Khamis, 24 Oktober 2019

Dua Pengajaran Daripada Kisah Ringkas Ulama Hadis


Disebutkan dalam kitab Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah:

Yahya bin Ma’in pernah bertanya tentang suatu hadis kepada Muhammad bin al-Fadl. Lalu Muhammad bin al-Fadl sampaikan hadis tersebut. Kata beliau: “Telah menceritakan kepada kami Hammad bin Salamah...”

Belum sempat beliau sempurnakan hadis tersebut Yahya bin Ma’in tiba-tiba berkata: “Kalaulah boleh engkau sampaikan hadis tersebut melalui catatan daripada kitabmu (nescaya lebih baik).”
Muhammad bin al-Fadl lalu bangun untuk mendapatkan kitab beliau.

Tiba-tiba juga Yahya bin Ma’in memegang baju beliau seraya berkata: “Sampaikan terus kepada aku. Aku bimbang aku tidak akan jumpa kamu lagi.”

Muhammad bin al-Fadl lalu terus sampaikan hadis tersebut kemudian pergi mendapatkan kitab beliau dan menyampaikan hadis tersebut sekali lagi kepada Yahya bin Ma’in melalui catatan daripada kitab beliau.

Daripada kisah ringkas ini sekurang-kurangnya ada dua pengajaran yang kita boleh pelajari:

1 – Sikap hati-hati dan ketelitian para ulama hadis dalam mendapatkan dan menyampaikan ilmu. Mereka tidak ingin meriwayatkan hadis kecuali melalui catatan buku guru mereka. Guru-guru hadis juga mempunyai catatan hadis walaupun mereka telah menghafal hadis-hadis tersebut.

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan dalam kitab al-Jami’ Li Akhlak al-Rawi daripada Ali bin al-Madini bahawa beliau berkata: “Tidak ada di kalangan sahabat kami orang yang lebih kuat hafalannya daripada Abi ‘Abdillah Ahmad bin Hanbal. Tetapi beliau tidak menyampaikan hadis kecuali melalui catatan kitab. Perkara tersebut menjadi contoh kepada kami.”

2 – Sikap Yahya bin Ma’in yang bimbang akan kehilangan ilmu daripada gurunya tersebut menunjukkan kepada kita bagaimana sikap para ulama yang loba dan tamak terhadap ilmu. Perpisahan sebentar antara beliau dan gurunya itu pun dibimbangi akan menjadi penghalang beliau mendapatkan ilmu.