Khamis, 24 Disember 2020

Takhrij Hadis Minhaj al-Wusul oleh al-Hafiz al-Iraqi


1 - Selain kitab takhrij hadis Ihya', al-Hafiz al-Iraqi (m. 806) ada juga mengarang takhrij hadis kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi (m. 685 H). Terdapat 89 buah hadis yang telah ditakhrij oleh beliau. Manhaj takhrij beliau dalam kitab ini sama seperti manhaj beliau dalam kitab al-Mughni 'An Haml al-Asfar iaitu secara ringkas sahaja.

2 – Sebahagimana yang dikhabarkan oleh murid beliau iaitu Sibth ibn al-‘Ajami (m. 841 H), al-Hafiz al-Iraqi menulis kitab takhrij ini antara waktu Zohor dan Asar sahaja.

3 – Sebelum al-Hafiz al-Iraqi, Imam al-Zarkasyi (m. 794 H) telah pun menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang berjudul al-Mu’tabar Fi Takhrij Ahadith al-Minhaj Wa al-Mukhtasar. Dalam kitab ini, beliau turut menggabungkan takhrij bagi kitab Mukhtasar Muntaha al-Sul Wa al-Amal karangan Imam Ibnu al-Hajib dengan takhrij kitab Minhaj al-Wusul karangan Imam al-Baidhawi.

4 – Sahabat al-Hafiz al-Iraqi iaitu al-Hafiz Ibnu al-Mulaqqin (m. 804 H) juga tidak ketinggalan mengusahakan takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul dalam sebuah kitab yang bertajuk Tazkirah al-Muhtaj Ila Ahadith al-Minhaj.



5 – Ulama moden yang menulis takhrij bagi kitab Minhaj al-Wusul ialah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari (m. 1993 M) dengan kitab yang berjudul al-Ibtihaj Bi Takhrij Ahadith al-Minhaj. Takhrij ini lebih luas dan memuaskan berbanding takhrij al-Zarkasyi menurut Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari (m. 1960 M) dalam kitab Husul al-Tafrij.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan