Isnin, 13 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Kafirun

 

Surah al-Kafirun adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan surah ini adalah tentang tauhid dan penolakan terhadap syirik dan kesesatan.

Kaum musyrikin telah mengajak Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam untuk berkompromi, dengan meminta baginda menyembah tuhan-tuhan mereka selama setahun dan mereka pula akan menyembah Tuhan baginda selama setahun. Maka, surah ini diturunkan untuk memutuskan harapan orang-orang kafir, menyelesaikan perselisihan antara dua golongan iaitu ahli iman dan penyembah berhala, serta menolak idea yang tidak masuk akal itu secara tegas pada masa kini dan akan datang.

Dalam surah yang mulia ini, Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk memutuskan harapan orang-orang kafir dalam usaha mereka untuk berkompromi mengenai akidah baginda, kerana terdapat perbezaan yang jelas antara baginda dan mereka dalam hal sembahan dan cara beribadah.

Dalam hal sembahan, orang-orang beriman hanya menyembah Allah semata-mata tanpa menyekutukan-Nya dengan apa-apa, manakala orang-orang kafir menyembah selain Allah seperti berhala, patung, sekutu-sekutu, perantara dari kalangan manusia, malaikat, bintang-bintang atau perkara lain daripada kepercayaan dan ajaran yang palsu.

Adapun perbezaan dari segi cara ibadah, orang-orang beriman menyembah Allah dengan ikhlas tanpa syirik dan tidak lalai terhadap yang disembah serta mengikut cara ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya, iaitu cara yang diredai oleh-Nya. Sebaliknya, orang-orang kafir dan musyrik menyembah tuhan-tuhan mereka dengan cara-cara yang mengandungi syirik dan penyekutuan dengan selain Allah, serta dengan cara-cara yang mereka cipta sendiri, yang tidak diredai oleh Tuhan mereka.

Maka, bagi kamu wahai orang-orang kafir, agama kamu yang kamu warisi daripada nenek moyang kamu dan kamu redai untuk diri kamu iaitu syirik dan bagi aku agamaku yang Allah redai untukku, iaitu agama kebenaran dan tauhid.

Ahad, 12 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Nasr

 

Surah al-Nasr ialah surah Madaniyah (diturunkan selepas Hijrah) yang membicarakan tentang pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) yang memberikan kemuliaan kepada umat Islam. Melalui peristiwa ini, Islam tersebar di seluruh Semenanjung Tanah Arab, manakala kekuatan syirik dan kesesatan menjadi lemah. Dengan pembukaan yang agung ini, ramai manusia mula memasuki agama Allah, panji-panji Islam berkibar tinggi, dan ajaran penyembahan berhala semakin lenyap. Pemberitahuan tentang pembukaan Kota Mekah sebelum ia berlaku merupakan salah satu bukti yang jelas terhadap kebenaran kenabian Baginda, Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam.

Surah ini memerintahkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bahawa apabila datang pertolongan Allah dan pembukaan Kota Mekah, serta baginda melihat manusia memasuki agama Allah secara beramai-ramai, baginda hendaklah bertasbih memuji Allah sebagai tanda syukur kepada-Nya, menyucikan-Nya daripada segala sifat yang tidak layak, dan memohon keampunan untuk diri baginda dan orang-orang beriman kerana sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Menerima taubat hamba-hamba-Nya.

Para sahabat telah sepakat bahawa surah ini menunjukkan pemberitahuan tentang kewafatan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Diriwayatkan bahawa ketika surah ini diturunkan, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah dan bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba telah diberi pilihan oleh Allah antara dunia dan bertemu dengan-Nya serta akhirat, maka dia memilih untuk bertemu dengan Allah."  

Para sahabat memahami hal ini kerana perintah untuk bertasbih, memuji Allah, dan memohon ampun secara mutlak (tanpa dikaitkan sebab tertentu) menunjukkan bahawa tugas menyampaikan dakwah telah selesai dan sempurna. Ini membawa maksud bahawa kewafatan baginda akan menyusul kerana jika baginda terus hidup selepas itu, maka seolah-olah seperti baginda telah dilucutkan dari tugas kenabian, yang mana hal tersebut adalah mustahil. Selain itu, perintah untuk memohon ampun juga merupakan isyarat tentang dekatnya ajal baginda.

Sinopsis Surah al-Masad

 

Surah al-Masad adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia juga dikenali sebagai Surah al-Lahab atau Surah Tabbat.

Sebab surah ini diturunkan kerana Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada orang-orang di sekelilingnya. Baginda menyeru penduduk Mekah untuk berkumpul dan mengajak mereka beriman kepada keesaan Allah dan kebangkitan semula selepas mati. Namun, bapa saudaranya, Abu Lahab, menolak seruan itu dengan berkata, "Celakalah kamu! Adakah untuk ini kamu menyeru kami?" Kemudian, dia melemparkan batu ke arah Nabi. Lalu, turunlah ayat pertama yang menyatakan tentang kerugian Abu Lahab di dunia dan akhirat, serta kerugian dirinya akibat balasan ilahi.

Ketika Abu Lahab mendengar tentang hal itu, dia mendakwa bahawa dia akan menebus dirinya dengan harta dan anak-anaknya. Isterinya, yang digelar Ummu Jamil binti Harb (saudari Abu Sufyan) pula sering meletakkan duri di jalan Nabi untuk menganggu dakwah baginda. Kemudian, turunlah sebahagian surah yang lain yang menjelaskan bahawa apa yang dia percaya akan menebus dirinya itu tidak akan berguna sedikit pun pada hari kiamat dan disebutkan juga balasan terhadap isterinya.

Secara umumnya, surah ini membicarakan tentang kebinasaan Abu Lahab  dan tiada sesuatu pun yang dapat menyelamatkannya sama ada harta, anak-anak, atau kedudukannya. Dia merupakan musuh Allah dan Rasul-Nya. Dia sangat memusuhi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan sanggup meninggalkan pekerjaannya semata-mata untuk mengikuti Rasulullah dengan tujuan merosakkan dakwah Baginda dan menghalang orang ramai daripada beriman kepadanya.

Surah ini mengancamnya dengan api neraka yang menyala-nyala di akhirat, di mana dia akan dibakar dan diseksa. Isterinya, juga akan menyertainya dalam azab tersebut. Isterinya dikhususkan dengan satu bentuk azab yang dahsyat, iaitu tali daripada sabut yang akan diikat di lehernya dan dia akan diseret ke dalam neraka, sebagai tambahan kepada penghinaan dan kebinasaan. Begitulah, dia telah bersama dengan suaminya dalam menentang agama Allah dan menghalang manusia dari jalan-Nya di dunia, maka dia turut bersama dengannya dalam azab neraka Jahannam pada hari kiamat.

Sabtu, 11 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Fatihah

 

Surah yang mulia ini adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah), dan ayat-ayatnya berjumlah tujuh menurut kesepakatan ulama dan diturunkan satu surah secara lengkap.

Ia dinamakan ‘al-Fatihah’ kerana menjadi pembukaan bagi kitab suci al-Quran, di mana ia adalah surah pertama dalam susunan al-Quran, walaupun bukan yang pertama diturunkan.

Surah ini, walaupun ringkas dan pendek, mengandungi makna-makna al-Quran yang agung dan merangkumi tujuan-tujuan asasnya secara keseluruhan. Surah ini diturunkan untuk memperkenalkan manusia kepada Tuhan semesta alam, serta sifat-sifat-Nya yang mulia, untuk mendorong manusia memuji dan beribadah kepada-Nya, menetapkan adanya hari pembalasan dan kerajaan yang ada pada hari itu adalah milik-Nya sahaja, serta kewajipan untuk mengesakan-Nya dalam ibadah tanpa menyekutukan-Nya.

Surah ini juga menekankan keperluan untuk bergantung kepada-Nya dalam semua urusan, kerana tiada sesuatu pun yang wujud atau berlaku tanpa pertolongan-Nya. Oleh itu, manusia diminta untuk memohon pertolongan kepada-Nya dalam semua urusan mereka, memohon petunjuk ke jalan yang lurus, dan dijauhkan daripada jalan orang-orang yang dimurkai dan sesat. Kesemua ini telah dihimpunkan dalam surah al-Fatihah secara ringkas. Oleh itu, surah ini dianggap seperti ibu kepada surah-surah lain, dan itulah sebab ia dinamakan ‘Ummul Kitab’ kerana ia menghimpunkan intipati utama al-Quran.

Jumaat, 10 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Ikhlas

 

Surah al-Ikhlas adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membincangkan tentang sifat-sifat Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Sempurna dengan segala sifat kesempurnaan. Dia yang sentiasa menjadi tempat bergantung bagi sekalian makhluk-Nya  dalam memenuhi keperluan dan hajat mereka. Allah Maha Kaya tidak memerlukan segala sesuatu daripada selain-Nya. Dia bukan dari kalangan yang mempunyai ibu bapa atau anak kerana kewujudan-Nya adalah tanpa didahului ketiadaan ada dan kekal wujud selama-lamanya tanpa pengakhiran dan tidak ada sesuatu pun dalam alam ini yang menyerupai-Nya. Surah ini juga untuk membantah golongan Nasrani yang mengatakan konsep triniti, serta membantah kaum musyrikin yang mengatakan Allah mempunyai keturunan dan anak.

Sebab surah ini diturunkan kerana orang-orang musyrik berkata kepada Nabi : "Terangkan kepada kami nasab Tuhanmu", lalu Allah menurunkan: “Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa.” Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas: “Kaum Quraisy berkata: Wahai Muhammad, sifatkan kepada kami Tuhanmu yang engkau seru kami kepada-Nya", lalu turunlah surah ini dan dalam riwayat lain dari Ibnu ‘Abbas juga bahawa yang bertanya itu adalah orang-orang Yahudi.

Surah ini dinamakan dengan banyak nama, yang paling masyhur adalah Surah al-Ikhlas kerana ia membicarakan tentang tauhid yang murni kepada Allah, yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan bebas daripada segala bentuk syirik. Ia dinamakan demikian juga kerana ia membebaskan hamba daripada syirik atau dari api neraka. Selain itu, ia juga dinamakan Surah al-Tafrid, al-Tajrid, al-Tauhid, al-Najat, atau al-Wilayah kerana sesiapa yang membacanya menjadi daripada kalangan wali Allah, atau sebagai Surah al-Ma‘rifah. Ia juga dikenali sebagai Surah al-Asas kerana kandungannya merangkumi asas-asas agama.

Rabu, 8 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Falaq

 

Surah al-Falaq adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah). Di dalamnya terdapat pengajaran kepada hamba-hamba-Nya supaya berlindung kepada penjagaan Allah yang merupakan pencipta waktu subuh. Sebab disebutnya waktu subuh secara khusus adalah kerana kemunculan cahaya subuh setelah kegelapan yang pekat adalah seperti perumpamaan datangnya kelapangan setelah kesusahan. Sebagaimana manusia menantikan terbitnya fajar, begitu juga orang yang takut menantikan datangnya kejayaan.

Begitu juga diperintahkan agar memohon perlindungan dengan keagungan dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan makhluk-Nya  dari kalangan manusia, jin, binatang, serangga dan dari kejahatan setiap yang menyakiti.

Allah juga memerintahkan agar meminta pelindungan daripada kejahatan malam apabila gelap. Ini kerana jiwa manusia merasa takut kepada waktu malam dan kerana berleluasanya binatang buas dan berbisa serta orang-orang jahat dan pendosa dari kalangan manusia dan jin pada waktu itu.

Diperintahkan juga supaya berlindung daripada kejahatan ahli sihir yang membuat simpulan pada tali-tali dan meniup padanya untuk membahayakan hamba-hamba Allah dengan sihir mereka dan memisahkan antara suami dan isteri.

Begitu juga berlindung dari kejahatan setiap pendengki yang mengharapkan hilangnya nikmat dari orang lain dan tidak redha dengan nikmat yang telah Allah Ta'ala berikan kepadanya.

Surah ini adalah salah satu daripada dua surah perlindung (al-Mu'awwizatain) yang Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menggunakannya sebagai pelindung.

Sinopsis Surah al-Nas

 

Surah An-Nas adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia adalah surah yang kedua daripada surah al-Muawwizatain (dua surah pelindung).

Di dalamnya terkandung permohonan perlindungan dan penjagaan kepada Allah daripada kejahatan musuh yang paling bahaya, iaitu Iblis dan pengikut-pengikutnya dari kalangan syaitan manusia dan jin, yang menyesatkan manusia dengan pelbagai jenis bisikan dan godaan.

Dalam surah yang mulia ini terdapat perintah dari Allah kepada Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam - dan umatnya perlu mengikutinya dalam hal ini - supaya berlindung dan memohon perlindungan kepada-Nya kerana Dia adalah sebaik-baik tempat berlindung dan memohon perlindungan.

Oleh itu, baginda memohon pertolongan-Nya untuk menolak kejahatan yang besar, yang sukar dikesan oleh manusia, kerana ia datang kepada mereka melalui jalan nafsu dan keinginan mereka sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan, menyembunyikan bisikannya dengan tipu daya dan penipuan

Al-Quran dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Muawwizatain untuk menggabungkan antara permulaan yang baik dan pengakhiran yang baik dan itulah kemuncak kebaikan dan keindahan kerana hamba memohon pertolongan Allah dan berlindung kepada-Nya, dari permulaan hingga pengakhiran sesuatu perkara.