Selasa, 26 Februari 2019
Istilah Ilmu Hadis 34: Gharib Mutlaq atau Fard Mutlaq (الغَرِيبُ المُطْلَقُ أَوْ الفَرْدُ المُطْلَقُ)
Istilah Ilmu Hadis 33: al-Gharib (الغَرِيبُ)
Isnin, 25 Februari 2019
Istilah Ilmu Hadis 32: ‘Aziz (العَزِيزُ)
Dari Segi Bahasa:
'Aziz ialah sifah musyabbahah, diambil
daripada 'azza, ya'izzu dengan baris bawah pada huruf 'ain,
iaitu: menjadi kuat dan teguh. Daripadanya firman-Nya Ta'ala: “Lalu Kami kuatkan (mereka).” (Yasin: 14).
Dan 'azza asy-syai' ya'azzu dengan baris atas
pada huruf 'ain, bermaksud: sedikit, sehinggakan hampir tidak ditemui,
maka ia adalah: 'Aziz.
Dan 'azza ya'uzzu dengan baris hadapan pada huruf 'ain
seperti madda dan radda: bermaksud: mengalahkan. Diambil daripada
pepatah mereka (orang Arab): “Siapa yang mengalahkan, dia akan merampas.” (al-Qamus
al-Muhit).
Dari Segi Istilah:
Ia adalah hadis yang diriwayatkan oleh dua orang walaupun
hanya pada satu tingkatan, dengan syarat bilangan perawinya tidak kurang
daripada dua orang pada kesemua tingkatan (tabaqat) sanad.
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Syarh an-Nukhbah mentakrifkannya
dengan perkataan beliau: “Ia adalah hadis yang tidak diriwayatkan oleh kurang
daripada dua orang, daripada dua orang.”
Inilah takrif yang muktamad.
Maknanya ialah tidak terdapat pada mana-mana tingkatan sanad
bilangan perawi yang kurang daripada dua orang.
Adapun jika terdapat pada sebahagian tingkatan sanad tiga
orang perawi atau lebih, maka ia tidak menjadi masalah, dengan syarat masih ada
walaupun satu tingkatan yang mempunyai dua orang perawi, kerana kiraan dibuat
berdasarkan tingkatan yang paling sedikit bilangan perawinya.
Dengan kata lain, kita boleh mengatakan bahawa hadis 'aziz
ialah hadis yang bilangan perawinya pada salah satu tingkatan sanadnya adalah
dua orang, dan ini tidak menghalang daripada bilangan perawinya pada
tingkatan-tingkatan sanad yang lain adalah lebih daripada dua orang.
Sebab dinamakan 'Aziz:
Daripada takrif bahasa, jelas kepada kita bahawa ia
dinamakan 'aziz kerana salah satu daripada dua sebab:
1 - Sama ada kerana 'izzah-nya yang bermaksud
kejarangannya, iaitu kerana sedikitnya jenis ini ditemui.
2 - Atau kerana 'izzah-nya yang bermaksud
kekuatannya, iaitu kerana ia dikuatkan dengan kedatangannya dari jalan yang
lain.
Contohnya:
Hadis: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah
aku lebih dicintainya daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia.”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Maka ia telah diriwayatkan oleh dua orang sahabat, dan
diriwayatkan daripada mereka berdua oleh beberapa orang tabi'in seperti
berikut:
1 - Ia diriwayatkan oleh Anas bin Malik radiallahuanhu,
dan diriwayatkan daripada Anas oleh: 'Abdul 'Aziz bin Suhaib dan Qatadah.
Diriwayatkan daripada 'Abdul 'Aziz oleh kedua-dua: 'Abdul
Warith dan Isma'il bin 'Ulayyah.
Diriwayatkan daripada Qatadah oleh kedua-dua: Syu'bah dan
Husain al-Mu'allim.
2 - Dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahuanhu
dan diriwayatkan daripada Abu Hurairah oleh: al-A'raj 'Abdurrahman bin Hurmuz
dan daripadanya diriwayatkan oleh Abu az-Zinad.
Daripada apa yang telah dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa hadis ini diriwayatkan daripada dua orang sahabat, dan ini adalah bilangan paling sedikit dalam tingkatan-tingkatan sanadnya.
Bilangan perawi pada tingkatan berikutnya (iaitu tingkatan tabi'in)
adalah tiga orang, dan begitulah bilangan perawi bertambah pada tingkatan yang
berikutnya.
Hukumnya:
Keadaan sesuatu hadis itu 'aziz tidak semestinya
menjadikannya sahih. Ia boleh jadi sahih, atau hasan, atau
da’if, dan hal itu bergantung pada terpenuhinya syarat-syarat sahih
atau tidak.
Sebagaimana keadaan hadis itu ‘aziz tidak semestinya
menjadikannya sahih, tidak juga disyaratkan pada hadis sahih itu
untuk menjadi 'aziz, bahkan ia boleh jadi gharib.
Jarangnya Penulisan Mengenainya:
Para ulama tidak menghasilkan karya-karya khusus untuk hadis
'aziz. Mungkin hal ini disebabkan oleh bilangannya yang sedikit dan
jarang ditemui, sehinggakan Ibnu Hibban mendakwa bahawa riwayat dua orang
daripada dua orang itu pada asalnya tidak wujud.
Namun, al-Hafiz Ibnu Hajar membantah beliau dengan berkata: “Jika
yang beliau maksudkan ialah riwayat dua orang daripada dua orang sahaja secara
berterusan, maka ia boleh diterima. Adapun bentuk 'aziz yang dibenarkan
oleh para ulama, ia memang wujud, iaitu dengan syarat ia tidak diriwayatkan
oleh kurang daripada dua orang daripada kurang daripada dua orang.”
Rujukan:
- Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh
Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.
- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid
Abdul Majid al-Ghauri
Istilah Ilmu Hadis 31: Masyhur (المَشْهُورُ)
Dari Segi Bahasa:
Isim maf'ul daripada asy-Syuhrah, iaitu:
penzahiran (keterkenalan).
Dari Segi Istilah:
Hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih - pada
setiap tingkatan (tabaqat) sanad - selagi tidak mencapai had mutawatir.
Contohnya:
Hadis “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan
mencabutnya (secara sekaligus)...” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).
Mustafidh dan Perbezaannya dengan Masyhur
Mustafidh dari segi bahasa: Isim fa'il kepada istafadha,
terbitan daripada fadha al-ma' (air melimpah), dan dinamakan sedemikian
kerana penyebarannya.
Dari segi istilah: Terdapat perbezaan pendapat mengenai
takrifnya, dan yang paling khusus ada tiga pendapat, iaitu:
1 - Mustafidh adalah sinonim dengan masyhur.
Maka ia dinamakan masyhur kerana kejelasannya, dan
dinamakan mustafidh kerana penyebarannya.
2 - Dikatakan: kedua-duanya berbeza.
Maka masyhur telah pun anda ketahui takrifnya.
Adapun mustafidh, mereka mentakrifkannya sebagai: Hadis
yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih pada setiap tingkatan (tabaqat)
sanadnya dan bilangan perawinya adalah sama pada setiap tingkatan sanadnya dari
permulaan sanad hingga ke penghujungnya.
Dengan ini, mereka mensyaratkan pada mustafidh bahawa
bilangan perawinya mestilah sama pada kesemua tingkatan.
3 - Dikatakan: ia lebih umum daripada masyhur (berlawanan
dengan pendapat kedua).
Masyhur ialah hadis yang bilangan perawinya pada
permulaan dan penghujungnya adalah sama, berbeza dengan mustafidh.
Masyhur Bukan Istilah:
Yang dimaksudkan dengannya ialah hadis yang masyhur di
sebutan orang ramai tanpa syarat-syarat yang diambil kira, maka ia merangkumi:
1 - Hadis yang mempunyai satu sanad.
2 - Hadis yang mempunyai lebih daripada satu sanad.
3 - Hadis yang tidak mempunyai sanad sama sekali.
Jenis-jenis Masyhur Bukan Istilah:
Ia mempunyai banyak jenis, yang paling masyhur ialah:
1 - Masyhur di kalangan ahli hadis secara khusus:
Contohnya: hadis Anas - radiallahuanhu -: “Rasulullah
Sallahu ‘alaihi wasallam
berqunut selama sebulan selepas rukuk, mendoakan (kecelakaan) ke atas (kabilah)
Ri'l dan Zakwan.” (Diriwayatkan oleh asy-Syaikhan).
2 - Masyhur di kalangan ahli hadis, para ulama,
dan orang awam:
Contohnya: “Orang Islam ialah orang yang kaum Muslimin
selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya.” (Muttafaqun 'alaih).
3 - Masyhur di kalangan para fuqaha':
Contohnya: hadis: “Perkara halal yang paling dibenci oleh
Allah ialah talak.” (Disahihkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, dan
dipersetujui oleh az-Zahabi tetapi dengan lafaz: “Allah tidak menghalalkan
sesuatu yang lebih dibenci oleh-Nya daripada talak.”)
4 - Masyhur di kalangan para ahli Usul:
Contohnya: hadis: “Diangkat daripada umatku: kesilapan,
kelupaan, dan apa yang mereka dipaksa ke atasnya.” (Disahihkan oleh Ibnu Hibban
dan al-Hakim).
5 - Masyhur di kalangan para ahli nahu:
Contohnya: hadis: “Sebaik-baik hamba ialah Suhaib, kalaulah
dia tidak takut kepada Allah, nescaya dia tidak akan menderhakai-Nya.” (Tiada
asal usulnya).
6 - Masyhur di kalangan orang awam:
Contohnya: hadis “Sikap tergesa-gesa itu daripada syaitan.”
(Diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan dinilainya hasan).
Hukum Masyhur:
Masyhur dari segi istilah dan bukan istilah tidak
disifatkan sebagai sahih atau tidak sahih. Bahkan, sebahagiannya
adalah sahih, dan sebahagiannya hasan dan da’if, bahkan
juga maudhu'.
Akan tetapi, jika hadis masyhur dari segi istilah itu
sahih, maka ia mempunyai satu kelebihan yang menjadikannya lebih kuat
berbanding 'aziz dan gharib.
Karya-karya Paling Masyhur Mengenainya:
Yang dimaksudkan dengan karya-karya mengenai hadis-hadis masyhur
ialah: hadis-hadis yang masyhur di sebutan orang ramai, dan bukannya masyhur
dari segi istilah. Di antara karya-karya ini ialah:
1 - Al-Maqasid al-Hasanah fi ma isytahara 'ala al-Alsinah:
karya al-Hafiz Muhammad bin 'Abdurrahman as-Sakhawi (meninggal dunia pada tahun
902 Hijrah).
2 - Tamyiz at-Tayyib min al-Khabith fi ma Yadur 'ala
Alsinat an-Nas min al-Hadith: karya Ibnu ad-Daiba' asy-Syaibani (meninggal
dunia pada tahun 944 Hijrah).
3 - Kasyf al-Khafa' wa Muzil al-Ilbas fi ma isytahara min
al-Hadith 'ala Alsinat an-Nas: karya Isma'il bin Muhammad al-'Ajluni (meninggal
dunia pada tahun 1162 Hijrah).
4 - Ad-Durrah al-Lami'ah fi Bayan Kathir min al-Ahadith
asy-Sya'i'ah: karya az-Zurqani.
5 - At-Tadzkirah fi al-Ahadith al-Musytaharah: karya
az-Zarkasyi.
6 - Ad-Durar al-Muntatsirah fi al-Ahadith al-Musytaharah:
karya as-Suyuthi.
7 - Tashil as-Sabil ila Kasyf al-Iltibas 'amma Dara min
al-Ahadith bayna an-Nas: karya Syeikh 'Izzuddin al-Khalili.
8 - Asna al-Mathalib fi Ahadith Mukhtalifat al-Maratib:
karya Ibnu Darwisy al-Hut al-Bairuti.
Rujukan:
- Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal
oleh Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.
- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununuhu oleh Dr Sayyid
Abdul Majid al-Ghauri
Jumaat, 22 Februari 2019
Istilah Ilmu Hadis 30: Ahad (الآحاد)
Dari segi istilah ia adalah hadis yang tidak memenuhi
syarat-syarat mutawatir.
Ia merangkumi jenis-jenis berikut:
1 - Masyhur.
2 - 'Aziz.
3 - Fard.
4 - Gharib.
Setiap satu daripadanya dinamakan khabar wahid
(khabar ahad).
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam Nuzhah al-Nazar: “Dan
di dalamnya – iaitu hadis-hadis ahad – ada yang diterima (maqbul),
iaitu hadis yang wajib diamalkan menurut majoriti ulama.
Di dalamnya ada yang ditolak (mardud), iaitu hadis
yang kebenaran penyampainya tidak lebih berat (daripada kemungkinan salahnya),
kerana untuk menjadikannya sebagai dalil bergantung kepada penelitian tentang
keadaan para perawinya.
Berbeza dengan yang pertama, iaitu mutawatir, maka
kesemuanya adalah diterima, kerana ia memberikan kepastian akan kebenaran
penyampainya, berbeza dengan selainnya daripada khabar-khabar ahad.
Akan tetapi, amalan hanya diwajibkan dengan (hadis) yang maqbul
daripadanya kerana ia sama ada terdapat padanya prinsip asas bagi hadis maqbul,
iaitu terbuktinya kebenaran si perawi (kerana sifat adil dan kuat ingatannya),
atau prinsip asas bagi sifat hadis mardud, iaitu terbuktinya kebohongan
si periwayat, atau tidak (iaitu: atau ia tidak mempunyai prinsip asas hadis maqbul
dan tidak juga prinsip asas hadis mardud, maka ia mempunyai kemungkinan
untuk diterima dan ditolak, seperti: perawi yang buruk hafalan dan yang tidak
dikenali).
Maka yang pertama (maqbul): sangkaan kuat cenderung
kepada kebenaran khabar tersebut kerana terbuktinya kebenaran periwayatnya,
maka ia diambil.
Dan yang kedua (mardud): sangkaan kuat cenderung
kepada kebohongan khabar tersebut kerana terbuktinya kebohongan perawinya, maka
ia dibuang.
Dan yang ketiga (yang berada antara maqbul dan mardud):
jika terdapat bukti sokongan (qarinah) (iaitu sifat atau keadaan) yang dapat
menyamakannya dengan salah satu daripada dua bahagian tadi (maqbul atau mardud),
maka ia akan disamakan. Jika tidak, maka ia ditangguhkan (tawaqquf).
Maka apabila amalan dengannya ditangguhkan, ia menjadi seperti mardud,
bukan kerana terbuktinya sifat mardud, sebaliknya kerana tidak terdapat
padanya sifat yang mewajibkan ia diterima.”
Sumber:
Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
Baca juga:
Istilah Ilmu Hadis 29: Mutawatir (المُتَوَتِرُ)
Definisinya:
Dari segi bahasa:
Ia adalah kata nama pelaku (isim fa'il) yang diambil
daripada perkataan al-Tawatur, iaitu berturut-turut. Contohnya: Tawatara
al-matar, iaitu hujan turun berturut-turut.
Disebutkan di dalam al-Qamus: Al-Tawatur ialah
berturut-turut atau dengan sela masa.
Al-Raghib berkata: Al-Tawatur ialah sesuatu yang
datang berturut-turut secara satu-satu.
Antara contohnya ialah firman Allah Taala:
ثُمَّ أَرْسَلْنَا
رُسُلَنَا تَتْرَا.
"Kemudian Kami mengutus Rasul-rasul Kami silih
berganti.” (Surah al-Mu’minun: 44)
Iaitu seorang demi seorang dengan sela masa antara mereka.
Tawatur al-Khabar ialah kedatangan para penyampainya
seorang demi seorang tanpa bersambungan.
Dari segi istilah:
Sesuatu yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang ramai,
yang mana menurut adat adalah mustahil untuk mereka bersepakat untuk berdusta,
daripada (kumpulan) yang sama seperti mereka pada setiap peringkat (tabaqat)
sanadnya dan sumber akhir riwayat mereka mestilah berdasarkan pancaindera,
serta perkhabaran mereka itu dengan sendirinya memberikan ilmu (keyakinan)
kepada pendengarnya.
Maksud Takrifnya:
Iaitu hadis yang diriwayatkan pada setiap peringkat (tabaqat)
sanadnya oleh perawi yang ramai, yang mana menurut kebiasaan akal adalah
mustahil bahawa para perawi tersebut telah bersepakat untuk mereka-reka berita
ini dan bahawa sumber mereka berakhir dengan perkhabaran tentang perkara yang
dapat dikesan melalui salah satu daripada lima pancaindera zahir.
Syarat-Syaratnya:
Daripada penjelasan takrif ini, jelaslah kepada kita
syarat-syarat hadis Mutawatir, iaitu:
(1) Ia diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang ramai.
Terdapat perbezaan pendapat mengenai jumlah ramai ini yang
dengannya terhasil Mutawatir, sama ada ia ditentukan dengan bilangan tertentu
atau tidak?
Maka, sebahagian ulama berpendapat: Ia ditentukan dengan
bilangan tertentu, kemudian mereka berselisih pula selepas itu dalam menentukan
bilangan tersebut:
A - Sebahagian daripada mereka berkata: Ia adalah empat
orang atau lebih dan mereka berhujah bahawa empat adalah bilangan pertama
yang melebihi had minimum jamak, maka ia dianggap sebagai kumpulan yang ramai.
Namun, ia dibantah dengan hujah bahawa empat orang tidak
mencukupi untuk (status) Mutawatir sesuatu khabar, kerana mereka memerlukan
orang lain untuk mengesahkan keadilan mereka sekiranya mereka menjadi saksi ke
atas seseorang atas tuduhan zina.
B - Sebahagian ulama berkata: Ia adalah lima orang atau
lebih dan mereka berhujah bahawa ia adalah bilangan pertama yang digunakan
sebagai kiasan untuk menunjukkan banyak dalam percakapan orang Arab.
C - Sebahagian ulama berkata: Ia adalah sepuluh orang
atau lebih dan mereka berhujah bahawa ia adalah permulaan angka puluhan dan
jamak pertama yang menunjukkan banyak.
D - Sebahagian mereka berpendapat bahawa ia adalah dua
belas orang atau lebih dan mereka berhujah bahawa ini adalah bilangan para
Naqib (ketua) yang diutuskan oleh Bani Israel kepada orang Kanaan di Syam untuk
menjadi peninjau bagi mereka, yang meninjau untuk mereka dan mengetahui keadaan
mereka, sebagaimana yang ditunjukkan oleh firman-Nya Taala:
وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ
أثْنَىْ عَشَرَ نَقِيبًا
“Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua
(untuk memimpin golongan masing-masing).” (Surah al-Maidah: 12)
Aspek pendalilan dengan ayat ini ialah bahawa pemilihan
bilangan ini untuk diutuskan kepada orang Kanaan supaya mereka mengetahui
keadaan (orang Kanaan) untuk mereka khabarkan kepada kaum mereka lalu kaum
mereka mempercayai mereka. Ini adalah dalil bahawa bilangan ini memberikan ilmu
(keyakinan) kepada pendengarnya dan tidak mencukupi bilangan yang kurang
daripadanya.
E - Sebahagian ulama berpendapat bahawa ia adalah dua
puluh orang atau lebih, dengan berdalilkan firman Allah Taala:
إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَبِرُونَ يَغْلِبُواْ
مِاتَنَيّنِ
“Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya
mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu).” (Surah
al-Anfal: 65)
Aspek pendalilan daripada ayat itu ialah bahawa Allah Taala
memberitahu kita dalam ayat ini bahawa dua puluh orang daripada kalangan orang
mukmin boleh memerangi dua ratus orang daripada kalangan orang kafir dan
mengalahkan mereka sekiranya mereka sabar. Pengetahuan tentang kesabaran mereka
hanyalah diketahui daripada mereka dan bergantung kepada pemberitahuan mereka
kepada kita mengenainya. Maka ini menunjukkan bahawa perkhabaran dua puluh
orang itu mencukupi untuk memberikan kita ilmu (keyakinan) tentang apa yang
mereka khabarkan.
F - Sebahagian ulama berpendapat bahawa ia adalah empat
puluh orang atau lebih, dengan berdalilkan firman Allah Taala:
يَأَيُّهَا النَّبىُ حَسْبُكَ اَللهُ وَمَنِ
أَتَبَّعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
“Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga pengikut-pengikutmu
dari orang-orang yang beriman.” (Surah al-Anfal: 64)
Aspek pendalilan daripada ayat ini ialah bahawa Allah Taala
ingin mengukuhkan (menetapkan hati) Rasul-Nya dengan ayat ini dan (sebagai
tanda) kasih kepada kekasih-Nya, serta menenangkan hati baginda dengannya. Maka
Dia memberitahunya bahawa sesiapa yang mengikutinya daripada kalangan orang
mukmin sudah mencukupi baginya. Orang-orang yang mengikutinya daripada kalangan
orang mukmin pada hari itu sebagaimana kata para ahli tafisr adalah seramai empat
puluh orang.
Kemudian, sesungguhnya penetapan dan ketenangan hati baginda
menghendaki agar baginda mengetahui bahawa mereka mengikut kepadanya. Itu
hanyalah berlaku melalui pemberitahuan mereka (para pengikut) kepada baginda
bahawa mereka mengikutinya. Maka ini menunjukkan bahawa perkhabaran bilangan
ini kepada baginda adalah mencukupi untuk memberikan baginda ilmu (keyakinan)
tentang hal itu.
G - Sebahagian ulama berpendapat bahawa ia adalah tujuh
puluh orang atau lebih dan mereka berdalilkan firman Allah Taala:
وَاخْتَارَ مُوسَى قَوْمَهُ سَبْعِينَ رَجُلًا لِمِيقَاتِنَا
"Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan." (Surah al-A’raf: 155)
Aspek pendalilan dengan ayat ini ialah bahawa Nabi Musa ‘alaihis
salam memilih bilangan ini secara khusus daripada kaumnya untuk mereka
memohon ampun kepada Allah Taala atas apa yang telah berlaku daripada kaum
mereka iaitu penyembahan anak lembu dan supaya mereka mendengar Kalam Allah
Taala berupa perintah dan larangan, lalu mereka memberitahu kaum mereka apabila
mereka kembali tentang apa yang mereka dengar daripada Kalam Tuhan mereka, maka
terhasillah bagi kaum mereka ilmu (pengetahuan yang pasti) tentang hal itu dan
hati mereka menjadi tenteram.
Ini menunjukkan bahawa bilangan khusus ini yang dipilih oleh
Nabi Musa ‘alaihis salam adalah mencukupi untuk memberikan mereka ilmu
yang diperlukan tentang apa yang Tuhan mereka firmankan kepada mereka.
H - Sebahagian ulama berpendapat bahawa ia adalah tiga ratus dan belas-belas dan mereka berdalilkan dengan bilangan tentera Talut dan bilangan Ahli Badar, semoga Allah meredhai mereka.
Aspek pendalilan daripada perkara itu ialah bahawa orang
Islam beriman bahawa Ahli Badar telah diampunkan oleh Allah Taala sebagaimana
yang terdapat dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Syaikhan (al-Bukhari
dan Muslim): “Apakah yang engkau tahu, barangkali Allah telah melihat (keadaan)
Ahli Badar lalu Dia berfirman: Lakukanlah apa sahaja yang kamu kehendaki,
sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu.”
Keimanan ini menuntut daripada orang Islam mengetahui
tentang (siapakah) Ahli Badar itu demi menghormati mereka dan mengetahui
kedudukan mereka di sisi Tuhan mereka. Kemudian, sesungguhnya pengetahuan orang
Islam tentang mereka bergantung kepada pemberitahuan mereka sendiri kepada kita
bahawa mereka adalah Ahli Badar. Maka, pemberitahuan mereka kepada kita tentang
diri mereka sendiri memberikan kita ilmu (pengetahuan yang pasti) tentang
mereka. Ini menunjukkan bahawa bilangan khusus ini adalah yang mencukupi untuk
memberikan ilmu (pengetahuan yang pasti).
Ada di antara ulama yang berpendapat selain daripada bilangan
itu.
I – Ulama yang lain berpendapat bahawa bilangan yang ramai
itu tidak ditentukan dengan bilangan tertentu kerana yang diambil kira
dalam menentukan Mutawatir sesuatu perkhabaran bukanlah penetapan bilangan
perawi tertentu pada setiap peringkat sanadnya, sebaliknya yang diambil kira
ialah para perawi pada setiap peringkat sanadnya adalah begitu ramai sehingga
menurut adat adalah mustahil untuk mereka bersepakat untuk berdusta atau
pembohongan itu terbit daripada mereka tanpa sengaja, walau berapa pun bilangan
mereka. Maka, pembatasan bilangan dan penentuannya bukanlah syarat dalam Mutawatirnya
sesuatu khabar.
Mereka berhujah bahawa kemampuan manusia pada hakikatnya
terbatas daripada menetapkan bilangan tertentu yang mana dengannya secara
khusus dapat dipastikan terhasilnya ilmu (pengetahuan pasti) kepada para
pendengarnya.
Mereka menyanggah para pendokong pandangan pertama (yang
menetapkan bilangan tertentu) seperti berikut:
Pertama: Sesuatu bilangan yang disebut itu, yang menghasilkan
ilmu yang diperlukan dalam konteks asalnya, tetapi bilangan yang sama tidak
semestinya menghasilkan ilmu tersebut dalam konteks lain.
Kedua: Tidak wujud kaitan yang munasabah antara
dakwaan yang dibuat dengan dalil yang mereka kemukakan untuk menyokongnya,
sekalipun dalil itu merupakan ayat al-Quran atau hadis yang sahih.
Pandangan yang tidak menetapkan bilangan tertentu ialah
pandangan yang benar yang dipegang oleh para muhaqqiq.
(2) Akal menganggap mustahil para perawi hadis bersepakat
untuk berdusta. Kemustahilan ini berasaskan adat dan kebiasaan. Begitu juga
mustahilnya mereka berdusta walaupun secara tidak sengaja, sama ada kerana
terlupa atau tersilap.
Maka, syarat ini ditetapkan kerana jumlah yang ramai
semata-mata tidak mencukupi untuk menjadikan sesuatu khabar itu Mutawatir
kerana boleh jadi para perawi hadis itu ramai, namun begitu akal masih
menganggap ada kemungkinan mereka berpakat untuk berdusta.
(3) Hendaklah riwayat itu diambil daripada bilangan yang
ramai oleh bilangan yang sama ramainya, di mana akal menganggap mustahil
persepakatan mereka untuk berdusta atau ia berlaku daripada mereka secara tidak
sengaja dan keadaan ini berterusan dalam setiap peringkat sanad dari permulaan
hingga ke penghujungnya.
(4) Hendaklah sumber akhir riwayat mereka berasaskan
pancaindera, iaitu khabar para perawi hadis itu berakhir pada sesuatu yang
dapat dikesan oleh pancaindera, seperti perkataan mereka: “Kami telah melihat”,
“kami telah mendengar”, atau “kami telah menyentuh”… dan sebagainya.
Adapun jika sumber khabar mereka adalah akal, seperti
pandangan tentang kebaharuan alam, maka ia tidak dikira sebagai Mutawatir
kerana persoalan-persoalan yang berasaskan akal boleh mengandungi kesilapan.
(5) Hendaklah khabar itu sendiri yang memberikan ilmu
(keyakinan) bagi pendengarnya, yakni ia menghasilkan ilmu daripada zat khabar
itu sendiri, bukan daripada petunjuk-petunjuk (qarinah) luaran yang
mengiringinya.
Contohnya, apabila sekumpulan besar orang meriwayatkan
daripada sekumpulan besar orang yang lain tentang kematian seseorang, sehingga
akal menganggap mustahil mereka berpakat untuk berdusta, namun khabar tersebut
diiringi oleh petunjuk-petunjuk luaran seperti (perbuatan) mengoyakkan baju dan
menampar pipi. Maka khabar itu, walaupun ia meyakinkan pendengarnya tentang
kematian orang tersebut, ia tidak dianggap Mutawatir kerana pengetahuan tentang
kematian itu tidak terhasil daripada khabar itu semata-mata, tetapi daripada
petunjuk-petunjuk yang mengiringinya.
Pembahagian Mutawatir:
Khabar Mutawatir terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama: Mutawatir Lafzi.
Kedua: Mutawatir Ma'nawi.
Mutawatir Lafzi: ialah apa yang Mutawatir pada lafaz
dan maknanya, bermaksud ia diriwayatkan oleh sekumpulan yang ramai yang mana
akal menganggap mustahil persepakatan mereka untuk berdusta secara kebiasaannya
atau ia terhasil daripada mereka secara kebetulan, daripada (kumpulan) yang
seumpama mereka dalam setiap peringkat sanadnya, sumber akhir mereka hendaklah
berasaskan pancaindera, khabar itu sendiri memberikan ilmu kepada pendengarnya
dan lafaz yang diriwayatkan oleh setiap seorang dalam kumpulan ramai itu pada
setiap peringkatnya adalah sama dengan lafaz yang diriwayatkan oleh yang lain,
maka dengan itu, lafaz hadis yang diriwayatkan adalah sama bagi semua
perawi dalam setiap peringkat.
Ia dinamakan Mutawatir Lafzi kerana Mutawatir itu berlaku
pada lafaz yang sama yang disebut dalam semua riwayat.
Contohnya:
Contoh terbaik bagi Mutawatir Lafzi ialah hadis: “Sesiapa
yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat
duduknya di dalam neraka.”
Hadis ini telah diriwayatkan dengan lafaz ini oleh lebih
tujuh puluh orang sahabat dan ini adalah satu kumpulan yang ramai yang mustahil
untuk mereka berpakat untuk berdusta serta dalam kalangan mereka terdapat
sepuluh orang yang dijamin syurga.
Kemudian, ia diriwayatkan daripada mereka oleh sekumpulan
yang ramai daripada kalangan Tabi'in yang juga mustahil untuk mereka berpakat
untuk berdusta.
Begitulah seterusnya bilangan perawi dalam setiap peringkat
terus bertambah sehinggalah ia sampai kepada para ulama yang merekodkannya di
dalam kitab-kitab induk hadis seperti al-al-Bukhari, Muslim dan selainnya.
Mutawatir Ma'nawi: ialah apa yang Mutawatir maknanya
sahaja tanpa lafaznya, bermaksud ia diriwayatkan oleh sekumpulan yang ramai,
yang akal menganggap mustahil persepakatan mereka untuk berdusta secara
kebiasaannya atau ia terhasil daripada mereka secara kebetulan, daripada
(kumpulan) yang seumpama mereka dalam setiap peringkat sanadnya, dan sumber
akhir mereka hendaklah berasaskan pancaindera, khabar itu sendiri memberikan
ilmu kepada pendengarnya, akan tetapi apa yang diriwayatkan oleh setiap seorang
daripada kumpulan yang ramai itu pada setiap peringkatnya bukanlah lafaz
yang sama dengan yang diriwayatkan oleh yang lain.
Maka berbezalah lafaz hadis itu antara sebahagian perawi,
tetapi lafaz-lafaz mereka bertemu pada satu makna umum yang dikongsi bersama,
yang mana semua riwayat sepakat untuk menyampaikannya.
Ia dinamakan Mutawatir Ma'nawi kerana Mutawatir itu berlaku
pada makna umum yang dikongsi bersama yang difahami daripada kesemua lafaz para
perawi.
Contohnya:
Hadis-hadis mengangkat kedua-dua belah tangan ketika berdoa.
maka telah sahih daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lebih kurang seratus
hadis. Setiap satu hadis daripadanya menunjukkan perbuatan baginda mengangkat
kedua-dua tangannya ketika berdoa, tetapi dalam peristiwa-peristiwa yang
berbeza.
Maka, setiap peristiwa itu tidak mencapai taraf Mutawatir,
tetapi unsur yang dikongsi bersama antara kesemuanya — iaitu mengangkat tangan
ketika berdoa — mencapai taraf Mutawatir apabila diambil kira himpunan semua
jalur riwayatnya.
Kewujudan Mutawatir:
Para ulama berbeza pendapat tentang sama ada Mutawatir wujud
atau tidak, kepada tiga pandangan:
Pertama: Sekumpulan berpendapat bahawa hadis
Mutawatir dalam Sunnah yang memenuhi syarat-syaratnya tidak wujud sama
sekali dan yang wujud hanyalah hadis Ahad yang mungkin mencapai darjat istifadhah
(meluas) dan syuhrah (terkenal).
Kedua: Sekumpulan lain berpendapat bahawa hadis Mutawatir
dalam Sunnah adalah jarang dan sedikit sehingga sukar ditemui. Antara
mereka ialah Ibnu al-Salah, di mana beliau berkata dalam Mukadimahnya:
"Dan sesiapa yang diminta untuk mengemukakan contoh yang demikian daripada
hadis yang diriwayatkan, nescaya akan kepayahan untuk menemuinya."
Ketiga: Kumpulan ketiga berpendapat bahawa hadis Mutawatir
dalam Sunnah wujud dalam jumlah yang banyak. Mereka menyokong pandangan
itu dengan hujah bahawa sememangnya wujud banyak hadis Mutawatir di dalam
kitab-kitab Sunnah yang masyhur.
Pendapat yang benar ialah terdapat sebilangan hadis Mutawatir
yang tidak sedikit jumlahnya, tetapi jika kita melihat kepada bilangan hadis Ahad,
nescaya kita akan dapati hadis Mutawatir amatlah sedikit berbanding dengan
hadis Ahad.
Ketiga-tiga pendapat ini dapat diselaraskan bahawa mereka
yang berpendapat tentang ketiadaan hadis Mutawatir sebenarnya hanyalah
bertujuan untuk menekankan (mubalaghah) tentang bilangannya yang sedikit
dan jarangnya ia wujud.
Mereka yang berpendapat bahawa hadis Mutawatir itu sukar
ditemui dan jarang, sebenarnya merujuk kepada hadis-hadis Mutawatir Lafzi.
Mereka yang berpendapat ia wujud dengan banyak, sebenarnya
merujuk kepada hadis-hadis Mutawatir Ma'nawi.
Pendapat ini adalah benar kerana Mutawatir Lafzi adalah
sedikit dan para ahli hadis hampir tidak bersepakat kecuali pada sebilangan
kecil daripadanya. Adapun Mutawatir Ma'nawi, ia adalah banyak.
Hukumnya:
Para ulama telah bersepakat bahawa khabar Mutawatir
memberikan ilmu iaitu kepercayaan yang pasti yang bersesuaian dengan realiti,
ilmu yang bersifat pasti (daruri) dan meyakinkan, yang memaksa manusia untuk
mempercayainya dengan kepercayaan yang pasti, seumpama orang yang menyaksikan
perkara itu sendiri.
Mereka juga bersepakat bahawa khabar Mutawatir daripada Nabi
sallahu ‘alaihi wasallam kesemuanya diterima dan tidak perlu untuk menyelidik
tentang keadaan para perawinya serta wajib beramal dengannya kerana ia
memberikan kepastian tentang sabitnya penisbahan hadis tersebut kepada Nabi sallahu
‘alaihi wasallam secara pasti dan kerana para perawi di dalamnya telah mencapai
jumlah yang begitu ramai sehingga akal menurut kebiasaannya tidak dapat
menerima bahawa mereka berdusta.
Oleh itu, dikatakan: Sesiapa yang mengingkari hadis Mutawatir
yang telah disepakati ijmak akan kemutawatirannya, maka dia keluar daripada golongan
Muslimin. Jika ijmak tidak tercapai mengenai kemutawatirannya – bahkan berlaku
perselisihan padanya – maka orang yang mengingkarinya tergolong dalam kalangan
orang-orang fasik.
Beberapa Keraguan Tentang Mutawatir dan Jawapannya
Telah ditimbulkan beberapa keraguan mengenai Mutawatir yang
bertujuan untuk mengingkarinya dan menafikan ia tidak memberikan ilmu, malah menafikan kewujudannya
sama sekali. Berikut adalah keraguan-keraguan yang paling utama dan jawapan
terhadapnya:
Keraguan pertama: Khabar Mutawatir tidak memberikan
ilmu. Sekiranya ia memberikan ilmu, nescaya khabar daripada orang Yahudi dan
sebahagian Nasrani mengenai pembunuhan al-Masih dan penyalibannya juga akan
memberikan ilmu. Sedangkan natijah ini adalah batil, kerana kita mengetahui
bahawa mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya, tetapi diserupakan bagi
mereka. Apabila natijahnya batil, maka batillah juga mukadimahnya, iaitu khabar
Mutawatir memberikan ilmu kepada pendengarnya.
Jawapan terhadap keraguan ini: Dijawab bahawa khabar
orang Yahudi mengenai pembunuhan al-Masih dan penyalibannya bukanlah Mutawatir
kerana para perawi di awal sanad dan pertengahannya tidak mencapai jumlah yang
begitu ramai sehingga mustahil pada akal secara adatnya mereka bersepakat untuk
berdusta atau ia terbit daripada mereka secara kebetulan.
Sesungguhnya, mereka yang meriwayatkannya di awal sanad
adalah seramai empat atau enam atau tujuh orang – terdapat perbezaan pendapat
mengenai jumlah ini – dan mereka yang meriwayatkannya di pertengahan sanad juga
demikian. Ini adalah jumlah yang tidak mencapai had Mutawatir.
Keraguan kedua: Sebahagian berpendapat bahawa tidak dapat
dibayangkan berhimpunnya sejumlah besar orang untuk memberitakan satu khabar
yang sama. Ini kerana manusia berbeza-beza tujuan, tabiat, dan perangai mereka,
serta berlainan pula matlamat, pandangan, dan tujuan mereka. Maka, ada antara
mereka yang berkata benar, dan ada pula yang cenderung kepada pendustaan dan
begitulah seterusnya. Oleh itu, tidak mungkin semua mereka bersepakat atas
kebenaran dalam sesuatu khabar. Maka, Mutawatir dalam bentuk ini tidak dapat
dibayangkan kewujudannya.
Jawapan terhadap keraguan ini: Dakwaan ini adalah batil dan ia merupakan pengingkaran terhadap sesuatu yang dapat disaksikan dan nyata. Sesungguhnya, perbezaan tabiat dan perangai manusia tidak semestinya menyebabkan ia tidak memberikan ilmu.
Antara yang dapat kita saksikan ialah kita melihat
kesepakatan sejumlah besar manusia dalam memberitakan banyak perkara, walaupun
berbeza perangai dan tabiat serta berjauhan tempat tinggal. Ilmu mengenainya
tetap terhasil walaupun wujud perbezaan yang disebutkan, seperti kepercayaan
kepada para Rasul dan Nabi, Baitullah al-Haram berada di Mekah, Baitul Maqdis
di Palestin, bahawa Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam diutuskan dalam kalangan
kaum yang ummi, memerangi kaum Musyrikin, berhijrah ke Madinah dan dimakamkan
di sana serta banyak lagi perkara lain yang disepakati oleh manusia. Maka,
pengingkaran terhadap perkara tersebut adalah satu kesombongan dan kedegilan.
Keraguan ketiga: Boleh jadi setiap perawi daripada
perawi-perawi Mutawatir itu berdusta dalam keadaan bersendiriannya, sebagaimana
boleh jadi juga dia berkata benar. Maka, sekiranya pendustaan itu boleh berlaku
dalam keadaan bersendirian, maka ia juga boleh berlaku dalam keadaan berhimpun
dan dengan itu, jadilah khabar Mutawatir itu mungkin padanya terdapat
pendustaan.
Jawapan terhadap keraguan ini: Tidak mesti daripada mungkin
berlaku pendustaan dalam khabar seorang individu bererti kemungkinannya berlaku
dalam khabar secara kumpulan jika mereka terdiri daripada jumlah yang begitu
ramai sehingga mustahil pada akal bagi mereka untuk berdusta secara kebiasaannya,
sama ada dengan sengaja atau tanpa sengaja.
Maka yang dipastikan kebenarannya hanyalah secara keseluruhan
(kumpulan itu), bukan setiap seorang secara berasingan. Maka bagi keseluruhan
(kumpulan itu) ada (kekuatan/sifat) yang tidak ada pada setiap seorang secara
individu.
Contohnya, daripada apa yang dapat disaksikan dan dirasai
ialah tali. Ia terdiri daripada beberapa helai benang yang banyak dan setiap
helai benang secara berasingan tidak mempunyai kekuatan untuk menampung
sesuatu, tetapi sehelai benang bersama yang lain dan begitulah seterusnya, ia
membawa kepada kekuatan tali sehingga ia menjadi begitu kukuh dan dengannya
dapat diangkat benda-benda yang berat.
Keraguan keempat: Khabar Mutawatir boleh berlaku
padanya percanggahan. Boleh jadi para perawinya memberitakan suatu khabar
tertentu dan boleh jadi khabar Mutawatir yang lain pula, para perawinya
memberitakan khabar lain yang tertentu yang bercanggah dengan yang pertama. Ini
akan membawa kepada berlakunya percanggahan padanya.
Jawapan terhadap keraguan ini: Andaian wujudnya percanggahan antara khabar-khabar Mutawatir adalah batil kerana mustahil berlakunya percanggahan antara dua khabar Mutawatir secara adat kerana jika telah terhasil ilmu dengan salah satunya setelah memenuhi kesemua syaratnya, maka mustahil terhasil ilmu dengan yang kedua.
Karangan-Karangan Terkenal Mengenainya:
Ramai ulama telah memberi perhatian untuk mengumpulkan
hadis-hadis Mutawatir dan meletakkannya dalam karangan tersendiri untuk
memudahkan penuntut ilmu merujuknya. Antara karangan-karangan tersebut:
1 - Al-Fawa'id al-Mutakathirah fi al-Akhbar
al-Mutawatirah oleh al-Suyuti. Disusun mengikut bab-bab.
2 - Al-Azhar al-Mutanathirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah
oleh al-Suyuti. Merupakan ringkasan kitab sebelumnya.
3 - Qatf al-Azhar oleh al-Suyuti juga. Merupakan ringkasan kepada ringkasan tersebut.
4 - Nazm al-Mutanathir min al-Hadith al-Mutawatir oleh Muhammad bin Ja'far al-Kattani.
5 - Laqt al-La'ali' al-Mutanathirah fi al-Ahadith al-Mutawatirah oleh al-Zabidi.
6 - Ithaf Zawi al-Fada'il al-Mushtahirah bima Waqa'a min al-Ziyadat fi Nazm al-Mutanathir min al-Hadith al-Mutawatir oleh Abdul Aziz al-Siddiq al-Ghumari.
7 - Al-La'ali' al-Mutanathirah fi al-Ahadith
al-Mutawatirah oleh Ibn Tulun.
Sumber:
Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.





