Selasa, 26 Februari 2019

Istilah Ilmu Hadis 33: al-Gharib (الغَرِيبُ)


Hadis yang bersendirian seorang perawi dalam meriwayatkannya, di mana-mana jua tempat (tabaqat) berlakunya kebersendirian tersebut pada sanadnya.

Ia adalah hadis yang berasingan atau bersendirian seorang individu dalam meriwayatkannya, sama ada berlaku pada semua tabaqat sanad ataupun pada sebahagian tabaqat sanad, walaupun hanya satu tabaqatnya sahaja, sekalipun dalam tabaqat yang lain terdapat lebih dari seorang yang meriwayatkannya kerana yang dinilai adalah tabaqat yang paling sedikit.

Nama Lain Bagi al-Gharib

Terdapat sebahagian ulama yang menamakan al-Gharib dengan nama lain iaitu al-Fard, kerana kedua-duanya memiliki makna yang sama. Namun sebahagian ulama membezakan makna bagi kedua-dua perkataan ini.

Walau bagaimanapun, al-Hafiz Ibnu Hajar menganggap kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama dari segi bahasa mahupun dari segi istilah. Beliau berkata:

“Sesungguhnya ulama yang mahir dengan istilah hanya membezakan kedua-dua perkataan dari segi kekerapan penggunaannya atau kurang penggunaannya sahaja.”

Istilah al-Fard biasanya digunakan untuk istilah al-Fard al-Mutlaq, manakala istilah al-Gharib pula biasanya digunakan untuk al-Gharib al-Nisbi.

Jenis-Jenis Gharib

Hadis al-Gharib dibahagikan kepada dua bahagian berdasarkan tempat berlakunya sifat gharib itu, iaitu Gharib Mutlaq dan Gharib Nisbi, atau al-Fard al-Mutlaq dan al-Fard al-Nisbi.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 377]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan