- Al-Haithami memaklumkan bahawa beliau berpegang dengan kitab Mizan
al-I’tidal pada menghukum perawi-perawi al-Thabarani.
- Mana-mana perawi al-Thabarani yang tidak didaifkan oleh al-Zahabi
dalam kitab Mizannya maka beliau akan menganggapnya sebagai thiqah.
- Kata al-Haithami dalam mukadimah kitab Majma’
al-Zawaid:
“Para perawi daripada kalangan guru-guru
al-Thabarani yang berada dalam kitab al-Mizan maka saya akan memperingatkan
akan kedaifannya. Sesiapa yang tidak berada dalam kitab al-Mizan maka saya akan
memasukkannya di kalangan perawi thiqah.”
- Kaedah ini tidak disepakati oleh ahli hadis
yang lain. Bukanlah semua perawi al-Thabarani yang tidak disebutkan oleh
al-Zahabi dalam kitab al-Mizan merupakan perawi thiqah. Bahkan
ada di kalangan mereka yang merupakan perawi thiqah, daif, matruk
dan pendusta. Oleh itu, perlu tawaqquf pada hukum al-Haithami terhadap
perawi-perawi al-Thabarani.
- Perlu diingatkan bahawa mungkin hukum
al-Haithami tersebut bukanlah untuk menetapkan kesahihan hadis menurut istilah
yang telah makruf. Mungkin ini disebabkan sikap berhati-hati dan warak beliau (daripada
terus menghukum hadis) atau mungkin tujuan beliau sekadar ingin menjelaskan hal
ehwal para perawi dari segi thiqah atau tidak dan meninggalkan hukum
terhadap hadis.
- Meskipun begitu, ramai para perawi yang
beliau tidak temui maklumat mereka (dari segi al-jarh wa al-ta’dil). Ada
yang beliau secara jelas memberitahu bahawa beliau tidak temui maklumat tentang
perawi tersebut sedangkan perawi tersebut dikenali oleh ahli hadis yang lain.
Dan ada juga perawi yang beliau thiqahkan sedangkan ia tidak tepat.
- Di sini dapat diketahui bahawa sesiapa yang
bertaklid dengan hukum al-Haithami ini secara mutlak adalah tidak tepat.
- Al-Munawi banyak mengkritik al-Sayuthi yang menghasankan
hadis yang dikomen oleh al-Haithami bahawa perawi-perawinya thiqah.
Beliau melazimi hukum al-Haithami itu akan kesahihan hadis.
- Kata al-Munawi:
“Kata al-Haithami: Perawi-perawinya thiqah.
Di sini dapat diketahui kelalaian penulis (al-Sayuthi) bila mana beliau
mengisyaratkan hadis tersebut sebagai hasan.”
Kata al-Munawi lagi:
“Kata al-Haithami: Perawi-perawinya thiqah.
Isyarat penulis akan hasannya hadis tersebut adalah suatu yang tidak hasan
(bagus). Sepatutnya beliau mengisyaratkan bahawa hadis tersebut sahih.”
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan