Rabu, 15 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Ma'un

 

Surah ini adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah), yang secara ringkas membicarakan tentang dua golongan manusia:

Golongan pertama: Orang kafir yang mengingkari nikmat Allah dan mendustakan hari perhitungan dan pembalasan terhadap amalan baik dan buruk yang dikerjakan di dunia dahulu.

Golongan kedua: Orang munafik yang tidak berniat mengerjakan amal untuk Allah, tetapi sekadar menunjuk-nunjuk dengan amalan dan solatnya.

Tentang golongan pertama: Allah menyebutkan antara sifat-sifat tercela mereka iaitu mereka menghina, menghalau, mengherdik serta mengusir anak yatim. Mereka tidak melakukan kebaikan walaupun sekadar mengingatkan kepada orang lain tentang bersedekah kepada orang miskin dan fakir. Jika menggalakkan orang lain untuk bersedekah pun dia tidak lakukan kerana sifat bakhilnya, maka sudah tentu dia sendiri lebih-lebih lagi enggan untuk bersedekah. Maka mereka tidak berbuat baik dalam ibadah kepada Tuhan mereka dan tidak berbuat baik kepada makhluk-Nya.

Tentang golongan kedua: Mereka adalah orang munafik yang lalai daripada melakukan solat dan tidak menunaikannya pada waktunya. Jika mereka melakukannya pun, maka mereka melakukannya hanya sekadar perbuatan luaran tanpa penghayatan dan untuk menunjuk-nunjuk dengan amal perbuatan mereka. Selain itu, mereka juga bersifat kedekut dalam memberi pertolongan kepada orang yang memerlukannya dan tidak membantu orang lain dalam perkara-perkara yang sudah menjadi kebiasaan untuk saling membantu seperti pemberian al-Ma'un (barangan keperluan asas) yang biasa dipinjam dan dimanfaatkan antara jiran tetangga.

Surah ini mengancam kedua-dua golongan ini dengan kehinaan, azab, dan kebinasaan, serta menarik perhatian pembaca kepada mereka dengan gaya celaan, kehairanan dan rasa takjub terhadap perbuatan mereka.

Selasa, 14 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Kauthar

 

Surah al-Kauthar ialah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membicarakan tentang kurniaan Allah yang besar kepada Nabi-Nya yang mulia dengan menganugerahkan kebaikan yang banyak dan nikmat yang agung di dunia dan akhirat, termasuklah sungai al-Kauthar di syurga serta kebaikan-kebaikan lain yang melimpah ruah.

Sebahagian musyrikin, munafik dan Yahudi mengejek Nabi sallahu ‘alaihi wasallam atas kematian anak-anak lelakinya di Makkah dan Madinah, disebabkan kebencian mereka terhadap dakwah baginda dan keluarganya serta sangkaan mereka bahawa dakwah hanya akan diwarisi oleh anak-anak lelaki daripada bapa mereka. Maka, surah ini diturunkan untuk menyatakan bahawa Allah telah menggantikan kehilangan anak-anak baginda dengan sebuah sungai yang agung di syurga.

Surah ini juga menyeru Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam untuk terus mendirikan solat dan menyembelih korban sebagai tanda mendekatkan diri kepada Allah, bersyukur atas kurniaan-Nya, membantu golongan miskin dan mendorong umat Islam untuk melakukan kebaikan.

Surah ini diakhiri dengan berita gembira kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tentang kehinaan musuh-musuhnya, serta menggambarkan orang yang membenci baginda sebagai hina, rendah, dan terputus daripada segala kebaikan di dunia dan akhirat. Sebaliknya, nama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sentiasa dijulang tinggi di menara-menara azan dan mimbar-mimbar dan nama baginda yang mulia sentiasa meniti di bibir manusia, kekal hingga ke akhir zaman.

Isnin, 13 Januari 2025

Rabiah al-'Adawiyah - Wanita Zuhud dan Abid

 

Namanya

Nama beliau ialah Rabi’ah binti Ismail al-‘Atakiyyah al-Basriyyah dan terkenal dengan nama Rabi'ah al-'Adawiyah. Kunyah beliau ialah Ummu Amr atau Ummu al-Khair. Beliau adalah seorang wanita yang zuhud, ahli ibadah dan seorang yang khusyuk dalam ibadahnya.

Kitab Khas Tentangnya

Ibun al-Jauzi telah menulis sebuah kitab mengenai riwayat hidupnya.

Seorang Lagi Rabi’ah

Terdapat seorang Rabi’ah lain yang dikenali sebagai Rabi’ah al-Syamiyyah dari Syam yang hidup sezaman dengannya. Mungkin terdapat percampuran antara riwayat-riwayat tentang kedua-dua mereka. Rabi’ah al-Syamiyyah ini namanya juga Rabi’ah binti Isma’il dan merupakan isteri kepada Ahmad bin Abi al-Hawari. Ahmad bin Abi al-Hawari ini merupakan seorang yang soleh dan zuhud sehingga Imam Yahya bin Ma’in berkata penduduk Syam akan berdoa meminta hujan kepada Allah melaluinya.

Guru Kepada Syu’bah bin al-Hajjaj dan Sufyan al-Thauri

Sufyan al-Thauri selalu bertanya pelbagai masalah kepada Rabi'ah dan berpegang kepada pendapatnya serta suka akan nasihat dan doanya. Sufyan al-Thauri dan Syu'bah juga telah meriwayatkan sebahagian kata-kata hikmah daripada Rabi'ah.

Ja'far bin Sulaiman berkata: "Sufyan al-Thauri memegang tanganku dan berkata: Bawalah aku kepada guru yang mendidik itu (yakni Rabi’ah), kerana aku tidak merasa tenang jika berjauhan darinya. Maka apabila kami masuk ke tempatnya, Sufyan mengangkat tangannya dan berdoa: Ya Allah, aku memohon keselamatan. Rabi'ah menangis, lalu Sufyan bertanya: Apa yang membuatmu menangis? Rabi'ah berkata: Engkau telah menyebabkan aku menangis. Sufyan bertanya: Bagaimana begitu? Lalu Rabi'ah menjawab: Tidakkah engkau tahu bahawa keselamatan dari dunia adalah dengan meninggalkan apa yang ada di dalamnya sedangkan engkau masih bergelumang dengannya?"

Ja'far bin Sulaiman berkata: “Sufyan al-Thauri bertanya kepada Rabi’ah: Apakah cara paling dekat yang dapat dilakukan seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah? Maka Rabi’ah menangis dan berkata: Orang seperti aku ditanya tentang perkara ini? Cara paling dekat seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah Ta'ala adalah dengan menyedari bahawa dia tidak mencintai siapa pun selain Allah, sama ada di dunia mahupun di akhirat.”

Sufyan al-Thauri pernah bertemu dengan Rabi'ah al-Adawiyah yang ketika itu beliau berada dalam keadaan yang serba kekurangan. Maka Sufyan berkata kepadanya: "Wahai Ummu Amru, aku melihat keadaanmu sangat daif. Alangkah baiknya jika engkau pergi kepada jiranmu si fulan, mungkin dia dapat memperbaiki sebahagian keadaanmu yang aku lihat ini." Rabi'ah menjawab: "Wahai Sufyan, apa yang kau lihat dari buruknya keadaanku? Bukankah aku berada dalam Islam? Itulah kemuliaan yang tidak disertai kehinaan, kekayaan yang tidak disertai kemiskinan, dan rasa damai yang tidak disertai kesunyian. Demi Allah, aku sungguh malu untuk meminta dunia kepada Pemiliknya, maka bagaimana aku boleh memintanya kepada yang bukan pemiliknya?"

Sufyan kemudian berkata: "Aku tidak pernah mendengar kata-kata seperti ini."

Rabi'ah juga pernah berkata kepada Sufyan: "Sesungguhnya engkau hanyalah hari-hari yang terhitung. Apabila berlalu satu hari, maka sebahagian dirimu telah pergi. Hampir tiba masanya apabila sebahagian itu telah habis, maka habislah seluruhnya. Engkau mengetahui hal ini, maka beramallah."

Benci Kepada Dunia

Khalid bin Khidash meriwayatkan bahawa Rabi’ah pernah mendengar Salih al-Murri menyebut tentang dunia dalam ceramahnya, lalu beliau menyeru: "Wahai Salih, sesiapa yang mencintai sesuatu, dia akan banyak menyebutnya."

Bisyr bin Salih al-Ataki berkata: “Sekumpulan orang bersama Sufyan al-Thauri meminta izin untuk berjumpa dengan Rabi’ah. Mereka berbual-bual dengannya seketika dan menyebut tentang hal dunia. Apabila mereka beredar, Rabi’ah berkata kepada khadamnya: Apabila syeikh ini dan sahabat-sahabatnya datang lagi, jangan benarkan mereka masuk, kerana aku melihat mereka mencintai dunia."

Hammad berkata: “Aku dan Sallam bin Abi Muti' mengunjungi Rabi’ah, lalu Sallam mula bercakap tentang dunia. Rabi’ah berkata: "Sesungguhnya yang layak disebut-sebut hanyalah sesuatu yang benar-benar bernilai, adapun sesuatu yang tidak bernilai, maka tidak perlu disebut-sebut."

Beliau menolak pemberian orang kepadanya dengan berkata: "Aku tidak memerlukan dunia."

Karamahnya

Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ menyebutkan beberapa karamahnya:

Abu Yasar Misma' berkata: “Aku mengunjungi Rabi’ah, lalu beliau berkata: Kamu datang ketika aku ingin memasak nasi dan aku mengutamakan perbualan dengan kamu berbanding memasak nasi, tetapi apabila aku kembali ke periuk, nasi telah masak."

Riyah al-Qaisi berkata: “Aku dan Rabi’ah sering mengunjungi Syumait. Pada suatu hari, Rabi’ah berkata: Mari sini wahai anak muda. Dia memegang tanganku dan berdoa kepada Allah. Tiba-tiba muncul sebuah bekas hijau yang dipenuhi madu putih. Beliau berkata: Makanlah, demi Allah, ini bukanlah madu yang dihasilkan oleh lebah. Aku terkejut dengan kejadian itu, lalu bangun dan meninggalkannya.”

Keperibadiannya

Rabi'ah dilihat sering menangis dan bersedih.

Apabila beliau mendengar tentang neraka, beliau akan pengsan untuk seketika.

Setiap malam beliau akan memakai wangi-wangian dan mendatangi suaminya, lalu bertanya, "Adakah kamu mempunyai hajat?" Setelah menunaikan hajat suaminya, beliau akan bersuci dan beribadat sehingga pagi. Selepas kematian suaminya, beliau tidak berkahwin lagi kerana sibuk dengan ibadah.

Beliau akan berdiri untuk beribadat selepas solat Isyak sambil berkata: "Demi kemuliaan dan kebesaran-Mu, inilah kedudukan ku di hadapan-Mu selagi aku hidup."

Setelah mencapai usia 80 tahun, tubuhnya kurus kering seperti kantung air yang usang dan beliau hampir-hampir terjatuh apabila berjalan.

Kain kafannya sentiasa diletakkan di hadapannya.

Tempat sujudnya seperti kolam air disebabkan banyaknya air matanya.

Beliau juga pernah berkata: "Apa sahaja yang zahir daripada amal perbuatanku, aku tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang bererti."

Abdah binti Abi Syawal - yang berkhidmat kepada Rabiatul Adawiyah - berkata: “Rabi’ah beribadat sepanjang malam dan apabila fajar terbit, beliau akan tidur sebentar sehingga fajar menyinsing. Aku mendengarnya berkata: Wahai nafsu, berapa lama lagi engkau hendak tidur dan bila lagi engkau hendak bangun? Hampir tiba masanya engkau akan tidur dengan tidur yang tidak akan bangun daripadanya melainkan pada hari kebangkitan."

Rabi'ah al-'Adawiyah pernah berkata dalam munajatnya: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu?" Maka terdengar suara berkata kepadanya: "Kami tidak akan melakukan itu, maka jangan berprasangka buruk terhadap Kami."

Apabila malam menjelang, beliau akan naik ke atas atap rumahnya, lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, ketika suara-suara telah sunyi, pergerakan telah terhenti dan setiap kekasih bersama kekasihnya, aku bersendirian bersama-Mu, wahai Yang Maha Dicintai. Maka jadikanlah kesendirianku bersama-Mu pada malam ini sebagai pembebasan diriku daripada api neraka."

Rabi’ah juga sering berdoa: "Ya Allah, aku telah memaafkan orang yang menzalimiku, maka maafkanlah aku atas kezaliman yang pernah aku lakukan terhadap orang lain."

Beliau pernah berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku, aku tidak akan melepaskanmu jika engkau memberiku makanan yang haram.” Ayahnya bertanya: "Bagaimana jika aku tidak menemukan kecuali yang haram?" Beliau menjawab: "Kita bersabar di dunia menahan kelaparan adalah lebih baik daripada bersabar di akhirat menahan api neraka."

Nasihatnya

Beliau pernah berkata: "Istighfar kita memerlukan istighfar yang lain." Yakni kerana ketiadaan keikhlasan dalam istighfar tersebut.

Apabila beliau mendengar Sufyan berkata: "Alangkah sedihnya", beliau berkata kepadanya: "Katakanlah alangkah sedikitnya kesedihan, kerana jika engkau benar-benar bersedih, engkau tidak akan menikmati kehidupan."

Antara wasiatnya: "Sembunyikanlah amalan kebaikan kamu sebagaimana kamu menyembunyikan dosa-dosa kamu."

Seorang wanita pernah berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Rabi'ah menjawab: "Taatilah Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Seorang lelaki berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Dia menjawab: "Maka janganlah engkau derhaka kepada Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Dipinang Hartawan

Abu Sulaiman al-Hasyimi, yang memiliki hasil pendapatan harian sebanyak 80,000 dirham di Basrah, pernah mengutus surat kepada para ulama Basrah untuk meminta pandangan mereka mengenai seorang wanita yang patut dinikahinya. Para ulama sepakat mencadangkan Rabi'ah al-Adawiyah. Maka dia menulis surat kepada Rabi'ah:

"Sesungguhnya harta kekayaanku dari hasil dunia mencapai 80,000 dirham setiap hari dan tidak lama lagi akan genap menjadi 100,000, insyaAllah. Aku meminang dirimu untuk menjadi isteriku. Aku telah menyediakan sebagai mahar untukmu 100,000 dirham dan aku akan menambahkan jumlah itu dengan yang serupa. Maka balaslah suratku."

Rabi’ah menulis kepadanya:

"Sesungguhnya zuhud terhadap dunia memberikan ketenangan hati dan badan, sementara keinginan terhadapnya mewariskan kegelisahan dan kesedihan. Jika suratku ini sampai kepadamu, maka persiapkanlah bekalanmu, dahulukan amal untuk hari akhiratmu, jadilah wasiat bagi dirimu sendiri dan jangan serahkan wasiatmu kepada orang lain. Berpuasalah sepanjang hidupmu dan jadikanlah kematian sebagai waktu berbukamu. Demi Allah, aku tidak akan merasa bahagia jika Allah memberiku berkali-kali lipat daripada apa yang telah diberikan kepadamu, sehingga ia melalaikan aku daripada-Nya walaupun sekejap mata. Wassalam."

Kematiannya

Terdapat perbezaan pendapat ulama berkenaan tahun beliau meninggal dunia.

Menurut al-Hafiz al-Zahabi, dikatakan bahawa Rabi’ah al-Adawiyah hidup selama lapan puluh tahun dan meninggal dunia pada tahun 180 Hijrah.

Manakala menurut Imam Ibnu Khalikhan pula, Rabi'ah al-Adawiyah wafat pada tahun 135 Hijrah, seperti yang disebut oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab Shuzur al-'Uqūd. Namun, pendapat lain menyebut bahawa beliau wafat pada tahun 185 Hijrah.

Makamnya dikatakan terletak di luar kota Baitulmaqdis, di bahagian timurnya, di atas sebuah bukit yang dikenali sebagai Jabal al-Tur dan makamnya sering diziarahi. Namun menurut al-Yafi'i dalam Mir'ah al-Jinan, beliau berkata: "Aku mendengar dari sebahagian penduduk Baitulmaqdis menyebut bahawa yang dikebumikan di bukit itu adalah Rabiah yang lain, bukan Rabiah al-Adawiyah."

Dilihat Di Dalam Mimpi Selepas Kematiannya

Sebahagian orang berkata: "Aku pernah mendoakan Rabi'ah al-Adawiyah, lalu aku melihatnya dalam mimpi dan beliau berkata: Hadiah-hadiahmu sampai kepada kami di atas dulang-dulang daripada cahaya yang ditutupi dengan sapu tangan daripada cahaya."

Diriwayatkan juga apabila kematiannya menjelang, beliau memanggil khadamnya dan berkata: "Wahai ‘Abdah, jangan beritahu sesiapa tentang kematianku dan kafankan aku dengan jubah ini, iaitu jubah daripada bulu yang beliau pakai (untuk beribadat) ketika mata-mata manusia sudah tertidur."

Kata ‘Abdah: “Lalu kami mengafankannya dengan jubah tersebut dan selendang daripada bulu yang biasa dipakainya.

Kemudian selepas setahun atau lebih kurang, saya melihatnya dalam mimpi memakai pakaian sutera hijau dan selendang sutera hijau yang belum pernah aku lihat secantik itu. Aku bertanya: Wahai Rabiah, apa yang terjadi dengan jubah yang kami kafankan kamu dan selendang bulu itu?"

Beliau menjawab: "Demi Allah, ia telah ditanggalkan dariku dan digantikan dengan apa yang kamu lihat ini. Kain kafanku dilipat dan dimeterai, kemudian diangkat ke tempat yang tinggi untuk menyempurnakan pahalaku pada hari kiamat."

Aku bertanya kepadanya: "Untuk inikah kamu beramal semasa di dunia?"

Beliau menjawab: "Ini tidak seberapa berbanding apa yang aku lihat daripada kemuliaan Allah untuk para waliNya."

Aku bertanya lagi: "Apa yang terjadi kepada Ubaidah binti Abi Kilab?"

Beliau menjawab: "Jauh sekali, demi Allah dia telah mendahului kita ke darjat yang tinggi."

Aku bertanya: "Bagaimana boleh jadi begitu sedangkan pada pandangan manusia kamu lebih tinggi daripadanya?"

Beliau menjawab: "Dia tidak pernah peduli dalam apa jua keadaan dunia, pagi atau petang."

Aku bertanya: "Bagaimana pula dengan Abu Malik, maksud saya, Dhaigham?"

Beliau menjawab: "Dia menziarahi Allah bila-bila masa yang dia mahu."

Aku bertanya: "Apa yang terjadi kepada Bisyr bin Mansur?"

Beliau menjawab: "Wah wah, demi Allah dia diberi lebih daripada apa yang dia harapkan."

Aku bertanya: "Nasihatilah aku dengan sesuatu yang boleh mendekatkan aku kepada Allah."

Beliau menjawab: "Perbanyakkan zikir kepadaNya, hampir tiba masanya kamu akan bergembira dengan amalan itu dalam kubur kamu."

Rujukan:

1 - Al-Tabaqat al-Kubra oleh Imam Abdul Wahab al-Sya’rani.

2 - Al-Tabaqat al-Wusta oleh Imam  Abdul Wahab al-Sya’rani.

3 - Al-Wafi Bi al-Wafayat oleh Imam al-Safadi.

4 - Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

5 - Tarikh al-Islam oleh al-Hafiz al-Zahabi.

6 - Wafayat al-A’yan oleh Imam Ibnu Khalikan.

7 - Zikr al-Niswah al-Muta’abbidat al-Sufiyat oleh Imam Abi Abdul Rahman al-Sulami.

Sinopsis Surah al-Kafirun

 

Surah al-Kafirun adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan surah ini adalah tentang tauhid dan penolakan terhadap syirik dan kesesatan.

Kaum musyrikin telah mengajak Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam untuk berkompromi, dengan meminta baginda menyembah tuhan-tuhan mereka selama setahun dan mereka pula akan menyembah Tuhan baginda selama setahun. Maka, surah ini diturunkan untuk memutuskan harapan orang-orang kafir, menyelesaikan perselisihan antara dua golongan iaitu ahli iman dan penyembah berhala, serta menolak idea yang tidak masuk akal itu secara tegas pada masa kini dan akan datang.

Dalam surah yang mulia ini, Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk memutuskan harapan orang-orang kafir dalam usaha mereka untuk berkompromi mengenai akidah baginda, kerana terdapat perbezaan yang jelas antara baginda dan mereka dalam hal sembahan dan cara beribadah.

Dalam hal sembahan, orang-orang beriman hanya menyembah Allah semata-mata tanpa menyekutukan-Nya dengan apa-apa, manakala orang-orang kafir menyembah selain Allah seperti berhala, patung, sekutu-sekutu, perantara dari kalangan manusia, malaikat, bintang-bintang atau perkara lain daripada kepercayaan dan ajaran yang palsu.

Adapun perbezaan dari segi cara ibadah, orang-orang beriman menyembah Allah dengan ikhlas tanpa syirik dan tidak lali terhadap yang disembah serta mengikut cara ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya, iaitu cara yang diredai oleh-Nya. Sebaliknya, orang-orang kafir dan musyrik menyembah tuhan-tuhan mereka dengan cara-cara yang mengandungi syirik dan penyekutuan dengan selain Allah, serta dengan cara-cara yang mereka cipta sendiri, yang tidak diredai oleh Tuhan mereka.

Maka, bagi kamu wahai orang-orang kafir, agama kamu yang kamu warisi daripada nenek moyang kamu dan kamu redai untuk diri kamu iaitu syirik dan bagi aku agamaku yang Allah redai untukku, iaitu agama kebenaran dan tauhid.

Ahad, 12 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Nasr

 

Surah al-Nasr ialah surah Madaniyah (diturunkan selepas Hijrah) yang membicarakan tentang pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) yang memberikan kemuliaan kepada umat Islam. Melalui peristiwa ini, Islam tersebar di seluruh Semenanjung Tanah Arab, manakala kekuatan syirik dan kesesatan menjadi lemah. Dengan pembukaan yang agung ini, ramai manusia mula memasuki agama Allah, panji-panji Islam berkibar tinggi, dan ajaran penyembahan berhala semakin lenyap. Pemberitahuan tentang pembukaan Kota Mekah sebelum ia berlaku merupakan salah satu bukti yang jelas terhadap kebenaran kenabian Baginda, Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam.

Surah ini memerintahkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bahawa apabila datang pertolongan Allah dan pembukaan Kota Mekah, serta baginda melihat manusia memasuki agama Allah secara beramai-ramai, baginda hendaklah bertasbih memuji Allah sebagai tanda syukur kepada-Nya, menyucikan-Nya daripada segala sifat yang tidak layak, dan memohon keampunan untuk diri baginda dan orang-orang beriman kerana sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Menerima taubat hamba-hamba-Nya.

Para sahabat telah sepakat bahawa surah ini menunjukkan pemberitahuan tentang kewafatan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Diriwayatkan bahawa ketika surah ini diturunkan, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah dan bersabda: "Sesungguhnya seorang hamba telah diberi pilihan oleh Allah antara dunia dan bertemu dengan-Nya serta akhirat, maka dia memilih untuk bertemu dengan Allah."  

Para sahabat memahami hal ini kerana perintah untuk bertasbih, memuji Allah, dan memohon ampun secara mutlak menunjukkan bahawa tugas menyampaikan dakwah telah selesai dan sempurna. Ini membawa maksud bahawa kewafatan baginda akan menyusul kerana jika baginda terus hidup selepas itu, maka seolah-olah seperti baginda telah dilucutkan dari tugas kenabian, yang mana hal tersebut adalah mustahil. Selain itu, perintah untuk memohon ampun juga merupakan isyarat tentang dekatnya ajal baginda.

Sinopsis Surah al-Masad

 

Surah al-Masad adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia juga dikenali sebagai Surah al-Lahab atau Surah Tabbat.

Sebab surah ini diturunkan kerana Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam diperintahkan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada orang-orang di sekelilingnya. Baginda menyeru penduduk Mekah untuk berkumpul dan mengajak mereka beriman kepada keesaan Allah dan kebangkitan semula selepas mati. Namun, bapa saudaranya, Abu Lahab, menolak seruan itu dengan berkata, "Celakalah kamu! Adakah untuk ini kamu menyeru kami?" Kemudian, dia melemparkan batu ke arah Nabi. Lalu, turunlah ayat pertama yang menyatakan tentang kerugian Abu Lahab di dunia dan akhirat, serta kerugian dirinya akibat balasan ilahi.

Ketika Abu Lahab mendengar tentang hal itu, dia mendakwa bahawa dia akan menebus dirinya dengan harta dan anak-anaknya. Isterinya, yang digelar Ummu Jamil binti Harb (saudari Abu Sufyan) pula sering meletakkan duri di jalan Nabi untuk menganggu dakwah baginda. Kemudian, turunlah sebahagian surah yang lain yang menjelaskan bahawa apa yang dia percaya akan menebus dirinya itu tidak akan berguna sedikit pun pada hari kiamat dan disebutkan juga balasan terhadap isterinya.

Secara umumnya, surah ini membicarakan tentang kebinasaan Abu Lahab  dan tiada sesuatu pun yang dapat menyelamatkannya sama ada harta, anak-anak, atau kedudukannya. Dia merupakan musuh Allah dan Rasul-Nya. Dia sangat memusuhi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan sanggup meninggalkan pekerjaannya semata-mata untuk mengikuti Rasulullah dengan tujuan merosakkan dakwah Baginda dan menghalang orang ramai daripada beriman kepadanya.

Surah ini mengancamnya dengan api neraka yang menyala-nyala di akhirat, di mana dia akan dibakar dan diseksa. Isterinya, juga akan menyertainya dalam azab tersebut. Isterinya dikhususkan dengan satu bentuk azab yang dahsyat, iaitu tali daripada sabut yang akan diikat di lehernya dan dia akan diseret ke dalam neraka, sebagai tambahan kepada penghinaan dan kebinasaan. Begitulah, dia telah bersama dengan suaminya dalam menentang agama Allah dan menghalang manusia dari jalan-Nya di dunia, maka dia turut bersama dengannya dalam azab neraka Jahannam pada hari kiamat.

Sabtu, 11 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Fatihah

 

Surah yang mulia ini adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah), dan ayat-ayatnya berjumlah tujuh menurut kesepakatan ulama dan diturunkan satu surah secara lengkap.

Ia dinamakan ‘al-Fatihah’ kerana menjadi pembukaan bagi kitab suci al-Quran, di mana ia adalah surah pertama dalam susunan al-Quran, walaupun bukan yang pertama diturunkan.

Surah ini, walaupun ringkas dan pendek, mengandungi makna-makna al-Quran yang agung dan merangkumi tujuan-tujuan asasnya secara keseluruhan. Surah iniditurunkan untuk memperkenalkan manusia kepada Tuhan semesta alam, serta sifat-sifat-Nya yang mulia, untuk mendorong manusia memuji dan beribadah kepada-Nya, menetapkan adanya hari pembalasan, bahawa kerajaan pada hari itu adalah milik-Nya sahaja, dan kewajipan untuk mengesakan-Nya dalam ibadah tanpa menyekutukan-Nya.

Surah ini juga menekankan keperluan untuk bergantung kepada-Nya dalam semua urusan, kerana tiada sesuatu pun yang wujud atau berlaku tanpa pertolongan-Nya. Oleh itu, manusia diminta untuk memohon pertolongan kepada-Nya dalam semua urusan mereka, memohon petunjuk ke jalan yang lurus, dan dijauhkan daripada jalan orang-orang yang dimurkai dan sesat. Kesemua ini telah dihimpunkan dalam surah al-Fatihah secara ringkas. Oleh itu, surah ini dianggap seperti ibu kepada surah-surah lain, dan itulah sebab ia dinamakan ‘Ummul Kitab’ kerana ia menghimpunkan intipati utama al-Quran.

 

Jumaat, 10 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Ikhlas

 

Surah al-Ikhlas adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membincangkan tentang sifat-sifat Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Sempurna dengan segala sifat kesempurnaan. Dia yang sentiasa menjadi tempat bergantung bagi sekalian makhluk-Nya  dalam memenuhi keperluan dan hajat mereka. Allah Maha Kaya tidak memerlukan segala sesuatu daripada selain-Nya. Dia bukan dari kalangan yang mempunyai ibu bapa atau anak kerana kewujudan-Nya adalah tanpa didahului ketiadaan ada dan kekal wujud selama-lamanya tanpa pengakhiran dan tidak ada sesuatu pun dalam alam ini yang menyerupai-Nya. Surah ini juga untuk membantah golongan Nasrani yang mengatakan konsep triniti, serta membantah kaum musyrikin yang mengatakan Allah mempunyai keturunan dan anak.

Sebab surah ini diturunkan kerana orang-orang musyrik berkata kepada Nabi : "Terangkan kepada kami nasab Tuhanmu", lalu Allah menurunkan: “Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa.” Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas: “Kaum Quraisy berkata: Wahai Muhammad, sifatkan kepada kami Tuhanmu yang engkau seru kami kepada-Nya", lalu turunlah surah ini dan dalam riwayat lain dari Ibnu ‘Abbas juga bahawa yang bertanya itu adalah orang-orang Yahudi.

Surah ini dinamakan dengan banyak nama, yang paling masyhur adalah Surah al-Ikhlas kerana ia membicarakan tentang tauhid yang murni kepada Allah, yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan bebas daripada segala bentuk syirik. Ia dinamakan demikian juga kerana ia membebaskan hamba daripada syirik atau dari api neraka. Selain itu, ia juga dinamakan Surah al-Tafrid, al-Tajrid, al-Tauhid, al-Najat, atau al-Wilayah kerana sesiapa yang membacanya menjadi daripada kalangan wali Allah, atau sebagai Surah al-Ma‘rifah. Ia juga dikenali sebagai Surah al-Asas kerana kandungannya merangkumi asas-asas agama.

Rabu, 8 Januari 2025

Sinopsis Surah al-Falaq

 

Surah al-Falaq adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah). Di dalamnya terdapat pengajaran kepada hamba-hamba-Nya supaya berlindung kepada penjagaan Allah yang merupakan pencipta waktu subuh. Sebab disebutnya waktu subuh secara khusus adalah kerana kemunculan cahaya subuh setelah kegelapan yang pekat adalah seperti perumpamaan datangnya kelapangan setelah kesusahan. Sebagaimana manusia menantikan terbitnya fajar, begitu juga orang yang takut menantikan datangnya kejayaan.

Begitu juga diperintahkan agar memohon perlindungan dengan keagungan dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan makhluk-Nya  dari kalangan manusia, jin, binatang, serangga dan dari kejahatan setiap yang menyakiti.

Allah juga memerintahkan agar meminta pelindungan daripada kejahatan malam apabila gelap. Ini kerana jiwa manusia merasa takut kepada waktu malam dan kerana berleluasanya binatang buas dan berbisa serta orang-orang jahat dan pendosa dari kalangan manusia dan jin pada waktu itu.

Diperintahkan juga supaya berlindung daripada kejahatan ahli sihir yang membuat simpulan pada tali-tali dan meniup padanya untuk membahayakan hamba-hamba Allah dengan sihir mereka dan memisahkan antara suami dan isteri.

Begitu juga berlindung dari kejahatan setiap pendengki yang mengharapkan hilangnya nikmat dari orang lain dan tidak redha dengan nikmat yang telah Allah Ta'ala berikan kepadanya.

Surah ini adalah salah satu daripada dua surah perlindung (al-Mu'awwizatain) yang Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menggunakannya sebagai pelindung.

Sinopsis Surah al-Nas

 

Surah An-Nas adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia adalah surah yang kedua daripada surah al-Muawwizatain (dua surah pelindung).

Di dalamnya terkandung permohonan perlindungan dan penjagaan kepada Allah daripada kejahatan musuh yang paling bahaya, iaitu Iblis dan pengikut-pengikutnya dari kalangan syaitan manusia dan jin, yang menyesatkan manusia dengan pelbagai jenis bisikan dan godaan.

Dalam surah yang mulia ini terdapat perintah dari Allah kepada Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam - dan umatnya perlu mengikutinya dalam hal ini - supaya berlindung dan memohon perlindungan kepada-Nya kerana Dia adalah sebaik-baik tempat berlindung dan memohon perlindungan.

Oleh itu, baginda memohon pertolongan-Nya untuk menolak kejahatan yang besar, yang sukar dikesan oleh manusia, kerana ia datang kepada mereka melalui jalan nafsu dan keinginan mereka sama ada secara tersembunyi atau terang-terangan, menyembunyikan bisikannya dengan tipu daya dan penipuan

Al-Quran dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Muawwizatain untuk menggabungkan antara permulaan yang baik dan pengakhiran yang baik dan itulah kemuncak kebaikan dan keindahan kerana hamba memohon pertolongan Allah dan berlindung kepada-Nya, dari permulaan hingga pengakhiran sesuatu perkara.

Selasa, 7 Januari 2025

Anak dan Isteri Imam al-Bukhari

Orang terawal yang ditemui membincangkan perkara ini ialah Imam al-Hakim, di mana beliau menyebut dalam Ma'rifat Ulum al-Hadith: “Adapun al-Bukhari dan Muslim, mereka tidak mempunyai anak lelaki.”

Ibn al-Athir dalam Jami' al-Usul dan Tash Kubri Zadah dalam Miftah al-Sa'adah turut menyokong kenyataan ini. Al-Khatib al-Tibrizi dan Mulla Ali al-Qari pula menyatakan bahawa Imam al-Bukhari meninggal dunia tanpa anak.

Manakala al-'Ajluni pula sampai ke tahap meragui sama ada Imam al-Bukhari pernah berkahwin atau tidak, dengan mengatakan: “Sekiranya Imam (al-Bukhari) pernah berkahwin, tentulah kita akan menemui maklumat tentangnya.”

Adapun mengenai Imam Bukhari mempunyai isteri, ini telah dibuktikan oleh Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq, orang yang paling rapat dengan Imam al-Bukhari dan kenyataan al-'Ajluni adalah tertolak.

Al-Warraq telah menyebut bahawa beliau membeli sebuah rumah, lalu Imam al-Bukhari ingin membantunya membayar harganya dengan berkata:

"Saya mempunyai hamba-hamba perempuan dan isteri, sedangkan kamu bujang, maka wajib bagi saya berkongsi separuh dengan kamu agar kita sama rata dalam harta dan lainnya."

Mengenai anaknya pula, Abu Said Bakr bin Munir meriwayatkan: “Telah dibawa kepada Muhammad bin Ismail barang dagangan, yang dihantar kepadanya oleh anaknya, Ahmad Abu Hafs, maka beberapa orang peniaga berkumpul di sekelilingnya pada waktu petang, mereka membelinya dengan keuntungan lima ribu dirham, maka beliau berkata kepada mereka: Pulanglah kamu semua pada malam ini ...”

Disebutkan ‘dihantar kepadanya oleh anaknya Ahmad’ oleh Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Ibn Manzur dalam Mukhtasar Ibn Asakir, al-Zahabi dalam al-Siyar dan Tarikh al-Islam dan al-Subki dalam Tabaqat al-Shafi'iyyah.

Akan tetapi, al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan kisah yang sama dari sanad yang sama yang beliau catatkan sebagai ‘dihantar kepadanya oleh si fulan’ sebagai ganti perkataan ‘Ahmad’. Ibnu al-Jauzi dalam al-Muntazam dan Sifat al-Safwah turut mengikutinya dan al-Hafiz Ibnu Hajar menukilkannya dalam Hadyu al-Sari dan al-Taghliq, tetapi dalam kedua-duanya tertulis: ‘Dihantar kepadanya oleh Abu Hafs’, iaitu dengan menyebutnya kunyahnya.

Tiada percanggahan dalam kisah ini dan orang yang menghafal adalah hujah ke atas orang yang tidak menghafal dan yang menetapkan didahulukan daripada yang menafikan. Jelas bahawa Imam al-Bukhari mempunyai seorang anak lelaki dan menamakannya sebagai Ahmad sempena nama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, kerana Imam al-Bukhari namanya Muhammad dan anaknya pula bernama Ahmad.  Nama anaknya itu juga sama dengan nama saudara kandung Imam al-Bukhari.

Rujukan:

- الإمام البخاري أستاذ الأستاذين وإمام المحدثين وحجة المجتهدين وصاحب الجامع المسند الصحيح - عبد الستار الشيخ.

Ahad, 5 Januari 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (1) – Takrif, Pensyariatan dan Sejarah

Definisi al-Jarh Dari Segi Bahasa dan Istilah:

Al-Jarh (الجرح) dari segi bahasa bermaksud: الطَّعْن (Mencela/menuduh/meragukan).

Apabila dikatakan: Hakim telah menjarh saksi, iaitu apabila dia mendapati sesuatu yang menggugurkan sifat ‘adil-nya seperti dusta dan selainnya.

Apabila dikatakan: Menjarh seseorang, bermaksud menolak kesaksiannya.

Perkataan a-iIstijrah (الاستجراحُ) bermaksud kekurangan, kecacatan, dan kerosakan.

Dan dari segi kiasan (majaz), apabila dikatakan: Dia telah menjarhnya dengan lidahnya, iaitu: Mencacinya. Dan mereka telah menjarhkannya, iaitu: Jika mereka mencaci dan mencelanya.

Al-Jarh digunakan untuk menyatakan kecacatan dan kekurangan seseorang daripada kedudukan yang adil dan lurus.

Al-Jarh dalam istilah ahli hadis: Suatu sifat yang apabila ada pada perawi atau saksi, maka gugurlah pengiktirafan terhadap kata-katanya dan terbatallah kebolehpercayaan padanya.

Ia juga ditakrifkan sebagai: Celaan terhadap perawi dengan perkara yang mencacatkan ke’adilannya atau kedhabitannya.

Definisi al-Ta'dil Dari Segi Bahasa dan Istilah:

Al-Ta'dil dari segi bahasa: Menyucikan seseorang, memujinya dan menisbahkannya kepada ke’adilan dan keseimbangan dalam urusannya.

Dikatakan al-'Adl daripada kalangan manusia bermaksud: Orang yang diterima perkataannya dan hukumnya.

Menta'dilkan para saksi bermaksud: Mengatakan mereka adalah orang-orang yang ‘adil.

Al-Ta'dil menurut istilah ahli hadis: Sifat yang apabila ada pada perawi atau saksi, maka diterima dan diambil perkataan mereka berdua.

Ia juga didefinisikan sebagai: Menyucikan perawi bahawa dia ‘adil atau dhabit.

Definisi Ilmu al-Jarh wa al-Ta'dil:

Ia adalah ilmu yang berkaitan dengan menjelaskan kedudukan para perawi dari segi mendaifkan atau menthiqahkan mereka dengan istilah-istilah teknikal yang dikenali di kalangan ulama. Istilah-istilah ini mempunyai penggunaan yang tepat dan makna yang khusus, yang penting dalam menilai sanad hadis.

Para ulama telah membenarkan untuk menyebut kelemahan para perawi hadis ketika mengkritik mereka dan mereka tidak menganggapnya sebagai ghibah (mengumpat) yang diharamkan. Mereka berdalilkan hal itu dengan hadis-hadis dan athar-athar yang akan disebutkan nanti.

Faedah Ilmu Ini:

Dalam menjelaskan al-jarh (kritikan terhadap perawi) terdapat faedah yang besar iaitu agar tidak berhujah dengan khabar-khabar orang yang tidak ‘adil dan tujuannya bukan untuk mencela mereka dan menjatuhkan maruah mereka yang termasuk dalam bab ghibah.

Pensyariatan al-Jarh wa al-Ta'dil:

Al-Jarh wa al-Ta'dil dibenarkan untuk memelihara syariat, menafikan kesilapan dan pendustaan, serta mempertahankan syariat. Sebagaimana dibenarkan al-Jarh dalam bab penyaksian, dibenarkan juga dalam bab periwayatan. Ini telah dibuktikan oleh al-Quran, Sunnah, ijma', dan pendapat ulama.

1 - Al-Quran:

Adapun al-Quran, terdapat ayat-ayat yang memerintahkan penerimaan khabar orang yang ‘adil dan kesaksiannya, serta memberi amaran tentang khabar orang yang fasik:

Seperti firman Allah: "Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu" [At-Talaq: 2].

Dan firmanNya berkenaan al-Jarh: "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah" [Al-Hujurat: 6].

Dan firmanNya berkenaan al-Ta'dil: "Dan orang-orang yang terdahulu - yang pertama-tama (dari kalangan) Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan kebaikan, Allah redha kepada mereka dan mereka redha kepadaNya" [At-Taubah: 100].

2 - Sunnah:

Adapun Sunnah, antara yang terpenting berkenaan al-Jarh ialah sabda Baginda sallahu ‘alaihi wasallam tentang orang bodoh yang ditaati: "Dia adalah seburuk-buruk saudara dalam kaumnya dan seburuk-buruk anak dalam kaumnya."

Berkenaan al-Ta'dil, sabda Baginda sallahu ‘alaihi wasallam tentang Abdullah bin Umar: "Sesungguhnya Abdullah itu lelaki yang soleh."

3 - Ijmak:

Adapun ijmak, al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Ahli ilmu telah berijmak bahawa: Tidak diterima melainkan khabar orang yang ‘adil, sebagaimana tidak diterima melainkan kesaksian orang yang ‘adil. Apabila ini telah sabit, maka wajib apabila tidak diketahui ke’adilan pembawa khabar dan saksi, hendaklah ditanya tentang mereka, atau diminta penjelasan tentang keadaan mereka daripada orang yang mengenali mereka; kerana tidak ada jalan untuk mengetahui keadaan mereka melainkan dengan merujuk kepada kata-kata orang yang mengenali mereka dalam penilaian mereka, maka ini menunjukkan bahawa ia adalah sesuatu kemestian."

4 – Pendapat Ulama:

Adapun pendapat ulama dalam hal ini banyak, antaranya:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa ditanya tentang ilmu yang dia ketahui, kemudian dia menyembunyikannya, maka dia akan dikekang pada hari kiamat dengan kekangan dari api neraka."

Hadis ini umum merangkumi pengetahuan tentang keadaan para perawi. Oleh itu, Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya tentang hal tersebut berkata: "Jika kamu diam dan saya diam, maka bilakah orang jahil akan mengetahui yang sahih dari yang daif?!"

Imam Abdullah bin al-Mubarak berkata: "Jika kita tidak menjelaskan, maka bagaimana dapat dibezakan antara kebenaran dengan kebatilan?!"

Yahya bin Said berkata: "Saya bertanya kepada Syu'bah, Sufyan, Malik bin Anas dan Sufyan bin Uyainah tentang seseorang yang dituduh dalam (memalsukan) hadis atau tidak menghafalnya? Mereka berkata: Jelaskan keadaannya kepada orang ramai."

'Affan berkata: "Kami sedang duduk bersama Ismail bin Ulayyah. Lalu seorang lelaki meriwayatkan hadis (yang diambil) daripada seorang perawo. Maka aku berkata: Sesungguhnya orang ini tidak thabit (tidak kuat dalam periwayatan hadis). Lelaki itu berkata: Engkau telah mengumpatnya. Ismail berkata: Dia tidak mengumpatnya, tetapi dia menghukum bahawa orang itu tidak thabit.”

Abu Bakar bin Abu Khallad berkata: “Aku bertanya kepada Yahya bin Said Al-Qattan: Tidakkah engkau takut orang-orang yang engkau tinggalkan hadis mereka akan menjadi musuhmu di sisi Allah Ta'ala?! Beliau menjawab: Mereka menjadi musuhku adalah lebih aku sukai daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam menjadi musuhku. Baginda bersabda: Mengapa engkau meriwayatkan dariku hadis yang engkau tahu ia dusta?"

Dengan demikian, jelaslah kepada kita melalui apa yang telah lalu bahawa perbincangan dalam al-Jarh wa al-Ta'dil bukanlah ghibah dan bukan perkara yang haram, bahkan ia adalah wajib yang didorong oleh pemeliharaan terhadap sunnah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam daripada penyelewengan orang-orang yang melampau, pemalsuan orang-orang yang batil, dan pentakwilan orang-orang yang jahil.

Kemunculan Ilmu al-Jarh wa al-Ta'dil:

Ilmu ini adalah antara yang unik yang hanya dimiliki umat Islam berbanding umat-umat lain. Umat Islam telah menyerlah dengan pengasasan, pembentukan, pengkaedahan dan kepelbagaian dalam ilmu ini. Ia terhasil daripada usaha memelihara sunnah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam daripada penyelewengan dan pencemaran, serta perjuangan menentang pendusta dan penipu.

Ilmu ini muncul pada zaman para sahabat sebagai tunas yang halus, kemudian berkembang, bertambah, menguat dan mantap pada kurun pertama dan kedua, terus berkembang dan meluas, dan mula sempurna pada kurun ketiga dan keempat, sehinggalah mencapai kesempurnaan pada kurun kesembilan Hijrah. Banyak kitab telah dihasilkan dan penulisan yang pelbagai telah dikarang. Kemudian pada zaman kita, beberapa masalah, perincian dan tokoh telah dikaji secara khusus sehingga hampir mencapai tahap matang dan sempurna, walaupun sesebuah ilmu itu tidak mempunyai penghujung dan pengakhiran.

Dengan ilmu yang agung dan kaedah yang teliti lagi bijaksana ini, generasi terdahulu dan kemudian dapat mendedahkan kecacatan dalam setiap ilmu yang dinukilkan: sama ada hadis Nabi, percakapan biasa, syair, prosa sastera, sejarah peribadi atau politik. Maka ilmu ini ibarat menjadi mikroskop yang benar dan cermin yang jernih, yang memisahkan untuk orang yang melihat dengannya antara yang sahih dengan yang cacat, membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang benar dengan yang dusta, dan menimbang kebaikan dan keburukan dengan neraca yang lurus.

Permulaan Perbincangan tentang Para Perawi dalam al-Jarh wa al-Ta'dil:

Telah disebutkan sebelum ini dalam pensyariatan al-Jarh wa al-Ta'dil bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan al-Jarh wa al-Ta'dil, sebagaimana sekumpulan sahabat, tabiin dan generasi selepas mereka juga bercakap tentang para perawi. Tetapi pada zaman tabiin - iaitu jika dibandingkan dengan generasi selepas mereka - hanya sedikit, kerana sedikitnya kelemahan pada generasi tabiin dan kerana kebanyakan mereka adalah sahabat yang adil dan selain sahabat daripada kalangan tabiin kebanyakannya adalah thiqah (dipercayai).

Hampir tidak ditemui pada kurun pertama yang meliputi para sahabat dan tabiin senior adanya perawi yang lemah kecuali hanya sedikit. Apabila berlalu kurun pertama dan masuk kurun kedua, terdapat pada awalnya dari kalangan tabiin pertengahan sekumpulan perawi yang lemah, yang kebanyakannya dilemahkan dari sudut penerimaan dan hafalan hadis mereka. Maka kita dapati mereka melakukan marfu' kepada hadis mawquf (ucapan sahabat dijadikan ucapan Nabi), banyak melakukan irsal (menggugurkan perawi dalam sanad), dan mereka mempunyai kesilapan dalam periwayatan hadis.

Ibnu 'Adi telah menyenaraikan dalam mukadimah kitabnya, al-Kamil sekumpulan tokoh yang berbincang tentang tauthiq (pengiktirafan perawi) dan tad'if (pelemahan perawi) sehingga zamannya.

Antara para sahabat yang disebutkannya:

1 - Umar bin al-Khattab (meninggal tahun 23H).

2 - Ali bin Abi Talib (meninggal tahun 40H).

3 - Abdullah bin Abbas (meninggal tahun 68H).

4 - Abdullah bin Salam (meninggal tahun 43H).

5 - Ubadah bin al-Samit (meninggal tahun 34H).

6 - Anas bin Malik (meninggal tahun 90H).

7 - Aisyah (meninggal tahun 57H).

Dan dari kalangan Tabi'in:

1 - Amir bin Syarahil al-Sya'bi (meninggal tahun 103H).

2 - Muhammad bin Sirin (meninggal tahun 110H).

3 - Said bin al-Musayyab (meninggal tahun 94H).

4- Said bin Jubair (meninggal tahun 95H).

Ketika di penghujung zaman tabiin - iaitu sekitar tahun 150 - beberapa imam telah berbincang tentang tauthiq dan tad’if terhadap perawi perawi:

1 - Imam Abu Hanifah al-Nu'man (meninggal tahun 150H), yang berkata: "Saya tidak pernah melihat pembohong yang lebih besar dari Jabir al-Ju'fi".

Sulaiman bin Mihran al-A'mash (meninggal tahun 148H) telah mendaifkan sekumpulan perawi dan menthiqahkan yang lain.

Syu'bah bin al-Hajjaj (meninggal tahun 160H) telah menilai perawi-perawi dan beliau sangat ketat sehingga hampir tidak meriwayatkan hadis kecuali dari perawi yang dipercayai. Begitu juga Imam Malik bin Anas (meninggal tahun 179H).

Antara mereka yang diterima penilaiannya terhadap perawi pada zaman ini ialah:

1 - Ma'mar bin Rasyid al-Azdi (meninggal tahun 153H).

2 - Hisyam bin Abi Abdullah al-Dastuwa'i (meninggal tahun 154H).

3 - Abdurrahman bin Amru al-Auza'i (meninggal tahun 157H).

4 - Sufyan bin Said al-Thauri (meninggal tahun 161H).

5 - Abdul Aziz bin Abdullah Ibnul Majisyun (meninggal tahun 164H).

6 - Hammad bin Salamah bin Dinar (meninggal tahun 167H).

7 - Al-Laith bin Sa'ad (meninggal tahun 175H), dan lain-lain.

Kemudian, beliau menyenaraikan beberapa lapisan generasi yang berbicara mengenai perawi sehingga sampai kepada dua orang pakar hadis yang berwibawa: Yahya bin Sa'id al-Qattan (meninggal tahun 198 H) dan Abdur Rahman bin Mahdi (meninggal tahun 198 H). Ibnu ‘Adi berkata: "Sesiapa yang mereka jarh, maka tidak diterima dan sesiapa yang mereka thiqahkan, maka dia diterima. Jika mereka berbeza pendapat mengenai seseorang - meskipun jarang - maka ijtihad dilakukan dalam menilai keadaannya."

Kemudian disebutkan selepas mereka ramai lagi ulama. Selepas itu, kitab-kitab mula disusun dan ditulis mengenai al-Jarh wa al-Ta'dil serta 'ilal (kecacatan hadis).

Setelah itu Ibnu ‘Adi menyebutkan lagi beberapa orang tokoh dalam al-Jarh wa al-Ta'dil, antaranya:

1 - Imam Yahya bin Ma'in (meninggal tahun 233 H).

2 - Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal tahun 241 H).

3 - Imam Muhammad bin Sa'd (meninggal tahun 230 H).

4 - Imam Ali bin al-Madini (meninggal ada tahun 234 H) dan ramai lagi. 

Sumber: 

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Sabtu, 4 Januari 2025

Hadis Palsu: 10 Golongan Di Padang Mahsyar

 


Teks Hadis:

Menanya oleh Mu’az bin Jabal akan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam daripada firmanNya:

يَوْمَ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَتَأْتُونَ أَفْوَاجًا

Ertinya pada hari yang ditiupkan pada sangkala maka datang oleh kamu beberapa puak.

Maka berkata Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: Hai Muaz, bertanya engkau akan perkara yang besar. Maka mengalirlah air matanya dan sabdanya: Dihimpunkan di padang mahsyar sepuluh bagi daripada umatku:

1 – Di atas rupa kera.

2 – Di atas rupa babi.

3 - Disujungkan mereka itu kaki-kaki di atas muka-muka ditarikkan mereka itu.

4 - Dengan hal buta.

5 - Dengan hal tuli dan bisu.

6 - Dengan hal mamah lidah-lidah terjelih-jelirlah di atas dada serta mengalir nanah daripada mulut-mulut.

7 - Dengan hal kudung kaki tangan.

8 - Disula dan diangkut di atas kelumpak-kelumpak api.

9 - Dengan hal bersangatan busuk daripada bangkai.

10 - Dengan memakai jubah-jubah daripada minyak tanah.

Adapun yang pertama ialah segala orang-orang yang mengacum-ngacum dan pelaga orang-orang.

Dan adapun yang kedua, maka ialah orang-orang yang memakan suap pada mehukum bagian-bagian.

Adapun yang ketiga, maka ialah orang-orang yang makan riba.

Adapun yang keempat, maka ialah segala orang-orang yang zalim pada mehukum.

Adapun yang kelima, maka ialah orang-orang  yang berasa hairan dan perasang banyak dengan amal-amal kebajikan mereka itu.

Adapun yang keenam, maka ialah segala ulama yang menyalahi mulut kata dengan buat.

Adapun yang ketujuh, maka ialah yang menyakiti jiran sama sekampung.

Adapun yang kelapan, maka ialah orang-orang yang berahi mengadu-ngadu orang kepada raja-raja.

Adapun yang kesembilan, maka ialah orang-orang yang menurut keinginan nafsu dan menegahkan hak Allah Ta’ala pada arta-arta mereka itu.

Adapun yang kesepuluh, maka ialah segala yang sumbawang-sumbawang dan biasa-biasa.

Ulasan:

Hadis ini saya temui dalam kitab Ta’lim al-Aulad Fi Zikr Ba’d Ahwal al-‘Ibad (ms. 7-8) karangan Ayah Dir Sekam.

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Tha’labi dalam Tafsirnya dan Ibnu Mardawaih (sebagaimana dalam Takhrij al-Kasyaf karangan al-Hafiz al-Zaila'i) melalui jalur sanad:

Muhammad bin Zuhair daripada Muhammad bin al-Muhtadi/al-Muhannad daripada Hanzalah al-Sadusi daripada ayahnya daripada al-Bara’ bin ‘Azib:

كان معاذ بن جبل جالسًا قريبًا من رسول الله ﷺ في منزل أبي أيوب الأنصاري، فقال معاذ: يا رسول الله أرأيت قول الله تعالى ﴿يَوْمَ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ فَتَأْتُونَ أَفْوَاجًا (١٨)﴾. قال: يا معاذ سألت عن عظيم من الأمر. ثم أرسل عينيه، ثم قال: «تحشرون عشرة أصناف من أمتي أشتاتًا قد ميزهم الله تعالى من جماعة المسلمين، وبدل صورهم، فبعضهم على صورة القردة، وبعضهم على صورة الخنازير، وبعضهم مُنكسين أرجلهم فوق وجوههم يسحبون عليها، وبعضهم عُمي يترددون وبعضهم صُم بُكم لا يعقلون، وبعضهم يمضغون ألسنتهم، فهي مدلاة على صدورهم يسيل القيح من أفواههم لُعابًا يقذرهم أهل الجمع، وبعضهم مقطعة أيديهم وأرجلهم، وبعضهم مُصلبين على جذوع من نار، وبعضهم أشد نتنا من الجِيف، وبعضهم يلبسون جِبابا سابغة من قطران لازقة بجلودهم، فأما الذين على صورة القردة فالقتات من الناس، يعني: النمّام، وأما الذين على صورة الخنازير؛ فأهل  السُّحْت، وأما المنكسون على وجوههم، فأكلة الربا، والعمي: من يجور في الحكم، والصم والبكم: المعجبون بأعمالهم، وأما الذين يمضغون ألسنتهم؛ فالعلماء، والقُصَّاص الذين خالف قولهم أعمالهم، وأما المقطعة أيديهم وأرجلهم الذين يؤذون الجيران، وأما المصلبون على جذوع من نار؛ وأما السعاة بالناس إلى السلطان، وأما الذين هم أشد نتنًا من الجيف؛ فالذين يتمتعون بالشهوات واللذات ومنعوا حق الله من أموالهم، والذين يلبسون الجباب، فأهل الكبر، والفخر، والخيلاء.

Hadis ini dihukumkan sebagai palsu oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Lisan al-Mizan. Beliau menyebutkan pada biografi Muhammad bin Zuhair bin ‘Athiyyah al-Sulami:

وأظنه الذي روى الحديث الطويل الظاهر الوضع في البعث المذكور عند الثعلبي في تفسير ﴿عم يتساءلون﴾، رواه، عَن مُحَمد بن المهند عن حنظلة السدوسي، عَن أبيه، عَن البراء

“Dan aku kira dialah yang meriwayatkan hadith panjang yang jelas palsu tentang kebangkitan yang disebutkan oleh al-Tha'labi dalam tafsir surah "Amma Yatasa'alun", yang diriwayatkan daripada Muhammad bin al-Muhannad daripada Hanzalah al-Sadusi, daripada bapanya, daripada al-Bara'.”

Khamis, 2 Januari 2025

Doa Nabi Ketika Sedih dan Susah

 


Doa Pertama

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membaca ketika kesusahan:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

"Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan melainkan Allah,  Tuhan Arasy yang Agung. Tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan langit dan Tuhan bumi dan Tuhan Arasy yang Mulia."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa Kedua

Diriwayatkan daripada Abu Bakrah, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Doa orang yang dalam kesusahan:

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو، وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، لَا إِلَهَ أَلَا أَنْتَ

Ya Allah, rahmat-Mu yang aku harapkan, maka janganlah Engkau biarkan diriku bersendirian walau sekelip mata, dan perbaikilah segala urusanku, tiada Tuhan melainkan Engkau."

(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan)

Doa Ketiga

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata:

"Apabila Nabi sallahu ‘alaihi wasallam ditimpa kesusahan, baginda akan berdoa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ

Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri, dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan.”

(Riwayat al-Tirmizi dengan sanad yang daif)

Doa Keempat

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarku kalimah-kalimah ini dan memerintahkanku apabila ditimpa kesusahan atau kesulitan supaya mengucapkannya:

لَا إِلَهَ إِلا اللهُ الْكَرِيمُ الْحَلِيمُ، سُبْحَانَهُ، وَتَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Lemah Lembut. Maha Suci dan Maha Berkat Allah, Tuhan Arasy yang Agung dan segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam."

(Hadis Sahih riwayat Imam Ahmad)

Doa Kelima

Diriwayatkan daripada Asma' binti 'Umais, beliau berkata:

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepadaku beberapa kalimah yang aku perlu ucapkan ketika ditimpa kesusahan:

اللهُ رَبِّي لَا أُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا

“Allah Tuhanku, aku tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.”

(Hadis sahih riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Doa Keenam

Diriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqqas, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Doa Dzun Nun (Nabi Yunus) ketika beliau berdoa di dalam perut ikan paus:

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.

Sesungguhnya tidaklah seorang Muslim berdoa dengannya dalam apa jua perkara sekalipun melainkan Allah akan memakbulkan doanya."

(Hadis hasan riwayat al-Tirmizi)

Doa Ketujuh

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata:

“Aku sering mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengucapkan:

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesedihan dan dukacita, kelemahan dan kemalasan, sifat bakhil dan penakut, bebanan hutang dan penindasan orang."

(Riwayat al-Bukhari)

Doa Kelapan

Daripada Abdullah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

"Tidaklah seseorang ditimpa kesedihan dan dukacita, lalu dia mengucapkan:

اللهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي، وَنُورَ صَدْرِي، وَجِلَاءَ حُزْنِي، وَذَهَابَ هَمِّي

Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak hamba-Mu, anak hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di dalam kekuasaan-Mu, hukum-Mu terlaksana ke atasku, keputusan-Mu adil terhadapku. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang menjadi milik-Mu, yang Engkau namakan untuk diri-Mu, atau yang Engkau ajarkan kepada seseorang dari makhluk-Mu, atau yang Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang Engkau simpan dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, agar Engkau jadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kesedihanku, dan pelenyap kerisauanku…

…melainkan Allah akan menghilangkan kesedihan dan dukacitanya, dan menggantikannya dengan kegembiraan.

Lalu baginda ditanya: "Wahai Rasulullah, bolehkah kami mempelajarinya?"

Baginda menjawab: "Ya, sepatutnya bagi sesiapa yang mendengarnya untuk mempelajarinya."

(Riwayat Ahmad dengan sanad yang daif)