Hadis yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi
yang ramai di setiap tabaqat (peringkat) daripada tabaqat-tabaqat sanadnya,
yang bilangan yang ramai tersebut menunjukkan mustahil pada adatnya mereka
semua boleh berpakat untuk menipu atau berdusta, dan bentuk hadis tersebut pula
disandarkan kepada lima pancaindera.
Syarat-syarat Hadis Mutawatir
1 – Perawi yang ramai dalam setiap tabaqat
sanadnya.
Namun ulama telah berselisih pendapat dalam
menentukan kadar bilangan yang ramai tersebut yang dapat dikatakan memenuhi
syarat Mutawatir.
Maka ada yang meletakkan bilangannya 10 orang
perawi yang meriwayatkan hadis itu, ada yang meletakkan 40 orang dan
sebagainya, bahkan ada yang menyatakan bahawa bilangannya haruslah sehingga 300
orang. Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan bahawa:
Pendapat yang benar dalam menentukan syarat
‘ramai’ ini ialah tanpa ditentukan bilangan perawi tersebut. Ukuran yang
diambil kira ialah kadar terhasilnya ilmu (secara yakin). Maka setiap kadar
bilangan yang membawa kepada ilmu (secara yakin) dengan sendirinya adalah
muktabar.
2 – Mustahil semua perawi tersebut sepakat
untuk menipu atau berdusta. Begitu juga mustahil boleh
berlaku penipuan tanpa mereka rancang. Maksudnya adalah mustahil pada adatnya
bilangan yang ramai di setiap tabaqat ini berpakat semuanya untuk membuat
pendustaan sama ada secara sengaja ataupun tidak.
3 – Berterusan bilangan yang ramai tersebut
sepanjang sanad, iaitu dari asal sanad sehinggalah ke penghujungnya. Ertinya tidak berkurangan bilangan perawi yang ramai tersebut dan
sekiranya berlebih pula tidaklah memberi kesan apa-apa.
4 – Hendaklah sandaran hadis tersebut
kepada lima pancaindera, iaitu sama ada penglihatan,
pendengaran atau sebagainya, seperti kata perawi: “Aku mendengar”, atau “Aku
lihat”...Maka tidak termasuk sekiranya perawi hanya menyandarkan khabar itu
kepada lojik akal sahaja, seperti: “Satu itu adalah separuh dari dua”,
atau “Alam ini baharu”...
Maka semua hadis yang memenuhi keempat-empat
syarat di atas dinamakan sebagai hadis Mutawatir. Namun sekiranya
sesuatu hadis itu tidak memenuhi syarat-syarat di atas, walaupun hilang satu
syarat sahaja daripadanya, ia dipanggil sebagai hadis Ahad.
Jenis-jenis Mutawatir
Hadis Mutawatir terbahagi kepada dua
jenis, iaitu Mutawatir Lafzi dan Mutawatir Maknawi. Penerangannya
adalah seperti berikut:
1. Mutawatir Lafzi:
Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh bilangan
perawi yang ramai dengan lafaz yang sama.
Sebagai contoh:
Hadis: “Sesiapa yang berdusta atas namaku
secara sengaja, maka dia telah menempah tempatnya di neraka.”
Hadis ini diriwayatkan oleh 70 orang sahabat
dengan lafaz yang sama.
2. Mutawatir Maknawi
Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh bilangan perawi
yang rama dengan lafaz yang berbeza-beza, namun kesemua lafaz tersebut memberi
makna yang sama.
Antara Mutawatir Maknawi ialah
berbagai-bagai peristiwa yang disampaikan kepada kita oleh bilangan perawi yang
ramai, yang setiap peristiwa yang berlaku tersebut terdapat satu perkara yang
sama yang terlibat di dalamnya. Jadi secara tidak langsung, perkara sama yang
disebut-sebut dalam semua peristiwa-peristiwa itu adalah menjadi Mutawatir
Maknawi.
Sebagai contoh:
Hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
mengangkat tangan ketika berdoa.
Ia
diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. Setiap riwayat hadis
tersebut menceritakan peristiwa yang berbeza-beza, namun semuanya ada
menyebutkan bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan
ketika bedoa.
Jadi kesepakatan para perawi dalam menyatakan
bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangan ketika berdoa ini
dianggap Mutawatir Maknawi.
[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul
Majid al-Ghauri, hlm. 462]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan