- Tulisan ringkas (12 muka surat) Prof Dr Hamid Qaufi,
pensyarah hadis di Universiti al-Amir Abdul Qadir, Algeria ini membincangkan
kedudukan kata-kata al-Imam al-Haithami dalam kitab Majma’ al-Zawaid
ketika menghukum hadis seperti:
1 - Perawi-perawinya thiqah (رجاله ثقات).
2 - Perawi-perawinya dithiqahkan (رجاله موثقون atau
وثقوا).
3 - Perawi-perawinya perawi kitab al-sahih (Sahih
al-Bukhari/Sahih Muslim) (رجال الصحيحرجاله ).
- Penulis ini menjelaskan kedudukan kata-kata al-Haithami
tersebut memandangkan kitab Majma’ al-Zawaid merupakan antara rujukan
utama untuk mentakhrij hadis di sisi kebanyakan pelajar dan pengkaji.
- Sebagaimana yang dimaklumi, menghukum status perawi yang
berada dalam sanad semata-mata tidak mencukupi untuk meletakan hukum yang
sempurna bagi matan hadis.
- Kesahihan sanad adalah salah satu syarat sahihnya matan
hadis, tetapi sahihnya sanad semata-mata tidak menjamin kesahihan matan hadis.
- Kata Ibnu al-Qayim dalam al-Furusiyyah:
“Sudah sedia dimaklumi bahawa kesahihan sanad adalah
salah satu syarat kesahihan hadis, tetapi ia bukan semata-mata syarat kesahihan
hadis. Ini kerana sahihnya hadis adalah dengan terkumpulnya beberapa syarat
antaranya sahih sanadnya, tidak mempunyai syuzuz dan nakarah dan para perawinya
tidak menyelisihi para perawi thiqah yang lain dan tidak meriwayatkan sesuatu
yang syaz.”
- Untuk menghukum hadis secara sempurna, pertamanya kita
perlu melihat kepada riwayat (matan) terlebih dahulu, sama ada ia tepat atau
berlaku kesilapan. Jika riwayatnya tepat barulah kita melihat kepada para
perawinya. Jika mereka semua thiqah dan bersambung sanadnya, kita akan katakan bahawa
hadis tersebut sahih. Jika para perawinya daif atau salah seorang daripada
mereka daif atau sanadnya tidak bersambung, maka kita akan katakan hadis
tersebut daif.
- Apa yang kita temui dalam kitab para nuqqad hadis
tatkala mereka menolak kesahihan hadis dengan berbicara tentang kedudukan
perawinya, maka itu hanya dari segi zahir sahaja. Hakikatnya mereka menolak
hadis tersebut disebabkan wujud ketidaktepatan pada matan yang diriwayatkan
oleh perawi tersebut. Tetapi mereka sekadar berbicara tentang kedaifan perawi
tersebut sahaja. Ini adalah pada kebiasaannya.
- Kata Syeikh Abdul Rahman bin Yahya al-Mu’allimi dalam al-Anwar
al-Kasyifah:
“Lihatlah kitab Maudhu’at Ibnu al-Jauzi dan
perhatikanlah. Kamu akan dapati beliau sebenarnya memberi tumpuan kepada matan
yang beliau berpandangan padanya ada nakarah (kecacatan). Tetapi beliau sangat
jarang menjelaskan perkara tersebut bahkan beliau pada kebiasaannya sekadar
mengkritik pada sanad. Begitu juga dalam kitab-kitab ‘ilal. Hadis-hadis yang
dilemahkan dalam kitab tersebut kamu akan dapati kebiasaannya ada nakarah pada
matannya.Tetapi para imam tidak menjelaskan perkata tersebut. Mereka sekadar
mengatakan hadis tersebut mungkar dan seumpanyannya atau mereka akan berbicara
tentang perawinya atau mereka menjelaskan kecacatan pada sanad seperti kata
mereka: Si fulan tidak bertemu dengan si fulan, perawi tersebut tidak mendengar
hadis daripadanya (gurunya), perawi tersebut tidak menyatakan dia mendengar
hadis, berlaku itthirab padanya, tidak ada sokongan padanya, dia menyalahi
perawi yang lain, hadis ini diriwayatkan secara mauquf dan ia lebih tepat dan
sebagainya.”
- Perkataan al-Haithami ‘perawi-perawinya thiqah’
sama kedudukannya dengan kata beliau ‘para perawinya adalah perawi kitab
al-Sahih’ yang tidak menunjukkan kesahihan hadis. Ini kerana boleh jadi
perawi tersebut adalah perawi Sahihain yang mereka berdua (al-Bukhari
dan Muslim) meriwayatkan daripada perawi tersebut tetapi dalam keadaan tertentu
sahaja. Contohnya perawi Husyaim bin Basyir dan al-Zuhri. Kedua-dua mereka
adalah perawi Sahihain tetapi tidak ada dalam Sahihain riwayat
Husyaim daripada al-Zuhri kerana riwayat Husyaim daripada al-Zuhri adalah
lemah. Riwayat Husyaim daripada al-Zuhri bukanlah berada dalam syarat
al-Bukhari dan Muslim walaupun beberapa riwayat Husyaim dan al-Zuhri
(secara berasingan) telah
dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Ini kerana Husyaim meriwayatkan 20 buah
hadis daripada al-Zuhri. Kemudian datang sahabat Husyaim menanyakan tentang
riwayatnya itu. Lalu datang angin kuat yang menerbangkan helaian kertas yang
tertulis padanya riwayat-riwayatnya daripada al-Zuhri. Jadi Husyaim
meriwayatkan hadis-hadis tersebut berdasarkan hafalannya dan hafalan beliau
tidak mantap sehingga berlaku kekeliruan. Disebabkan itu riwayat beliau
daripada al-Zuhri daif.
Bersambung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan