Jumaat, 22 Februari 2019

Istilah Ilmu Hadis 30: Ahad (الآحاد)

Dari segi istilah ia adalah hadis yang tidak memenuhi syarat-syarat mutawatir.

Ia merangkumi jenis-jenis berikut:

1 - Masyhur.

2 - 'Aziz.

3 - Fard.

4 - Gharib.

Setiap satu daripadanya dinamakan khabar wahid (khabar ahad).

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam Nuzhah al-Nazar: “Dan di dalamnya – iaitu hadis-hadis ahad – ada yang diterima (maqbul), iaitu hadis yang wajib diamalkan menurut majoriti ulama.

Di dalamnya ada yang ditolak (mardud), iaitu hadis yang kebenaran penyampainya tidak lebih berat (daripada kemungkinan salahnya), kerana untuk menjadikannya sebagai dalil bergantung kepada penelitian tentang keadaan para perawinya.

Berbeza dengan yang pertama, iaitu mutawatir, maka kesemuanya adalah diterima, kerana ia memberikan kepastian akan kebenaran penyampainya, berbeza dengan selainnya daripada khabar-khabar ahad.

Akan tetapi, amalan hanya diwajibkan dengan (hadis) yang maqbul daripadanya kerana ia sama ada terdapat padanya prinsip asas bagi hadis maqbul, iaitu terbuktinya kebenaran si perawi (kerana sifat adil dan kuat ingatannya), atau prinsip asas bagi sifat hadis mardud, iaitu terbuktinya kebohongan si periwayat, atau tidak (iaitu: atau ia tidak mempunyai prinsip asas hadis maqbul dan tidak juga prinsip asas hadis mardud, maka ia mempunyai kemungkinan untuk diterima dan ditolak, seperti: perawi yang buruk hafalan dan yang tidak dikenali).

Maka yang pertama (maqbul): sangkaan kuat cenderung kepada kebenaran khabar tersebut kerana terbuktinya kebenaran periwayatnya, maka ia diambil.

Dan yang kedua (mardud): sangkaan kuat cenderung kepada kebohongan khabar tersebut kerana terbuktinya kebohongan perawinya, maka ia dibuang.

Dan yang ketiga (yang berada antara maqbul dan mardud): jika terdapat bukti sokongan (qarinah) (iaitu sifat atau keadaan) yang dapat menyamakannya dengan salah satu daripada dua bahagian tadi (maqbul atau mardud), maka ia akan disamakan. Jika tidak, maka ia ditangguhkan (tawaqquf). Maka apabila amalan dengannya ditangguhkan, ia menjadi seperti mardud, bukan kerana terbuktinya sifat mardud, sebaliknya kerana tidak terdapat padanya sifat yang mewajibkan ia diterima.”

Sumber:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 

Baca juga: 

Istilah Ilmu Hadis 29: Mutawatir (المُتَوَتِرُ)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan