Sabtu, 9 Februari 2019

Kedudukan kata-kata al-Imam al-Haithami dalam kitab beliau Majma’ al-Zawaid: ‘Perawi-perawinya thiqah’ - Bahagian 3


- Kita akan mendapati banyak hukum para nuqqad hadis seperti al-Hafiz Ibnu Hajar dan selain beliau pada sesuatu hadis bahawa perawinya thiqah akan tetapi hadis tersebut ma’lul (mempunyai ‘illah), mursal, munqathi’ (terputus sanad) dan sebagainya.

- Kata al-Hafiz al-Zaila’ie dalam Nasb al-Rayah:

“Kalaulah kita beranggapan thiqahnya perawi (sesuatu hadis itu), itu tidak melazimi sahihnya hadis tersebut sehinggalah ternafi daripada hadis tersebut syuzuz dan ‘illah.”

- Kata al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Talkhis al-Habir ketika mengkritik tashih Ibnu al-Qatthan terhadap suatu hadis:

“Pada pendapatku sanad hadis yang disahihkan oleh Ibnu al-Qatthan itu ma’lul kerana tidak lazim thiqahnya perawi-perawi suatu hadis itu maka akan sahih hadisnya kerana al-A’masy adalah seorang mudallis (perawi yang melakukan tadlis)...”

- Mungkin seorang perawi itu daripada perawi kitab al-Sahih atau perawi thiqah atau perawi yang dithiqahkan tetapi dia seorang mudallis. Al-Bukhari dan Muslim ada meriwayatkan daripada perawi mudallis tetapi selepas membuat pemilihan riwayat yang sabit samada ada memastikan perawi mudallis tersebut menyatakan sama’ daripada gurunya, atau wujud mutaba’ah bagi perawi mudallis tersebut atau lain-lain pertunjuk yang menunjukkan berlakunya sama’.

- Begitu juga perlu diberikan perhatian terhadap kesambungan sanad hadis, tidak semata-mata melihat kethiqahan perawi sahaja.

- Di sini dapat kita putuskan bahawa bagi setiap hadis ada bentuk kritikannya yang tersendiri. Tidak ada bagi tashih dan ta’lil hadis itu kaedah yang seragam bagi semua hadis.

Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan