Sabtu, 23 Mei 2026

Imam al-Haramain Makan dan Tidur Kerana Terpaksa

Disebutkan di dalam kitab Tabyin Kazib al-Muftari karya al-Hafiz Ibn 'Asakir dan kitab Tabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra karya Taj al-Subki, pada biografi Imam al-Haramain, Abu al-Ma'ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini al-Naisaburi al-Syafi'i, seorang pakar fiqh, pakar ilmu usul, pakar ilmu kalam, seorang pemikir, jaguh berdebat, yang juga merupakan guru kepada al-Imam al-Ghazali, dilahirkan pada tahun 419 Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 478 Hijrah, semoga Allah merahmati beliau, seperti berikut:

Abdul Ghafir al-Farisi berkata di dalam kitabnya Siyaq Naisabur:

“Imam al-Haramain, Kebanggaan Islam (Fakhr al-Islam), imam kepada sekalian imam secara mutlak, pendeta syariat yang disepakati keimamannya di timur mahupun di barat, seorang yang mata belum pernah melihat seumpamanya sebelum ini dan tidak akan melihat seumpamanya selepasnya.”

Aku pernah mendengar beliau berkata di celah-celah perbicaraannya:

“Aku tidak tidur dan tidak makan mengikut kebiasaan (rutin harian). Sebaliknya, aku hanya tidur apabila aku ditewaskan oleh rasa mengantuk, sama ada pada waktu malam mahupun siang. Aku makan apabila aku berasa teringin kepada makanan, pada bila-bila masa sahaja.”

Kelazatannya, hiburannya, dan keseronokannya hanyalah pada muzakarah ilmu, dan usaha menuntut faedah (ilmu) dalam apa jua bidang sekalipun.

Aku telah mendengar Syeikh Abu al-Hasan 'Ali bin Faddal bin 'Ali al-Mujasyi'i al-Qairawani al-Nahwi, yang datang (berkunjung) kepada kami pada tahun 469 Hijrah. Imam Fakhr al-Islam (Imam al-Haramain) telah menyambutnya, melayaninya dengan penuh penghormatan, dan mula mempelajari ilmu nahu di hadapannya serta berguru dengannya, padahal beliau ketika itu merupakan imam kepada sekalian imam pada zamannya - dan usianya pula telah mencecah lima puluh tahun.

Imam al-Haramain akan membawa gurunya itu pada setiap hari ke rumahnya, lalu membacakan di hadapannya kitab Iksir al-Zahab fi Sina'ah al-Adab yang merupakan karya karangan gurunya (Abu al-Hasan) itu.

Abu al-Hasan al-Mujasyi'i pernah bercerita lalu berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu asyik dengan ilmu seperti Imam ini. Sesungguhnya beliau menuntut ilmu kerana ilmu itu sendiri.”

Memang begitulah keadaan Imam al-Haramain."

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.  

Banyak Karya Kerana Bijak Urus Masa

Al-Hafiz al-Zahabi berkata di dalam kitab Tazkirah al-Huffaz, pada biografi al-Muhaddith Ibn Syahin, yang dilahirkan pada tahun 297 Hijrah, dan meninggal dunia pada tahun 385 Hijrah pada usia 88 tahun, semoga Allah merahmati beliau:

"Beliau ialah seorang al-Hafiz (pakar hadis), Imam, yang banyak memberi manfaat lagi banyak riwayatnya, ahli hadis Iraq, Abu Hafs 'Umar bin Ahmad bin 'Uthman al-Baghdadi, seorang pendakwah (al-Wa’iz), yang dikenali sebagai Ibn Syahin, pemilik pelbagai karya, beliau telah mengarang karya yang sangat banyak.”

Abu al-Husain bin al-Muhtadi Billah - muridnya - berkata: Ibn Syahin telah berkata kepada kami:

“Aku telah mengarang 330 buah karya, antaranya kitab al-Tafsir al-Kabir sebanyak 1000 juzuk, kitab al-Musnad sebanyak 1300 juzuk, kitab al-Tarikh sebanyak 150 juzuk, dan kitab al-Zuhd sebanyak 100 juzuk.”

Al-Qadi Muhammad bin 'Umar al-Dawudi berkata: Aku mendengar Ibn Syahin berkata:

“Aku telah mengira dakwat yang telah aku beli sehinggalah ke saat ini, jumlahnya adalah sebanyak 700 dirham.”

Ibn Abi al-Fawaris berkata:

“Ibn Syahin telah mengarang (begitu banyak karya) yang tidak pernah dikarang oleh seorang pun.”

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.  

Jumaat, 22 Mei 2026

Pusing Dunia Dua Kali Untuk Menuntut Ilmu

Al-Hafiz Ibn al-Jauzi menyebutkan di dalam kitab Manaqib al-Imam Ahmad, al-Faqih Ahmad bin Hamdan al-Hanbali di dalam kitabnya Sifah al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti, dan al-Hafiz Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah bahawa Imam Ahmad berkata:

"Aku telah bermusafir demi mencari ilmu dan Sunnah ke al-Thughur, wilayah-wilayah Syam, Sahel, Maghrib, Aljazair, Mekah, Madinah, Hijaz, Yaman, kedua-dua wilayah Iraq keseluruhannya, Parsi, Khurasan, al-Jibal, dan al-Atraf, kemudian aku kembali ke Baghdad.

Aku juga pernah keluar bermusafir ke Kufah, dan aku tinggal di dalam sebuah rumah dengan berbantalkan seketul batu bata di bawah kepalaku! Kemudian aku ditimpa demam! Lalu aku pun pulang kepada ibuku – semoga Allah merahmatinya - sedangkan aku tidak meminta izin daripadanya  terlebih dahulu.

Kalaulah aku mempunyai sembilan puluh dirham, nescaya aku telah bermusafir menemui Jarir bin Abdul Hamid di al-Rayy - dan bandar di Tehran pada masa kini -. Sebahagian sahabat kami telah pun keluar ke sana namun aku tidak dapat keluar kerananya aku tidak mempunyai apa-apa (bekalan harta)!"

Disebutkan di dalam Tahzib al-Tahzib karya al-Hafiz Ibn Hajar, pada biografi al-Imam Ahmad bin Hanbal:

Ahmad berkata: “Aku telah menunaikan ibadah haji sebanyak lima kali, tiga daripadanya secara berjalan kaki (janganlah kamu lupa bahawa tempat asal beliau ialah Baghdad). Aku membelanjakan hanya tiga puluh dirham dalam salah satu haji tersebut."

Ibn al-Jauzi berkata di dalam Said al-Khatir: "Imam Ahmad bin Hanbal telah mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehinggalah beliau menghimpunkan (hadis-hadis di dalam kitab) al-Musnad."

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. 

Kemanisan Sabar Ketika Belajar

Imam Ibn al-Jauzi rahimahullahu Ta'ala berkata di dalam kitabnya, Said al-Khatir ketika menceritakan tentang kepayahan yang menimpanya pada awal perjalanannya menuntut ilmu, dan tentang terpujinya kesabaran beliau dalam menghadapi kepayahan tersebut:

"Sesungguhnya semasa aku dalam kemanisan menuntut ilmu, aku  pernah berhadapan dengan pelbagai kepayahan yang pada pandanganku lebih manis daripada madu, demi untuk mencapai apa yang aku cari dan harapkan.

Sesiapa yang cita-cita dirinya adalah untuk mencapai kedudukan yang tinggi, maka segala apa yang dihadapinya pada jalan itu menjadi sesuatu yang disukainya.

Pada zaman kanak-kanak, aku pernah membawa bersamaku beberapa keping roti kering, lalu aku keluar untuk belajar ilmu hadis. Aku duduk di tepi Sungai 'Isa - di Baghdad - dan aku tidak mampu untuk memakannya melainkan jika ada air. Maka setiap kali aku makan satu suapan, aku akan meminum air bersamanya (untuk menelannya).

Sedangkan 'mata' keazamanku tidak melihat melainkan kelazatan meraih ilmu. Maka perkara tersebut telah membuahkan hasil bagiku di mana aku terkenal dengan banyaknya mempelajari hadis Rasulullah SAW, hal ehwal (sirah) baginda, adab-adab baginda, serta hal ehwal para Sahabat baginda dan golongan Tabi'in."

Sumber:

Safahat Min Sabr al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. 

Baca Buku Walaupun Ketika Makan

Abu Ja'far al-Mahri, Ahmad bin Abdullah al-Qairawani dilahirkan pada tahun 250 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 333 Hijrah. Semoga Allah merahmati beliau.

Al-Qadi 'Iyad berkata mengenai beliau:

"Beliau adalah antara orang yang sangat menitikberatkan ilmu, dan beliau merupakan satu keajaiban dalam hal pembelajaran dan menelaah. Kitab hampir tidak pernah terlepas daripada tangannya, sehinggalah pada waktu makannya."

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. 

Sedih Terpaksa Buang Masa Untuk Makan

Abu Hilal al-'Askari berkata di dalam kitabnya al-Hathth 'ala Talab al-'Ilm wa al-Ijtihad fi Jam'ih (Galakan Menuntut Ilmu dan Bersungguh-sungguh dalam Menghimpunkannya):

"Al-Khalil bin Ahmad - al-Farahidi al-Basri merupakan salah seorang yang paling bijak di dunia. Beliau dilahirkan pada tahun 100 Hijrah, dan meninggal pada tahun 170 Hijrah, semoga Allah merahmatinya. Beliau pernah berkata:

“Waktu yang paling berat bagiku ialah waktu aku makan."

Allahu Akbar! Betapa dahsyatnya beliau menenggelamkan diri di dalam ilmu?! Dan alangkah membara sifat cemburunya terhadap waktu yang dimilikinya?!

Sumber:

Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. 

Khamis, 21 Mei 2026

Nabi dan Sahabat Tak Buat, Maka Tak Boleh Buat?

Soalan:

Jika tidak sabit daripada Nabi SAW bahawa baginda melakukan sesuatu perbuatan, atau perbuatan itu tidak dilakukan oleh mana-mana Sahabat baginda, lalu ada seseorang yang ingin melakukannya, adakah perbuatan tersebut dianggap bidaah kerana baginda SAW mahupun para sahabatnya tidak melakukannya?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:

Pendapat sebegini adalah salah dari dua sudut:

Sudut Pertama: Sesungguhnya ketiadaan perbuatan baginda tidak menunjukkan ke atas pensyariatan perbuatan tersebut, dan tidak juga ke atas pensyariatan untuk meninggalkannya. Sebaliknya, perkara itu kekal pada hukum asalnya iaitu harus.

Oleh itu, ketiadaan sesuatu perbuatan itu - sepertimana ia tidak boleh dijadikan dalil ke atas pensyariatannya - ia juga tidak boleh dijadikan dalil untuk melarang daripada melakukannya selagi mana perbuatan tersebut tidak dilarang.

Kemudian selepas itu ia diteliti: jika perbuatan itu bernaung di bawah mana-mana kaedah Syarak atau kita mampu meng-qias-kannya dengan perkara yang mempunyai nas Syarak, maka kita katakan: ia disyariatkan. Namun, jika perbuatan itu ditolak oleh kaedah-kaedah Syarak atau ia bercanggah dengan nas-nas Syarak, maka kita katakan: ia adalah bidaah.

Sudut Kedua: Sesungguhnya ucapan seseorang yang berkata: “Kalaulah ia sesuatu yang baik, nescaya orang yang lebih baik daripada kita akan melakukannya dahulu”, ini merupakan satu kenyataan yang membekukan Syariat Islam, dan mengehadkan kesyumulannya (kemenyeluruhannya) hanya pada kurun pertama umat ini sahaja.

Padahal realiti sebenar Syariat Islam adalah sebaliknya kerana ia tidak lemah untuk memberikan hukum bagi setiap perbuatan baharu yang berlaku, dengan bersandarkan kepada kaedah-kaedah Islam dan prinsip-prinsipnya, tidak kira sama ada dalam urusan muamalat mahupun sebahagian ibadat yang tidak didatangkan penetapan dan pengkhususan mengenainya daripada Pembuat Syariat (Allah dan Rasul).

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di