Khamis, 29 Mac 2018

Hadis: Membaca Bismillah Dengan Jahar


Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Boleh ana tahu asal kepada hadis ni?

حديث نعيم بن عبد الله المجمر قال : صليت وراء أبي هريرة رضي الله عنه فقرأ بسم الله الرحمن الرحيم ثم قرأ بأم الكتاب حتى إذا بلغ ولا الضالين قال : آمين وقال الناس : آمين ويقول كلما سجد : الله أكبر وإذا قام من الجلوس من الاثنين قال : الله أكبر ثم يقول إذا سلم . والذي نفسي بيده إني لأشبهكم صلاة برسول الله صلى الله تعالى عليه وسلم

Jawapan:

Hadis Nu'aim bin Abdullah al-Mujmir, beliau berkata:

"Aku bersolat di belakang Abu Hurairah radiallahu 'anhu. Beliau membaca 'بسم الله الرحمن الرحيم'. Kemudian beliau membaca Ummul Kitab (Surah al-Fatihah) sehingga sampai 'ولا الضالين', beliau berkata: Amin. Lalu berkata orang ramai (yang bersolat di belakang beliau): Amin. Beliau berkata apabila hendak sujud: Allahu Akbar. Apabila beliau bangun daripada duduk pada (rakaat) kedua, beliau berkata: Allahu akbar. Kemudian apabila selesai memberi salam, beliau berkata: Demi (Allah) yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, aku adalah yang paling menyerupai solatnya dengan solat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam di antara kamu semua."

Hadis ini riwayat al-Bazzar, al-Nasa'ie, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Daraqutni, al-Hakim, al-Baihaqi dan lain-lain.

Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, al-Daraqutni, al-Hakim, al-Baihaqi, al-Khatib al-Baghdadi dalam Zikr al-Jahr Bil Basmalah , Ibnu Hajar dalam Taghliq al-Ta'liq dan lain-lain.

Kata Ibnu Khuzaimah dalam penulisan beliau berkenaan Basmalah (sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam):

"Telah sahih (hadis) membaca Basmalah dengan nyaring daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam dengan sanad yang sabit lagi bersambung. Tidak ada keraguan akan kesahihannya di sisi ahli ilmu."

Hadis: Jangan Mengumpat


Soalan:

Boleh berikan pencerahan tentang status hadith ni dan betulkah makna hadith dlm BM ni berdasarkan matannya dlm bahasa Arab?

Peringatan Rasulullah SAW kepada Orang Beriman

Sabda Rasulullah: “Wahai org beriman dgn lidahnya, tetapi belum beriman dgn hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yg mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan Dia akan mendedahknnya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Jawapan:

يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ، وَلَمْ يَدْخُلِ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ، لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنِ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

"Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak masuk iman ke dalam hatinya, janganlah kamu semua mengumpat kaum Muslimin dan jangan kamu mengintip keaiban mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mengintip keaiban mereka, Allah akan mendedahkan keaibannya. Sesiapa yang Allah mendedahkan keaibannya nescaya akan tersingkap keaibannya walaupun dia berada di dalam rumahnya."

Hadis ini sahih.

Hadis ini riwayat Ahmad, Abu Daud, Abu Ya'la dan lain-lain daripada hadis Abi Barzah al-Aslami.

Hadis ini ada syawahid (hadis sokongan) daripada hadis Ibnu 'Umar yang diriwayatkan oleh al-Termizi, hadis Thauban yang diriwayatkan oleh Ahmad, hadis al-Bara' bin 'Azib yang diriwayatkan oleh Abu Ya'la, hadis Ibnu 'Abbas yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath dan al-Kabir, hadis Buraidah yang diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath dan al-Kabir dan hadis mursal Jubair bin Nufair yang diriwayatkan oleh al-Hakim al-Termizi dalam Nawadir al-Usul.

Hadis: Kaum Yang Mencakar Muka Dan Dada Mereka

Soalan:

Apakah status hadis ini dan betulkah terjemahan tersebut daripada matan bahasa arabnya? Syukran ustaz.

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Anas, Rasulullah SAW bersabda:

“Pada malam aku diIsra’kan aku telah melalui suatu kaum yg mencakar-cakar muka mereka dgn kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: “Hai Jibril siapa mereka ini? jawab Jibril: Mereka ini adalah org2 yg suka mengumpat dan mereka juga suka menjaga tepi kain org”.

(Abu Daud dari Anas)

Jawapan:

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ، فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ، قَالَ هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ، وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ

"Pada malam aku dimi'rajkan (diangkat ke langit pada malam Israk dan Mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: Siapa mereka ini, wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka."

Hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud dan lain-lain.

Pengajaran Hadis:

1 - Membuktikan mukjizat Isra' dan Mi'raj dan bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah melihat perkara-perkara yang menakjubkan pada malam tersebut.

2 - Pengharaman mengumpat di mana adalah antara dosa-dosa besar dan termasuk dalam sebab-sebab yang membinasakan pelakunya di dunia dan akhirat.

3 - Hukuman bagi orang yang mengumpat pada hari kiamat adalah mereka akan menyeksa diri mereka sendiri dengan tangan mereka sendiri. Orang yang mengumpat saudara muslimnya seolah-olah seperti memakan dagingnya, maka balasannya setimpal dengan perbuatannya, di mana mereka akan mencabik-cabik daging mereka sendiri dengan kuku mereka.

4 - Penghuni neraka akan diberi kekuatan pada hari kiamat kerana mereka akan menyeksa diri mereka sendiri dengan tangan mereka sendiri. Maka kesan penyeksaan terhadap diri mereka akan menjadi lebih kuat.

5 - Pengharaman mencemarkan maruah manusia seperti menghina rupa paras mereka atau mencaci keturunan dan nasab mereka dan perbuatan yang seumpama dengannya.

Hadis: Belajar Tentang Iman Sebelum Al-Quran

Soalan:

Ada tak hadis yang mengatakan kami belajar iman dulu sebelum Quran?

Jawapan:

عَنْ جُنْدُبِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَنَحْنُ فِتْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ، فَتَعَلَّمْنَا الْإِيمَانَ قَبْلَ أَنْ نَتَعَلَّمَ الْقُرْآنَ، ثُمَّ تَعَلَّمْنَا الْقُرْآنَ فَازْدَدْنَا بِهِ إِيمَانًا.

Daripada Jundub bin Abdullah, beliau berkata:

"Kami bersama dengan Nabi sallahu 'alaihi wasallam dan kami masih muda belia dan kuat. Kami mempelajari tentang iman sebelum mempelajari al-Quran. Kemudian barulah kami mempelajari al-Quran, maka bertambah-tambah iman kami dengan sebab al-Quran tersebut."

Riwayat Ibnu Majah (no. 61).

Kata al-Hafiz al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah:

هَذَا إِسْنَاد صَحِيح رِجَاله ثِقَات

"Sanad (hadis) ini sahih dan perawinya thiqah."

Sanadnya juga dinilai sahih oleh al-Hafiz al-'Iraqi dalam Takhrij Ahadith al-Ihya'.

Pengajaran Hadis

1 – Iman boleh bertambah dan berkurang. Iman bertambah dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan berkurangan apabila melakukan maksiat.

2 - Keutamaan iman sebagai asas kehidupan. Sahabat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mendahulukan pembelajaran iman, iaitu mengenal Allah dan keimanan kepada-Nya. Iman yang kukuh menjadi asas untuk memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran.

2 – Proses pembelajaran adalah secara berperingkat. Hadis ini menunjukkan bahawa pembelajaran agama perlu dilakukan secara bertahap. Apabila iman sudah mantap, al-Quran dapat difahami dan diamalkan dengan lebih mendalam, kerana ia ditambah dengan kekuatan rohani. Utamakan menuntut ilmu akidah sebelum mempelajari al-Quran dan ilmu fiqh.

3 - Pentingnya Belajar di Usia Muda. Dalam hadis ini, Jundub bin Abdullah menggambarkan dirinya sebagai muda belia dan kuat sewaktu belajar dari Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Masa muda adalah waktu terbaik untuk menuntut ilmu kerana kekuatan fizikal dan mental di masa muda membantu proses pembelajaran.

4 - Kepentingan mendidik generasi muda. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah mendidik para sahabatnya terutamanya dari golongan muda. Ini mengingatkan kita tentang kepentingan mendidik golongan muda sejak awal dengan ilmu, iman dan al-Quran.

5 – Mendalami al-Quran menjadi sebab pertambahan iman, menerangi hati dan melapangkan dada dari kekusutan. Ini kerana al-Quran memberi petunjuk, peringatan, dan panduan hidup yang melengkapi asas iman.

Hadis: Sebaik-Baik Ibadah Adalah Yang Paling Berat


Soalan:

Apakah maksudnya hadis ini?

Nabi saw bersabda: "Amal yg paling disukai oleh Allah adalah yg paling berat dirasakan."

Jawapan:

أَفْضَلُ الْعِبَادَاتِ أَحْمَزُهَا

"Sebaik-baik ibadat adalah yang paling berat (untuk dilakukan)."

Menurut al-Hafiz al-Mizzi (sebagaimana dalam al-Tazkirah oleh al-Zarkasyi), ia adalah daripada hadis-hadis gharib yang tidak diriwayatkan sedikitpun di dalam Kutubus Sittah. Menurut al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Durar al-Muntathirah, ianya tidak diketahui (asalnya). Ibnu al-Qayyim dalam Madarij al-Salikin menghukumkannya sebagai tidak ada asal (لا أصل له).

Disebutkan di dalam kitab al-Nihayah oleh Ibnu al-Athir (m. 606H) secara tanpa sanad daripada hadis Ibnu 'Abbas bahawa Rasulullah sallahu 'alaihii wasallam ditanya tentang sebaik-baik amalan. Baginda menjawab: "Yang paling berat (أحمزها)."

Menurut al-Mulla 'Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu'ah, maknanya sahih kerana telah diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, Nabi sallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada 'Aisyah:

وَلَكِنَّهَا عَلَى قَدْرِ نَصَبِكِ

"Akan tetapi, pahala umrah kamu berdasarkan tahap kepenatan kamu."

Wallahu a'lam.

Hadis: Setubuh Isteri Ketika Haid Anak Jadi Pondan

Soalan:

Ada dalam hadis atau suatu perkataan sahaja. Bunyinya macam ini:

"Suami yg mewati istri ketika haid, jika berlaku persenyawan, anak itu akan jadi pondan" sebab kifarah bagi ibu bapa.

Ada hadis ke? Ke kata-kata dari orang tua?

Jawapan:

عنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيه وسَلَّم قَال: الْمُؤْنِثُونَ أَوْلادُ الْجِنِّ قِيلَ لابْنِ عَبَّاسٍ يَا أَبَا الْفَضْلِ كَيْفَ ذَلِكَ قَالَ نَهَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَنْ يَأْتِيَ الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَإِذَا أَتَاهَا سَبَقَهُ الشَّيْطَانُ إليها فحملت منه فأنث المؤنث.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

“Golongan pondan adalah anak-anak jin.”

Ditanya kepada Ibnu ‘Abbas:

“Wahai Abu al-Fadl (gelaran Ibnu ‘Abbas), bagaimana boleh jadi begitu?”

Ibnu ‘Abbas menjawab:

“Allah dan Rasul-Nya melarang seorang lelaki mendatangi isterinya yang sedang haid. Apabila dia mendatangi isterinya yang sedang haid, syaitan akan mendahuluinya. Apabila isterinya hamil hasil persetubuhan tersebut, anaknya menjadi pondan.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu ‘Adi dalam kitab al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal pada biografi perawi Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi.

Hadis ini didaifkan oleh Imam Ibnu ‘Adi yang mengatakan bahawa hadis ini telah diriwayatkan secara silap (غير محفوظ) dan Imam Ibnu al-Qatthan al-Fasi dalam Ihkam al-Nazar yang mengatakan bahawa ia adalah hadis mungkar.

Hukum Hadis

Kesimpulannya, hadis ini hukumnya sangat daif. Oleh itu tidak boleh menggunakannya walaupun dalam bab tarhib (amaran/peringatan daripada melakukan perbuatan dosa/maksiat). Apatah lagi menuduh bapa kepada seorang pondan bahawa dia menyetubuhi isterinya ketika haid.

Hukum Setubuh Isteri Ketika Haid

Adapun hukum menyetubuhi isteri ketika haid, Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu' menyebutkan bahawa sepakat (ijma') kaum Muslimin akan keharaman bersetubuh dengan isteri yang haid berdasarkan ayat al-Quran dan hadis yang sahih.

Firman Allah Ta'ala:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ.

"Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu...." (Surah al-Baqarah: ayat 222)

Sabda Nabi sallahu 'alaihi wasallam:

اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إلَّا النِّكَاحَ.

"Buatlah apa pun (dengan isteri yang haid) kecuali jimak."

Hadis sahih riwayat Muslim.

Selasa, 27 Mac 2018

Al-Khatib al-Baghdadi: Khatam al-Quran Dalam Permusafiran

- Pada tahun 445 Hijrah, al-Khatib al-Baghdadi (392H-463H) memulakan permusafiran beliau menuju ke Mekah untuk menunaikan haji. Sepanjang perjalanan, beliau tidak membiarkan waktu berlalu pergi melainkan dipenuhi dengan aktiviti bacaan al-Quran dan periwayatan hadis.

Kata Abu al-Farj al-Isfarayini:

“Al-Khatib (al-Baghdadi) bersama dengan kami dalam perjalanan menunaikan haji. Beliau mengkhatamkan (al-Quran) setiap hari sebanyak satu khataman dengan bacaan tartil. Kemudian orang ramai berkumpul dekat dengan beliau dalam keadaan beliau sedang menunggang (tunggangan). Mereka berkata: Sampaikan hadis kepada kami. Kemudian beliau menyampaikan hadis kepada mereka.”

- Begitu juga halnya ketika beliau dalam perjalanan dari Damsyik menuju ke Baghdad pada tahun 462 Hijrah.

Kata murid beliau yang bernama Abdul Muhsin al-Syihi:

“Aku menunggang bersama-sama dengan Abi Bakr al-Khatib dari Damsyik menuju ke Baghdad. Beliau pada setiap sehari semalaman akan mengkhatamkan (al-Quran) sekali khataman.”

[Siyar A’lam al-Nubala, jil. 18, hlm. 279, c: Muassasah al-Risalah]