Rabu, 31 Ogos 2016

Hadis: Tumbuhan hijau yang tumbuh di tempat yang kotor

إِيَّاكُمْ وَخَضْرَاءَ الدِّمَنِ، فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا خَضْرَاءُ الدِّمَنِ؟ قَالَ: الْمَرْأَةُ الْحَسْنَاءُ فِي الْمَنْبَتِ السُّوءِ

“Jaga-jagalah kamu daripada tumbuhan hijau yang tumbuh di tempat yang kotor.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah tumbuhan hijau yang tumbuh di tempat yang kotor itu?” Baginda menjawab: “Perempuan yang cantik yang membesar dalam lingkungan yang buruk.”

Riwayat al-Ramahurmuzi dan al-‘Askari dalam al-Amthal, al-Daraqutni dalam al-Afrad, Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil, al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab, al-Khatib al-Baghdadi dalam Idhah al-Multabis dan al-Darimi dalam Musnad al-Firdaus. Semua meriwayatkan daripada jalur perawi Muhammad bin ‘Umar al-Waqidi daripada riwayat Abu Sa’id al-Khudri.

Ibnu al-Mulaqqin menukilkan dalam al-Badr al-Munir: “Ibnu Thahir berkata dalam Takhrij Ahadith al-Syihab: Hadis ini dikira sebagai hadis yang diriwayatkan secara tunggal oleh al-Waqidi dan dia adalah daif. Ibnu Solah berkata dalam kitab Musykilnya: Ia dikira sebagai hadis yang diriwayatkan secara tunggal oleh al-Waqidi dan dia adalah daif. Al-Daraqutni berkata: Tidak sahih daripada mana-mana jalur sekalipun.”

Al-Waqidi tidak hanya dinilai sebagai daif bahkan dinilai sebagai matruk (sangat daif) oleh al-Bukhari, Abu Hatim dan Ibnu Hajar. Kata Ahmad bin Hanbal: “Dia seorang pendusta.” Al-Nasa’ie dan Ali bin al-Madini berkata: “Dia seorang pemalsu hadis.” Kata Yahya bin Ma’in: “Dia tidak thiqah.” Pada ketika yang lain, beliau berkata: “Jangan tulis hadisnya.”

Hadis ini disebutkan dalam kitab-kitab fiqh sebagai anjuran memilih wanita yang baik dan mempunyai nasab keturunan yang baik ketika hendak menikah.

Ibnu al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir mencadangkan hadis lain yang lebih kuat:

خير نسَاء ركبن الْإِبِل: صَالح نسَاء قُرَيْش، أحناه عَلَى ولد فِي صغر وأرعاه عَلَى زوج فِي ذَات يَده

“Sebaik-baik wanita yang menunggang unta (wanita Arab) ialah wanita Quraisy. Mereka paling mengasihi anak ketika kecilnya dan paling menjaga harta suaminya.”

Riwayat al-Bukhari (5365) dan Muslim (2527).

Ibnu Hajar dalam Talkhis al-Habir mencadangkan hadis berikut:

تَخَيَّرُوا لِنُطَفِكُمْ وَانْكِحُوا الْأَكْفَاءَ وَانْكِحُوا إلَيْهِمْ

“Pilihlah (wanita) yang terbaik untuk benih kamu. Nikahilah wanita yang sepadan (dengan kamu) dan nikahilah (anak perempuan kamu) dengan mereka (lelaki yang sepadan).”

Riwayat Ibnu Majah (1968). Hadis ini diriwayatkan dengan dua sanad yang saling menguatkan sebagaimana menurut Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.

Khamis, 25 Ogos 2016

Hadis palsu tentang kelebihan Saidatina Fatimah

1 - ابْنَتِي فَاطِمَةُ حَوْرَاءُ آدَمِيَّةُ، لَمْ تَحِضْ، وَلَمْ تَطْمِثْ، وَإِنَّمَا سَمَّاهَا فَاطِمَةَ لأَنَّ اللَّهَ فَطَمَهَا وَمُحِبِّيهَا عَنِ النَّارِ

“Anakku, Fatimah adalah bidadari daripada kalangan manusia. Dia tidak mengeluarkan haid dan kotoran. Sesunggunya dinamakan dia Fatimah kerana Allah akan memisahkannya dan orang yang mencintainya daripada daripada neraka.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad daripada Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad: “Dalam sanad hadis ini terdapat tidak seorang daripada perawi yang majhul (tidak dikenali) dan ia tidak sabit (daripada Nabi).”

b. Penilaian al-Khatib al-Baghdadi dinukilkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at, al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah tanpa sebarang bantahan.

*Perkataan ‘tidak sabit’ (لَيْسَ بِثَابِت) jika digunakan dalam kitab-kitab yang menghimpunkan perawi-perawi daif dan hadis-hadis palsu, maksudnya ialah hadis tersebut palsu.

2 - إِنَّمَا سُمِّيَتْ فَاطِمَةُ لأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى فَطَمَ مُحِبِّيهَا مِنَ النَّارِ

“Sesungguhya dinamakan dia sebagai Fatimah kerana Allah akan memisahkan orang yang mencintainya daripada neraka.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at daripada Abu Hurairah secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at: “Ini adalah rekaan al-Ghilabi (salah seorang perawinya. Kata al-Daraqutni, dia seorang pereka hadis.”

b. Penilaian Ibnu al-Jauzi dipersetujui oleh al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu Arraq dalam Tanzih al-Syariah al-Marfu’ah, beliau (Ibnu ‘Arraq) menambah: “Dalam sanadnya juga ada Bisyr bin Ibrahim al-Ansari.”

Bisyr bin Ibrahim al-Ansari dinilai sebagai pereka hadis oleh Ibnu ‘Adi dan Ibnu Hibban.

3 - لم ير لفاطمة دم في حيض ولا نفاس

“Tidak dilihat pada Fatimah darah haid dan juga nifas.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu al-A’rabi dalam Mu’jamnya dan Ibnu Abi al-Dunya sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan.

Penilaian hadis

a. Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan: “Ini adalah rekaan al-‘Abbas (salah seorang perawinya).”

4 - عَن أَسمَاء قبلت فَاطِمَة بالْحسنِ فَلم أر لَهَا دَمًا فَقلت يَا رَسُول الله إِنِّي لم أر لفاطمة دَمًا فِي حيض وَلَا نِفَاس فَقَالَ أما علمت أَن ابْنَتي طَاهِرَة مطهرة فَلَا يرى لَهَا دم فِي طمث وَلَا ولادَة

“Daripada Asma’, beliau berkata: “Fatimah melahirkan Hasan. Tidak dilihat padanya darah (ketika melahirkan Hasan). Aku bertanya: Wahai Rasulullah, aku tidak melihat darah haid dan nifas pada Fatimah. Baginda menjawab: “Aku mengetahui bahawa anak perempuanku itu suci dan disucikan. Maka tidak dilihat padanya darah haid dan darah kerana melahirkan anak.”

Sumber hadis

Disebutkan oleh Al-Muhib al-Thabari dalam Zakhair al-‘Uqba sebagaimana yang dicatatkan oleh Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syariah al-Marfu’ah.

Penilaian hadis

Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah: “Ianya batil. Ia daripada riwayat Daud bin Sulaiman al-Ghazi daripada Ali bin Musa al-Redha.”

Daud bin Sulaiman al-Ghazli dinilai sebagai pendusta oleh Yahya bin Ma’in. Dia meriwayatkan naskah hadis-hadis palsu daripada Ali bin Musa al-Redha.

Rabu, 24 Ogos 2016

Kelebihan sembelih haiwan korban

1 - مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلاَفِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

“Tidak ada amalan anak Adam pada hari raya Aidil Adha yang lebih dicintai oleh Allah daripada menumpahkan darah (binatang korban). Ia (binatang korban) akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya (untuk diletakkan atas timbangan orang yang melakukan korban). Amalan korban tersebut akan diterima oleh Allah sebelum darah binatang korban tersebut jatuh ke bumi lagi. Maka sucikan jiwamu dengan berkorban.”

Riwayat al-Termizi (1493). Hadis hasan gharib.

2 -  مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ فِي هَذَا الْيَوْمِ، أَفْضَلَ مِنْ دَمٍ يُهَرَاقُ، إِلَّا أَنْ يَكُونَ رَحِمًا مَقْطُوعَةً تُوصَلُ

“Tidak ada amalan anak Adam pada hari ini (hari raya Aidil Adha) yang lebih baik daripada menumpahkan darah (binatang korban), kecuali menyambung ikatan kekeluargaan yang terputus.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir (10948) dengan sanad yang daif.

* Kebanyakan hadis kelebihan sembelih haiwan korban adalah sangat daif dan palsu. Bahkah hadis pertama yang diriwayatkan oleh al-Termizi dipertikaikan oleh Ibnu al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir. Sehinggakan Ibnu al-'Arabi dalam 'Aridhah al-Ahwazi berkata: "Tidak ada hadis kelebihan sembelihan haiwan korban yang sahih." Ini turut diakui oleh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi.

Selasa, 23 Ogos 2016

Hadis Kelebihan Menjaga Anak Yatim

Hadis Pertama

عَنْ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:

وَأَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا. وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالوُسْطَى. وَفَرَّجَ بَيْنَهُمَا شَيْئًا.

Daripada Sahl bin Sa’ad, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

"Aku dan penjaga anak yatim dalam syurga seperti ini." 

Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengah. Baginda merenggangkan sedikit antara keduanya.

Riwayat al-Bukhari (no. 5304 & 6005).

Pengajaran Hadis:

1 - Maksud anak yatim ialah anak kecil yang belum baligh yang kematian bapanya atau ibu dan bapanya sekaligus.

2 - Maksud penjaga anak yatim ialah orang yang bertanggung jawab menguruskan anak yatim sama ada  memberi nafkah dan perlindungan kepadanya, mendidik serta menguruskan hartanya.

3 - Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam merenggangkan sedikit antara jari telunjuk dan jari tengah untuk menunjukkan bahawa hanya sedikit sahaja perbezaan darjat antara nabi dan penjaga anak yatim di syurga seolah-olah hanya sekadar jarak antara jari telunjuk dan jari tengah.

4 - Hadis ini mengandungi galakan supaya menjaga dan memelihara anak yatim kerana perkara tersebut menjadi salah satu sebab untuk dimasukkan ke dalam syurga.

 5 - Imam Ibnu Battal berkata: “Seeloknya bagi sesiapa yang mendengar hadis ini untuk beramal dengannya supaya dia dapat menjadi teman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam di syurga. Tidak ada kedudukan di akhirat yang lebih afdal daripada itu.”

Hadis Kedua

أَنَّ رَجُلًا شَكَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَسْوَةَ قَلْبِهِ، فَقَالَ: امْسَحْ رَأْسَ الْيَتِيمِ، وَأَطْعِمِ الْمِسْكِينَ.

“Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang keras hatinya. Rasulullah menasihatinya: Usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada orang miskin.”

Riwayat Ahmad (no. 9018) daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif. Sanadnya terputus menurut al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hati yang keras adalah hati yang sukar untuk tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi laranganNya serta tidak ada belas ihsan kepada makhluk.

2 - Tujuan mengusap kepada anak yatim adalah untuk mengingatkan kepada kematian supaya dapat menghilangkan rasa lalai dan alpa. Kerasnya hati adakah kerana lalai terhadap kematian yang boleh hadir pada bila-bila masa.

3 - Memberi makan kepada orang miskin pula supaya kita dapat melihat kesan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita lalu melahirkan rasa syukur di dalam jiwa.

4 - Sikap belas ihsan kepada anak yatim dan orang miskin akan menyebabkan turunnya rahmat Allah dan akan menghilangkan kekerasan hatinya.

Hadis Ketiga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ لَا يُعَذِّبُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ رَحِمَ الْيَتِيمَ، وَلَانَ لَهُ فِي الْكَلَامِ، وَرَحِمَ يُتْمَهُ وَضَعْفَهُ، وَلَمْ يَتَطَاوَلْ عَلَى جَارِهِ بِفَضْلِ مَا آتَاهُ اللَّهُ.

“Demi Allah yang mengutuskan aku dengan kebenaran, Allah tidak akan mengazab pada hari kiamat orang yang mengasihani anak yatim, berbicara dengannya dengan lembut, bersimpati dengan keyatiman dan kelemahannya serta tidak berbangga diri dengan jirannya atas nikmat yang Allah berikan kepadanya.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (no. 8828) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada perawi Abdullah bin ‘Amir al-Aslami, dia adalah daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Antara cara berbuat baik kepada anak yatim adalah dengan menyantuninya, bercakap dengannya secara lemah lembut, serta merasa simpati dengan nasib yang menimpa dirinya.

2 - Disebutkan secara khusus tentang kelebihan tidak berbangga diri dengan jiran kerana jiran antara orang yang paling hampir dengan seorang individu itu. Jika seseorang itu tidak berbangga diri dengan orang yang paling rapat dengannya, maka sudah tentu dia tidak berbangga diri dengan orang yang jauh dari dirinya.

3 - Adapun jika menzahirkan nikmat yang Allah berikan kepadanya untuk tujuan menunjukkan rasa syukurnya kepada Allah dan tidak disertai rasa riak dan bangga diri, maka perkara tersebut adalah tidak dilarang kerana Allah suka melihat kesan nikmat yang diberikan kepada hambaNya.

Hadis Keempat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

خَيْرُ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ: بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُحْسَنُ إِلَيْهِ، وَشَرُّ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ: بَيْتٌ فِيهِ يَتِيمٌ يُسَاءُ إِلَيْهِ.

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Sebaik-baik rumah orang Islam itu adalah rumah yang ada anak yatim yang dilayan dengan baik di dalamnya. Seburuk-buruk rumah orang Islam itu adalah rumah yang ada anak yatim yang disakiti di dalamnya.”

Riwayat Ibnu Majah (no. 3679). Sanadnya daif menurut al-‘Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya’ dan al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah. Dalam sanadnya ada perawi Yahya bin Abi Sulaiman, dia adalah daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Rumah orang Islam yang terdapat anak yatim yang dimuliakan di dalamnya dianggap sebagai rumah yang terbaik kerana Allah cinta dan reda kepada perbuatan ahli rumah tersebut. Disebutkan pujian kepada rumah adalah secara kiasan sahaja dan maksud sebenarnya adalah pujian kepada ahli rumah tersebut.

2 - Maksud disakiti dalam hadis tersebut adalah disakiti untuk tujuan menzalimi. Adapun jika anak yatim tersebut disakiti untuk tujuan mendidiknya maka ia dibenarkan syarak.

3 - Anak yatim tersebut disakiti sama ada dengan cara memukulnya secara zalim atau jika berkaitan dengan hartanya iaitu dengan menggunakan hartanya tanpa hak. Jika penjaga anak yatim tersebut orang yang fakir maka dia boleh menggunakan harta anak yatim di bawah tanggungannya tanpa berlebih-lebihan.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 18/9/2021 dengan beberapa penambahan maklumat. Semoga bermanfaat.

Sabtu, 20 Ogos 2016

Daun bidara untuk mengubati penyakit dan sihir

أَنْ تُؤْخَذَ سَبْعُ وَرَقَاتٍ مِنْ سِدْرٍ أَخْضَرَ فَيَدُقَّهُ بَيْنَ حَجَرَيْنِ، ثُمَّ يَضْرِبَهُ فِي الْمَاءِ، وَيَقْرَأَ فِيهِ آيَةَ الْكُرْسِيِّ، وَذَوَاتَ قُلْ، ثُمَّ يَحْسُو مِنْهُ ثَلَاثَ حَسَوَاتٍ، وَيَغْتَسِلَ بِهِ، فَإِنَّهُ يُذْهِبُ عَنْهُ كُلَّ مَا بِهِ إِنْ شَاءَ اللَّهُ، وَهُوَ جَيِّدٌ لِلرَّجُلِ، إِذَا حُبِسَ مِنْ أَهْلِهِ

Terjemahan

“Hendaklah kamu mengambil tujuh helai daun bidara hijau dan menumbuknya di antara dua batu (lesung batu). Kemudian dicampurkan dengan air lalu dibacakan padanya ayat kursi dan surah yang menyebutkan Qul (tiga Qul atau empat Qul). Kemudian dihirup sebanyak tiga kali hirupan dan mandilah dengannya. Sesungguhnya ia dapat menghilangkan apa sahaja penyakit yang dihidapinya, insya-Allah. Ia juga baik bagi orang lelaki yang tertahan daripada mendatangi interinya (disebabkan sihir).”

Sekadar yang saya temui, ia bukan hadis.

Disebutkan dalam kitab Jami’ Ma’mar bin Rasyid dan Fath al-Bari bahawa ia tertulis dalam kitab Wahb bin Munabbih.

Wahb bin Munabbih (34H-114) seorang tabi’in yang thiqah yang banyak meriwayatkan kisah israiliyat dan kisah-kisah lama. Beliau pernah berkata: “Aku pernah membaca 30 buah kitab yang diturunkan kepada 30 orang nabi.”

Hadis-hadis berkenaan garam



1 - وَإِذَا أَكَلْتَ فَابْدَأْ بِالْمِلْحِ , وَاخْتِمْ بِالْمِلْحِ؛ فَإِنَّ فِي الْمِلْحِ شِفَاءٌ مِنْ سَبْعِينَ دَاءً أَوَّلُهَا الْجُذَامُ وَالْجُنُونُ وَالْبَرَصُ وَوَجَعُ الْأَضْرَاسِ وَوَجَعُ الْحَلْقِ وَوَجَعُ الْبَصَرِ

Terjemahan

“Apabila kamu makan, maka mulakan dengan garam dan akhirilah dengan garam juga. Sesungguhnya dalam garam itu ada penawar bagi 70 jenis penyakit. Pertamanya kusta, gila, sopak, sakit gigi, sakit tekak dan sakit mata.”

Sumber hadis

Ia sebahagian daripada hadis panjang yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Usamah dalam Musnad al-Harith (469) daripada Ali bin Abi Thalib secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Al-Hafiz al-Busiri dalam Ithaf al-Khairah al-Maharah (3/413): “Sanad ini berantai dengan perawi yang daif. Al-Sari, Hammad dan Abdul Rahim perawi yang daif.”

b. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Mathalib al-‘Aliyah (2/252): “Hadis ini sangat daif.”

Dalam sanadnya terdapat Hammad bin ‘Amr. Dia dinilai oleh al-Juzajani sebagai pendusta. Al-Bukhari menilainya sebagai mungkar al-hadis. Manakala al-Nasaie menilainya sebagai matruk.

2 - مَنِ ابْتَدَأَ غَدَاءَهُ بِالْمِلْحِ، أَذْهَبَ عَنْهُ سَبْعِينَ نَوْعًا مِنَ الْبَلَاءِ

Terjemahan

“Sesiapa yang memulakan makanannya dengan garam, dijauhkan darinya 70 jenis bala.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5553) daripada Ali bin Abi Thalib secara mauquf.

Penilaian hadis

a. Al-Muttaqi al-Hindi dalam Kanz al-Umal (10/86) mengenai perawi sanad ini:

"Isa bin al-Asy'ath, kata (al Iraqi) dalam al-Mughni: tidak dikenali. Dan Juwaibir, matruk."

b. Ibnu ‘Arraq  dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (2/243): “Dan athar Ali (sangat) daif. Dalam sanadnya ada Juwaibir, seorang yang matruk. Dan (meriwayatkan) daripadanya (Juwaibir) ialah ‘Isa bin al-Asy’ath, seorang yang tidak dikenali (majhul).”

3 - يَا عَلِيُّ عَلَيْكَ بِالْمِلْحِ فَإِنَّهُ شِفَاءٌ مِنْ سَبْعِينَ دَاءً الْجُذَامُ وَالْبَرَصُ وَالْجُنُونُ

“Wahai Ali, hendaklah kamu makan garam kerana ia adalah penawar bagi 70 jenis penyakit, kusta, sopak dan gila.”

Dalam lafaz yang lain:

عليكم بالملح؛ فإن فيه شفاء من سبعين داءً منها الجنون والجذام والبرص

“Hendaklah kamu makan garam kerana ia adalah penawar bagi 70 jenis penyakit, kusta, sopak dan gila.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (2/289) daripada ‘Ali bin Abi Thalib secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at (2/289): “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Yang dituduh memalsukannya ialah Abdullah bin Ahmad bin Amir atau ayahnya kerana mereka berdua meriwayatkan naskah (hadis) daripada ahli bait yang semuanya batil.”

b. Al-Zahabi dalam Talkhis al-Maudhu’at (621): “Dalam sanadnya ada Abdullah bin Ahmad bin ‘Amir, seorang pendusta. Dia memalsukannya dalam naskah daripada ahli bait.”

c. Ibnu al-Ghars berkata sebagaimana yang dinukilkan dalam Kasyf al-Khafa’ (1502): “Telah menaskan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah bahawa ia palsu.”

d. Al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah (2/179) cuba menafikan kepalsuan hadis ini dengan menyebutkan sebuah hadis daripada Sa’ad bin Mu’az dan athar Saidina Ali sebagai sokongan tetapi dikritik oleh Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syariah al-Marfu’ah (2/243).

e. Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah (1/430) turut menilainnya palsu.

f. Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1502): “Kemungkinan ianya palsu.”

g. Muhammad bin Muhammad Darwish al-Hut dalam Asna al-Mathalib (918): “Batil.”

h. Al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah (22): “Palsu.”

4 - استفتحوا طَعَامكُمْ بالملح فوالذي نَفسِي بِيَدِهِ إِنَّه ليرد ثَلَاثًا وَسبعين من الْبلَاء، أَو قَالَ من الدَّاء

Terjemahan

“Mulakanlah makanan kamu dengan garam. Demi diriku yang berada dalam kekuasaan-Nya, ianya akan menolak 73 jenis bala atau penyakit.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu Mandah dalam Akhbar Asbahan sebagaimana yang disebutkan oleh al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah (2/179).

Penilaian hadis

a. Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syair’ah al-Marfu’ah (2/243): “Ia (diriwayatkan) melalui jalur Ibrahim bin Hayyan bin Hakim.”

Kata Ibnu ‘Adi: “Hadis-hadisnya palsu.”
5 - سَيِّدُ إِدَامِكُمُ الْمِلْحُ

Terjemahan

“Penghulu lauk-pauk[1] kamu adalah garam.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah (3315), Abu Ya’la dalam Musnad (3714), Ibnu al-A’rabi dalam Mu’jam (2254), al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (8854), Tamam al-Razi dalam Fawaid Tamam (1147), al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab (1327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5551), Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (4/243), Ibnu ‘Adi dalam al-Kamil (6/434), al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (3481) dan lain-lain daripada Anas bin Malik secara marfu’

Penilaian hadis

a. Al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah (4/21): “Sanad ini daif disebabkan kedaifan ‘Isa bin Abi ‘Isa al-Hannath.”

b. Al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah (575): “Ianya daif. Sebahagaian perawi mensabitkan seorang perawi yang samar (namanya) dan sebahagian lagi membuangnya.”

c. Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1502): “Daif.”

d. Al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah (39): “Dalam sanadnya ada (perawi) daif.”

e. Ahmad al-Ghumari dalam Fath al-Wahhab (2/322): “Isa bin Abi Isa seorang yang matruk (sangat daif).”

Isa bin Abi Isa dinilai oleh Abu Daud, al-Nasa’ie, al-Daraqutni dan Ibnu Hajar sebagai matruk.

6 - إنّ اللَّهَ أنْزَلَ أرْبَعَ بَرَكاتٍ منَ السَّماءِ إِلَى الأَرْضِ فأَنْزَلَ الحَدِيدَ والنّارَ والْماءَ والمِلْحَ

Terjemahan

“Sesungguhnya Allah menurunkan empat perkara yang berkat daripada langit ke bumi. Allah menurunkan besi, api, air dan garam.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh al-Tha’labi dalam al-Kasyf wa al-Bayan (9/247) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (656) daripada Ibnu ‘Umar secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Ibnu Hajar dalam al-Kafi al-Syaf (hlm. 165): “Dalam sanadnya terdapat perawi yang aku tidak kenali.”

b. Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa (12/252): “Hadis palsu dan dusta. Dalam sanadnya terdapat Saif bin Muhammad ibn Ukht Sufyan al-Sauri. Dia salah seorang pendusta yang terkenal dengan pendustaan.”

7 - مثلُ أصحابي مثلُ الملح في الطعام، لا يصلحُ الطعامُ إلاَّ به

Terjemahan

“Perumpamaan sahabatku adalah seperti garam dalam makanan. Tidak akan elok makanan itu kecuali dengannya.”

Dalam lafaz yang lain:

إِنَّ مَثَلَ أَصْحَابِي فِي أُمَّتِي كَالْمِلْحِ فِي الطَّعَامِ، لَا يَصْلُحُ الطَّعَامُ إِلَّا بِالْمِلْحِ

Terjemahan

“Sesungguhnya perumpamaan sahabatku di kalangan umatku adalah seperti garam dalam makanan. Tidak akan elok makanan itu kecuali dengannya.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh al-Bazzar dalam Musnad (6698) dan Abu Ya’la dalam Musnad (2762), Ibnu al-Mubarak dalam al-Zuhd (572), al-Ajuri dalam al-Syari’ah (1157), al-Qudha’ie dalam Musnad al-Syihab (1347), Ibnu Abd al-Barr dalam al-Isti’ab (1/16) dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (3863) daripada Anas secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/18): “Diriwayatkan oleh Abu Ya’la dan al-Bazzar. Dalam sanadnya terdapat Isma’il bin Muslim, dia adalah daif.”

b. Ahmad al-Ghumari dalam Fath al-Wahhab (2/335): “Ismail bersendirian meriwayatkannya daripada al-Hasan dan dia adalah daif.”

c. AL-Busiri dalam Ithaf al-Khairah al-Maharah (7/341): “Dan baginya sokongan (syahid) daripada hadis[2] Samurah bin Jundub yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Thabrani.”

8 - سَتُوشِكُونَ أَنْ تَكُونُوا فِي النَّاسِ كَالْمِلْحِ فِي الطَّعَامِ، وَلَا يَصْلُحُ الطَّعَامُ إلَّا بِالْمِلْحِ

Terjemahan

“Sudah hampir masanya kamu (sahabat) akan diperlukan oleh orang ramai sebagaimana garam diperlukan dalam makanan dan tidak akan elok makan itu kecuali dengan garam.”

Dalam lafaz yang lain:

إنكم توشكون أن تكونوا في الناس كالملح في الطعام، ولا يصلحُ الطعامُ إلاَّ بالملح

Terjemahan

“Sesungguhnya sudah hampir masanya kamu (sahabat) akan diperlukan oleh orang ramai sebagaimana garam diperlukan dalam makanan dan tidak akan elok makan itu kecuali dengan garam.”

Dalam lafaz yang lain:

يُوشِكُ أَنْ تَكُونُوا فِي النَّاسِ كَالْمِلْحِ فِي الطَّعَامِ، لَا يَصْلُحُ الطَّعَامُ إِلَّا بِالْمِلْحِ

Terjemahan

“Sudah hampir masanya kamu (sahabat) akan diperlukan oleh orang ramai sebagaimana garam diperlukan dalam makanan dan tidak akan elok makan itu kecuali dengan garam.”

Sumber hadis

Diriwayatkan al-Bazzar dalam Musnad (4630) dan al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir (7/323) daripada Samurah bin Jundub secara marfu’.

Penilaian hadis

a. Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (10/18): “Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Thabarani dan sanad al-Thabarani hasan.”

9 - ثَلاثُ لُقْمَاتٍ بِالْمِلْحِ قَبْلَ الطَّعَامِ وَثَلاثٌ بَعْدَ الطَّعَامِ تُصْرَفُ بِهِنَّ عَنِ ابْنِ آدَمَ اثْنَانِ وَسَبْعُونَ نَوْعًا مِنَ الْبَلاءِ ، مِنْهَا الْجُنُونُ ، وَالْجُذَامُ ، وَالْبَرَصُ

Terjemahan

“Tiga suapan garam sebelum makan dan tiga kali selepas makan akan menghindari anak Adam daripada 72 jenis bala antaranya penyakit gila, sopak dan kusta.”

Sumber hadis

Diriwayatkan oleh Abi ‘Ali bin Fadhalah dalam Fawaidnya dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (2482) daripada Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Penilaian hadis

Saya tidak menemui mana-mana ahli hadis yang menilai hadis ini. Wallahu a’lam.


[1]  إِدَامِ: Sesuatu yang dimakan bersama roti.
[2] Hadis no. 8.