Selasa, 20 Julai 2021

Status Hadis: Cintakan Negara Sebahagian Daripada Iman

 حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الإيَمانِ

“Cintakan negara sebahagian daripada iman.”

Pandangan Ulama Tentang Hadis Ini

1 - Imam al-Saghani (w. 650 H) dalam al-Maudhu’at menilainya sebagai palsu.

2 - Al-Hafiz al-Sakhawi (w. 902 H) dalam al-Maqasid al-Hasanah berkata: “Saya tidak menemuinya (sumber asalnya).”

3 - Al-Hafiz al-Sayuthi (w. 911 H) dalam al-Durar al-Muntathirah Fi al-Ahadith al-Musytahirah berkata: “Saya tidak menemuinya.”

4 - Imam Mulla Ali al-Qari (w. 1014) dalam al-Asrar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Maudhu’ah berkata: “Al-Zarkasyi berkata: Saya tidak menemuinya. Al-Sayyid Mu’in al-Din berkata: Tidak sabit. Dikatakan ia adalah ucapan sebahagian golongan salaf.”

5 - Syeikh Ahmad bin Abdul Karim al-Amiri (w. 1146 H) dalam al-Jadd al-Hathith Fi Bayan Ma Laisa Bi Hadith berkata: “Bukan hadis.”

6 - Syeikh Muhammad al-Amir al-Kabir (w. 1228 H) dalam al-Nukhbah al-Bahiyyah Fi al-Ahadith al-Makzubah ‘Ala al-Khair al-Bahiyyah berkata: “Tidak diketahui (sumber asalnya).”

7 - Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (w. 1413 H) berkata: “Bukan hadis.” [Lihat: Mausu’ah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (17/197)]

Kesimpulan

Hadis ini tidak temui sumber asalnya oleh pakar-pakar hadis dan ia dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam secara dusta. Oleh itu ia tidak boleh diamalkan dan disebarkan melainkan disertai penerangan bahawa ia adalah palsu.

Ahad, 18 Julai 2021

Status Hadis: Ulama Umatku Seperti Nabi-Nabi Bani Israel

عُلَمَاءُ أُمَّتِي كَأَنْبِيَاءِ بَنِي إِسْرَائِيلَ

“Ulama umatku seperti nabi-nabi Bani Israel.”

Pendapat Ulama Tentang Hadis Ini

1 - Imam al-Zarkasyi dalam al-Tazkirah Fi al-Ahadith al-Musytahirah berkata: “Tidak diketahui (sumber) asal baginya.”

2 - Imam Kamaluddin al-Damiri dalam al-Najm al-Wahhaj Fi al-Minhaj berkata: “Tidak diketahui sumber asal keluarnya dan tidak terdapat dalam kitab yang muktabar.”

3 - Imam Ibnu Muflih dalam al-Adab al-Syar’iyyah berkata: “Aku tidak mendapati asalnya dan tidak disebutkan dalam kitab-kitab masyhur yang dikenali dan ianya tidak sahih.”

4 - Al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah turut menukilkan daripada guru beliau, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani bahawa beliau berkata hadis ini tidak ada asal baginya.

5 -  Al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Durar al-Muntathirah berkata: “Tidak ada asal baginya.”

6 - Muhammad Darwish al-Hut dalam Asna al-Mathalib berkata: “Palsu, tidak ada asal baginya sebagaimana yang dikatakan oleh beberapa orang daripada kalangan huffaz. Ramai ulama menyebutkan dalam kitab-kitab mereka kerana lalai terhadap apa yang disebutkan oleh para huffaz.”

 


Jumaat, 16 Julai 2021

Syeikh Salim bin Sumair al-Hadrami - Pengarang Safinah al-Najah


Nama dan Kelahiran

Nama lengkap beliau ialah Salim bin Abdullah bin Sa’ad bin Abdullah bin Sumair al-Hadrami al-Syafi’e.

Beliau dilahirkan di perkampungan Zi Asbah (ذِي أَصْبَح), salah sebuah perkampungan di Hadramaut, Yaman.

Para ulama yang menulis tentang biografi beliau tidak menyebutkan tahun kelahiran beliau.

Pendidikan

Beliau diasuh dan dididik di bawah asuhan bapa beliau, al-‘Allamah al-Syeikh Abdullah bin Sa’ad bin Sumair yang merupakan seorang qadhi di kota Henin ketika zaman pemerintahan Sultan Ja’far bin Ali al-Kathiri.

Beliau belajar membaca al-Quran, memperelokkan bacaannya lalu menyibukkan diri untuk mengajarkannya sehingga digelar sebagai Mu’allim, gelaran yang diberikan oleh orang Hadramaut bagi guru yang mengajarkan al-Quran.

Beliau juga turut mempelajari ilmu syar’i dengan bapanya dan beberapa orang ulama di tempatnya pada masa itu, antaranya ialah, al-Sayyid Umar bin Saqqaf bin Muhammad bin Umar bin Taha al-Safi, al-Sayyid Umar bin Zein bin Sumaith, al-Habib Hasan bin Soleh al-Bahr dan lain-lain.

Keilmuan beliau mula tersebar luas sehingga mendapat pujian para ulama ketika itu seperti al-Syeikh al-‘Allamah Abdullah bin Ahmad Ba’saudan.

Keilmuan beliau juga menarik minat para pelajar untuk belajar dengan beliau, antaranya ialah al-Sayyid al-Habib Abdullah bin Taha al-Haddar al-Haddad dan al-Syeikh al-Faqih Ali bin Umar Ba’ghuzah.

Keterlibatan Dengan Politik dan Ketenteraan

Walaupun beliau terkenal memiliki ilmu syar’i yang luas dan tekun mengajarkannya, beliau juga terlibat dengan politik dan urusan ketenteraan. Beliau pernah dihantar ke India sebagai wakil kerajaan Kathiri untuk mendapatkan kelengkapan ketenteraan. Beliau juga pernah ke Singapura untuk membeli peralatan ketenteraan moden untuk dibekalkan ke Hadramaut. Di samping itu Beliau pernah terlibat sebagai juru damai antara kerajaan Kathiri dan suku Yafi’ di Yaman.

Sultan Abdullah bin Muhsin daripada kerajaan Kathiri juga melantik beliau sebagai penasihat sultan. Akan tetapi setelah beberapa ketika Sultan Abdullah bin Muhsin enggan untuk mendengar nasihatnya dan cenderung untuk bertindak sewenang-wenangnya berdasarkan pertimbangannya sendiri. Syeikh Salim dalam keadaan marah mengambil keputusan untuk bermusafir ke India, seterusnya ke Jawa dan mengambil keputusan untuk menetap di situ.

Sifat beliau

Beliau merupakan seorang ahli ibadat, sentiasa melazimi zikir dan banyak membaca al-Quran.

Syeikh Ahmad al-Hadhrami al-Makki menyebutkan bahawa Syeikh Salim bin Sumair mengkhatamkan al-Quran ketika sedang bertawaf di Baitullah.

Penulisan

Beliau meninggalkan beberapa buah penulisan, antaranya:

1 - Safinah al-Najah Fima Yajibu ‘Ala al-‘Abd Li Maulah.

Sebuah matan ringkas berkenaan aqidah, taharah, solat dan zakat. Walaupun matan ini ringkas tetapi ia mengandungi ilmu yang sangat besar. Allah telah mentakdirkan kitab ini diterima ramai berkat keikhlasan pengarangnya sehingga ia tersebar luas dan diambil berat oleh ulama sama ada mengajarkannya, mensyarahkannya, meletakkan dalil baginya, menukarkannya ke bentuk nazam dan menyempurnakannya.

2 - Al-Fawaid al-Jaliyyah Fi al-Zajr ‘An Ta’athi al-Hiyal al-Ribawiyyah.

Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada tahun 1271H/1855M di Batavia atau dikenali pada hari ini sebagai Jakarta, Indonesia.

Semoga Allah merahmati beliau.

Makam dikatakan milik beliau

Kedudukan Makam Beliau

Dikatakan makam beliau terletak di Masjid Jami’ al-Ma’mur, Tanah Abang, Jakarta Pusat. Namun menurut Syahrul Latief yang merupakan pengurus masjid berkenaan, makam tersebut sebenarnya ialah makam penduduk setempat dan mantan pengurus masjid tersebut. Makam beliau sebenarnya berada di Pemakaman Said Naum. Tetapi pada tahun 1973 makam beliau dan beberapa orang lagi telah dibongkar dan dipindahkan ke beberapa tempat pemakaman umum di Jakarta.

Khidmat Ulama Terhadap Kitab Safinah al-Naja

A - Mensyarahkannya

1 - Kasyifah al-Saja Syarah Safinah al-Naja karangan Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi.

2 - Nail al-Raja' Bi Syarah Safinah al-Naja karangan Syeikh Ahmad bin 'Umar al-Syathiri.


3 - Sullam al-Raja Lil Wusul Ila Halli Alfaz Safinah al-Naja karangan Syeikh Uthman bin Muhammad Sa'id Tungkal al-Indonesi.


4 - Wasilah al-Raja Syarah Safinah al-Naja karangan Syeikh Hasan bin Umair al-Syirazi.


5 - Al-Ta'liqah al-Thaminah 'Ala Safinah al-Naja karangan Syeikh Muhammad bin Ahmad 'Amwah.


6 - Manar al-Huda Syarah Safinah al-Naja karangan Muhammad bin Ahmad 'Amwah.


7 - Tuhfah al-Ibad Bi Khair al-Widad karangan Syeikh Abdul al-Lah bin Umar bin Humaid. Syarah Safinah al-Naja dalam bentuk soal jawab.

8 - Ghayah Al-Muna Syarah Safinah Al-Naja karangan Syeikh Muhammad Ali Ba'athiyyah.


9 - Nasim al-Hayah ‘Ala Safinah al-Naja karangan Syeikh Abdullah bin ‘Awadh bin Mubarak Bukair.

10 - Al-Durrah al-Thaminah Hashiyyah ‘Ala al-Safinah karangan Syeikh Ahmad bin Muhammad al-Hadhrawi al-Makki.

11 - Syarah Safinah al-Naja karangan Syeikh Dr Mahmud al-Syeikh Ali Hasan al-Jizani.

12 - Tanbih Zawi al-Hija Ila Ma'ani Alfaz Safinah al-Naja karangan Dr Amjad Rasyid.

B - Menyempurnakannya

1 - Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi dalam Kasyifah al-Saja Syarah Safinah al-Naja telah menambah bab puasa.

2 - Syeikh Ahmad bin Siddiq al-Lasimi al-Fasuruani dalam Tanwir al-Hija Nazam Safinah al-Naja meletakkan mukadimah berkenaan ilmu tauhid dan ditambah bab puasa, haji dan umrah. Beliau mengakhirinya dengan mawa’iz (beberapa nasihat dan peringatan).

2 - Syeikh Muhammad bin Ali bin Muhammad Ba’athiyyah dalam Ghayah al-Muna Syarah Safinah al-Naja menambah bab haji supaya dapat melengkapi bahagian ibadat.

C - Menukarkannya ke bentuk nazam

1 - Nazam al-Sayyid al-Allamah Abdullah bin Ali bin Hasan al-Haddad.

2 - Nazam al-Sayyid al-Allamah Muhammad bin Ahmad bin Ali Ba’aqil.

3 - Nazam al-Syeikh al-Allamah Siddiq bin Abdullah al-Batuhani al-Lasimi.

4 - Tanwir al-Hija Nazam Safinah al-Naja karangan Syeikh Ahmad bin Siddiq al-Lasimi al-Fasuruani. Disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Ali bin Husain al-Maliki dengan syarah yang bertajuk Inarah al-Duja Bi Tanwir al-Hija.

5 - Al-Lu’lu’ah al-Thaminah Nazam al-Safinah karangan Syeikh Muhammad bin Ali bin Zakin Ba’hannan al-Kindi.

6 - Al-Subhah al-Thaminah Nazam al-Safinah karangan Ahmad bin Masyhur bin Taha al-Hadad. Dalam 300 buah bait. Disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Ali Ba’athiyyah dengan kitab yang berjudul al-Durrah al-Yatimah Syarah al-Subhah al-Thaminah.

7 - Nail al-Raja Manzumah Safinah al-Naja karangan Muhammad Ma'sum bin Siraj al-Syarbawi. Disyarahkan oleh Syeikh Ahmad Sahl bin Abi Hasyim Muhammad Mahfuz Salam al-Hajini dengan kitabnya yang berjudul Faidh al-Hija ‘Ala Nail al-Raja.

D - Meletakkan dalil baginya

1 - Al-Jawahir al-Thaminah Fi Adillah al-Safinah karangan Syeikh Mahmud Muhammad al-Syibli

Baca juga:

Imam al-Baiquni - Pengarang Manzumah al-Baiquniyyah

Selasa, 13 Julai 2021

Manhaj Kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi

Sejarah Ringkas al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi

1 - Nama beliau ialah Abdul Ghani bin Abdul Wahid bin Ali bin Surur bin Rafi’ bin Hasan bin Ja’far al-Jamma’ili al-Maqdisi. Gelaran al-Jamma’ili ialah nisbah kepada Jamma’il yang merupakan nama sebuah perkampungan tempat kelahiran beliau yang terletak di Bukit Nabulus, Palestin. Beliau dilahirkan pada tahun 541 Hijrah dan ada beberapa pendapat lain tentang tahun kelahiran beliau.

2 - Keluarga beliau membawa beliau dari Palestin ke Damsyik sekitar usia beliau 10 tahun. Beliau mula belajar sejak kecil lagi dengan guru-guru di Damsyik sebelum memulakan pengembaraan menuntut ilmu di beberapa buah tempat seperti Iskandariah, Baghdad, Baitul Maqdis, Mesir, Asbahan, Hamazan dan lain-lain.

3 - Guru-guru beliau sangat ramai lebih daripada 100 orang. Antara yang terkenal ialah Abdul Qadir al-Jilani dan Abu Thahir al-Silafi.

4 - Murid beliau yang terkenal pula ialah Ibnu Qudamah al-Maqdisi, al-Munziri, al-Yunini, Abdul Qadir al-Ruhawi, al-Dhiya’ al-Maqdisi dan lain-lain.

5 - Karya penulisan beliau ialah Umdah al-Ahkam al-Kubra, Umdah al-Ahkam al-Sughra, al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal, al-Iqtisad Fi al-I’tiqad dan lain-lain.

6 - Beliau digambarkan sebagai seorang yang sangat banyak beribadat, warak, dermawan dan sangat berpegang dengan sunnah. Beliau sentiasa melazimi berpuasa, solat 300 rakaat sehari semalam dan melakukan amar makruf dan nani mungkar.

7 - Beliau mengadakan majlis membaca hadis pada malam Jumaat dan selepas solat Jumaat di Masjid Umawi di Damsyik. Majlis beliau akan dihadiri ramai orang. Apabila beliau membaca hadis beliau akan menangis lalu menangislah orang di sekeliling beliau.  

8 - Beliau mula jatuh sakit pada bulan Rabiulawal tahun 600 Hijrah dengan sakit yang sangat berat sehingga menghalang beliau daripada bangun dan bercakap. Beliau berterusan sakit selama 16 hari sehinggalah beliau meninggal dunia pada hari Isnin 23 Rabiulawal tahun 600 Hijrah.

Manhaj Penulisan Kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal

1 - Sebelum al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi mengarang kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal, terlebih dahulu al-Hafiz Ibnu ‘Asakir (w. 571 H) telah pun mengarang kitab berkenaan perawi al-Kutub al-Sittah, namun beliau hanya sekadar memuatkan maklumat berkenaan perawi-perawi yang merupakan guru kepada pengarang al-Kutub al-Sittah.

2 - Dalam kitab al-Kamal ini al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi tidak sekadar memasukkan maklumat berkenaan perawi yang merupakan guru kepada pengarang al-Kutub al-Sittah sahaja, bahkan keseluruhan perawi yang disebutkan dalam kitab-kitab ini sama ada daripada kalangan sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in sehinggalah ke peringkat guru-guru pengarang al-Kutub al-Sittah.

3 - Dalam kitab ini beliau berusaha sehabis boleh untuk mengumpulkan seluruh perawi dalam al-Kutub al-Sittah, tetapi beliau sendiri mengingatkan bahawa beliau tidak mampu mengumpulkan seluruh perawi berkenaan kerana terdapat naskhah-naskhah tulisan tangan al-Kutub al-Sittah yang berbeza-beza. Sebahagian hadis dan perawi-perawinya ada dalam sebahagian naskhah tetapi tidak ada dalam naskhah yang lain.

3 - Beliau menjelaskan keadaan perawi tersebut dari sudut jarh dan ta’dilnya semampu beliau dan membuang sebahagian penilaian imam-imam al-jarh wa al-ta’dil terhadap perawi tersebut kerana tidak mahu memanjangkan kitab ini.

4 - Beliau juga menggunakan beberapa ungkapan yang menunjukkan kewujudan perawi tersebut dalam al-Kutub al-Sittah atau dalam sebahagiannya, misalannya kata beliau: (روى له الجماعة) untuk perawi yang berada dalam keenam-enam kitab tersebut. Bagi perawi yang berada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim pula beliau menggunakan ungkapan: (اتفقا عليه) atau (متفق عليه).

5 - Beliau memulakan kitab ini dengan menyebut sirah ringkas berkenaan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian beliau meletakkan sebuah mukadimah penting yang mengandungi ucapan para ulama hadis berkenaan kepentingan ilmu rijal, mengkaji sanad, membezakan sunah yang sahih dan daif dan memilih perawi yang thiqah daripada perawi daif.

6 - Kemudian beliau menyebutkan biografi para sahabat, dimulakan dengan sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga dan baki sahabat-sahabat yang lain mengikut susunan abjad. Setelah itu barulah para perawi di kalangan tabi’in dan peringkat seterusnya. Dimulakan dengan perawi yang bernama Muhammad kerana kemuliaan nama ini dan baki perawi yang lain berdasarkan huruf abjad.

7 - Kitab ini pertama kali diterbitkan pada tahun 2016 dengan tahqiq oleh Dr Syadi bin Muhammad bin Salim Aali Nu’man sebanyak 10 jilid.

Rujukan

1 - Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2 - Mukadimah tahqiq kitab al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh Dr Syadi bin Muhammad bin Salim Aali Nu’man. 

Baca juga: 

Manhaj Kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal oleh al-Hafiz al-Mizzi

Isnin, 12 Julai 2021

17 Hadis Kelebihan Bersedekah

Hadis Pertama

اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ.

“Lindungilah diri daripada api neraka dengan bersedekah walaupun dengan separuh kurma.”

Riwayat al-Bukhari (no. 1417) dan Muslim (no. 1016) daripada hadis ‘Adi bin Hatim.

Pengajaran Hadis:

1 - Galakan untuk bersedekah walaupun dalam jumlah yang sedikit.

2 - Sedekah itu diterima oleh Allah walaupun sedikit dengan syarat dilakukan secara ikhlas dan bersumber harta yang halal.

3 - Tidak memandang rendah kepada sedekah yang sedikit kerana ia mungkin menjadi sebab kita terselamat daripada masuk ke dalam neraka.

Hadis Kedua

ما مِن يَومٍ يُصْبِحُ العِبادُ فِيهِ، إلَّا مَلَكانِ يَنْزِلانِ، فيَقولُ أحَدُهُما: اللَّهُمَّ أعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، ويقولُ الآخَرُ: اللَّهُمَّ أعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا.

“Tidak ada hari yang dilalui oleh seorang hamba (manusia) itu melainkan akan turun dua orang malaikat. Salah satunya berdoa: Ya Allah berikanlah kepada orang yang bersedekah itu ganti (sedekahnya). Seorang malaikat lagi berkata: Ya Allah, berikanlah kepada orang yang menahan sedekahnya itu kemusnahan.”

Riwayat al-Bukhari (no. 1442) dan Muslim (no. 1010) daripada hadis Abu Hurairah.

Pengajaran Hadis:

1 - Jangan merasa rugi untuk bersedekah kerana Allah pasti akan menggantikannya dengan ganjaran yang lebih baik sama ada di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah Ta’ala:

وَما أَنفَقتُم مِن شَيءٍ فَهُوَ يُخلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيرُ الرّازِقينَ.

"Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.” (Surah Saba’, ayat 39).

2 - Berusahalah untuk bersedekah agar mendapat doa kebaikan daripada malaikat kerana malaikat itu makhluk Allah yang mustajab doanya.

3 -  Orang yang menahan hartanya akan didoakan kebinasaan oleh malaikat dan kebinasaan itu boleh berlaku sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Maksud menahan harta daripada bersedekah di sini adalah menahan hartanya daripada mengeluarkan sedekah yang wajib seperti zakat dan memberi nafkah kepada keluarganya dan bukannya sedekah yang sunat. Melainkan apabila seseorang itu tidak memberi sedekah yang sunat disebabkan jiwanya dikuasai oleh sifat bakhil dan ketamakan, maka dia termasuk dalam doa malaikat tersebut.

4 - Harus untuk berdoa bagi orang yang pemurah itu agar ditambah hartanya dan digantikan dengan ganjaran yang lebih baik. Begitu juga harus untuk mendoakan orang yang bakhil itu kemusnahan hartanya yang menghalang dia daripada melaksanakan sedekah yang wajib ke atasnya.

Hadis Ketiga

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menceritakan tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari kiamat, salah seorangnya ialah:

رَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ.

“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya dan dia menyembunyikan amalnya itu sehingga (seolah-olah) tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya,”

Riwayat al-Bukhari (no. 660 & 1423) dan Muslim (no. 1423) daripada hadis Abu Hurairah.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan bersedekah secara sembunyi bahawa pemberinya akan mendapat perlindungan pada hari akhirat. Firman Allah Ta’ala:

إِن تُبدُوا الصَّدَقاتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَكُم

“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)

2 - Hikmah bersedekah secara sembunyi adalah untuk menjaga hati pemberi sedekah daripada rasa riyak yang menjadi punca rosaknya amalan. Begitu juga untuk memelihara maruah dan air muka penerima sedekah daripada rasa malu.

Hadis Keempat

Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menceritakan tiga amalan yang masih mengalir pahalanya walaupun setelah seseorang itu mati, salah satunya:

صَدَقَة جَارِيَة.

“Sedekah jariah (yang berkekalan manfaatnya).”

Riwayat Muslim (no. 1631), Abu Daud (no. 2880), al-Tirmizi (no. 1376), al-Nasa'i (no. 3651) dan Ibnu Majah (no. 242) daripada hadis Abu Hurairah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hebatnya amalan bersedekah yang menjanjikan pahala yang berterusan bagi orang yang melakukannya walaupun setelah dia meninggal dunia.

2 - Di antara bentuk sedekah yang kekal manfaatnya adalah wakaf seperti mewakafkan telaga untuk diminum daripadanya, mewakafkan kitab-kitab agama dan mushaf al-Quran ke masjid dan tempat-tempat pengajian.

Hadis Kelima

ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا، وما تَواضَعَ أحَدٌ لِلَّهِ إلَّا رَفَعَهُ اللَّه.

“Tidak berkurang harta dengan bersedekah, tidaklah orang yang memberi kemaafan itu melainkan Allah akan menambah kemuliaannya dan tidaklah orang yang merendah diri kerana Allah melainkan Allah akan mengangkat kedudukannya.”

Riwayat Muslim (no. 2588) dan al-Tirmizi (no. 2029) daripada hadis Abu Hurairah.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi anjuran supaya memberi sedekah, memaafkan orang yang menyakiti kita dan merendah diri sesama orang mukmin.

2 - Sedekah tidak mengurangi harta bahkan menjadi sebab harta itu bertambah dan berkembang dengan sebab keberkatan amalan bersedekah.

3 - Memaafkan orang yang menyakiti kita menjadi sebab untuk Allah menambah kemuliaan kita di dunia dan di akhirat.

4 - Kelebihan orang yang merendah diri semata-mata kerana Allah. Allah akan mengangkat darjatnya di dunia serta di akhirat.

Hadis Keenam

الصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ.

“Sedekah itu adalah bukti,”

Riwayat Muslim (no. 223) daripada hadis Abu Malik al-Asy’ari.

Pengajaran Hadis:

1 - Sedekah itu menjadi bukti bahawa pemilik harta telah melaksanakan tanggungjawabnya berkaitan hartanya. Sama ada dengan cara dia memberi sedekah yang wajib (zakat) atau sedekah yang sunat. 

2 - Sedekah itu menjadi tanda benarnya keimanan orang bersedekah itu kerana kebiasaannya orang munafik tidak bersedekah. Seorang itu juga tidak mengeluarkan sedekah melainkan rasa kasih dan keimanannya kepada Allah.

Hadis Ketujuh

ظِلُّ المؤمنِ يومَ القيامةِ صَدقتُه.

“Naungan orang beriman pada hari kiamat itu ialah sedekahnya.”

Riwayat Ahmad (no. 23490) daripada seorang lelaki daripada sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang sahih.

Pengajaran Hadis:

1 - Sedekah akan menjadi pelindung yang menaungi pemberi sedekah daripada bahang panas pada hari kiamat sebagaimana bayang-bayang menjadi pelindung daripada panas terik matahari.

Hadis Kelapan

الصدقةُ تُطفئُ الخطيئةَ كما يُطفئُ الماءُ النارَ.

“Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.”

Riwayat al-Termizi (no. 2616) daripada hadis Mu’az bin Jabal. Kata al-Termizi: “Hadis hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 - Pahala sedekah itu mampu untuk menghapuskan dosa yang tercatat dalam catatan amalan pemberinya sebagaimana air yang mempu memadamkan api. Firman Allah Ta’ala:

إِنَّ الحَسَناتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ

“Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan (dosa).” (Surah Hud, ayat 114)

Hadis Kesembilan

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ.

“Sesungguhnya Allah menerima sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”

Riwayat al-Tirmizi (no. 662) daripada hadis Abu Hurairah. Kata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih.”

Keterangan Ringkas

1 - Maksud ‘mengambilnya dengan tangan kanan-Nya’ yakni Allah benar-benar menerima sedekah tersebut dan ia hanya majaz (kiasan) sahaja sebagaimana yang diterangkan oleh Imam Ibnu Abdil Barr dalam kitab al-Istizkar. Maha suci Allah daripada menyerupai makhluk dan mempunyai anggota badan.

Hadis Kesepuluh

إنَّ الصَّدقةَ لتُطفئُ غضبَ الرَّبِّ وتدفَعُ ميتةَ السُّوءِ.

“Sedekah itu memadam kemurkaan tuhan dan menolak kematian yang buruk.”

Riwayat al-Timizi (no. 664) daripada hadis Anas bin Malik. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan gharib.”

Pengajaran Hadis:

1 - Amalan sedekah mampu menyelamatkan kita daripada ditimpa azab dan bala daripada Allah kerana Allah kasih dan redha terhadap orang yang melakukan sedekah.

2 - Kematian yang buruk dapat dicegah melalui bersedekah. Maksud kematian yang buruk ialah mati dalam keadaan tidak beriman, mati secara mengejut sehingga tidak sempat bertaubat kepada Allah, terbakar, tenggelam, jatuh dari tempat tinggi dan tertimbus runtuhan.

Hadis Kesebelas

دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةَ.

“Sembuhkanlah orang yang sakit di kalangan kamu dengan bersedekah.”

Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (no. 105) daripada hadis al-Hasan al-Basri secara mursal. 

Pengajaran Hadis:

1 - Pengubatan itu terdapat dua jenis. Pertama, pengubatan secara jasmani iaitu dengan memakan ubat dan mendapatkan rawatan pakar perubatan. Kedua, pengubatan secara ruhani iaitu dengan melaksanakan amalan baik dan ketaatan kepada Allah yang salah satunya adalah dengan bersedekah.

2 - Bersedekah adalah salah satu cara untuk memohon bantuan Allah dalam menyembuhkan penyakit yang dihidapi.

Hadis Kedua Belas

لا يُخرِجُ رجلٌ شيئًا من الصَّدقةِ حتَّى يَفكَّ عنها لَحْيَ سَبعينَ شيطانًا.

“Tidaklah seorang itu mengeluarkan sedikit pun sedekah melainkan ia akan menyakiti tujuh puluh syaitan.”

Riwayat Ahmad (no. 22962) daripada hadis Buraidah dengan sanad yang daif.

Keterangan:

Syaitan memang sering ingin manusia melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan. Apabila manusia mengerjakan kebaikan seperti bersedekah maka syaitan akan merasa sakit.

Hadis Ketiga Belas

تَصَدَّقوا فإنَّ الصدقةَ فِكاكُكُم من النارِ.

“Bersedekahlah kerana sedekah itu penebus kamu daripada api neraka.”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath (no. 8060) daripada hadis Anas bin Malik dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini juga sama seperti hadis pertama yang menunjukkan bahawa amalan sedekah dapat menjadi sebab pembebasan diri daripada diazab di dalam neraka.

Hadis Keempat Belas

إِنَّ الصَّدَقَةَ لَتُطْفِئُ عَنْ أَهْلِهَا حَرَّ الْقُبُورِ، وَإِنَّمَا يَسْتَظِلُّ الْمُؤْمِنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِي ظِلِّ صَدَقَتِهِ.

“Sedekah itu akan memadamkan kepanasan kubur bagi orang yang melakukannya. Orang yang beriman itu akan berlindung pada hari kiamat di bawah naungan sedekahnya.”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (17/286) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3076) daripada hadis ‘Uqbah bin ‘Amir dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Keutamaan sedekah yang menjadi penolong dalam menghadapi azab dan kesusahan di dalam kubur.

2 - Sedekah menjadi penyelamat dan pelindung sewaktu kesusahan hari kiamat bagi orang beriman yang bersedekah sewaktu hidupnya. 

Hadis Kelima Belas

خَيْرُ أَبْوَابِ الْبِرِّ الصَّدَقَةُ.

“Sebaik-baik pintu kebaikan itu adalah bersedekah.”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (12/184) daripada hadis Ibnu ‘Abbas dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Sedekah dianggap sebaik-baik pintu kebaikan dan perbuatan ihsan kerana ia mengandungi banyak kebaikan seperti memberi manfaat kepada fakir miskin, dapat mendidik keluhuran budi dan sifat kedermawan pemberi sedekah dan kemampuannya untuk menghilangkan dosa dan kemurkaan Allah.

Hadis Keenam Belas

الصَّدَقَةُ تَسُدُّ سَبْعِينَ بَابًا مِنَ السُّوءِ.

“Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu keburukan.”

Riwayat al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (4/274) daripada hadis Rafi’ bin Khadij dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Sedekah itu mampu menghalang dan menolak daripada ditimpa pelbagai jenis keburukan. 'Tujuh puluh' yang disebutkan di dalam hadis bermaksud banyak dan tidak terbatas kepada tujuh puluh sahaja.

Hadis Ketujuh Belas

Anas bin Malik berkata:

بَاكِرُوا بِالصَّدَقَةِ فَإِنَّ الْبَلَاءَ لَا يَتَخَطَّاهَا.

“Bersegeralah bersedekah kerana bala itu tidak akan mendahuluinya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7907) dengan sanad yang daif daripada Anas bin Malik secara mauquf. 

Pengajaran Hadis:

1 - Amalan bersedekah itu menjadi sebab untuk tidak ditimpa bala kerana Allah kasih kepada orang yang suka bersedekah.

Baca juga:

Hadis Kelebihan Zikir