Khamis, 24 Disember 2020

Takhrij Kabir Untuk Kitab Ihya' Sudah Dicetak!

 

Takhrij kabir untuk kitab Ihya' yang dikarang oleh al-Hafiz al-Iraqi sudah dicetak. Takhrij al-Hafiz al-Iraqi yang banyak tersebar selama ini adalah takhrij beliau yang paling ringkas yang beliau namakan sebagai al-Mughni 'An Haml al-Asfar. Al-Hafiz al-Iraqi mempunyai 3 jenis takhrij untuk kitab Ihya'; besar, sederhana dan ringkas. Takhrij tersebut beliau usahakan ketika berusia 20 tahun.

Takhrij Hadis Minhaj al-Wusul oleh al-Hafiz al-Iraqi


1 - Selain kitab takhrij hadis Ihya', al-Hafiz al-Iraqi (m. 806) ada juga mengarang takhrij hadis kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi (m. 685 H). Terdapat 89 buah hadis yang telah ditakhrij oleh beliau. Manhaj takhrij beliau dalam kitab ini sama seperti manhaj beliau dalam kitab al-Mughni 'An Haml al-Asfar iaitu secara ringkas sahaja.

2 – Sebahagimana yang dikhabarkan oleh murid beliau iaitu Sibth ibn al-‘Ajami (m. 841 H), al-Hafiz al-Iraqi menulis kitab takhrij ini antara waktu Zohor dan Asar sahaja.

3 – Sebelum al-Hafiz al-Iraqi, Imam al-Zarkasyi (m. 794 H) telah pun menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang berjudul al-Mu’tabar Fi Takhrij Ahadith al-Minhaj Wa al-Mukhtasar. Dalam kitab ini, beliau turut menggabungkan takhrij bagi kitab Mukhtasar Muntaha al-Sul Wa al-Amal karangan Imam Ibnu al-Hajib dengan takhrij kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi.

4 – Sahabat al-Hafiz al-Iraqi iaitu al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804 H) juga tidak ketinggalan mengusahakan takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang bertajuk Tazkirah al-Muhtaj Ila Ahadith al-Minhaj.



5 – Ulama moden yang menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul ialah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (m. 1993 M) dengan kitab yang berjudul al-Ibtihaj Bi Takhrij Ahadith al-Minhaj. Takhrij ini lebih luas dan memuaskan berbanding takhrij al-Zarkasyi menurut Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1960 M) dalam kitab Husul al-Tafrij.

Khamis, 17 Disember 2020

Sembunyikan Amalan

Daud al-Tha’ie berpuasa sunat selama 40 tahun tetapi tiada seorang pun daripada ahli keluarganya yang mengetahuinya. Beliau berkerja sebagai pembuat manik. Beliau membawa sarapan pagi bersamanya dan akan menyedekahkannya kepada sesiapa yang beliau temui di jalanan. Beliau akan kembali kepada keluarganya untuk makan malam sedangkan mereka tidak mengetahui bahawa beliau berpuasa sebelum itu.

[Tarikh Baghdad karangan al-Khatib al-Baghdadi]

_______________________

Daud bin Nusair al-Tha’ie terkenal sebagai tokoh ahli ibadat dan kezuhudan. Beliau dilahirkan di Kufah setelah beberapa tahun selepas 100 Hijrah. Beliau belajar dengan Hisyam bin ‘Urwah, al-A’masy dan beberapa guru yang lain. Beliau juga pernah mengembara ke Baghdad untuk belajar dengan Abu Hanifah. Setelah itu beliau kembali ke Kufah dan memilih untuk menyendiri dan beruzlah, memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadat sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 160 Hijrah atau 165 Hijrah.  Seseorang pernah berkata: “Kalaulah Daud al-Tha’ie hidup di kalangan umat-umat terdahulu, nescaya Allah akan mengkhabarkan tentang kisah hidupnya.”

Selasa, 15 Disember 2020

Perawi: Nu’aim bin al-Muharrar bin Abu Hurairah (نعيم بن المحرر بن أبي هريرة)

1 - Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ meriwayatkan daripada Ahmad bin Ja’far bin Hamdan daripada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal daripada al-Hasan bin al-Sobah daripada Zaid bin al-Hubab daripada Abdul Wahid bin Musa daripada Nu’aim bin al-Muharrar bin Abu Hurairah daripada datuknya, Abu Hurairah bahawa beliau (Abu Hurairah) mempunyai seutas tali yang mempunyai 1000 simpulan. Beliau tidak tidur sehinggalah selesai bertasbih dengannya. [Hilyah al-Auliya’ (jil.1, ms. 383, c. Dar al-Fikr) atau (jil. 1, ms. 458, c. Dar al-Hadith)

2 - Menurut Syeikh Mahmud Sa’id Mamduh dalam Wusul al-Tihani (ms. 69), sanadnya hasan sehinggalah Nu’aim, tetapi Nu’aim ini beliau tidak temui biografinya dalam kitab rijal yang ada pada beliau. Meskipun begitu, riwayat ini hanya digunakan sebagai sokongan (syahid) sahaja. Jadi boleh bertolak ansur dengan riwayat seperti ini.

3 - Menurut Sami Anwar Jahin (pentahqiq Hilyah al-Auliya’ cetakan Dar al-Hadith), nama Nu’aim tersebut tersilap. Yang tepatnya ialah Muslim bin Muharrar bin Abu Hurairah. Kalau Nu’aim maka ia tidak wujud. Beliau lalu menghasankan sanad riwayat ini dan mengatakan bahawa dalam riwayat ini terdapat kesyariatan menggunakan alat tasbih untuk bertasbih dan mengira.

4 - Tetapi Muslim bin Muharrar ini pun saya tidak temui biografinya. Namanya ada disebutkan dalam Tarikh Dimasyq (57/72) dan Tahzib al-Kamal (27/275) sebagai salah seorang yang meriwayatkan daripada bapanya. Wallahu ‘alam.

Selasa, 8 Disember 2020

Hadis Kelebihan Surah Yasin

Hadis Pertama

اقْرَأُوا يَس عَلَى مَوْتَاكُمْ.

“Bacalah Yasin untuk orang yang nazak di kalangan kamu.”

Takhrij Hadis

Riwayat Ahmad (no. 20301), Abu Daud (no. 3121), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10846) dan Ibnu Majah (no. 1448) daripada hadis Ma’qil bin Yasar. Hadis ini didaifkan oleh al-Daraqutni dan Ibnu al-Qathan dalam Bayan al-Wahm Wa al-Iham.

Pengajaran Hadis

1 - Sunat membaca surah Yasin di sisi orang yang sedang nazak.

Imam Ibnu Raslan (m. 844H) dalam Syarah Sunan Abu Daud menyebutkan:

“Telah berdalilkan dengan hadis ini akan sunatnya membaca al-Quran (di sisi orang yang sedang nazak) oleh sekumpulan ulama. Ia adalah pendapat mazhab al-Syafi’e dan jumhur ulama.”

Disebutkan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:

“Mazhab Hanafi, al-Syafi’e dan al-Hanbali berpendapat bahawa disunatkan membaca Yasin sisi orang yang nazak berdasarkan sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: Bacalah Yasin untuk orang yang hampir mati di kalangan kamu.”

Imam Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya:

"Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berkata: Antara keistimewaan surah ini adalah tidaklah surah ini dibaca ketika suatu urusan yang sukar melainkan ia akan dimudahkan oleh Allah seperti membacanya di sisi orang yang hampir meninggal dunia supaya turun rahmat dan keberkatan dan untuk memudahkan ruh orang yang nazak tersebut keluar."

2 - Hadis ini juga menjadi dalil disunatkan membaca al-Quran untuk si mati di kuburannya.

Imam al-Suyuti dalam kitab Syarah al-Sudur menukilkan daripada Imam al-Qurtubi, beliau berkata: "Al-Qurtubi berkata tentang hadis ini: Kemungkinan bacaan al-Quran ini adalah di sisi si mati ketika hal kematiannya (hampir mati) dan kemungkinan juga di sisi kuburnya (setelah mati)." 

Imam al-Suyuti lalu berkata: "Pendapat pertama (membaca Yasin kepada orang nazak) adalah pandangan kebanyakan ulama sebagaimana yang telah lalu disebutkan di awal kitab. Pendapat kedua (membaca al-Quran di kuburnya) adalah pandangan Ibnu Abdul Wahid al-Maqdisi dalam juzuk kitab yang telah lalu diisyaratkan tentangnya. Secara umum untuk dua-dua keadaan pula adalah pendapat al-Muhib al-Tabari yang merupakan ulama terkemudian daripada ulama mazhab kita (mazhab al-Syafi'e)."

Ini kerana dalam hadis menyebut perkataan مَوْتَاكُمْ yang secara zahirnya membawa maksud "orang yang telah mati di kalangan kamu". Ulama yang menafsirkannya sebagai "orang yang hampir mati" pula telah mentakwilkan maksud perkataan مَوْتَاكُمْ tersebut.

3 - Hikmah dibacakan surah Yasin kepada orang yang nazak adalah untuk membantunya mengingati Allah, hari kiamat dan hari kebangkitan ketika saat kematiannya kerana dalam surah Yasin terkandungi perkara-perkara tersebut. Pembacaan surah Yasin juga dapat menggembirakan roh untuk segera bertemu dengan Allah kerana surah Yasin mengandungi janji syurga dan kenikmatannya bagi orang yang mati dengan kalimah tauhid.

Hadis Kedua

مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ، غُفِرَ لَهُ فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ.

“Sesiapa yang membaca Yasin pada malam hari semata-mata kerana Allah, diampunkan dosanya pada malam tersebut.”

Takhrij Hadis

Riwayat al-Darimi (no. 3460) daripada hadis Hasan al-Basri daripada Abu Hurairah. 

Dikatakan sanad ini daif kerana sanadnya terputus antara Hasan al-Basri dengan Abu Hurairah. Namun Ibnu ‘Asakir dalam Mu’jam al-Shuyukh mengatakan ia hasan gharib. Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan ia hasan. Mungkin mereka menghasankannya (hasan li ghairih) kerana sokongan hadis yang lain. Syeikh Abdullah al-Talidi dalam al-Jawahir wa al-Laali al-Masnu’ah mengatakan bahawa hadis ini dikuatkan oleh hadis Jundub yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya (no. 2574).

Pengajaran Hadis

1 - Keistimewaan surah Yasin yang menjanjikan pengampunan dosa bagi pembacanya yang ikhlas membacanya semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan bukan untuk tujuan lainnya.

2 - Pengampunan dosa tersebut merujuk kepada dosa-dosa kecil yang berkait dengan Allah kerana dosa-dosa besar tidak terhapus melainkan dengan taubat nasuha. Manakala dosa yang berkait dengan manusia pula perlu memohon maaf daripada orang yang dizaliminya itu. Tetapi menurut Imam Mulla Ali al-Qari dalam kitab Mirqah al-Mafatih, tidak mustahil pengampunan dosa tersebut juga meliputi dosa-dosa besar, kerana semuanya tertakluk pada kehendak Allah.

Hadis Ketiga

يس قَلْبُ الْقُرْآنِ، لَا يَقْرَؤُهَا رَجُلٌ يُرِيدُ اللهَ والدَّارَ الْآخِرَةَ إِلَّا غُفِرَ لَهُ، وَاقْرَءُوهَا عَلَى مَوْتَاكُمْ.

“Yasin adalah jantung al-Quran. Tidaklah seseorang itu membacanya semata-mata kerana Allah dan hati akhirat melainkan akan diampunkan dosanya. Bacalah surah Yasin untuk orang yang hampir mati di kalangan kamu.”

Takhrij Hadis

Riwayat Ahmad (no. 20300), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (no. 10847) dan Amal al-Yaum Wa al-Lailah (no. 1075) dan lain-lain daripada hadis Ma’qil bin Yasar. Sanadnya didaifkan oleh al-Hafiz al-Busiri dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah kerana perawinya yang majhul (tidak dikenali). 

Pengajaran Hadis

1 - Surah Yasin dianggap jantung bagi al-Quran kerana kandungan surah ini  ibarat inti ataupun sari bagi kandungan al-Quran meskipun kandungannya yang ringkas dan ayatnya yang pendek. Ini kerana surah ini membawa mesej utama Islam iaitu berkenaan al-Wahdaniyyah (keesaan Allah), al-Risalah (kerasulan Nabi Muhammad), hari kiamat, al-Hasyr (hari kebangkitan), syurga dan neraka. Begitu juga pentingnya surah Yasin ini umpama pentingnya jantung bagi badan manusia.

Hadis Keempat

مَنْ قَرَأَ يس فَكَأَنَّمَا قَرَأَ الْقُرْآنَ عَشْرَ مَرَّاتٍ.

“Sesiapa yang membaca surah Yasin maka seolah-olah dia membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.”

Takhrij Hadis

Riwayat Sa’id bin Mansur (2/283) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (no. 2232) daripada Hassan bin ‘Athiyyah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang daif. Kata al-Baihaqi: “Ini mursal.” Ini kerana Hassan bin ‘Athiyyah ialah tabi’i yang tidak sempat bertemu Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Pengajaran Hadis

1 - Ganjaran pahala yang besar yang diperolehi bagi pembaca surah Yasin, seolah-olah dia membaca keseluruhan al-Quran sebanyak sepuluh kali.

2 - Allah mengkhususkan ganjaran pahala yang lebih bagi pembacaan surah tertentu sebagaimana pahala yang besar juga disediakan bagi ibadah di masa yang khusus seperti Lailatul Qadar dan di tempat istimewa seperti Mekah.

Hadis Kelima

مَنْ قَرَأَ يس فِي صَدْرِ النَّهَارِ قُضِيَتْ حَوَائِجه.

“Sesiapa yang membaca Yasin pada permulaan siang maka akan ditunaikan hajatnya.”

Takhrij Hadis

Riwayat al-Darimi (no. 3461) daripada Atha’ bin Abi Rabah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dengan sanad yang daif. Hadis ini mursal kerana Atha’ bin Abi Rabah ialah tabi’i yang tidak sempat bertemu Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Pengajaran Hadis

1 - Menurut Imam Mulla Ali al-Qari, zahirnya ditunaikan hajat tersebut meliputi hajatnya di dunia mahupun di akhirat.

2 - Imam Ibnu Hajar al-Haitami menyebutkan dalam Fath al-Ilah Fi Syarah al-Misykah bahawa hikmah pembacaan surah ini dapat membantu menunaikan hajat pembacanya  adalah kerana sekiranya pembacanya membaca surah ini di awal harinya, disertai pula dengan pengamatan isi kandungannya yang berkaitan hal ehwal dunia, barzakh, kehidupan akhirat serta kenikmatan yang diperoleh oleh ahli syurga dan azab yang ditimpakan ke atas ahli neraka, maka semua ini akan mendorong pembacanya untuk menghidupkan hari tersebut dengan amal soleh, menjaga dirinya daripada kegelinciran dosa dan maksiat serta berusaha keras untuk memenuhi keperluan hidupnya.

Hadis Keenam

Ibnu ‘Abbas berkata:

مَنْ قَرَأَ يس حِينَ يُصْبِحُ، أُعْطِيَ يُسْرَ يَوْمِهِ حَتَّى يُمْسِيَ، وَمَنْ قَرَأَهَا فِي صَدْرِ لَيْلِهِ، أُعْطِيَ يُسْرَ لَيْلَتِهِ حَتَّى يُصْبِحَ.

“Sesiapa yang membaca Yasin pada waktu pagi, akan diberi kemudahan bagi harinya sehingga petang. Sesiapa yang membacanya pada permulaan malam, akan diberi kemudahan pada malam harinya sehinggalah waktu subuh.”

Takhrij Hadis

Riwayat al-Darimi (3462) dengan sanad yang hasan.

Pengajaran Hadis

1 - Pembacaan surah Yasin antara amalan yang amat mujarat bagi mendapat kemudahan urusan kehidupan dan ditunaikan hajat. Syeikh Abdullah al-Talidi menyebutkan dalam kitab Bidayah al-Wusul: “Saya mendapati bahawa pembacaan surah Yasin mujarab untuk dipermudahkan segala kesulitan, dikabulkan hajar dan diringankan bagi orang yang nazak.”

*Saya masukkan hadis-hadis yang daif ringan kerana berdasarkan pendapat jumhur (kebanyakan) ulama sepanjang zaman yang membenarkan pengamalan hadis daif dalam fadhail al-a'mal (kelebihan amalan).

*Saya telah kemas kini semula penulisan ini dengan beberapa penambahan maklumat pada 5/9/2021. Semoga bermanfaat buat para pembaca. 

Baca juga:

Hadis Kelebihan Sedekah

Hadis Kelebihan Solat

Hadis Kelebihan Solat Sunat Rawatib

Hadis Kelebihan Zikir

Isnin, 23 November 2020

Hadis Kelebihan Surah al-Mulk


Hadis Pertama

إنَّ سورَةً مِن القُرآنِ، ثَلاثون آيَةً، شفَعَت لِرَجُلٍ حتى غُفِرَ له، وهي: {تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ المُلْكُ}.

“Sesungguhnya ada satu surah daripada al-Quran yang mempunyai 30 ayat yang akan memberi pertolongan kepada seseorang itu sehinggalah dia diampunkan, iaitu: Surah al-Mulk.”

Takhrij Hadis:

Riwayat Ahmad (no. 7975 & 8276), Abu Daud (no. 1400), al-Tirmizi (no. 2891), Ibnu Majah (no. 3786) dan lain-lain daripada hadis Abu Hurairah. Hadis ini sama ada sahih atau hasan. Imam al-Tirmizi mengatakannya hasan. Al-Hakim mensahihkannya. Ibnu Taimiyyah dalam Majmu’ al-Fatawa mengatakan ia sabit. Al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah dan Ithaf al-Khiyarah al-Maharah mengatakan sanadnya sahih.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan surah al-Mulk dan orang yang sentiasa melazimi membacanya akan diberi syafaat untuk mendapat pengampunan dosa.

2 - Maksud surah al-Mulk memberi syafaat kepada pembacanya tersebut dapat difahami secara literal iaitu surah al-Mulk akan memohon pengampunan dosa daripada Allah untuk pembacanya atau secara kiasan iaitu pembacaan surah ini menjadi sebab untuk selamat di akhirat dan mendapat syafaat daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

3 - Pemohonan pengampunan dosa tersebut boleh jadi berlaku ketika hayat pembaca surah al-Mulk atau boleh jadi ketika dia sudah meninggal dunia, sama ada ketika di alam kubur atau pada hari kiamat.

Hadis Kedua

هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

“Ia (Surah al-Mulk) adalah penghalang, ia adalah penyelamat, yang menyelamatkan pembacanya daripada azab kubur.”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Tirmizi (no. 2890) daripada hadis Ibnu ‘Abbas. Sanad hadis ini daif. Kata al-Tirmizi: “Gharib.” Kata al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman: “Bersendirian meriwayatkannya oleh Yahya bin ‘Amru, dia tidak kuat.” Namun begitu hadis ini mempunyai penguat daripada hadis Abdullah bin Mas'ud secara marfu' yang diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam Tabaqat al-Muhaddithin Bi Asbahan dan hadis Abdullah bin Mas'ud secara mauquf yang diriwayatkan oleh al-Nasa'i dalam al-Sunan al-Kubra. Kesemua riwayat ini saling menguatkan menjadikan hadis ini hasan li ghairih

Pengajaran Hadis:

1 - Melazimi pembacaan surah al-Mulk menjadi asbab terselamat dan terhalang daripada mendapat azab kubur.

2 - Imam Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih menyebutkan bahawa mungkin juga pembacaan surah ini dapat menghalang pembacanya daripada melakukan dosa dan maksiat yang penjadi punca diazab di dalam kubur.

Hadis Ketiga

سُورَةٌ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هِيَ إِلَّا ثَلَاثُونَ آيَةً، خَاصَمَتْ عَنْ صَاحِبِهَا حَتَّى أَدْخَلَتْهُ الْجَنَّةَ، وَهِيَ سُورَةُ تَبَارَكَ

“Satu surah daripada al-Quran, tidaklah ia melainkan hanya 30 ayat. Ia akan mempertahankan pembacanya sehinggalah ia memasukkan pembacanya ke dalam syurga. Ia adalah surah Tabarak (Surah al-Mulk).”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (no. 3654) dan Mu’jam al-Saghir (no. 490) serta Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Mukhtarah (no. 1738) daripada hadis Anas bin Malik.

Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid mengatakan perawinya adalah perawi kitab al-Sahih (yakni perawi kitab Sahih al-Bukhari atau Sahih Muslim). Ibnu Hajar dalam Talkhis al-Habir mengatakan sanadnya sahih. Beliau juga mensahihkan hadis ini dalam Nataij al-Afkar.

Pengajaran Hadis:

1 - Orang yang pada asalnya tidak dapat masuk ke syuga disebabkan oleh dosa yang dilakukannya akan dibela dan dipertahankan oleh surah al-Mulk yang sentiasa dibaca sehinggalah dia dapat masuk ke syurga.

Hadis Keempat

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَنَامُ حَتَّى يَقْرَأَ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَتَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

“Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak tidur sehinggalah setelah baginda membaca Alif Lam Mim Tanzil (Surah al-Sajadah) dan Tabarakallazi bi yadihi al-Mulk (Surah al-Mulk).”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Tirmizi (no. 2892) daripada hadis Jabir.

Hadis ini diperselisihkan sama ada ia sahih atau daif.

Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan hadis ini mursal atau mu'dhal (terputus sanadnya) tetapi dalam Fath al-Bari beliau menyenaraikannya sebagai antara hadis yang sahih berkenaan bacaan sebelum tidur. Al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah mengatakan riwayat ini mursal.  

Hadis ini disahihkan oleh Syeikh Syu’aib al-Arnauth dalam tahqiq Musnad Ahmad, Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Ithaf al-Muslim dan Syeikh Muhammad 'Awwamah dalam tahqiq Musannaf Ibnu Abi Syaibah.

Pengajaran Hadis:

1 - Antara amalan yang menjadi kebiasaan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam lakukan sebelum tidur ialah baginda akan membaca surah al-Sajadah dan surah al-Mulk. Di samping itu, ada juga surah-surah lain yang baginda baca sebelum tidur. Saya sebutkannya dalam tulisan saya berkenaan kelebihan surah al-Sajadah.

Hadis Kelima

لَوَدَدْتُ أنَّها في قَلبِ كُلِّ إنسانٍ مِن أُمَّتي يعني {تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ المُلْكُ}.

“Aku suka agar ia berada dalam hati setiap insan dari kalangan umatku (yakni Surah al-Mulk).”

Takhrij Hadis:

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir (no. 11611) daripada hadis Ibnu ‘Abbas. Ibnu Hajar dalam Nataij al-Afkar mengatakan hadis ini hasan gharib.

Pengajaran Hadis:

1 - Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam suka agar surah ini dihafal oleh umatnya supaya mudah untuk mereka membaca dan memahami kandungannya kerana banyak kelebihan yang ada pada surah ini sebagaimana yang sudah disebutkan dalam hadis-hadis sebelum ini.

*Saya masukkan hadis-hadis yang daif ringan kerana berdasarkan pendapat jumhur (kebanyakan) ulama sepanjang zaman yang membenarkan pengamalan hadis daif dalam fadhail al-a'mal (kelebihan amalan).

*Saya telah kemas kini semula penulisan ini dengan beberapa penambahan maklumat pada 6/9/2021. Semoga bermanfaat buat para pembaca.

Baca juga:

Hadis Kelebihan Surah al-Kahfi

Hadis Kelebihan Surah Yasin

Hadis Kelebihan Sedekah

Hadis Kelebihan Zikir

Hadis Kelebihan Solat Sunat Rawatib

Sabtu, 10 Oktober 2020

Manhaj Kitab al-Maudhu’at Karangan al-Imam Ibnu al-Jauzi

 

1 - Kitab ini dianggap sebagai rujukan paling lengkap bagi mengenali hadis-hadis palsu.

2 - Sebab kitab ini ditulis dijelaskan sendiri oleh Ibnu al-Jauzi di mukadimah kitab ini iaitu untuk memenuhi permintaan murid beliau agar dihimpunkan untuknya sebuah kitab himpunan hadis-hadis palsu dan cara mengetahui kepalsuannya.

3 - Ibnu al-Jauzi memulakan kitab ini dengan sebuah mukadimah yang mengandungi beberapa fasal tentang pembahagian hadis sahih dan daif, jenis-jenis pemalsu hadis dan kisah tentang mereka serta kritikan ke atas orang yang mengatakan bahawa mengkritik perawi termasuk dalam perbuatan ghibah (mengumpat).

4 - Seterusnya disebutkan beberapa bab pula di dalam mukadimah tersebut, iaitu:

Bab Pertama: Mencela perbuatan berdusta.

Bab Kedua: Tentang hadis “Sesiapa yang berdusta atas namaku....”, menyebutkan jalur-jalur sanadnya, jumlah sahabat yang meriwayatkannya dan perbincangan tentang makna hadis tersebut dan takwilannya.

Bab Ketiga: Perintah untuk menyelidiki tentang perawi dan berjaga-jaga daripada meriwayatkan hadis daripada perawi pendusta.

Bab Keempat: Tentang bab-bab yang terkandung di dalam kitab ini.

5 - Bab-bab yang terkandung di dalam kitab ini menyerupai bab-bab kitab hadis jenis al-Jami’ (الجامع) iaitu bab akidah, hukum hakam (seperti bersuci, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain), adab-adab, pancaroba akhir zaman, tanda-tanda kiamat, kelebihan dan keutamaan amalan.

6 - Bagi setiap hadis akan disebutkan sanadnya, sebab-sebab kepalsuannnya dan perawi yang dituduh memalsukannya.

7 - Kebanyakannya hadis yang terkandung di dalam kitab ini diambil oleh Ibnu al-Jauzi daripada kitab-kitab berikut: 

a) Al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ karangan Ibnu ‘Adi.

b) Al-Majruhin karangan Ibnu Hibban.

d) Al-Dhu’afa’ karangan al-‘Uqaili.

e) Al-Dhu’afa’ karangan al-Azdi.

d) Tafsir Ibnu Mardawaih. 

e) Tiga Mu’jam al-Thabarani (al-Kabir, al-Ausath dan al-Saghir). 

f) Al-Afrad karangan al-Daraqutni.

g) Tulisan al-Khatib al-Baghdadi. 

h) Tulisan Ibnu Syahin.

i) Tulisan Abu Nu’aim al-Asbahani seperti Hilyah al-Auliya’, Tarikh Asbahan dan lain-lain. 

j) Tulisan al-Hakim seperti Tarikh Naisabur.

k) Al-Abathil karangan al-Juzaqani.

8 - Ibnu al-Jauzi akan meriwayatkan dengan sanad beliau sendiri sehingga penulis kitab tersebut dan daripada sanad penulis tersebut sehingga kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Misalnya Ibnu Jauzi meriwayatkan dengan sanadnya sehingga Ibnu 'Adi (bergaris merah), pengarang kitab al-Kamil dan daripada Ibnu 'Adi sehingga Rasulullah.

9 - Jumlah hadis yang terkandung dalam kitab ini ialah 1847 buah hadis.

10 - Kitab ini mendapat kritikan daripada para ulama selepas Ibnu al-Jauzi disebabkan sikap beliau yang agak mudah menghukum hadis sebagai palsu, antaranya:

a) Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani mengarang kitab al-Qaul al-Musaddad Fi al-Zabb ‘An Musnad Ahmad yang mempertahankan 24 buah hadis daripada kitab Musnad Ahmad yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi.

b) Al-Hafiz al-Suyuti membuat penambahan terhadap kitab al-Qaul al-Musaddad dengan menambah 14 buah hadis lagi.

c) Al-Hafiz al-Suyuti mengarang pula sebuah kitab bertajuk al-Qaul al-Hasan Fi al-Zabb ‘An al-Sunan yang menghimpunkan hadis-hadis daripada kitab al-Qaul al-Musaddad dan 14 hadis tambahan beliau sendiri serta lebih 120 buah hadis lagi yang tidak sampai ke tahap palsu, antaranya: 4 buah hadis daripada Sunan Abu Daud, 23 buah hadis Sunan al-Termizi, sebuah hadis Sunan al-Nasa’ie, 16 buah hadis Sunan Ibnu Majah, sebuah hadis Sahih Muslim, sebuah hadis Sahih Sahih al-Bukhari (riwayat Hammad bin Syakir), bakinya lagi daripada kitab Khalq Af’al al-‘Ibad karangan al-Bukhari, hadis mu’allaq daripada kitab al-Sahih (al-Bukhari dan Muslim), Sunan al-Darimi, Sahih Ibnu Hibban, Mustadrak al-Hakim dan tulisan-tulisan al-Baihaqi. Kitab ini masih belum diterbitkan dan terdapat manuskripnya di Iran.

d) Al-Hafiz al-Suyuti juga meringkaskan kitab al-Maudhu’at dengan membuang sanad Ibnu al-Jauzi kepada pengarang kitab sumber rujukan beliau dalam sebuah lagi kitab yang berjudul al-Laali' al-Masnu'ah. 

Beliau juga mengkritik Ibnu al-Jauzi pada mana-mana hukum palsu Ibnu terhadap hadis yang beliau tidak setuju dan memulakan kritikannya dengan berkata: قلت (Aku berkata) dan diakhiri dengan wallahu a'lam. Hadis yang beliau bersetuju dengan penilaian Ibnu al-Jauzi tidak akan diberi sebarang komen. 

Contoh hadis yang dihukum oleh Ibnu al-Jauzi namun dikritik oleh al-Suyuti

e) Al-Hafiz al-Suyuthi turut mengkhususkan sebuah kitab yang berjudul al-Ta’aqqubat ‘Ala al-Maudhu’at atau al-Nukat al-Badi'at 'Ala al-Maudhu'at yang hanya menghimpunkan hadis-hadis yang beliau tidak setuju dengan penilaian palsu Ibnu al-Jauzi. Terdapat lebih 300 buah hadis dalam kitab ini.

f) Al-Hafiz al-Suyuti juga mengarang kitab Zail al-Laali al-Masnu'ah atau al-Ziyadat 'Ala al-Maudhu'at yang menghimpunkan hadis-hadis palsu tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu'at.

g) Setelah itu datang Ibnu 'Arraq dengan kitab Tanzih al-Syari'ah al-Marfu'ah yang menghimpunkan hadis-hadis kitab al-Maudhu'at, kritikan-kritikan al-Suyuti dalam al-Laali al-Masnu'ah dan al-Nukat al-Badi'at 'Ala al-Maudhu'at serta hadis-hadis palsu tambahan dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah. Beliau juga turut menyertakan kritikan-kritikan beliau sendiri terhadap pendapat dan penilaian al-Suyuti

Beliau mengekalkan susunan kitab ini sebagaimana kitab Ibnu al-Jauzi dan al-Suyuti akan tetapi beliau membuang sanad-sanad hadisnya. 

Hadis-hadis pada setiap bab pula beliau bahagikan kepada tiga fasal: Pertama: Hadis yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi dan dipersetujui oleh al-Suyuti, keduaHadis yang dihukum palsu oleh Ibnu al-Jauzi dan diperselisihkan oleh al-Suyuti, ketiga: Hadis yang ditambah oleh al-Suyuti dalam Zail al-Laali al-Masnu'ah

Setelah menyelesaikan kitab ini Ibnu 'Arraq menghadiahkannya kepada Sultan Sulaiman al-Qanuni.

 Rujukan:

- Masadir al-Hadith Wa Maraji’uhu oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri. 

Baca juga: 

Manhaj Kitab Misykat al-Masabih Karya al-Khatib al-Tibrizi