Rabu, 27 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 24: Marfu’ (المَرْفُوعُ)

Dari segi bahasa:

Isim maf'ul bagi perkataan "رَفَع" (mengangkat), lawan kepada: meletakkan.

Seolah-olah ia dinamakan demikian kerana penisbahannya kepada pemilik kedudukan yang tinggi, iaitu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Dari segi istilah:

 Ia adalah apa yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada berupa perkataan, perbuatan, perakuan atau sifat.

Marfu' boleh jadi bersambung sanadnya dan boleh jadi terputus atau Mursal.

Al-Khatib al-Baghdadi berpendapat bahawa Marfu' ialah apa yang disandarkan oleh Sahabat kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada sanad bersambung kepada Sahabat atau terputus.

Dengan demikian, Mursal dikecualikan dan al-Khatib tidak menganggapnya sebagai sebagai Marfu' (kerana Mursal ialah apa yang disandarkan oleh Tabi’in kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam).

Definisi pertama adalah pendapat jumhur ulama dan ia adalah yang sahih.

Jenis-Jenisnya:

Telah jelas daripada definisi Marfu' bahawa jenisnya ada empat, iaitu:

1 - Marfu' Qauli (Perkataan)

Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda begini..."

2 - Marfu' Fi'li (Perbuatan)

Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam melakukan begini..."

3 - Marfu' Taqriri (Perakuan)

Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata: "Sesuatu telah dilakukan di hadapan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam begini..." dan tidak meriwayatkan penolakan baginda terhadap perbuatan tersebut.

4 - Marfu' Wasfi (Sifat)

Iaitu apabila seorang Sahabat atau selainnya berkata: " Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah manusia yang paling baik akhlaknya."

Hukumnya:

Marfu' boleh jadi sahih apabila memenuhi lima syarat kesahihan, boleh jadi hasan dan boleh jadi da’if apabila hilang satu syarat atau lebih daripada syarat-syarat sahih. Pada ketika itu, penyandarannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam (semata-mata) tidak memberi faedah (kerana tidak memenuhi syarat sahih dan hasan).

Marfu' Hukman (Dianggap Marfu' dari Segi Hukum)

Ia adalah apa yang dikatakan oleh sahabat yang tidak mengambil daripada Israiliyyat dan daripada perkara yang tiada ruang untuk ijtihad di dalamnya, seperti penetapan masa ibadat dan penentuan pahala dan seksa.

Ia merupakan hujah menurut jumhur ahli hadis, begitu juga menurut mazhab Syafi'i, Hanafi, dan sekalian pengikut mazhab-mazhab yang masyhur.

Mereka telah menerima perkataan Abu Hurairah radiallahu ‘anhu: "Sesiapa yang berpuasa pada hari Syak, maka dia telah menderhaka kepada Abu al-Qasim." Diriwayatkan oleh pengarang al-Sunan al-Arba'ah.

Begitu juga perkataan beliau: "Sesiapa yang keluar dari masjid selepas azan, maka dia telah menderhaka kepada Abu al-Qasim."

Begitu juga perkataan Aisyah radiallahu ‘anha: "Kami diperintahkan untuk mengqada puasa".

Begitu juga perkataan Ibn Mas'ud radiallahu ‘anhu: "Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau tukang sihir, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam."

Kesemua ini adalah dalam hukum Marfu' menurut umumnya ulama.

Namun, al-Bulqini berpendapat bahawa yang lebih tepat ia bukanlah Marfu' kerana kemungkinan (penetapan) dosa itu bersandarkan kepada prinsip-prinsip (syarak) yang sedia jelas.

Yang sahih adalah apa yang dikatakan oleh jumhur.

Termasuk dalam kategori Marfu' juga: Apa yang disebut ketika meriwayatkan daripada seorang Sahabat dengan lafaz:

1 - "يَرْفَع الحديثَ" (dia merafa’kan hadis).

2 - "يَبْلُغ به" (dia menyampaikannya),

3 - "يَنْميه" (dia menisbahkannya).

Termasuk juga apabila sahabat berkata:

1 - "Kami diperintahkan begini."

2 - "Kami dilarang daripada begini."

3 - "Daripada sunnah adalah begini."

Kesemua ini adalah dalam hukum Marfu'.

Sumber:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Abdul Majid al-Ghauri.

Istilah Ilmu Hadis 23: Ilmu ‘Ilal al-Hadith (عِلْمُ عِلَلِ الحَدِيثِ)

Definisi Ilmu ‘Ilal:

Ia adalah ilmu tentang kaedah-kaedah untuk menemukan sebab-sebab tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis serta hukum-hukumnya.

Sejarah Ilmu ‘Ilal:

Ilmu ‘ilal adalah ilmu hadis yang pertama kali muncul dalam Islam, bahkan ia adalah benih yang daripadanya tumbuh pohon rimbun ilmu-ilmu hadis dalam Islam.

Hal ini kerana penilaian terhadap riwayat telah bermula sejak zaman para sahabat yang terawal radiallahu ‘anhum. Zaman mereka adalah zaman ke’adilan, dan ketika itu belum ada rangkaian sanad, maka tidak ada keperluan untuk membuat penilaian bagi mengesahkan kebenaran riwayat daripada seorang perawi yang ‘adil lagi dhabit, yang dalam hal ini ialah para sahabat.

Para sahabat telah memberikan perhatian terhadap hal ini dan mereka menapis riwayat-riwayat dengan membandingkannya dengan al-Quran dan Sunnah yang mereka ketahui. Para mujtahid dalam kalangan mereka telah menghukum bahawa terdapat kesilapan (wahm) pada sebahagian hadis, hasil daripada kajian mereka melalui kaedah penilaian ini.

Mereka juga telah mengingatkan tentang apa yang berlaku pada sebahagian daripada mereka berupa kesilapan (wahm) yang jarang berlaku disebabkan oleh sesuatu sebab, seperti kehadiran seorang perawi di majlis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan terlewat.

Namun, hal ini sangat sedikit dan jarang berlaku; kerana keadaan mereka radiallahu ‘anhum yang sangat teliti dan berhati-hati dalam meriwayatkan hadis serta menyedikitkan riwayat. Sehinggakan perawi yang paling banyak meriwayatkan hadis dalam kalangan mereka, iaitu Abu Hurairah radiallahu ‘anhum hadis-hadisnya tidak melebihi 5400 hadis, sama ada yang sahih, yang daif, dan termasuk yang berulang.

Kemudian datanglah generasi tabi'in, lalu mereka mengikuti jalan para sahabat dalam melakukan penelitian dan penilaian hadis. Pada zaman mereka, fitnah semakin banyak dan aliran-aliran (firqah) menjadi pelbagai, maka keperluan terhadap penilaian hadis semakin bertambah. Antara tokoh ulama mereka dalam bidang ini ialah Imam Muhammad bin Sirin (meninggal dunia tahun 101 Hijrah). Kemudian selepasnya, ulama pakar hadis (huffaz) yang paling alim pada zamannya iaitu Muhammad bin Muslim bin Shihab al-Zuhri (meninggal dunia tahun 123 Hijrah). Beliau sering mengimlakkan kepada murid-muridnya perkara-perkara berkaitan penilaian hadis dan i'lalnya (penentuan illah/kecacatannya), perbahasan mengenai para perawi, serta prinsip-prinsip asasnya dalam bidang tersebut.

Demikianlah usaha-usaha ini berterusan dan berkembang, dan kajian-kajian dalam bidang i'lal hadis semakin bercabang. Sehinggalah tiba kurun ketiga, iaitu zaman pembukuan (tadwin), maka pembukuan dalam ilmu ilal hadis merupakan antara perkara terawal yang diberikan perhatian oleh para imam, sebagaimana yang dapat diketahui daripada senarai karya yang telah disebutkan mengenainya.

Pengkaryaan dalam ‘Ilal Hadis:

Oleh kerana ilmu ‘Ilal membahaskan tentang kecacatan-kecacatan tersembunyi pada hadis-hadis yang zahirnya sahih, maka ilmu ini telah menyibukkan para ulama dengan kesibukan yang besar, kerana betapa seriusnya topik perbahasannya, iaitu sikap berhati-hati terhadap hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan memeliharanya, agar ia dapat dipersembahkan kepada umat dalam keadaan bersih daripada sebarang cela. Dari sinilah datangnya kelebihan mengkaji dan menulis tentangnya yang menjadi urusan para jaguh ahli hadis yang bertaraf pakar (huffaz), dan pengkhususan para imam daripada kalangan pengkritik (nuqqad). Karya-karya penulisan menjadi banyak dan pelbagai, sehinggakan sukar untuk menyenaraikannya dalam ruangan ini.

Perkara terawal yang bermula dalam penulisan ilmu ‘ilal hadis adalah berbentuk himpunan soalan-soalan, jawapan-jawapan, dan faedah-faedah yang bertebaran berkaitan dengan para perawi dan ‘ilal hadis. Ia beralih dari satu topik ke topik yang lain, daripada apa yang telah diambil faedah daripada tokoh-tokoh ulama hadis terkemuka yang terdahulu. Barangkali, sebahagian besarnya adalah dalam bidang mengenali perawi (ma'rifat al-rijal). Allah Ta'ala telah mempermudahkan penerbitan sebahagian daripadanya, iaitu:

1 - Al-Tarikh wa al-`Ilal: oleh Imam Yahya bin Ma'in (meninggal dunia tahun 233 Hijrah), riwayat Abu al-Fadhl al-'Abbas bin Muhammad al-Duri.

2 - Al-‘Ilal: oleh Imam 'Ali bin 'Abdullah al-Madini (meninggal dunia tahun 234 Hijrah).

Ibn al-Madini mempunyai banyak kitab yang besar dalam bidang ‘ilal, dan juzuk ini telah dicetak daripadanya melalui riwayat muridnya yang thiqah (dipercayai): Muhammad bin Ahmad yang dikenali sebagai Ibn al-Bara'.

Kitab ini mempunyai keistimewaan dengan mengandungi sebahagian prinsip asas dalam ilmu ‘ilal, tingkatan-tingkatan perawi di pelbagai negeri, dan (senarai) perawi yang menjadi paksi sanad dari zaman sahabat hinggalah ke zaman Ibn al-Madini.

3 - Al-`Ilal: oleh Imam Ahmad bin Hanbal al-Shaibani (meninggal dunia tahun 241 Hijrah): Sebilangan murid Imam Ahmad telah meriwayatkan karya-karya yang mereka himpunkan daripada ucapan beliau, dan dua buah kitab daripadanya telah dicetak:

(i) Al-`Ilal wa Ma'rifat al-Rijal: riwayat anak lelakinya, 'Abdullah, daripada beliau.

(ii) Al-Jami' fi al-`Ilal wa Ma'rifat al-Rijal: riwayat kedua-dua anak lelakinya, 'Abdullah dan Salih, serta dua orang muridnya, al-Marwazi dan al-Maimuni, kesemuanya daripada beliau.

4 - Al-`Ilal al-Kabir: oleh Imam Muhammad bin 'Isa bin Sawrah al-Tirmidhi (meninggal dunia tahun 279 Hijrah), dan ia tidak tersusun, kemudian ia disusun oleh Abu al-Walid al-Qadi.

5 - At-Tamyiz: oleh Imam Muslim bin al-Hajjaj al-Qushayri (meninggal dunia tahun 261 Hijrah).

Beliau mengarangnya, sebagaimana yang dijelaskan dalam mukadimahnya, atas dua sebab: Untuk menjelaskan bahawa kritikan terhadap para perawi bukanlah satu bentuk umpatan (ghibah), dan untuk menyanggah dakwaan orang yang menganggap bahawa usaha para ahli hadis dalam membezakan riwayat yang salah daripada yang betul adalah satu dakwaan mengetahui ilmu ghaib yang tidak mungkin dicapai.

Kitab ini amat penting dari sudut tajuknya dan keimaman pengarangnya. Namun, hanya secebis kecil daripadanya yang ditemukan, iaitu sebanyak enam belas helaian yang disimpan di Perpustakaan Zahiriyyah, Damsyik (telah ditahqiq dan diberi ulasan oleh Dr. Muhammad Mustafa al-A'zami). Al-Hafiz Ibn Rajab telah terlebih dahulu memetik sebahagian besar kandungannya dalam syarah beliau terhadap ‘Ilal al-Tirmizi.

6 - Al-`Ilal oleh Ibn Abi Hatim al-Razi: Imam 'Abd al-Rahman bin Imam Muhammad bin Idris al-Razi (meninggal dunia tahun 327 Hijrah).

Kitab ini mempunyai keistimewaan kerana mudah untuk diambil faedah, disusun mengikut bab-bab, dan telah dicetak dalam dua jilid.

7 - Al-Ilal al-Waridah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah: oleh Imam Abu al-Hasan 'Ali bin 'Umar al-Daraqutni (meninggal dunia tahun 385 Hijrah).

Kitab ini disusun mengikut format musnad dan diambil daripada jawapan-jawapan al-Daraqutni daripada hafalannya terhadap soalan-soalan yang diajukan kepadanya oleh gurunya, Abu Mansur ibn al-Karkhi. Kemudian, kitab ini dibentangkan semula kepada al-Daraqutni sendiri.

Kitab ini sarat dengan faedah-faedah dalam ilmu ‘ilal, dan amat kaya dengan penelusuran sanad-sanad serta riwayat-riwayat. Ia merupakan kitab paling komprehensif dalam bidang ‘ilal yang sampai kepada kita.

8 - Al-`Ilal al-Mutanahiyah fi al-Ahadith al-Wahiyah: oleh al-Hafiz 'Abd al-Rahman bin 'Ali bin Muhammad Ibn al-Jawzi (meninggal dunia tahun 597 Hijrah).

Ia disusun mengikut bab-bab dan telah dicetak dalam dua jilid.

Sumber:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi  oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri 

Baca juga: 

Istilah ilmu hadis 40: al-‘Illah (kecacatan) (العِلَّةُ)

Istilah Ilmu Hadis 22: Ilmu Takhrij Hadis (عِلْمُ تَخْرِيجِ الحَدِيثِ)

Takrif Ilmu Takhrij Hadis

Satu ilmu yang membahaskan tentang prinsip-prinsip dan metodologi-metodologi, yang pengetahuannya memudahkan atau menjamin untuk sampai ke lokasi-lokasi hadis, mutaaba‘at dan syawahidnya, di dalam sumber-sumber aslinya, atau separa asli, atau bukan asli, serta sampai kepada darjat hadis dari sudut penerimaan dan penolakan.

Huraian Takrif:

1 - Prinsip dan Metodologi: Maksudnya ialah kaedah-kaedah takhrij hadis, kitab-kitab bagi setiap kaedah, metodologi kitab-kitab hadis, lafaz-lafaz ungkapan untuk takhrijnya, dan prinsip-prinsip kajian sanad-sanad serta matan-matan hadis.

2 - Mutaaba‘atnya: Ia adalah jalan-jalan dan sanad-sanad lain bagi hadis seorang sahabat yang sama, maka setiap jalan daripadanya adalah mutaabi‘ (sokongan) kepada yang lain.

Contohnya seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Syafi'i daripada gurunya, Malik, daripada Abdullah bin Dinar, daripada Ibn 'Umar, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Satu bulan itu dua puluh sembilan hari, maka janganlah kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan, dan janganlah kamu berbuka (berhari raya) sehingga kamu melihatnya. Namun, jika ia terlindung daripada pandangan kamu (awan), maka sempurnakanlah bilangan (bulan itu) tiga puluh hari.”

Al-Bukhari meriwayatkannya daripada Abdullah bin Maslamah al-Qa'nabi, daripada Malik, dengan lafaz yang sama dengannya.

Maka, al-Qa'nabi adalah mutaabi‘ tamm (penyokong penuh) kepada Imam al-Syafi'i dalam periwayatannya hadis tersebut daripada guru langsungnya, iaitu Imam Malik.

Muslim meriwayatkannya daripada jalan 'Ubaidullah dan selainnya, daripada Nafi', daripada Ibn 'Umar.

Ibn Khuzaymah meriwayatkannya daripada jalan 'Asim bin Muhammad al-'Umari, daripada Muhammad bin Zayd, daripada datuknya, Abdullah bin 'Umar.

Maka, 'Ubaidullah, 'Asim dan selain mereka adalah mutaabi‘un qasirun (penyokong tidak langsung/jauh) kepada Malik dalam periwayatan mereka hadis tersebut daripada Ibn 'Umar, kerana mereka berkongsi dengan Malik pada guru yang lebih jauh, iaitu Ibn 'Umar.

3 - Syawahidnya: Syahid ialah apabila dua orang sahabat atau lebih meriwayatkan satu hadis yang sama, sama ada secara lafaz atau makna, maka setiap sahabat daripada mereka adalah syahid (penguat) kepada yang lain.

Contohnya seperti hadis yang disebutkan sebelum ini, yang diriwayatkan oleh Ibn 'Abbas di sisi al-Nasa'i, dan Abu Hurairah di sisi al-Bukhari, maka kedua-dua mereka adalah syahid (penguat) bagi Ibn 'Umar.

4 - Sumber-sumber Hadis Asli: Ia adalah kitab-kitab yang di dalamnya para pengarangnya meriwayatkan hadis-hadis dengan sanad-sanad mereka, dalam apa jua bidang berikut kitab-kitab itu:

(i) Hadis: Contohnya al-Kutub al-Sittah (Kitab-kitab Enam), Muwatta’ Malik, Musnad Ahmad, dan lain-lain.

(ii) Akidah: Contohnya al-Iman oleh Abu Bakar Ibn Abi Syaibah, al-Iman oleh Ibn Mandah, dan lain-lain.

(iii) Tafsir: Contohnya Tafsir Ibn Jarir al-Tabari, Tafsir Ibn Abi Hatim, dan lain-lain.

(iv) Fiqh: Contohnya al-Umm oleh al-Syafi'i, dan al-Muhalla oleh Ibn Hazm.

(v) Usul Fiqh: Contohnya al-Risalah oleh al-Syafi'i, dan al-Ihkam fi Usul al-Ahkam oleh Ibn Hazm.

(vi) Sejarah: Contohnya Tarikh Ibn Jarir al-Tabari, Tarikh Baghdad oleh al-Khatib, dan lain-lain.

5 - Sumber-sumber Hadis Separa Asli: Ia adalah kitab-kitab yang di dalamnya para pengarangnya menyebutkan hadis-hadis secara nukilan daripada sumber-sumber asli dengan sanad-sanadnya.

Contohnya Tafsir Ibn Kathir, Tuhfat al-Asyraf oleh al-Mizzi, Nasb al-Rayah oleh al-Zayla'i, dan kebanyakan karya al-Suyuti seperti al-La'ali al-Masnu'ah fi al-Ahadith al-Mawdu'ah dan lain-lain.

Tidak harus menyandarkan hadis kepada sumber-sumber separa asli hadis dalam istilah ilmu Takhrij, melainkan jika sumber yang dinukil daripadanya di dalam kitab-kitab ini dan seumpamanya telah hilang, atau berbentuk manuskrip yang tidak mudah dirujuk, atau telah dicetak tetapi tidak tersedia.

Maka dalam keadaan ini, harus menyandarkan hadis kepadanya kerana kepercayaan kepada para pengarangnya, dengan merujuk kepada apa yang mereka katakan di dalamnya; jika ada.

Adapun jika mudah untuk mendapatkannya (sumber asli), maka wajib merujuknya, mengambil hadis terus daripadanya, kemudian menyandarkannya kepadanya.

6 - Sumber-sumber Hadis Bukan Asli: Ia adalah kitab-kitab yang di dalamnya para pengarangnya menyebutkan hadis-hadis secara nukilan daripada sumber-sumber asli tanpa sanad-sanadnya.

Contohnya Riyadh al-Salihin oleh al-Nawawi, Bulugh al-Maram min Adillat al-Ahkam oleh Ibn Hajar, al-Jami' al-Saghir oleh al-Suyuti, al-Durr al-Manthur olehnya, dan lain-lain.

Tidak harus menyandarkan hadis kepadanya, melainkan jika sumber yang dirujuk di dalam kitab-kitab ini dan seumpamanya telah hilang, atau berbentuk manuskrip yang tidak mudah dirujuk, atau telah dicetak tetapi tidak tersedia.

Maka dalam keadaan ini, harus menyandarkan hadis kepadanya kerana kepercayaan kepada para pengarangnya, dengan merujuk kepada apa yang mereka katakan di dalamnya, jika ada.

Adapun jika mudah untuk mendapatkannya, maka wajib merujuknya, mengambil hadis terus daripadanya, kemudian menyandarkannya kepadanya.

Lafaz-lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Tiga Jenis Sumber Ini:

(i) Lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Sumber-sumber Asli:

“Dikeluarkan atau diriwayatkan oleh al-Bukhari (sebagai contoh) dalam Sahihnya.”

(ii) Lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Sumber-sumber Separa Asli:

“Dikeluarkan atau diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih dalam Tafsirnya, sebagaimana (disebutkan) dalam Tafsir Ibn Kathir (sebagai contoh).” Atau berkata: “Disebutkan atau dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya, dan beliau menyandarkannya kepada Ibn Mardawaih.”

Disebutkan selepasnya nombor jilid dan halaman sumber langsung (iaitu Tafsir Ibn Kathir dalam contoh yang disebutkan).

(iii) Lafaz Ungkapan bagi Takhrij Hadis daripada Sumber-sumber Bukan Asli:

“Dikeluarkan atau diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitab Zuhdnya – contohnya – sebagaimana dalam al-Jami' al-Saghir oleh al-Suyuti.” Atau berkata: “Disebutkan atau dikemukakan oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir, dan beliau menyandarkannya kepada kitab Zuhd Ahmad.”

Disebutkan selepasnya nombor jilid dan halaman sumber langsung (iaitu al-Jami' al-Saghir dalam contoh yang disebutkan).

Dan tidak harus menggunakan dua perkataan: “akharajahu (dikeluarkan)”, dan “rawahu (diriwayatkan)” untuk menyatakan takhrij hadis daripada sumber-sumber separa asli dan bukan asli.

Maka tidak boleh dikatakan: “Dikeluarkan atau diriwayatkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya” atau “dikeluarkan atau diriwayatkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir,” sebaliknya dikatakan: “Disebutkan atau dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya” atau “disebutkan atau dikemukakan oleh al-Suyuti dalam al-Jami' al-Saghir”, kerana dua perkataan (akharajahu, dan rawahu) adalah khusus bagi sesiapa yang meriwayatkan hadis-hadis dengan sanadnya, manakala sumber-sumber separa asli dan bukan asli menukil hadis-hadis daripada sumber-sumber asli, dan tidak meriwayatkannya dengan sanad-sanad yang tersendiri bagi pengarang-pengarangnya.

7 - Darjat Hadis dari Sudut Penerimaan dan Penolakan:

Maksudnya ialah martabat hadis dari sudut kesahihan, atau hasan, atau kelemahan, atau kepalsuan, dari segi sanad dan matan, sama ada yang telah dinyatakan oleh salah seorang imam hadis, atau yang dicapai sendiri oleh pengkaji melalui kajiannya terhadap matan dan perawi-perawi sanadnya berdasarkan pandangan para ulama al-Jarh wa al-Ta'dil mengenai mereka, seperti yang dilakukan oleh al-Hafiz al-Zayla'i (w. 762 H) dalam kitabnya: Nasb al-Rayah li Ahadith al-Hidayah, al-Hafiz al-'Iraqi (w. 806 H) dalam kitabnya: al-Mughni 'an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya' min al-Akhbar, al-Hafiz Ibn Hajar (w. 852 H) dalam kitabnya: al-Talkhis al-Habir fi Takhrij Ahadith Syarh al-Wajiz al-Kabir, Syeikh al-Albani dalam kitabnya: Irwa' al-Ghalil fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil, dan al-Tahir Muhammad al-Dardiri dalam kitabnya: Takhrij Ahadith al-Mudawwanah al-Marwiyyah 'an Malik, dan lain-lain.

Maka, jika seorang pentakhrij hanya sekadar menyebutkan satu sumber atau lebih, tanpa menjelaskan darjat hadis, maka ia bukanlah suatu takhrij ilmiah, sebaliknya ia hanyalah penyandaran hadis (‘azw) semata-mata.

Kepentingan Ilmu Takhrij

Kepentingan ilmu takhrij hadis adalah kerana ia memberikan khidmat kepada hadis Nabi yang mulia, yang merupakan tafsiran bagi al-Quran al-Karim, penjelasan bagi maksudnya, dan hujah dalam perkara yang penting bagi seorang Muslim dalam kehidupannya dari sudut akidah, ibadah, muamalat, adab dan akhlak, serta sumber bagi ilmu dan pengetahuan; yang mana hal ini telah memberikannya kesucian, dan menjadikannya dihormati di dalam hati umat Islam, dan mewajibkan setiap orang yang mendalami Syariat dan ilmu-ilmunya – daripada kalangan ahli hadis, fuqaha, usuliyyin, pendakwah, penulis Sirah Nabawiyyah, dan para pembela kedaulatan Islam – untuk mempunyai pengetahuan tentang ilmu takhrij hadis.

Ini kerana ia membimbing mereka kepada lokasi-lokasi hadis di dalam sumber-sumber aslinya, memberitahu mereka tentang darjat hadis yang dijadikan hujah, baik dari sudut sanad mahupun matan, dan mendedahkan kepada mereka pelbagai versi periwayatan hadis seperti perbezaan susunan, ringkasan, dan penambahan-penambahan pada teks, yang memberikan mereka pemahaman yang menyeluruh tentang sesuatu tajuk.

Ia juga menyingkapkan kepada mereka keadaan sanad dari sudut kesinambungan dan keterputusan, irsal (tabi’in menyandarkan hadis terus kepada Nabi tanpa disebutkan perantara) dan i'dal (gugur dua perawi dalam sanad), status raf' (menyandarkan hadis kepada Nabi) dan waqf (menyandarkan hadis kepada sahabat), serta tadlis perawi (perawi menyembunyikan kecacatan sanad hadis) dan ikhtilatnya (kekeliruan ingatan), dan memberitahu mereka tentang sebab kedatangan hadis (sabab al-wurud), dimensi masa dan tempatnya, serta keadaan sosial, politik, dan ekonominya, yang membantu mereka untuk memahami maksud hadis mengikut konteksnya yang sebenar.

Faedah-faedah Ilmu Takhrij

Sesungguhnya faedah-faedah yang kita peroleh daripada takhrij adalah banyak dan pelbagai, sebahagiannya berkaitan dengan sanad, sebahagiannya berkaitan dengan matan, dan sebahagiannya lagi berkaitan dengan kedua-duanya sekali. Antara yang terpenting adalah seperti berikut:

A - Faedah-faedahnya bagi Sanad:

1 - Mengetahui sejumlah besar sanad-sanad hadis dan jalan-jalannya di dalam sumber-sumbernya yang pelbagai, yang mana ia menyingkapkan keadaan sanad: dari sudut kesinambungan, keterputusan, irsal, i'dal, raf', dan waqf. Dan mengetahui sama ada ia mutawatir, atau ahad, kemudian sama ada ia gharib, ‘aziz, atau masyhur, atau selainnya.

2 - Menguatkan sanad hadis: Iaitu apabila kita mempunyai sebuah hadis dengan sanad yang lemah, lalu kita mentakhrijkannya daripada kitab-kitab hadis, maka kita menemukan untuknya sanad-sanad lain yang keadaannya lebih baik. Hal ini memberikannya kekuatan, lantas menaik tarafnya daripada da'if yang ringan kelemahannya kepada hasan li ghairihi, atau daripada hasan li zatihi kepada sahih li ghairihi.

3 - Mengetahui darjat hadis: Ini kerana hadis yang ingin ditakhrijkan, apabila ia ditemui di dalam al-Sahihayn (dua kitab Sahih), atau dalam salah satu daripadanya, atau dalam kitab yang pengarangnya komited untuk meriwayatkan hadis sahih di dalamnya seperti Sahih Ibn Khuzaymah dan seumpamanya, atau dalam kitab yang pengarangnya menghukum hadis sebagai sahih, hasan, atau daif seperti Jami' al-Tirmizi, al-Mustadrak oleh al-Hakim, Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, dan selain mereka daripada kalangan imam-imam hadis, maka kita dapat mengetahui darjat hadis tersebut melaluinya tanpa kesukaran yang besar.

4 - Membezakan perawi yang muhmal (tidak dinyatakan namanya secara jelas): Contohnya apabila di dalam sanad hadis terdapat “daripada al-Walid”, atau “daripada Muhammad”, atau “daripada Sufyan”, maka apabila kita mentakhrijkannya daripada sumber-sumber lain, kadangkala kita akan menemukan sanad lain baginya yang di dalamnya nama-nama yang muhmal ini dinyatakan bersama nasabnya, atau nisbahnya, atau laqabnya (gelarannya), atau kunyahnya (gelaran menggunakan Abu atau Ummu), atau lain-lain ciri yang membezakannya. Dengan itu, perawi yang muhmal itu dapat dibezakan daripada orang yang senama dengannya.

5 - Mengenal pasti perawi yang mubham (samar): Contohnya apabila di dalam sanad hadis terdapat: “haddathani thiqah - seorang yang dipercayai telah menceritakan kepadaku”, atau “‘an rajul - daripada seorang lelaki”, atau “‘an syaikh - daripada seorang guru”, maka kadangkala dengan mentakhrijkannya daripada sumber-sumber lain, kita akan menemukan jalan periwayatan lain baginya yang di dalamnya perawi tersebut dinyatakan secara khusus.

6 - Menghilangkan kemungkinan tadlis dalam periwayatan ‘an‘anah (menggunakan lafaz 'daripada') oleh seorang perawi mudallis: Iaitu dengan kita memperoleh melalui takhrij, satu jalan periwayatan lain yang di dalamnya perawi mudallis tersebut menyatakan secara jelas lafaz yang menunjukkan pendengaran secara langsung, seperti beliau berkata: haddathana (dia telah menceritakan kepada kami), atau akhbarana (dia telah memberitahu kami), atau sami‘tu (aku telah mendengar), atau yang seumpamanya.

7 - Menghilangkan kemungkinan kesilapan (wahm) seorang guru yang mengalami ikhtilat (kekeliruan ingatan) dalam periwayatannya kepada murid yang mendengar daripadanya selepas beliau mengalami ikhtilat: Ini dapat dilakukan melalui proses takhrij hadis tersebut, kerana berkemungkinan akan ditemui seorang perawi sokongan (mutabi‘) bagi murid tersebut, yang telah mendengar daripada guru yang mukhtalit itu sebelum beliau mengalami ikhtilat.

Contohnya Abu Ishaq al-Sabi'i, beliau adalah seorang guru yang mengalami ikhtilat pada akhir usianya.

Abu al-Ahwas mendengar daripadanya selepas beliau mengalami ikhtilat, manakala Syu'bah dan Sufyan al-Thawri mendengar daripadanya sebelum itu.

Maka, jika Abu al-Ahwas meriwayatkan sebuah hadis daripadanya, lalu riwayat itu disokong oleh Syu'bah, atau Sufyan, atau kedua-duanya, ini bermakna Abu Ishaq al-Sabi'i tidak melakukan kesilapan dalam meriwayatkan hadis ini kepada Abu al-Ahwas.

B - Faedah-faedahnya bagi Matan:

1 - Mengetahui maksud yang menjadi tujuan hadis dikemukakan: Ini tidak dapat dicapai dengan hanya melihat kepada satu hadis dalam sesuatu tajuk, kerana ia mungkin tidak mengandungi apa yang menunjukkan hukum yang dimaksudkan. Sebaliknya, wajib untuk mentakhrij hadis daripada kitab-kitab lain, dan menghimpunkan lafaz-lafaznya yang berbeza. Maka, kadangkala akan ditemui padanya penambahan atau penambahan-penambahan yang menunjukkan hukum yang dimaksudkan oleh Syari‘ (Allah dan Rasulullah), atau yang menjelaskan makna hadis tersebut.

2 - Mengetahui sebab kedatangan hadis (sabab al-wurud), atau keadaan-keadaan ia diucapkan: Terdapat hadis-hadis yang kelihatan umum dan berterusan, tidak berasaskan suatu sebab, tidak terikat dengan suatu illah (alasan), atau tidak mengambil kira keadaan masa atau tempat. Akan tetapi, apabila kita menghimpunkan jalan-jalan periwayatannya dan lafaz-lafaznya yang berbeza, kadangkala kita akan menemukan sebab atau illah, atau keadaan dan konteksnya di dalam salah satu sumber. Maka, dengan itu, maksud hadis dapat ditentukan dengan tepat, dan tidak terdedah kepada andaian-andaian yang meliar, atau mengejar makna zahir yang tidak dimaksudkan.

C - Faedah-faedahnya bagi Sanad dan Matan Bersama:

1 - Mengetahui sumber atau sumber-sumber hadis: Ini kerana pencarian hadis tersebut di dalam kitab-kitab hadis, dan mentakhrijkannya daripadanya akan memberikannya peluang untuk mengetahui sumber, atau sumber-sumber bagi hadis tersebut, serta lokasi-lokasinya di dalamnya.

2 - Mengetahui illah (kecacatan) yang mencacatkan pada sanad atau matan: Hal ini dapat diketahui melalui takhrij hadis daripada kitab-kitab lain, dan dengan meneliti sanad-sanad serta lafaz-lafaznya yang berbeza.

3 - Mengetahui kecacatan pada sanad atau matan hadis yang berupa tahrif (perubahan) atau tashif (kesalahan tulis), melalui takhrij, kemudian dengan merujuk kepada kitab-kitab nasab, al-mu’talif wa al-mukhtalif, kitab-kitab gharib (perkataan asing) dan selainnya.

Sumber:

Takhrij al-Hadith Nasya'tuhu Wa Manhajiyatuhu oleh Prof Dr Muhammad Abu al-Laith Khair Abadi.

Istilah Ilmu Hadis 21: Ilmu al-jarh wa al-ta’dil (عِلْمُ الجَرْحِ وَالتَعْدِيلِ)


Ilmu ini membahaskan tentang perawi-perawi hadis dari sudut sama ada riwayat mereka boleh diterima ataupun ditolak.

Ini adalah berdasarkan fakta-fakta yang dinukilkan tentang kedudukan mereka, samada berbentuk ta’dil (mempercayakan) yang menghiasi diri mereka, atau tajrih (menuduh atau mencela) yang mencemari diri mereka, yang datang dengan lafaz-lafaz yang tertentu atau khusus dan ungkapan-ungkapan bahasa yang diketahui maknanya oleh para ulama.

Ia mengandungi ungkapan yang teliti dan maksud yang tepat kerana ianya penting dalam membuat kritikan terhadap sanad hadis.

[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 363]

Ahad, 24 Jun 2018

Istilah Ilmu Hadis 20: Ilmu al-Rijal (عِلْمُ الرِجَالِ)

Takrif Ilmu Rijal:

Iaitu perbahasan-perbahasan menyeluruh untuk mengenal pasti keadaan para perawi dari sudut penerimaan atau penolakan (riwayat) mereka, serta segala perkara lain yang berkaitan dengan mereka, yang membawa kepada kesimpulan tersebut.

Disebut “yang membawa kepada kesimpulan tersebut” kerana pengetahuan untuk menerima atau menolak seseorang perawi tidak akan sempurna melainkan melalui kajian-kajian yang mendalam dalam menentukan identitinya, zamannya, guru-gurunya, dan murid-muridnya, serta memastikan ketepatan namanya, nasabnya, kunyah-nya (gelaran menggunakan abu atau ummu), dan laqab-nya (gelaran), di samping membezakan semua itu daripada apa-apa yang mungkin dikelirukan dengannya.

Yang dimaksudkan dengan ‘rijal’ (lelaki) ialah para perawi hadis yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Penggunaan istilah ‘rijal’ adalah atas dasar taghlib (generalisasi kerana kebanyakan perawi hadis adalah lelaki).

Di sini akan diperkenalkan sebahagian daripada ilmu-ilmu ini yang berfungsi untuk mengenal pasti keperibadian seseorang perawi, dengan membahagikannya kepada dua bahagian:

Bahagian Pertama: Ilmu-ilmu berkaitan perawi dari sudut sejarah.

Bahagian Kedua: Ilmu-ilmu berkaitan perawi dari sudut nama.

Bahagian Pertama: Ilmu-ilmu berkaitan perawi dari sudut sejarah.

Kajian-kajian para ahli hadis telah merangkumi aspek-aspek zaman yang berkaitan dengan para perawi dalam banyak ilmu. Akan disebutkan tujuh daripadanya dan memperkenalkannya serta menyertakan di dalamnya ilmu-ilmu lain yang berkait rapat dengannya:

1 - Ilmu Sejarah: iaitu Sejarah Para Perawi.

Dari segi bahasa, al-Tarikh bermaksud: penetapan waktu bagi sesuatu perkara.

Menurut para ahli hadis pula, ia adalah: penjelasan tentang waktu yang dengannya keadaan-keadaan (seseorang perawi) dapat dipastikan, seperti tarikh kelahiran dan kematian, serta peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian berkaitan, yang membawa kepada natijah-natijah yang bermanfaat seperti pujian (ta’dil), kritikan (jarh) terhadap perawi, dan seumpamanya.

Ilmu sejarah para perawi adalah ilmu yang agung. Ia merupakan asas bagi kajian-kajian sejarah mengenai para perawi hadis, dan ia penting untuk menentukan sama ada sanad-sanad itu bersambung atau terputus, serta untuk mendedahkan pembohongan sesetengah perawi.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Sesungguhnya telah terbongkar pembohongan sesetengah golongan yang mendakwa meriwayatkan daripada guru-guru (tertentu), yang mana melalui (kajian) sejarah, ternyata dakwaan mereka adalah palsu.

Antara kitab-kitab sejarah yang terpenting ialah:

1 - Al-Tarikh al-Kabir: karya Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari (meninggal dunia pada tahun 256 H).

2 - Mashahir ‘Ulama’ al-Amsar: karya Imam Ibn Hibban al-Busti (meninggal dunia pada tahun 354 H).

2 - Al-Tabaqat:

Dari segi bahasa, al-tabaqah bermaksud: sekumpulan orang yang serupa dalam sesuatu sifat.

Dari segi istilah para ahli hadis pula: sekumpulan orang yang sezaman apabila mereka serupa dari segi umur dan dari segi sanad, iaitu: mengambil riwayat daripada guru-guru yang sama.

Kadang-kadang, cukuplah dengan perkongsian dalam mengambil riwayat daripada guru-guru yang sama, dan perkara ini kebiasaannya berkait rapat dengan kesamaan dari segi umur.

Faedah-faedahnya:

Ia mempunyai faedah-faedah yang penting, antaranya:

i) Membezakan antara para perawi yang serupa (namanya).

ii) Mengelakkan daripada berlakunya pertindihan antara mereka.

iii) Mengetahui penjelasan tentang para mudallis (perawi yang melakukan tadlis/menyembunyikan kecacatan sanad).

iv) Mengetahui hakikat sebenar perkataan seorang perawi: “daripada si fulan”, adakah ia menunjukkan kesinambungan sanad (ittisal) atau terputus sanad (inqita').

Karya-karya dalam bidang ini:

Karya terpenting yang dikarang dalam bidang ini ialah:

i) Al-Tabaqat al-Kubra oleh Imam Muhammad bin Sa'd (meninggal dunia pada tahun 230 H).

ii) Al-Hafiz Ibn Hajar (meninggal dunia pada tahun 852 H) juga memberikan penekanan dalam Taqrib al-Tahzib dengan menjelaskan tabaqah (peringkat) bagi setiap perawi, dan usaha ini memberikan faedah yang sangat besar.

Para ulama telah mengklasifikasikan tabaqat pada zaman periwayatan kepada lima peringkat utama, iaitu:

a - Peringkat para sahabat, semoga Allah meredai mereka.

b - Peringkat para Tabi'in: iaitu mereka yang bertemu dengan para sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, dan antara mereka ialah: Imam Abu Hanifah.

c - Peringkat Atba' al-Tabi'in (pengikut Tabi'in): iaitu mereka yang bertemu dengan para Tabi'in, dan antara mereka ialah: Imam Malik.

d - Peringkat Atba' Atba' al-Tabi'in, dan antara mereka ialah: Imam al-Syafi'i.

e - Peringkat Atba' Atba' Atba' al-Tabi'in, dan dalam kalangan mereka terdapat para imam besar dalam ilmu-ilmu Islam, semoga Allah meredai mereka.

Al-Hafiz Syamsuddin al-Zahabi (meninggal dunia pada tahun 748 H) telah mengarang sebuah kitab ringkas dalam bidang ini yang dinamakannya Al-Mu'in fi Tabaqat al-Muhaddithin, di mana beliau menjadikan setiap 25 tahun sebagai ukuran bagi satu tabaqah.

3 - Al-Ikhwah wa al-Akhawat:

Iaitu mengenal pasti para perawi yang mempunyai hubungan persaudaraan antara satu sama lain.

Faedahnya:

Antara faedahnya ialah apabila salah seorang daripada mereka terkenal dengan periwayatan hadis, maka tidak akan timbul sangkaan bahawa berlaku kesilapan dalam periwayatan hadis daripada saudaranya.

Contohnya:

Muhammad bin Sirin, Anas bin Sirin, dan Hafsah binti Sirin.

Begitu juga ‘Amr bin Syu’aib yang sangat masyhur, dan saudaranya ‘Umar bin Syu’aib, serta Syu’aib juga.

4 - Al-Mudabbaj dan Riwayat al-Aqran sesama mereka:

Al-Aqran ialah para perawi yang hampir sama dari segi umur dan sanad.

Sebahagian ulama pula mencukupkan dengan syarat hampir sama dari segi sanad sahaja.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Maka jika seorang perawi dan orang yang meriwayatkan daripadanya berkongsi dalam sesuatu perkara berkaitan periwayatan, seperti umur, pertemuan (dengan guru), dan pengambilan (riwayat) daripada guru-guru (yang sama), maka ia adalah jenis yang disebut sebagai: Riwayat al-Aqran... Dan jika setiap seorang daripada dua qarin (perawi yang sebaya) itu meriwayatkan daripada yang lain, maka ia adalah: Al-Mudabbaj.

Antara faedah-faedahnya:

i) Agar tidak disangka berlaku penambahan pada sanad, kerana asalnya seorang murid meriwayatkan daripada gurunya. Maka, apabila dia meriwayatkan daripada rakannya, mungkin orang yang tidak mengkaji ilmu jenis ini akan menyangka bahawa penyebutan rakannya yang diriwayatkan daripadanya itu adalah satu penambahan daripada penyalin kitab.

ii) Agar tidak disangka berlakunya penggantian ‘daripada’ dengan ‘dan’, iaitu agar pendengar atau pembaca sanad ini tidak tersalah sangka bahawa asal riwayat itu ialah: "Telah memberitahu kami si fulan (dan) si fulan", lalu dia tersilap dan berkata: "Telah memberitahu kami si fulan (daripada) si fulan."

5 - Riwayat al-Akabir ‘an al-Asaghir:

Iaitu seorang perawi meriwayatkan daripada orang yang lebih rendah daripadanya dari segi umur, atau penerimaan (hadis) daripada guru-guru, dan kedudukan.

Mereka banyak melakukan perkara tersebut, kerana keghairahan mereka terhadap ilmu.

Faedahnya:

Antara faedah penting ilmu ini ialah supaya tidak timbul sangkaan bahawa sanad itu terbalik, atau disangka bahawa perawi (yang meriwayatkan) itu lebih rendah (umur dan kedudukannya) berbanding orang yang diriwayatkan daripadanya.

Di bawah jenis ini terangkum beberapa ilmu berkaitan para perawi, antaranya:

a - Riwayat para sahabat daripada para tabi'in:

Contohnya: seperti riwayat sebahagian sahabat, antaranya: ‘Abdullah bin ‘Abbas, ‘Abdullah bin ‘Amr dan selain mereka berdua daripada Ka‘ab al-Ahbar, mengenai sebahagian daripada kisah-kisah umat terdahulu yang beliau sampaikan.

b - Riwayat para bapa daripada anak-anak:

Faedahnya: mengelakkan kesilapan dengan menyangka anak itu adalah bapa, atau menyangka sanad itu terbalik.

Contohnya:

Antara contohnya dalam kalangan sahabat ialah: riwayat al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib daripada anaknya, al-Fadhl bin ‘Abbas, semoga Allah meredai mereka berdua, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam telah menjamakkan antara dua solat di Muzdalifah.

c - Riwayat Guru daripada Muridnya:

Antara tujuan para imam dalam hal ini adalah untuk menonjolkan murid-murid mereka, dan mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap mereka.

Contohnya:

Contoh-contoh bagi perkara ini adalah banyak, antaranya riwayat Imam al-Zuhri daripada Malik, begitu juga riwayat Yahya bin Sa'id al-Ansari daripada Malik, dan riwayat Imam al-Bukhari daripada muridnya al-Tirmizi.

6 - Riwayat Anak-anak daripada Bapa-bapa:

Ia terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Riwayat anak daripada bapanya, dan ini sangat banyak.

Kedua: Riwayat anak daripada bapanya daripada datuknya, dan ia banyak, tetapi tidak sebanyak bahagian yang pertama.

Mengenali jenis riwayat ini adalah penting, kerana dalam banyak keadaan, nama bapa dan datuk tidak disebutkan, sebaliknya hanya dikatakan: Abu ‘Ubaidah daripada bapanya. Bapanya ialah ‘Abdullah bin Mas‘ud. Atau, si fulan daripada bapanya daripada datuknya, dan kedua-dua mereka tidak disebutkan.

Pada sebahagiannya, ada yang memerlukan penjelasan tentang hakikat riwayat dalam sanad tersebut, atau hakikat siapa yang dimaksudkan dengan 'datuknya'. Antaranya ialah riwayat Abu ‘Ubaidah bin Mas‘ud daripada bapanya, sedangkan beliau tidak pernah mendengar hadis daripadanya.

Antara yang masyhur dibahaskan oleh para ahli hadis ialah silsilah: ‘Amr bin Syu’aib daripada bapanya daripada datuknya (iaitu: ‘Amr bin Syu’aib daripada bapanya Syu’aib daripada datuknya, iaitu datuk kepada Syu’aib iaitu ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As).

Para ulama mempunyai banyak karya dalam jenis ini, dan yang paling komprehensif ialah karangan al-Hafiz al-'Ala'i (meninggal dunia pada tahun 761 H).

7 - Al-Sabiq wa al-Lahiq:

Iaitu apabila dua orang perawi berkongsi dalam meriwayatkan daripada seorang perawi (yang sama), salah seorang daripada mereka meninggal dunia lebih awal dan yang seorang lagi meninggal dunia lebih lewat, dan antara (kematian) mereka berdua terdapat tempoh masa yang panjang.

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Jika dua orang berkongsi (meriwayatkan) daripada seorang guru, dan kematian salah seorang daripada mereka mendahului yang seorang lagi, maka ia adalah al-Sabiq wa al-Lahiq.

Antara contoh ulama terdahulu ialah bahawa al-Bukhari meriwayatkan daripada muridnya Abu al-‘Abbas al-Sarraj beberapa perkara dalam (bidang) sejarah dan selainnya, dan beliau (al-Bukhari) meninggal dunia pada tahun dua ratus lima puluh enam (256 H), manakala orang terakhir yang meriwayatkan daripada al-Sarraj secara mendengar langsung ialah Abu al-Husain al-Khaffaf dan beliau meninggal dunia pada tahun tiga ratus sembilan puluh tiga (393 H).

Kebiasaannya apa yang berlaku dalam hal ini ialah orang yang didengar (riwayat) daripadanya itu mungkin hidup lama selepas (kewafatan) salah seorang daripada dua perawi yang meriwayatkan daripadanya, sehingga sebahagian orang-orang muda sempat mendengar (riwayat) daripadanya dan hidup untuk satu tempoh yang panjang selepas mendengar (riwayat itu), maka terhasillah daripada gabungan semua itu tempoh masa seperti ini.”

Bahagian Kedua: Ilmu-ilmu berkaitan perawi dari sudut nama.

Ia terbahagi kepada dua jenis:

1 - Ilmu-ilmu yang menzahirkan nama-nama perawi.

2 - Ilmu-ilmu yang membezakan nama-nama perawi antara satu sama lain.

Pertama: Ilmu-ilmu yang menzahirkan nama-nama perawi:

Ia adalah ilmu-ilmu yang memperkenalkan nama perawi selepas sebelumnya ia tidak dikenali dengan apa-apa, atau memperkenalkannya sedangkan dia telah dikenali dengan nama selain nama asalnya.

Yang terpenting antaranya ialah:

1 - Al-Mubhamat:

Al-Mubham ialah sesiapa yang namanya tidak disebut dalam hadis, sama ada lelaki mahupun perempuan.

Ia terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut jenis kesamaran (ibham).

Antara yang paling samar ialah: seorang lelaki, seorang perempuan, kemudian anak lelaki atau anak perempuan si fulan, atau bapa saudara si fulan atau ibu saudaranya, atau suami si fulanah.

Identiti seorang mubham dapat diketahui melalui penyebutan namanya dalam riwayat yang lain.

Ia terbahagi mengikut kedudukan kesamaran itu kepada dua bahagian: mubham pada sanad, dan mubham pada matan.

Ibn Kathir berkata: “Perkara terpenting berkenaannya ialah apa yang menghilangkan kesamaran pada sesuatu sanad..., lalu datang sebutan nama mubham ini daripada riwayat yang lain, maka didapati dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai), atau da‘if (lemah), atau daripada kalangan orang yang perlu diteliti keadaannya.”

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Hadis seorang mubham tidak diterima selagi namanya tidak disebut – yakni dan thiqah-nya tidak disabitkan – kerana syarat penerimaan sesuatu khabar (hadis) ialah keadilan (‘adalah) para perawinya, dan sesiapa yang disamarkan namanya, maka identitinya tidak diketahui, maka bagaimana pula (untuk mengetahui) keadilannya?”

Karya-karya termasyhur berkenaannya:

Telah dikarang dalam bidang ini banyak karya, dan yang paling luas ialah al-Mustafad fi Mubhamat al-Matan wa al-Isnad oleh al-Hafiz Abu Zur‘ah Waliyyuddin al-‘Iraqi (meninggal dunia pada tahun 826 H).

2 - Perawi yang disebut dengan nama-nama yang berbeza:

Kadang-kadang, gelaran-gelaran bagi seorang perawi itu banyak, sama ada nama, kunyah, laqab, pekerjaan, atau selainnya, lalu dia disebut dengan (nama) selain daripada yang dia masyhur dengannya, maka dia disangka sebagai orang lain, lalu terjadilah ketidaktahuan tentang keadaannya, atau kesilapan mengenainya. Maka perlulah untuk mengenal pasti sesiapa yang mempunyai banyak gelaran, bagi mengelakkan kekeliruan atau kesilapan.

Karya-karya termasyhur berkenaannya:

Antara yang dikarang dalam bidang ini ialah: Al-Muwaddih li Awham al-Jam‘ wa al-Tafriq oleh al-Khatib al-Baghdadi.

3 - Al-Asma’ wa al-Kuna:

Yang dimaksudkan dengannya ialah: penjelasan nama-nama bagi perawi-perawi yang mempunyai kunyah, dan kunyah-kunyah bagi perawi-perawi yang dikenali dengan namanya.

Tujuannya adalah supaya pengkaji berkenaan sanad selamat daripada melakukan kesilapan.

Antaranya ialah mengenal pasti perawi yang namanya ialah kunyah-nya, dan mereka ini sedikit jumlahnya, perawi yang kunyah-nya diperselisihkan, dan mereka ini ramai dan perawi yang mempunyai banyak kunyah, seperti Ibn Jurayj, beliau mempunyai dua kunyah: Abu al-Walid dan Abu Khalid.

Karya-karya termasyhur berkenaannya:

Antara yang dikarang dalam bidang ini ialah: Al-Kuna wa al-Asma’ oleh Abu Bisyr al-Daulabi Muhammad bin Ahmad (meninggal dunia pada tahun 310 H).

4 - Al-Alqab:

Al-Laqab ialah: apa yang diberikan kepada seseorang yang membawa maksud pujian atau celaan.

Contoh yang menunjukkan kemuliaan: al-Siddiq, al-Faruq, Zunnurain, Abu Turab (untuk para Khulafa’ al-Rasyidin), dan Zain al-‘Abidin (untuk ‘Ali bin al-Hasan, semoga Allah meredai mereka).

Contoh yang menunjukkan kehinaan: Anf al-Naqah (Hidung unta).

Terdapat juga laqab-laqab yang diberikan kepada sebahagian ahli hadis yang melekat pada mereka, sedangkan mereka tidaklah sedemikian, seperti: al-da‘if (laqab bagi ‘Abdullah bin Muhammad bin Yahya Abu Muhammad al-Tarasusi, dan beliau lemah dari segi fizikalnya, bukan pada hadisnya).

Dan seperti: al-Dhall (iaitu: Mu‘awiyah bin ‘Abd al-Karim, dan beliau bukanlah seorang yang sesat, sebaliknya beliau digelar sedemikian kerana beliau telah sesat jalan di Makkah).

Karangan terbaik dalam bidang ini ialah karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.

5 - Sesiapa yang dinasabkan kepada selain apa yang lazim difahami:

Mengenal pasti nasab seorang perawi mengikut hakikatnya adalah penting untuk mengenal pasti keperibadiannya. Akan tetapi, sebahagian perawi kadangkala dinasabkan dengan nasab yang tidak yang sebenarnya, disebabkan sesuatu sebab, maka timbullah keperluan untuk mengenali jenis ini.

Maka, antara mereka ada yang dinasabkan kepada selain bapanya: seperti kepada ibunya, contohnya Mu‘az dan Mu‘awwiz, dua anak lelaki kepada ‘Afra’. ‘Afra’ ialah ibu mereka, sedangkan bapa mereka ialah al-Harith bin Rifa‘ah al-Ansari.

Atau dinasabkan kepada datuknya seperti Imam Ahmad bin Hanbal, sedangkan (nama penuh) beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal.

Atau dinasabkan kepada seorang lelaki selain bapanya disebabkan sesuatu sebab seperti didikan, contohnya al-Miqdad bin al-Aswad al-Sahabi. Bapa (kandung)nya ialah ‘Amr, manakala al-Aswad ialah suami ibunya yang telah membesarkannya, lalu beliau dinasabkan kepadanya.

Antara mereka ada yang dinasabkan dengan suatu nasab yang berlainan daripada zahirnya, seperti Khalid al-Hazza’. Beliau sering duduk bersama para pembuat kasut, lalu dinasabkan kepada mereka. Dan seperti Miqsam, mawla Ibn ‘Abbas. Beliau sebenarnya adalah mawla (hamba yang dibebaskan) kepada ‘Abdullah bin al-Harith. Beliau sentiasa mendampingi Ibn ‘Abbas, lalu beliau digelar: mawla Ibn ‘Abbas.

6 - Tempat Asal Para Perawi

Penilaian terhadapnya dari segi penisbahan para perawi kepadanya, atau kesan terhadap perawi akibat perpindahan antara tempat-tempat tersebut.

Ramai perawi dinasabkan kepada negeri asal mereka, atau kepada negeri yang mereka diami, sepertimana orang yang berada di sebuah kampung boleh dinasabkan kepadanya atau kepada bandarnya.

Faedahnya:

Antara faedah ilmu ini ialah: mengenal pasti guru seorang perawi, di samping menentukan keperibadian perawi itu sendiri, dan kadangkala dapat ditentukan (perawi) yang muhmal (tidak dinyatakan namanya), dan terserlah siapa perawi yang melakukan tadlis.

Antara perkara penting ialah mengetahui kelemahan yang berlaku pada hadis seorang perawi disebabkan oleh tempat, seperti Ma‘mar bin Rasyid al-Hafiz. Ya‘qub bin Syaibah berkata: “Pendengaran (hadis) penduduk Basrah daripada Ma‘mar ketika beliau datang (ke sana) terdapat kekeliruan; kerana kitab-kitabnya tidak ada bersamanya.”

7 - Al-Mawali:

Seseorang itu kadangkala dinasabkan kepada sesebuah kabilah atau individu sedangkan dia adalah keturunan langsung mereka, dan kadangkala dia dinasabkan kepada mereka sedangkan dia bukan daripada kalangan mereka kerana dia adalah seorang mawla bagi mereka, kerana mereka telah membebaskannya, atau mereka menjadi sebab keislamannya, atau sebab-sebab lain, oleh itu, adalah perlu untuk mengenali para mawla.

Contoh-contohnya:

Antaranya ialah:

1 - Abu al-Bakhtari al-Ta’i: Mawla bagi kabilah Tayyi’. Tuannya adalah daripada kabilah Tayyi’ lalu membebaskannya, maka beliau dinasabkan kepada mereka.

2 - Muhammad bin Ismail al-Bukhari al-Ju‘fi: Mawla bagi kabilah al-Ju‘fiyyin. Datuk moyangnya memeluk Islam melalui salah seorang daripada kabilah al-Ju‘fiyyin, maka beliau dinasabkan kepada mereka.

Kedua: Ilmu-ilmu yang membezakan nama-nama perawi.

Ia adalah ilmu-ilmu yang menghilangkan kekeliruan akibat keserupaan antara nama seorang perawi atau kunyah-nya atau nasabnya dengan orang lain, atau apa-apa jua bentuk kekeliruan. Yang terpenting antara ilmu-ilmu ini ialah:

1 - Al-Muttafiq wa al-Muftariq.

2 - Al-Mu’talif wa al-Mukhtalif.

3 - Al-Mutasyabih.

4 - Al-Mutasyabih al-Maqlub.

1 - Al-Muttafiq wa al-Muftariq:

Para perawi, jika nama-nama mereka dan nama-nama bapa mereka dan seterusnya adalah sama, tetapi orangnya berbeza, sama ada yang sama dalam hal itu dua orang atau lebih, dan begitu juga jika dua orang atau lebih sama dari segi kunyah dan nisbah, maka ia adalah jenis yang disebut Al-Muttafiq wa al-Muftariq.

Ia ada beberapa bahagian, antaranya:

1 - Orang yang nama mereka dan nama bapa mereka sama, seperti: Muhammad bin ‘Ubaid, dalam kalangan perawi Kutub al-Sittah ada sepuluh orang perawi bernama Muhammad bin ‘Ubaid.

2 - Orang yang kunyah dan nisbah mereka sama.

Contohnya: Abu ‘Imran al-Jauni, ada dua orang: ‘Abd al-Malik bin Habib, dan Musa bin Sahl].

Faedahnya:

Faedah mengetahuinya adalah kerana bimbang dua orang itu disangka sebagai seorang sahaja.

Al-Khatib telah mengarang sebuah kitab yang komprehensif dalam bidang ini.

2 - Al-Mu’talif wa al-Mukhtalif:

Jika nama-nama itu sama dari segi tulisan tetapi berbeza dari segi sebutan, sama ada perbezaan itu berpunca daripada titik atau baris, maka ia adalah al-Mu’talif wa al-Mukhtalif, iaitu: apa yang bentuk tulisannya sama, tetapi lafaz sebutannya berbeza.

Contohnya:

Hizam dan Haram. Yazid dan Tazid, Barid dan Burayd.

Mengetahuinya adalah antara perkara-perkara terpenting dalam bidang ini, sehinggakan ‘Ali bin al-Madini berkata: “Kesilapan bacaan (tashif) yang paling parah ialah yang berlaku pada nama-nama.” Sebahagian ulama menjelaskan sebabnya ialah kerana ia merupakan sesuatu yang tidak boleh diqiyaskan, tiada apa-apa sebelumnya yang menunjukkannya, dan tiada apa-apa selepasnya.

Karya-karya termasyhur mengenainya:

Abu Ahmad al-‘Askari telah mengarang dalam bidang ini, tetapi beliau menggabungkannya ke dalam sebuah kitab karangannya mengenai tashif.

Kemudian, ‘Abd al-Ghani bin Sa‘id mengasingkannya dalam sebuah karangan tersendiri, di mana beliau menghimpunkan dua buah kitab: sebuah kitab mengenai nama-nama yang serupa, dan sebuah kitab mengenai nisbah yang serupa.

Gurunya, al-Daraqutni, juga menghimpunkan sebuah kitab yang komprehensif dalam bidang ini.

Kemudian, al-Khatib menghimpunkan sebuah tambahan (zayl).

Seterusnya, Abu Nasr bin Makula menghimpunkan kesemuanya di dalam kitabnya al-Ikmal, dan beliau membuat pembetulan ke atas mereka dalam sebuah kitab lain di mana beliau menghimpunkan dan menjelaskan kesilapan-kesilapan mereka. Kitabnya adalah antara yang paling lengkap yang pernah dihimpunkan dalam bidang ini, dan ia menjadi sandaran bagi setiap ahli hadis selepasnya.

Abu Bakar bin Nuqtah kemudiannya membuat penambahan ke atas apa yang terlepas daripadanya atau apa yang muncul selepasnya dalam sebuah jilid yang tebal.

Seterusnya, Mansur bin Salim membuat tambahan ke atasnya dalam sebuah jilid yang ringkas, dan begitu juga Abu Hamid bin al-Sabuni.

3 - Al-Mutasyabih:

Jika nama-nama itu sama dari segi tulisan dan sebutan, tetapi nama-nama bapa berbeza dari segi sebutan meskipun tulisannya sama.

Seperti Muhammad bin ‘Aqil (dengan baris atas pada huruf ‘Ain) dan Muhammad bin ‘Uqail (dengan baris hadapan padanya). Yang pertama ialah seorang Naisaburi dan yang kedua seorang Firyabi, dan kedua-duanya masyhur dan tabaqah mereka berdekatan.

Atau sebaliknya: seperti nama-nama berbeza sebutannya tetapi sama tulisannya, dan nama-nama bapa sama tulisan dan sebutannya.

Seperti Syuraih bin al-Nu‘man dan Suraij bin al-Nu‘man.

Yang pertama dengan huruf Syin dan Ha’, dan beliau seorang tabi‘i yang meriwayatkan daripada ‘Ali, semoga Allah meredainya.

Yang kedua dengan huruf Sin dan Jim, dan beliau daripada kalangan guru-guru al-Bukhari.

Maka ia adalah jenis ilmu yang disebut sebagai al-Mutasyabih. Begitu juga jika berlaku persamaan tersebut pada nama dan nama bapa, tetapi berbeza pada nisbah.

Karya-karya termasyhur mengenainya:

Al-Khatib telah mengarang sebuah kitab yang agung dalam bidang ini yang dinamakannya Talkhis al-Mutasyabih. Kemudian, beliau membuat tambahan ke atasnya juga dengan (menambahkan) apa yang terlepas daripadanya pada mulanya, dan ia sangat banyak faedahnya.

4 - Al-Mutasyabih al-Maqlub:

Berlaku persamaan dari segi tulisan dan sebutan, tetapi berlaku perbezaan atau keserupaan melalui didahulukan dan dikemudiankan (taqdim wa ta’khir), sama ada pada kedua-dua nama itu secara keseluruhan, atau seumpamanya seperti berlakunya penyusunan terbalik pada sebahagian huruf dalam satu nama berbanding dengan nama yang menyerupainya.

Contoh-contohnya:

Contoh bagi jenis yang pertama: al-Aswad bin Yazid, dan Yazid bin al-Aswad, dan ini jelas. Antaranya juga ialah ‘Abdullah bin Yazid, dan Yazid bin ‘Abdullah.

Contoh bagi jenis yang kedua: Ayyub bin Sayyar, dan Ayyub bin Yasar. Yang pertama ialah seorang Madani yang masyhur tetapi tidak kuat (riwayatnya), dan yang seorang lagi majhul (tidak dikenali).

Sumber:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Istilah Ilmu Hadis 19: Ilmu Hadis Dirayah (عِلْمُ الحَدِيثِ دِرَايةً)

Dari segi istilah:

Terdapat beberapa pandangan, iaitu:

1 - Ibn Jama'ah berkata: “Ilmu tentang kaedah-kaedah yang dengannya diketahui keadaan-keadaan sanad dan matan, untuk mengetahui yang sahih daripada yang selainnya.”

2 - Dan dikatakan: Ia adalah ilmu yang dengannya diketahui hakikat sesuatu riwayat, syarat-syaratnya, jenis-jenisnya, hukum-hukumnya, keadaan para perawi dan syarat-syarat mereka, jenis-jenis riwayat, dan apa yang berkaitan dengannya.

3 - Dan dikatakan: Ia adalah ilmu yang dengannya diketahui keadaan perawi dan apa yang diriwayatkan dari sudut diterima atau ditolak.

Definisi yang terpilih:

Ia adalah ilmu tentang kaedah-kaedah yang dengannya diketahui keadaan-keadaan sanad dan matan, dan melalui kaedah-kaedah ini dapat dicapai pengetahuan mengenai hadis yang diterima (maqbul) dan yang ditolak (mardud), serta pemahaman maksud hadis-hadis tersebut.

Definisi Dirayah al-Riwayah:

Ia adalah aplikasi kaedah-kaedah yang dengannya diketahui keadaan-keadaan sanad dan matan ke atas sanad-sanad hadis dan matan-matannya, untuk mengetahui mana yang diterima dan mana yang ditolak daripadanya, serta memahami maksud hadis-hadis tersebut dan mengeluarkan (istinbat) hukum-hakam syariah daripadanya.

Riwayah dikhususkan kepada penukilan, manakala dirayah dikhususkan kepada pemahaman apa yang dinukilkan.

Kaedah-kaedah riwayah dan dirayah ialah kaedah-kaedah Mustalah al-Hadith.

Maka antara kitab-kitab ilmu hadis riwayah ialah: Musnad Imam Ahmad, dan Mu'jam al-Tabarani al-Kabir kerana di dalam kedua-duanya tidak ada melainkan penukilan hadis-hadis bagi setiap sahabat secara berasingan. Jika terdapat di dalam kedua-dua kitab ini sesuatu daripada ilmu dirayah atau dirayat al-riwayah, maka sesungguhnya ia wujud secara sampingan dan bukan sebagai tujuan utama.

Antara kitab-kitab ilmu hadis dirayah ialah: Ulum al-Hadith karya Imam Abu 'Amr 'Uthman bin 'Abd al-Rahman al-Syahrazuri (meninggal dunia pada tahun: 643 Hijrah) dan yang seumpamanya. Maka tidak ada di dalamnya melainkan kaedah-kaedah riwayah dan dirayah. Jika terdapat di dalamnya sesuatu daripada riwayah atau daripada dirayat al-riwayah, maka sesungguhnya ia disebut di dalamnya sebagai contoh dan penjelasan, dan bukan sebagai tujuan utama.

Antara kitab-kitab dirayah al-riwayah ialah: Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani (meninggal dunia pada tahun: 852 Hijrah), dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj karya Imam Abu Zakariyya Yahya bin Syaraf al-Din al-Nawawi (meninggal dunia pada tahun: 676 Hijrah), dan yang seumpamanya daripada syarah-syarah kitab riwayah. Maka di dalam kitab-kitab ini terdapat perbincangan mengenai keadaan-keadaan sanad, keadaan-keadaan matan, fiqh hadis, dan selainnya.

Antara kitab-kitab dirayah al-riwayah juga ialah: kitab-kitab yang dikhususkan untuk mengkaji satu jenis ilmu hadis sahaja, seperti al-I'tibar fi al-Nasikh wa al-Mansukh min al-Athar karya Muhammad bin Musa bin 'Uthman bin Hazim, Abu Bakr al-Hazimi (meninggal dunia pada tahun: 584 Hijrah) dan Gharib al-Hadith karya Abu 'Ubaid al-Qasim bin Sallam al-Baghdadi (meninggal dunia pada tahun: 224 Hijrah) dan 'Ilal al-Hadith karya Imam Abu al-Hasan 'Ali bin 'Umar bin Ahmad al-Daraqutni (meninggal dunia pada tahun: 385 Hijrah) dan Ikhtilaf al-Hadith karya Imam Muhammad bin Idris al-Syafi'i (meninggal dunia pada tahun: 204 Hijrah) dan lain-lain.

Kitab-kitab terakhir ini dan yang seumpamanya adalah kitab-kitab yang telah ditelaah oleh Imam Ibn al-Salah rahimahullah Ta'ala, dan daripadanya beliau meringkaskan kaedah-kaedah riwayah dan dirayah bagi ilmu-ilmu ini, lalu menghimpunkannya dalam sebuah kitab yang berasingan, iaitu Ulum al-Hadith.

Namun, terdapat kitab-kitab yang menghimpunkan antara ilmu riwayah dan dirayah al-riwayah, seperti: Jami' al-Tirmizi.

Ibn Rusyayd berkata mengenainya: “Sesungguhnya kitab al-Tirmizi mengandungi hadis yang disusun mengikut bab-bab, dan ini adalah satu ilmu yang tersendiri. (Ia juga mengandungi) fiqh, dan ini adalah ilmu yang kedua. (Dan) 'ilal al-hadith, dan ia merangkumi penjelasan tentang yang sahih daripada yang daif (saqim) serta darjat-darjat di antara keduanya, dan ini adalah ilmu yang ketiga. Nama-nama perawi (al-asma') dan gelaran-gelaran perawi (al-kuna), dan ini adalah ilmu yang keempat. Pujian dan kritikan perawi (al-ta'dil wa al-tajrih), dan ini adalah ilmu yang kelima. (Penjelasan tentang) sesiapa yang sempat bertemu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan sesiapa yang tidak sempat bertemunya daripada kalangan perawi yang disebut sanadnya di dalam kitabnya, dan ini adalah ilmu yang keenam. Penyebutan bilangan orang yang meriwayatkan hadis tersebut, dan ini adalah ilmu yang ketujuh. Ini adalah ilmu-ilmunya secara umum. Adapun secara terperincinya, ia adalah sangat banyak. Secara keseluruhannya, manfaatnya banyak, dan faedah-faedahnya melimpah ruah.”

Maka di manakah kita akan mengklasifikasikan kitab-kitab ini seperti Jami' ini dan yang seumpamanya? Adakah di dalam kitab-kitab riwayah atau di dalam kitab-kitab dirayah al-riwayah?

Dalam keadaan seperti ini, kita hendaklah menggunakan kaedah al-taghlib (memberatkan kepada yang dominan). Maka, mana-mana kitab yang didominasi oleh riwayah, kita akan memasukkannya ke dalam kitab-kitab riwayah, dan mana-mana kitab yang didominasi oleh dirayah al-riwayah, kita akan memasukkannya ke dalam kategorinya. Ini adalah suatu perkara yang biasa.

Adalah baik bagi kita pada kesempatan ini untuk menarik perhatian kepada hakikat bahawa telah datang sekumpulan perawi hadis yang mahir dalam meriwayatkan, dan mereka adalah perawi yang dipercayai (thiqat) dalam bidang itu, tetapi mereka tidak mahir dalam dirayahnya. Kekurangan ilmu dalam hal itu tidaklah mencacatkan (kredibiliti) mereka.

Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Dan begitu juga, jika dia bukan daripada kalangan ahli ilmu mengenai makna apa yang diriwayatkannya, dia tidaklah dianggap tercela (majruh) dengan sebab itu kerana bukanlah fiqh hadis itu yang diambil daripadanya, sebaliknya yang diambil daripadanya hanyalah lafaznya, dan dalam (memahami) maknanya, dirujuk kepada para fuqaha', lalu mereka berijtihad padanya dengan pandangan-pandangan mereka.”

Rujukan:

- Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.