1 - Sunan:
Kitab yang
mengumpulkan hadis-hadis marfu' (bersambung sehingga Nabi) yang
membicarakan tentang hukum dan disusun berdasarkan susunan kitab fiqah. Iaitu
dimulakan dengan bab bersuci, solat, zakat, haji hinggalah ke akhirnya.
Kebanyakan kitab Sunan ini tidak terdapat dalamnya bab-bab yang membincangkan
tentang aqidah, sejarah, bab pancaroba akhir zaman (fitan) dan kelebihan
para sahabat (manaqib).
Begitu juga kebanyakan
kitab Sunan tidak terkandung dalamnya hadis-hadis mauquf dan hadis-hadis
mursal. Hal ini adalah kerana secara zahirnya kitab ini dinamakan semperna
perkataan sunnah (iaitu segala yang disandarkan kepada nabi, sedangkan hadis mauquf
ialah perkara yang disandarkan kepada sahabat). Sekiranya terdapat hadis mauquf
dan mursal dalam kitab Sunan, maka hanyalah sebagai dalil penyokong dan
bukan perbahasan utama.
Contoh kitab Sunan:
(i) Sunan Abu Daud.
(ii) Sunan al-Nasa’i.
(iii) Sunan Ibnu Majah.
(iv) Sunan al-Kubra karangan al-Baihaqi.
(v) Sunan al-Daraqutni.
2 - Jami’:
Kitab yang disusun
hadis-hadis dalamnya berdasarkan kepada susunan bab-bab yang mengumpulkan
hadis-hadis daripada semua topik-topik dalam agama. Bilangannya adalah sebanyak
lapan bab utama iaitu: Aqidah, hukum-hukum, sirah dan sejarah, adab-adab,
tafsir, pancaroba-pancaroba akhir zaman (fitan), tanda-tanda kiamat, kelebihan sahabat (manaqib).
Perbezaannya dengan
kitab Sunan adalah kebiasaannya kitab Sunan tidak memuatkan bab akidah, fitan
dan manaqib.
Contoh kitab Jami’:
(i) Al-Jami’
al-Sahih atau Sahih al-Bukhari.
(ii) Al-Musnad al-Sahih atau Sahih Muslim.
(iii) Al-Jami’ al-Mukhtasar atau Jami’ al-Tirmizi.
3 - Musnad:
Kitab hadis yang
disusun berdasarkan nama-nama para sahabat, dan bukannya disusun berdasarkan
bab-bab fikah.
Objektifnya ialah
menghimpunkan hadis-hadis setiap orang sahabat secara berasingan, tidak kira
sama ada sahih, hasan ataupun daif. Turutan susunan nama-nama tersebut pula
sama ada berdasarkan huruf abjad, atau menurut kabilah-kabilah, atau menurut
mereka yang terdahulu memeluk Islam, atau berdasarkan kemuliaan nasab, atau
sebagainya.
Contoh kitab Musnad:
(i) Musnad Abu Daud
al-Thayalisi.
(ii) Musnad Ahmad bin Hanbal.
(iii) Musnad Al-Humaidi.
(iv) Musnad Abu Ya’la al-Mausili.
(v) Musnad al-Bazzar.
3 - Mu’jam:
Kitab yang terdapat
dalamnya hadis-hadis yang disusun mengikut musnad para sahabat, atau
syeikh-syeikh, atau nama negara atau sebagainya. Kebiasaannya susunan nama-nama
ini adalah mengikut susunan huruf abjad.
Contoh Mu’jam:
(i) Mu’jam
al-Saghir.
(ii) Mu’jam al-Ausath.
(iii) Mu’jam al-Kabir, ketiga-tiganya karangan al-Thabrani.
4 - Al-Muwatta’:
Kitab hadis yang
disusun berdasarkan bab-bab fikah dan merangkumi hadis-hadis marfu', mawquf
dan juga maqtu'.
Sebab kitab ini
dinamakan sebagai Al-Muwatta' ialah kerana pengarangnya iaitu
Imam Malik telah mempermudahkan kitab ini sebagai rujukan orang ramai dan
beliau telah mempersiapkan hadis-hadis dalamnya dari sudut penyusunannya.
Namun ada juga yang
berpendapat bahawa kitab ini dinamakan sebagai Al-Muwatta'
kerana kata-kata beliau: Sesungguhnya saya telah mempersembahkan kitab karangan
saya ini kepada 70 orang ulama Madinah, maka mereka semua telah bersetuju
dengan saya. Lalu saya namakan kitab ini sebagai Al-Muwatta' (kerana Al-Muwata'
juga membawa maksud yang dipersetujui).
Sebenarnya kitab-kitab
Al-Muwatta' adalah sama seperti kitab-kitab Al-Musannaf,
sekalipun namanya berbeza.
Begitu juga Al-Muwatta'
dengan As-Sunan, pada hakikatnya tidak terdapat perbezaan yang ketara
antara Al-Muwatta' dengan As-Sunan, melainkan kitab-kitab As-Sunan
itu kebiasaannya hanya mengumpulkan hadis-hadis yang marfu' sahaja.
Contoh al-Muwatta’:
(i) Muwatta’ Ibnu Abi
Zi’b.
(ii) Muwatta’ Malik
bin Anas.
(iii) Muwatta’ Ibrahim bin Abi Yahya.
(iv) Al-Muwatta’
al-Saghir dan al-Muwatta’ al-Kabir karangan Abdullah bin Wahb al-Misri.
(v) Muwatta’ Ismail
al-Qadhi.
6 - Musannaf:
Kitab yang disusun
mengikut susunan bab-bab fikah, yang merangkumi hadis-hadis nabawi, kata-kata
para Sahabat, fatwa-fatwa Tabiin dan kadang kala terdapat fatwa-fatwa Tabi'
al-Tabi'in.
Beza antara Musannaf
dan Sunan ialah Musannaf mengandungi hadis-hadis marfu', mawquf
dan maqtu'.
Manakala Sunan pula
hanya merangkumi hadis-hadis marfu' sahaja, kecuali sedikit daripada mawquf
dan maqtu'.
Ini kerana khabar mawquf
dan maqtu' tidak dinamakan sebagai Sunan dalam istilah
muhaddithin. Selain daripada perbezaan tersebut, Musannaf dan Sunan
adalah sama dari semua sudut.
Contoh Musannaf:
(i) Musannaf Abdul
Razzaq al-San’ani.
(ii) Musannaf Ibnu Abi Syaibah.
7 - Mustadrak:
Kitab yang mengandungi
apa yang tidak diriwayatkan dalam sebuah atau lebih daripada sebuah kitab
hadis. Hadis- hadis yang diriwayatkan itu adalah mengikut syarat pengarang
kitab hadis tersebut, ataupun yang termasuk dalam babnya.
Contoh Kitab Mustadrak:
(i) Al-Mustadrak 'Ala As-Sahihain karangan al-Hakim al-Naisaburi.
Beliau telah mengarang
kitab ini dengan menyusunnya berdasarkan bab-bab, mengikut sebagaimana susunan
asal yang digunakan oleh Al-Bukhari dan Muslim dalam Sahih mereka. Dalam kitab
ini beliau telah menyebut tiga jenis hadis, iaitu:
(a) Hadis-hadis sahih
yang diriwayatkan berdasarkan syarat Al- Bukhari dan Muslim, atau berdasarkan
syarat salah seorang dari mereka, dan mereka berdua tidak mengeluarkan
hadis-hadis tersebut.
(b) Hadis-hadis sahih
berdasarkan pandangan Al-Hakim sendiri, sekalipun ianya tidak menepati syarat
Al-Bukhari dan Muslim, atau syarat salah seorang dari mereka. Hadis ini
digambarkan sebagai hadis yang sahih sanadnya.
(c) Beliau juga
menyebutkan hadis-hadis yang tidak sahih di sisinya, namun beliau telah memberi
peringatan terhadapnya.
Bagaimanapun, dalam
kitab ini beliau terlalu longgar dalam meletakkan hukum ke atas hadis-hadisnya
sebagai sahih. Dengan sebab itulah kitab ini telah banyak dikritik oleh ulama
yang terkemudian, dan mereka telah mengulas hadis-hadis yang terdapat dalamnya
seperti yang dilakukan oleh al-Hafiz al-Zahabi. Beliau telah melakukan
ringkasan terhadap kitab ini serta memberi ulasan terhadap perkara yang perlu
diberi ulasan.
(ii) Al-Ilzamat karangan al-Daraqutni.
Kitab ini juga seperti
al-Mustadrak 'Ala As-Sahihain. Beliau telah mengumpulkan hadis-hadis
yang memenuhi syarat Al- Bukhari dan Muslim, dan mereka tidak mengeluarkan
hadis-hadis tersebut dalam kitab Sahih mereka. Kitab ini disusun mengikut
susunan kitab Al- Musnad.
8 - Mustakhrajat:
Kitab yang disusun
oleh pengarangnya bersandarkan kepada salah sebuah kitab hadis yang bersanad,
seperti Sahih al-Bukhari misalnya. Pengarang kitab tadi meriwayatkan
hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari itu dengan sanad-sanadnya
sendiri, dan ia bertemu dengan al-Bukhari dalam setiap hadisnya pada guru yang
sama, atau pada guru yang lebih atas daripadanya.
Faedah-Faedah Mustakhraj
(a) Mencari sanad yang
tinggi.
(b) Menguatkan lagi
hadis dengan adanya jalan riwayat yang pelbagai.
(c) Mengenalpasti
melalui sebahagian jalan-jalan riwayatnya akan pertambahan perkataan yang
berlaku, ataupun sebab atau peristiwa hadis itu diriwayatkan kerananya, ataupun
apa sahaja yang boleh membantu bagi memahami maksud sebenar hadis tersebut.
Contoh Kitab
Mustakhrij:
(i) Al-Mustakhraj ‘Ala
Sahih al-Bukhari karangan Abu Nu’aim al-Asbahani.
(ii) Al-Mustakhraj ‘Ala Sahih Muslim karangan Abu ‘Awanah.
(iii) Al-Mustakhraj ‘Ala Jami’ al-Tirmizi.
9 - Zawaid:
Kitab Zawaid adalah satu
jenis penulisan dalam bidang hadis, di mana dalamnya para penulis kitab zawaid
mengumpulkan hadis-hadis tambahan dalam sesebuah kitab atau sejumlah kitab
hadis, atas nisbah kepada sejumlah kitab hadis yang telah dikarang sebelumnya.
Contoh Kitab
Zawaid:
(i) Ghayah al-Maqsad Fi Zawaid al-Musnad karangan al-Haithami.
Al-Hafiz al-Haithami
meneliti satu persatu hadis yang terdapat dalam Musnad Ahmad lalu
dibandingkan dengan Kutub al-Sittah. Jika hadis tersebut hanya
terdapat dalam Musnad Ahmad dan tidak terdapat dalam Kutub
al-Sittah, maka beliau akan memasukkannya dalam kitab Ghayah
al-Maqsad ini. Jika hadis tersebut ada dalam Musnad Ahmad serta Kutub
al-Sittah, maka hadis tersebut akan diabaikan.
(ii) Al-Maqsad al-Ali Fi Zawaid Abi Ya'la al-Musili karangan al-Haithami.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad Abu Ya'la tetapi
tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
(iii) Kasyf al-Astar 'An Zawaid al-Bazzar karangan al-Haithami.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad al-Bazzar tetapi
tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
(iv) Al-Badr
al-Munir Fi Zawaid al-Mu'jam al-Kabir karangan al-Haithami.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Mu'jam al-Kabir karangan
al-Thabarani tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
(v) Majma' al-Bahrain Fi Zawaid al-Mu'jamain karangan al-Haithami.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Mu'jam al-Ausath dan Mu'jam
al-Saghir karangan al-Thabarani tetapi tidak ada dalam Kutub
al-Sittah.
(vi) Majma' al-Zawaid Wa Manba' al-Fawaid karangan al-Haithami.
Al-Haithami mengumpulkan hadis-hadis daripada
kelima-lima kitab Zawaid yang disebutkan di atas, dibuangkan
sanad-sanadnya dan dikumpulkan dalam satu kitab yang diberi nama Majma'
al-Zawaid Wa Manba' al-Fawaid. Kitab ini disusun berdasarkan bab-bab (Bab
Iman, Ilmu, Thaharah, Solat dan lain-lain) dan beliau akan memberi ulasan
tentang status perawi yang berada dalam sanad.
(vii) Mawarid al-Zam'an Ila Zawaid Ibn Hibban karangan al-Haithami.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Sahih Ibnu Hibban tetapi
tidak ada dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
(viii) Bughyah al-Ba'ith 'An Zawaid Musnad al-Harith karangan al-Haithami.
Dikumpulkan di
dalamnya hadis-hadis tambahan yang hanya ada dalam Musnad al-Harith bin
Abu Usamah (m. 282H) tetapi tidak ada dalam Kutub al-Sittah.
(ix) Al-Misbah al-Zujajah Fi Zawaid Ibnu Majah karangan Syihabbudin al-Busiri.
Al-Busiri mengumpulkan
hadis-hadis tambahan yang ada dalam 10 kitab Masanid tetapi
tidak ada dalam Kutub al-Sittah. Kitab-kitab Masanid tersebut
ialah:
a. Musnad Abu
Daud al-Tayalisi.
b. Musnad
al-Humadi.
c. Musnad
Musaddad bin Musarhad.
d. Musnad Ibnu
Abi Syaibah.
e. Musnad
Ishaq bin Rahuyah.
f. Musnad
Muhammad bin Yahya bin Abu ‘Umar al-’Adani.
g. Musnad Ahmad bin
Mani’ al-Baghawi al-‘Asom.
h. Musnad ‘Abd
bin Humad al-Kasyi.
i. Musnad
al-Harith bin Abu ‘Usamah.
j. Al-Musnad
al-Kabir karangan Abu Ya’la al-Musili.
10 - ‘Ilal:
Kitab ‘Ilal
ialah kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang mempunyai suatu sebab yang
tersembunyi (‘illah) yang mencacatkan kesahihan sesuatu hadis sedangkan
keadaan zahirnya menampakkan hadis tersebut adalah selamat dari segala
kecacatan.
'Illah dapat dikenalpasti melalui penelitian terhadap
perawi seorang demi seorang, atau percanggahan perawi dengan perawi yang lain,
beserta dengan bukti-bukti yang menyebabkan seorang yang arif dalam bidang ini
menyedari bahawa terdapat keraguan dalam sesuatu sanad seperti berlakunya irsal
dalam hadis yang mausul, atau berlakunya waqf (mawquf)
dalam hadis yang marfu', atau pertindihan hadis dalam hadis yang lain
dan sebagainya.
Semua perkara seperti
di atas akan menyebabkan seseorang ahli hadis yang arif akan mengeluarkan hukum
bahawa hadis tersebut adalah tidak sahih, atau beliau teragak-agak dan tidak
mampu mengeluarkan hukum langsung ke atas hadis tersebut. Kesukaran mencari 'Illah
sesuatu hadis boleh berlaku sehingga menyebabkan seorang ahli hadis tidak mampu
mengeluarkan bukti terhadap hukumannya terhadap sesuatu hadis, seperti seorang
pengurup wang yang tidak dapat membezakan wang dinar dan dirham.
Namun terdapat kaedah
untuk mengesani 'illah ini iaitu dengan mengumpulkan seluruh jalan sanad
sesuatu hadis itu dan meneliti setiap perbezaan pada para perawi, serta
ketepatan riwayat mereka.
Contoh Kitab ‘Illal:
(i) Al-Tarikh wa
al-'Ilal karangan Yahya bin Ma'in.
(ii) Al-'llal karangan 'Ali al-Madini.
(iii) Al-'Ilal Wa Ma'rifah al-Rijal karangan Ahmad bin Hanbal.
(iv) Al-'Ilal al-Kabir karangan al-Tirmizi.
(v) Al-'Ilal karangan Ibnu Abi Hatim al-Razi.
(vi) Al-'Ilal al-Waridah fi Al-Ahadith al-Nabawiyyah karangan al-Daraqutni.
(vii) Al-'Ilal al-Mutanahiah fi al-Ahadith al-Wahiah karangan Ibnu al-Jauzi.
11 - al-Maudhu’at:
Kitab yang
menghimpunkan hadis yang direkacipta dan didustakan ke atas Rasulullah sama ada
secara sengaja, secara tersalah, secara jahil ataupun secara tipudaya.
Contoh Kitab
al-Maudhu’at:
(i) Tazkirah Al-Maudu'at
karangan Muhammad bin Tahir Al- Maqdisi.
(ii) Al-Abathil Wa al-Manakir Wa al-Sihah Wa al-Masyahir karangan al-Jauraqani.
(iii) Al-Maudu'at karangan Ibnu al-Jauzi.
(iv) Al-Manar Al-Munif Fi As-Sahih Wa Ad-Daif karangan Ibnu Qayyim Al-Juziyyah.
(v) Al-La'ali' Al-Masnu'ah Fi Al-Ahadis Al-Maudu'ah karangan al-Suyuti.
(vi) Tanzih As-Syariah Al-Marfu'ah 'An Al-Akhbar As-Syani'ah Al- Maudu'ah karangan Ibnu 'Arraq Al-Kinani.
(vii) Tazkirah Al-Maudu'at karangan Muhamamd bin Tahir Al- Fattani.
(viii) Al-Asrar
Al-Marfu'ah Fi Al-Akhbar Al-Maudu'ah karangan Mulla 'Ali Al-Qari.
(ix) Al-Masnu' Fi Ma'rifah Al-HadithAl-Maudu' karangan karangan Mulla 'Ali Al-Qari.
12 - Takhrij:
Kitab yang menunjukkan
tempat letak sesuatu hadis pada sumber-sumber (kitab-kitab) asalnya yang
mengeluarkan hadis tersebut berserta dengan sanadnya, kemudian diterangkan
kedudukan hadis itu sekiranya perlu.
Contoh Kitab
Takhrij:
(i) Nasb al-Rayah
Li Ahadith al-Hidayah karangan al-Zaila’i.
Mengeluarkan sumber
asal bagi hadis-hadis dalam kitab al-Hidayah dalam Fiqh Hanafi karangan
al-Marghinani.
(ii) Takhrij Ahadith al-Kasyaf karangan al-Zaila’i.
Mengeluarkan sumber
asal bagi hadis-hadis dalam kitab Tafsir al-Kasyaf karangan al-Zamakhsyari.
(iii) Al-Badr al-Munir Fi Takhrij al-Ahadith Wa al-Athar al-Waqi’ah Fi al-Syarah al-Kabir karangan Ibnu al-Mulaqqin.
Mengeluarkan sumber
asal bagi hadis-hadis dalam kitab al-Syarah al-Kabir dalam Fiqh al-Syafi’i
karangan al-Rafi’i.
(iv) Al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar Fi Takhrij Ma Fi al-Ihya’ Min al-Akhbar karangan al-‘Iraqi.
Mengeluarkan sumber
asal bagi hadis-hadis dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din karangan al-Ghazali.
13 - Atraf:
Kitab yang ditulis
dalamnya sebahagian daripada matan hadis yang menjadi petunjuk untuk
keseluruhan matan tersebut, kemudian disebutkan sanad yang lengkap bagi hadis
sebagai rujukan atau sebahagian penulis meringkaskannya dengan menyebut
sebahagian sahaja daripada Isnad hadis tersebut.
Faedahnya:
(a) Memudahkan untuk
mengetahui sanad bagi sesuatu hadis kerana al-Atraf disebutkan pada tempat yang
sama.
(b) Mengetahui Imam
yang meriwayatkan hadis tersebut daripada kitab- kitab mereka yang asal, dan
nama bab yang terdapat padanya hadis. Maka kitab ini adalah seperti fihris
(indeks) yang mempunyai pelbagai faedah.
(c) Mengetahui
bilangan hadis bagi seseorang sahabat yang terdapat dalam kitab-kitab yang
dibuat untuknya.
Contoh Kitab Atraf:
(i) Tuhfatul Asyraf
bi Ma'rifat il-Atraf karangan al-Mizzi.
Kitab ini
menghimpunkan Atraf Kutub Sittah dan sebahagian kitab sampingan iaitu: Muqaddimah
Sahih Muslim, Marasil Abu Dawud, al-'llal As-Saghir dan
Al-Syama'il oleh Imam al-Tirmizi, dan 'Amal Yaum wa Lailah oleh
Al-Nasa'i.
(ii) Ithaf al-Maharah bi Atraf al-'Asyrah karangan Ibnu Hajar al-'Asqalani.
la mengandungi Atraf
bagi 10 buah kitab hadis iaitu: al-Muwatta', Musnad Ahmad, Sahih
Ibnu Khuzaimah, Sahih Ibnu Hibban, Mustakhraj Abu 'Awanah, Sunan
al-Daraqutni, Musnad al-Syafie, Musnad Al-Darimi, Muntaqa
Ibnu al-Jarud, Mustadrak al-Hakim, Svarh Ma'ani al-Athar oleh
al-Tahawi.
14 - Al-Ajza’:
Suatu penulisan yang
mengumpulkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi. Sama ada perawi
tersebut daripada tabaqat sahabat, atau selepas daripada mereka.
Contoh
kitab Ajza’ jenis ini:
(i) Musnad
Sa’ad bin Abi Waqqas karangan Ahmad bin Ibrahim bin Kathir al-Dauraqi.
Menghimpunkan
hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas.
(ii) Musnad Ibrahim bin Adham karangan Ibnu Mandah.
Menghimpunkan
hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ibrahim bin Adham.
Kitab Ajza’ juga merujuk kepada kitab yang dikarang untuk menghimpunkan hadis dalam topik tertentu sahaja.
Contoh
kitab Ajza’ jenis ini:
(i) Fadhail
al-Ramadhan karangan Ibnu Abi al-Dunya.
Menghimpunkan
hadis-hadis tentang kelebihan bulan Ramadhan.
(ii) Raf’u al-Yadain Fi al-Solah karangan al-Bukhari.
Menghimpunkan
hadis-hadis tentang mengangkat tangan ketika dalam solat iaitu ketika hendak
rukuk dan bangun dari rukuk.
(iii) Al-Syamail al-Muhammadiyyah karangan al-Tirmizi.
Menghimpunkan
hadis-hadis tentang keperibadian dan rupa fizikal Rasulullah.
Rujukan:
1. Kamus Istilah Hadis
oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
2. Masadir
al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan