al-Imam al-A'zham (Abu Hanifah) dalam konteks menjelaskan mazhab-mazhab adalah kerana ta'assub, kerana mungkin sahaja mazhabnya tidak sampai kepadanya melalui cara yang beliau yakini.

Pengulangan Hadis di Sisi al-Tirmizi:

Dr. Nuruddin 'Itr berkata: “Al-Tirmizi telah mengelakkan pengulangan yang kita dapati dalam kitab-kitab hadis. Maka tidak berulang di sisinya melainkan sedikit sahaja hadis, pada sedikit tempat, sehingga pembaca tidak akan mengetahuinya melainkan selepas penelitian dan kajian.. Dan al-Tirmidhi tidak mengulangi hadis di banyak tempat, sepertimana yang dilakukan oleh al-Bukhari.. Dan sebanyak-banyaknya Abu Isa mengulanginya ialah dengan meriwayatkannya di tiga tempat, dan jarang sekali ia berulang di empat tempat. Sebagaimana beliau juga tidak beriltizam dan mengambil kira apa yang kita dapati di sisi al-Bukhari dari segi faedah-faedah pada matan hadis, atau sanadnya, kerana telah berulang di sisinya hadis-hadis dengan matan dan sanad yang sama.

Begitulah kita dapati al-Tirmizi sangat sedikit mengulangi hadis, dan bahawa dalam pengulangannya, beliau kadangkala mengambil kira perbezaan dengan (mengemukakan) faedah baharu pada matan hadis atau sanadnya, dan kadangkala beliau tidak mengambil kira perkara itu.”

Sejarah Cetakan dan Tahqiq Kitab Jami' al-Tirmizi

Kitab ini dicetak pertama kalinya dengan tahqiq (semakan dan penelitian) Syeikh Ahmad Muhammad Syakir, tetapi beliau tidak menyempurnakannya, dan Ustaz Muhammad Fuad Abdul Baqi menyambung kerjanya, dan sampai ke jilid ketiga, (tetapi) tidak menyiapkannya. Ia dicetak dengan tahqiq dan ulasan al-Ustaz Izzat Ubaid al-Da'as, di Dar Ibn Kathir di Damsyik pada tahun 1428 H - 2007 M dalam sepuluh jilid. Kemudian terbitlah banyak cetakan baginya, tetapi ia tidak mengandungi tahqiq yang teliti sepertimana yang selayaknya bagi kitab ini.

Rujukan:

Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Sabtu, 13 Julai 2019

Manhaj Kitab Sunan al-Nasai’i


- Imam al-Nasa’ie (m. 303 H) menamakan kitab ini sebagai al-Mujtaba Min al-Sunan.

- Dikatakan bahawa kitab ini adalah ringkasan kepada kitab beliau al-Sunan al-Kubra. Tetapi yang tepatnya adalah kitab ini adalah kitab yang tersendiri yang tidak berkaitan dengan al-Sunan al-Kubra kerana penulisnya meletakkan riwayat-riwayat baru yang tidak terdapat dalam al-Sunan al-Kubra serta cara penyusunan dan tajuk-tajuk bab di dalamnya juga berbeza.

- Kitab ini dikenali sebagai al-Sunan al-Sughra untuk membezakannya dengan al-Sunan al-Kubra. Selain itu ia juga dikenali dengan nama Sunan al-Nasa’ie, nisbah kepada pengarangnya dan dengan nama inilah kitab ini lebih dikenali.

- Kitab ini mengandungi hadis-hadis sahih, hasan dan sedikit hadis daif. Di kalangan Sunan al-Arba’ah, kitab ini paling sedikit hadis daifnya dan paling sedikit para perawinya yang dikritik.

- Imam al-Nasa’ie tidak menjelaskan manhaj beliau dalam kitab ini tetapi berdasarkan penelitian, beliau ingin mengeluarkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah.

- Beliau sangat jarang mengeluarkan hadis perawi daif sebagai hadis utama. Beliau lebih mengutamakan mengeluarkan hadis dengan sanad yang kuat walaupun sanadnya lebih panjang meskipun beliau mempunyai hadis yang lain yang sanadnya lebih pendek tetapi tidak kuat.

- Beliau tidak banyak menyebutkan hukum beliau terhadap hadis dalam kitab ini kecuali hanya beberapa tempat sahaja dalam kitab ini.

- Selain itu, beliau juga tidak banyak menyentuh tentang ‘illal yang mencacatkan kesahihan hadis. Meskipun begitu terdapat beberapa tempat yang beliau sebutkan tarjih beliau terhadap hadis yang berlaku khilaf antara riwayat marfu’ atau mauquf  dan mursal  atau mausul.

[Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri]

Isnin, 8 Julai 2019

Kenapa Sunan Ibnu Majah Termasuk Dalam Kutub al-Sittah?


- Sebagaimana yang diketahui umum, Sunan Ibnu Majah berada di tahap yang terbawah di kalangan Kutub al-Sittah.

- Ini kerana Imam Ibnu Majah (m. 273 H) banyak meriwayatkan hadis daripada perawi-perawi yang dituduh berdusta dan mencuri hadis seperti Habib bin Abi Habib, jurutulis Imam Malik (matruk, didustakan oleh Abu Daud dan sekumpulan ulama), al-‘Ala’ bin Zaidal (matruk, dituduh berdusta oleh Abu al-Walid), Daud bin al-Muhabbar (matruk, kebanyakan hadis dalam kitab al-‘Aql yang dia karang adalah palsu), Abdul Wahab bin al-Dhahhak (matruk, didustakan oleh Abu Hatim), Ismai’il bin Ziyad al-Sakuni (matruk, didustakan oleh ahli hadis), Abdul Salam bin Abi al-Janub (matruk) dan perawi-perawi yang lain.

- Kata al-Hafiz al-‘Alla’ie (m. 761 H): “Seharusnya kitab al-Darimi menjadi kitab yang keenam bagi lima kitab tersebut mengantikannya (Sunan Ibnu Majah). Ianya lebih sedikit perawi yang daif, sangat nadir hadisnya yang mungkar dan syaz. Walaupun di dalamnya ada hadis-hadis yang mursal dan mauquf, ia lebih aula daripada Sunan Ibnu Majah.”

- Sebahagian ulama pula seperti Razin al-Saraqusti (m. 525 H atau 535 H) dan Ibnu al-Athir (m. 606 H) dalam Jami’ al-Usul menjadikan al-Muwatta’ sebagai kitab yang keenam.

- Ulama pertama yang menjadikan Sunan Ibnu Majah sebagai kitab yang keenam ialah Ibnu Thahir al-Maqdisi (m. 507 H) dalam kitab al-Athraf dan Syurut al-Aimmah al-Sittah. Lalu diikuti oleh Abdul Ghani al-Maqdisi (m. 600 H) dalam kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal  yang kemudiannya diringkaskan oleh al-Mizzi (m. 742 H) dalam Tahzib al-Kamal.

- Mereka mendahulukan kitab Sunan Ibnu Majah berbanding al-Muwatta’ kerana hadis-hadis marfu’  tambahan (zawaid) yang terdapat dalam al-Muwatta’ adalah lebih sedikit jika dibandingkan dengan apa yang terdapat dalam Sunan Ibnu Majah. Mereka menggabungkan Sunan Ibnu Majah bersama Kutub al-Khamsah supaya lebih banyak hadis marfu’.

Rujukan:

- Al-Nukat ‘Ala Kitab Ibnu al-Solah, al-Hafiz Ibnu Hajar.

- Fath al-Mughith Syarah Bi Syarah Alfiyah al-Hadith, al-Hafiz al-Sakhawi.