Isnin, 25 Februari 2019

Istilah Ilmu Hadis 31: Masyhur (المَشْهُورُ)

Dari Segi Bahasa:

Isim maf'ul daripada asy-Syuhrah, iaitu: penzahiran (terkenal).

Dari Segi Istilah:

Hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih - pada setiap tingkatan (tabaqat) sanadnya - selagi tidak mencapai had mutawatir.

Contohnya:

Hadis “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan mencabutnya (secara sekaligus)...” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Mustafidh dan Perbezaannya dengan Masyhur

Mustafidh dari segi bahasa: Isim fa'il kepada istafadha, terbitan daripada fadha al-ma' (air melimpah), dan dinamakan sedemikian kerana penyebarannya.

Dari segi istilah: Terdapat perbezaan pendapat mengenai takrifnya, dan yang paling khusus ada tiga pendapat, iaitu:

1 - Mustafidh adalah sinonim dengan masyhur.

2 - Dikatakan: kedua-duanya berbeza.

Masyhur telah pun disebutkan takrifnya.

Adapun mustafidh, ahli hadis mentakrifkannya sebagai: Hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih pada setiap tingkatan (tabaqat) sanadnya dan bilangan perawinya adalah sama pada setiap tingkatan sanadnya dari permulaan sanad hingga ke penghujungnya.

Dalam takrif ini, disyaratkan bahawa bilangan perawinya mestilah sama pada kesemua tingkatan.

3 - Dikatakan: ia lebih umum daripada masyhur (berlawanan dengan pendapat kedua).

Masyhur ialah hadis yang bilangan perawinya pada permulaan dan penghujungnya adalah sama, berbeza dengan mustafidh.

Masyhur Bukan Istilah:

Maksudnya ialah hadis yang masyhur pada sebutan orang ramai tanpa diambil kira syarat hadis masyhur, maka ia merangkumi:

1 - Hadis yang mempunyai satu sanad.

2 - Hadis yang mempunyai lebih daripada satu sanad.

3 - Hadis yang tidak mempunyai sanad sama sekali.

Jenis-jenis Masyhur Bukan Istilah:

Ia mempunyai banyak jenis, yang paling terkenal ialah:

1 - Masyhur di kalangan ahli hadis secara khusus:

Contohnya: hadis Anas - radiallahuanhu -: “Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam berqunut selama sebulan selepas rukuk, mendoakan (kecelakaan) ke atas (kabilah) Ri'l dan Zakwan.” (Diriwayatkan oleh asy-Syaikhan).

2 - Masyhur di kalangan ahli hadis, para ulama, dan orang awam:

Contohnya: “Orang Islam ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya.” (Muttafaqun 'alaih).

3 - Masyhur di kalangan para fuqaha':

Contohnya: hadis: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (Disahihkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, dan dipersetujui oleh az-Zahabi tetapi dengan lafaz: “Allah tidak menghalalkan sesuatu yang lebih dibenci oleh-Nya daripada talak.”)

4 - Masyhur di kalangan para ahli Usul:

Contohnya: hadis: “Diangkat daripada umatku: kesilapan, kelupaan, dan apa yang mereka dipaksa ke atasnya.” (Disahihkan oleh Ibnu Hibban dan al-Hakim).

5 - Masyhur di kalangan para ahli nahu:

Contohnya: hadis: “Sebaik-baik hamba ialah Suhaib, kalaulah dia tidak takut kepada Allah, nescaya dia tidak akan menderhakai-Nya.” (Tiada asal usulnya).

6 - Masyhur di kalangan orang awam:

Contohnya: hadis “Sikap tergesa-gesa itu daripada syaitan.” (Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan dinilainya hasan).

Hukum Masyhur:

Masyhur dari segi istilah dan bukan istilah tidak disifatkan sebagai sahih atau tidak sahih. Bahkan, sebahagiannya ada yang sahih, dan sebahagiannya ada yang hasan dan da’if, bahkan juga maudhu'.

Akan tetapi, jika hadis masyhur dari segi istilah itu sahih, maka ia mempunyai satu kelebihan yang menjadikannya lebih kuat berbanding 'aziz dan gharib.

Karya-karya Terkenal Mengenainya:

Maksud karya-karya mengenai hadis-hadis masyhur ialah di sini ialah hadis-hadis yang masyhur pada sebutan orang ramai, dan bukannya masyhur dari segi istilah. 

Di antara karya-karya ini ialah:

1 - Al-Maqasid al-Hasanah fi ma isytahara 'ala al-Alsinah: karya al-Hafiz Muhammad bin 'Abdurrahman as-Sakhawi (meninggal dunia pada tahun 902 Hijrah).

2 - Tamyiz at-Tayyib min al-Khabith fi ma Yadur 'ala Alsinat an-Nas min al-Hadith: karya Ibnu ad-Daiba' asy-Syaibani (meninggal dunia pada tahun 944 Hijrah).

3 - Kasyf al-Khafa' wa Muzil al-Ilbas fi ma isytahara min al-Hadith 'ala Alsinat an-Nas: karya Isma'il bin Muhammad al-'Ajluni (meninggal dunia pada tahun 1162 Hijrah).

4 - Ad-Durrah al-Lami'ah fi Bayan Kathir min al-Ahadith asy-Sya'i'ah: karya az-Zurqani.

5 - At-Tadzkirah fi al-Ahadith al-Musytaharah: karya az-Zarkasyi.

6 - Ad-Durar al-Muntatsirah fi al-Ahadith al-Musytaharah: karya as-Suyuthi.

7 - Tashil as-Sabil ila Kasyf al-Iltibas 'amma Dara min al-Ahadith bayna an-Nas: karya Syeikh 'Izzuddin al-Khalili.

8 - Asna al-Mathalib fi Ahadith Mukhtalifat al-Maratib: karya Ibnu Darwisy al-Hut al-Bairuti.

Rujukan:

- Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.

- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununuhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan