Isnin, 4 Februari 2019

Hadis Tidak Ada Asal: Orang Alim Itu Kekasih Allah Walaupun Seorang Fasik



العالم حبيب الله ولو كان فاسقا ، والجاهل عدو الله ولو كان عابدا.

“Orang alim itu adalah kekasih Allah walaupun dia adalah seorang yang fasik. Orang yang jahil itu adalah musuh Allah walaupun dia seorang yang banyak beribadat (abid).”

Ulasan:

Hadis ini disebutkan oleh Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam kitab Maraqi al-‘Ubudiyyah (ms. 26, terbitan: Dar al-Basa’ir). Menurut muhaqiq kitab berkenaan, beliau tidak menjumpai sumber asal hadis ini.

Begitu juga dalam  kitab Siraj al-Thalibin Syarah Minhaj al-'Abidin  (jil 1,  ms. 68, terbitan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) ada disebutkan lafaz hadis seperti ini tetapi tidak dinyatakan sumbernya.

Saya juga cuba mencari sumber asalnya namun tidak jumpa juga sumber asalnya.

Dalam kitab al-Maqasid al-Hasanah, al-Hafiz al-Sakhawi sebutkan lafaz hadis yang hampir dengannya, iaitu:

الْكَرِيمُ حَبِيبُ اللَّهِ وَلَوْ كَانَ فَاسِقًا.

"Orang yang pemurah itu adalah kekasih Allah walaupun dia seorang yang fasik."

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi, ia adalah hadis yang tidak mempunyai sumber asal baginya (لَا أَصْلَ لَهُ).

Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu'ah juga menyebutkan bahawa hadis ini tidak ada asal baginya dan ia bertentangan dengan firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ يحب التوابين.

"Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat." [Surah al-Baqarah: Ayat 222]

وَالله لَا يحب الظَّالِمين.

"Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim." [Surah Ali Imran: Ayat 140]

Menurut beliau lagi, orang yang fasik sama ada dari kalangan orang yang zalim ataupun orang kafir.

Oleh itu mustahil Allah mencintai orang alim yang fasik sedangkan dalam al-Quran jelas menyebutkan Allah mencintai orang yang bertaubat dan membenci orang yang zalim.

Oleh itu tidak boleh beramal dan menyebarkan hadis ini melainkan dinyatakan kepalsuannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan