Isnin, 25 Februari 2019

Istilah Ilmu Hadis 32: ‘Aziz (العَزِيزُ)

Dari Segi Bahasa:

'Aziz ialah sifah musyabbahah, diambil daripada 'azza, ya'izzu dengan baris bawah pada huruf 'ain, iaitu: menjadi kuat dan teguh. Daripadanya firman-Nya Ta'ala: Lalu Kami kuatkan (mereka).” (Yasin: 14).

Dan 'azza asy-syai' ya'azzu dengan baris atas pada huruf 'ain, bermaksud: sedikit, sehinggakan hampir tidak ditemui, maka ia adalah: 'Aziz.

Dan 'azza ya'uzzu dengan baris hadapan pada huruf 'ain seperti madda dan radda: bermaksud: mengalahkan. Diambil daripada pepatah mereka (orang Arab): “Siapa yang mengalahkan, dia akan merampas.” (al-Qamus al-Muhit).

Dari Segi Istilah:

Ia adalah hadis yang diriwayatkan oleh dua orang walaupun hanya pada satu tingkatan (tabaqah) sanad, dengan syarat bilangan perawinya tidak kurang daripada dua orang pada kesemua tingkatan sanadnya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Syarh an-Nukhbah mentakrifkannya dengan perkataan beliau: “Ia adalah hadis yang tidak diriwayatkan oleh kurang daripada dua orang, daripada dua orang.”

Inilah takrif yang muktamad.

Maknanya ialah tidak terdapat pada mana-mana tingkatan sanadnya bilangan perawi yang kurang daripada dua orang.

Adapun jika terdapat pada sebahagian tingkatan sanadnya tiga orang perawi atau lebih, maka ia tidak menjadi masalah, dengan syarat masih ada walaupun pada satu tingkatan yang mempunyai dua orang perawi, kerana kiraan dibuat berdasarkan tingkatan yang paling sedikit bilangan perawinya.

Dengan kata lain, kita boleh mengatakan bahawa hadis 'aziz ialah hadis yang bilangan perawinya pada salah satu tingkatan sanadnya adalah dua orang, dan ini tidak menghalang daripada bilangan perawinya pada tingkatan-tingkatan sanad yang lain adalah lebih daripada dua orang.

Sebab dinamakan 'Aziz:

Daripada takrif bahasa, jelas kepada kita bahawa ia dinamakan 'aziz kerana salah satu daripada dua sebab:

1 - Sama ada kerana 'izzah-nya yang bermaksud kejarangannya, iaitu kerana sedikitnya jenis hadis ini ditemui.

2 - Atau kerana 'izzah-nya yang bermaksud kekuatannya, iaitu kerana ia telah dikuatkan dengan jalur sanad yang lain.

Contohnya:

Hadis: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Ia telah diriwayatkan oleh dua orang sahabat, dan diriwayatkan daripada mereka berdua oleh beberapa orang tabi'in seperti berikut:

1 - Ia diriwayatkan oleh Anas bin Malik radiallahuanhu, dan diriwayatkan daripada Anas oleh: 'Abdul 'Aziz bin Suhaib dan Qatadah.

Diriwayatkan daripada 'Abdul 'Aziz oleh kedua-dua: 'Abdul Warith dan Isma'il bin 'Ulayyah.

Diriwayatkan daripada Qatadah oleh kedua-dua: Syu'bah dan Husain al-Mu'allim.

2 - Dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahuanhu oleh: al-A'raj 'Abdurrahman bin Hurmuz dan daripadanya diriwayatkan oleh Abu az-Zinad.

Daripada apa yang telah dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa hadis ini diriwayatkan daripada dua orang sahabat, dan ini adalah bilangan paling sedikit dalam tingkatan-tingkatan sanadnya.

Bilangan perawi pada tingkatan berikutnya (iaitu tingkatan tabi'in) adalah tiga orang, dan begitulah bilangan perawi bertambah pada tingkatan yang berikutnya.

Hukumnya:

Keadaan sesuatu hadis itu 'aziz tidak semestinya menjadikan ia sahih. Ia boleh jadi sahih, atau hasan, atau daif, dan perkara tersebut bergantung kepada terpenuhinya syarat-syarat sahih atau tidak.

Sebagaimana keadaan hadis itu ‘aziz tidak semestinya menjadikan ia sahih, tidak disyaratkan juga hadis sahih itu mesti 'aziz, bahkan ia boleh juga gharib (diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja). 

Jarangnya Ada Penulisan Mengenainya:

Para ulama tidak menghasilkan karya-karya khusus untuk hadis 'aziz. Mungkin hal ini disebabkan oleh bilangannya yang sedikit dan jarang ditemui, sehinggakan Ibnu Hibban mendakwa bahawa riwayat dua orang perawi daripada dua orang perawi itu pada asalnya tidak wujud.

Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar membantah beliau dengan berkata: “Jika yang beliau maksudkan ialah riwayat dua orang daripada dua orang sahaja secara berterusan, maka ia boleh diterima. 

Adapun bentuk 'aziz yang dianggap benar oleh para ulama, ia memang wujud, iaitu dengan syarat ia tidak diriwayatkan oleh kurang daripada dua orang perawi, daripada kurang daripada dua orang perawi juga.”

Rujukan:

- Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.

- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan