Rabu, 27 November 2019

Sengatan Tebuan Tidak Memutuskan Solatnya


- Abu Sa’id Bakr bin Munir berkata:

“Muhammad bin Isma’il (al-Bukhari) sedang bersolat pada suatu hari. Lalu ada seekor tebuan yang menyegatnya sebanyak 17 kali. Apabila beliau selesai solat, beliau berkata: Tolong lihat apa yang menyakitiku ketika aku sedang solat. Orang yang ada bersama beliau lalu melihat dan mereka mendapati seekor tebuan telah menyebabkan (badan) beliau membengkak pada 17 tempat dan beliau tidak langsung memutuskan solatnya!”

- Muhammad bin Abu Hatim al-Warraq berkata:

“Muhammad bin Isma’il dijemput pergi ke sebuah taman milik sebahagian sahabatnya. Apabila masuk waktu zohor beliau lalu bersolat dengan sekumpulan orang. Kemudian beliau bangun untuk solat sunat dan beliau bersolat dengan sangat lama.

Apabila beliau selesai bersolat beliau mengangkat hujung lengan baju beliau dan berkata kepada sebahagian orang yang berada bersama beliau: Tolong lihat adalah kamu mendapati sesuatu berada di bahawa bajuku.

Didapati seekor tebuan telah menyengat beliau pada 16 atau 17 tempat sehingga menyebabkan badan beliau membengkak. Kesan gigitan tebuan tersebut sangat zahir pada badan beliau.

Sebahagian orang bertanya kepada beliau: Mengapa engkau tidak berhenti solat ketika ia mula-mula menyengat engkau?

Beliau menjawab: Aku sedang membaca suatu surah dan aku ingin menyempurnakannya.”

[Siyar A’lam al-Nubala’, al-Zahabi]

Khamis, 21 November 2019

Inilah Imam Abu Hanifah

Kata Mis’ar bin Kidam:

“Aku melihatnya (Imam Abu Hanifah) solat subuh kemudian beliau duduk untuk (mengajar) ilmu sehinggalah solat zohor. Kemudian beliau duduk lagi (untuk mengajar) sehingga solat asar. Kemudian sehingga hampir waktu maghrib. Kemudian sehingga waktu Isyak. 

Aku berkata dalam diriku: Bilakah beliau hendak beribadat? 

Aku perhatikan apabila orang ramai beransur pergi, beliau akan keluar ke masjid dalam keaadaan bersuci lalu beliau bersolat sehinggalah waktu subuh. Kemudian beliau masuk ke rumahnya untuk menukar pakaian. Beliau mempunyai pakaian khas yang dipakai semata-mata untuk qiyamullail. Rumah beliau hanyalah bersebelahan dengan masjid yang beliau menjadi imam di situ semata-mata kerana Allah. 

Setelah itu beliau keluar untuk solat subuh dan beliau lakukan sebagimana yang aku sebut tadi. Selama aku perhatikannya, aku tidak mendapati beliau berbuka puasa dan aku tidak dapati bahawa beliau tidur pada waktu malam. Beliau hanya tidur sebentar pada waktu sebelum zohor. 

Pada waktu malam beliau membaca al-Quran sehingga sampai kepada firman Allah: 

فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَانَا عَذَابَ السَّمُومِ 

"Maka Allah mengurniakan kami (rahmat dan taufiqNya), serta memelihara kami dari azab neraka." (Surah at-Tuur: Ayat 27)

Beliau terus mengulang-ulang ayat tersebut sehingga azan subuh. Beliau juga mengulang-ulang firman Allah:

بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَىٰ وَأَمَرُّ

“Bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.” (Surah al-Qamar: Ayat 46)

Beliau membacanya di dalam solat sepanjang waktu malam keseluruhannya. 

Kata isteri beliau: Beliau tidak pernah tidur di katil semenjak aku mengenalinya. Tidurnya hanyalah pada waktu di antara zohor dan asar pada musim panas dan pada awal malam di masjidnya pada musim sejuk.”

[Al-Khairat al-Hisan Fi Manaqib al-Imam al-A’zam Abi Hanifah al-Nu’man oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami]

Jangan Kata Apa Yang Aku Tidak Buat

- Al-Qadhi Abu Yusuf berkata:

“Ketika aku berjalan bersama Abu Hanifah, tiba-tiba aku terdengar seorang lelaki berkata kepada sahabatnya: Ini adalah Abu Hanifah. Dia tidak tidur malam (kerana beribadat).

Maka Abu Hanifah berkata: Demi Allah, jangan berkata sesuatu yang tidak aku lakukannya.

Sedangkan beliau memang seorang yang menghidupkan malamnya dengan solat, merendahkan dirinya (kepada Allah) dan berdoa.”

- Diriwayatkan daripada Abdul Hamid al-Himmani bahawa beliau berdamping bersama Abu Hanifah selama enam bulan. Beliau berkata: “Beliau solat Subuh dengan wuduk (solat) Isyak dan beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam pada waktu sahur.”

- Diriwayatkan daripada Asad bin ‘Amru bahawa Abu Hanifah rahimahullah solat Isyak dan Subuh dengan wuduk yang satu selama 40 tahun.

- Abu Yusuf berkata: “Abu Hanifah mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam dalam rakaat (solat).”

- Mis’ar bin Kidam berkata: “Aku melihat Abu Hanifah membaca (keseluruhan) al-Quran dalam satu rakaat.”

[Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi]

Selasa, 19 November 2019

Al-Hafiz al-Munziri : Seluruh Waktunya Untuk Ilmu


Al-Imam Dhiyauddin al-Muradi (guru Imam al-Nawawi) bercerita tentang guru beliau, al-Hafiz al-Munziri:

“Aku tidak pernah melihat dan aku tidak pernah mendengar tentang seseorang yang lebih besar kesungguhannya terhadap ilmu melebihi beliau. Beliau sentiasa sibuk dengan ilmu, siang mahupun malam. Aku tinggal berjiran bersamanya sewaktu berada di madrasah. Tidaklah aku bangun pada mana-mana malam pun dan pada bila-bila masa pun di waktu malam kecuali aku mendapati ada cahaya pelita di rumahnya dan beliau sedang sibuk dengan ilmu. Sehinggalah pada waktu makan pun ada kitab-kitab di sisinya yang beliau sibuk membacanya.”

[Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama’ oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah]

____________________________

Al-Hafiz al-Munziri atau nama sebenar beliau Abdul ‘Azhim bin Abdul Qawi bin Abdullah al-Munziri al-Misri. Beliau dilahirkan pada tahun 581 Hijrah di Fustat, Mesir. Beliau membesar sebagai seorang anak yatim kerana bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 11 tahun. Beliau pada asalnya bermazhab Hanbali kerana mengikut bapanya yang bermazhab Hanbali lalu beliau bertukar ke mazhab al-Syafi’e. Antara guru beliau yang terkenal ialah Imam Abdul Ghani al-Maqdisi (w. 600 H), Imam Ibnu Qudamah al-Hanbali (w. 620 H) dan Imam Yaqut al-Hamawi (w. 626 H).  Antara murid beliau yang terkenal pula ialah Imam Ibnu Daqiq al-‘Eid (w. 702 H), Imam Ibnu Khalikan (w. 681 H) dan Imam al-Yunini (w. 701 H). Antara kitab karangan beliau ialah al-Targhib Wa al-Tarhib, Mukhtasar Sahih Muslim, Mukhtasar Sunan Abu Daud, al-Arba’un Fi al-Ahkam, Syarah al-Tanbih (11 Jilid) dan lain-lain. Menurut Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah terdapat lebih 30 orang alim yang menggelarkan beliau sebagai al-Hafiz. Beliau meninggal dunia pada tahun 656 Hijrah di Kaherah, Mesir. Rahimahullah.

Ahad, 3 November 2019

Jawab Soalan Tentang Perawi Ketika Nazak


Disebutkan dalam kitab al-Jarh Wa al-Ta'dil  karangan Imam Ibnu Abi Hatim (m. 327 H), pada biografi seorang tabi'in bernama 'Uqbah bin Abdul Ghafir al-Basri:

"Kata Abu Muhammad (iaitu Imam Ibnu Abi Hatim): Aku bertanya kepada bapaku (Imam Abu Hatim al-Razi) ketika beliau sedang nazak tentang 'Uqbah bin Abdul Ghafir, adakah baginya persahabatan dengan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam? Beliau menjawab dengan ucapan yang lemah: Tidak."

Kata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah: "Lihat betapa bersungguhnya si anak untuk mengambil faedah (daripada bapanya) dan betapa bersungguhnya si ayah untuk memberi faedah (kepada anaknya)....Keadaan ayahnya yang nazak tidak menghalang si anak bertanya kepadanya, menggunakan waktu dan mengambil faedah daripadanya."

Sumber:

Qimah al-Zaman 'Inda al-'Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Sabtu, 2 November 2019

Makan Dan Minum Kerana Terpaksa Demi Menjaga Waktu


Imam al-Haramain atau nama sebenar beliau Abu al-Ma’ali Abdul Malik bin Abdullah al-Juwaini merupakan salah seorang imam yang tidak asing lagi. Beliau merupakan seorang faqih mazhab al-Syafi’e, usuli (ahli usul fiqh) dan mutakallim (ahli ilmu kalam). Beliau merupakan guru kepada Imam al-Ghazali. Beliau lahir pada tahun 419 Hijrah dan meninggal dunia pada tahun 478 Hijrah.

Kata Abdul Ghafir al-Farisi dalam kitab beliau, Siyaq Naisabur:

“Beliau ialah imam bagi dua tanah haram (Haramain), kebanggaan Islam, imam bagi sekelian imam secara mutlak, pendeta ilmu syari’at yang disepakati keimamannya di timur dan barat. Tidak dilihat oleh mata orang semisal beliau sebelum kelahiran beliau begitu juga setelah kematian beliau.

Aku pernah mendengar beliau berkata:

Aku tidak tidur dan makan sebagai suatu adat kebiasaan. Sebaliknya aku tidur apabila rasa mengantuk telah menguasaiku sama ada pada waktu siang ataupun malam. Begitu juga aku makan apabila aku sudah berkehendak sangat terhadap makanan tanpa mengira waktu.

Sesungguhnya kelazatan dan keseronokan beliau adalah pada berbincang tentang ilmu dan mengambil manfaat daripada apa jenis ilmu jua.”

Sumber:


Qimah al-Zaman 'Inda al-'Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Kurangkan Makan Untuk Menjaga Waktu


Al-Imam Syamsuddin Abi al-Thana' al-Asbahani merupakan seorang ulama usuli, faqih dan mufassir. Beliau dilahirkan di Asbahan pada tahun 674 Hijrah dan meninggal pada tahun 749 Hijrah di Kaherah.

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab al-Durar al-Kaminah dan al-Syaukani dalam al-Badr al-Thali' menyebutkan biografi beliau:

"Beliau menyibukkan diri (dengan menuntut ilmu) di negeri beliau sehingga beliau mahir dan unggul dalam beberapa bidang ilmu. Beliau datang ke Damsyik selepas menziarahi al-Quds pada bulan Safar tahun 725 Hijrah. Para penduduk Damsyik sangat kagum dengan kelebihan beliau. Al-Syeikh Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah antara yang mendengar ucapan beliau dan beliau amat mengagungkannya. Pernah sekali beliau berkata: Diamlah kamu semua sehingga kita semua dapat mendengar kalam orang yang hebat ini yang mana tidak pernah masuk ke negeri ini orang semisal beliau.

Sebahagian sahabat beliau pernah menghikayatkan sikap beliau yang loba terhadap ilmu dan keengganan beliau mensia-siakan waktu sehingga beliau sanggup menahan diri daripada banyak makan kerana banyak makan akan perlu kepada banyak minum dan seterusnya menyebabkan beliau perlu kerap ke tandas. Ini akan menyebabkan waktu beliau terbuang begitu sahaja."

Sumber:

Qimah al-Zaman 'Inda al-'Ulama karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.


Jumaat, 1 November 2019

Manhaj Kitab al-Mu’jam al-Kabir Karangan al-Imam al-Thabarani




Pengenalan Ringkas Imam al-Thabarani

- Nama beliau ialah Abu al-Qasim, Sulaiman bin Ahmad bin Ayyub bin Muthair al-Lakhmi al-Syami al-Thabarani. Beliau di lahirkan di bandar ‘Akka, Palestin pada tahun 260 Hijrah dan meninggal dunia di Asbahan, Iran pada tahun 360 Hijrah. Beliau mula mengembara menuntut hadis ketika berusia 16 tahun. Guru-guru beliau lebih daripada 1000 orang. Antara guru beliau yang terkenal ialah Imam Abu Zur’ah al-Dimasyqi, Imam al-Nasa’ie dan Imam Abdullah bin Ahmad bin Hanbal. Manakala murid beliau yang terkenal ialah Imam Ibnu ‘Uqdah al-Kufi, Imam Ibnu Mandah al-Asbahani dan Imam Abu Nu’aim al-Asbahani.

Pengenalan Ringkas Kitab al-Mu’jam al-Kabir

1 - Kitab ini dianggap salah sebuah kitab hadis yang paling penting dan merupakan sebuah ensiklopedia hadis yang besar sehinggakan apabila ahli hadis menyebutkan kalimah ‘Mu’jam’ secara umum maka kitab inilah yang dimaksudkan.

2 - Kitab ini mengandungi sejumlah besar riwayat para sahabat. Di samping itu, kitab ini juga dianggap sebagai sebuah ensiklopedia sejarah yang mengandungi biografi para sahabat, kelebihan-kelebihan mereka, hal ehwal hidup mereka serta tarikh wafat mereka.

3 - Di dalam kitab ini, pengarang menghimpunkan riwayat hadis daripada sekitar 1600 orang sahabat.

4 - Kebanyakan riwayat dalam kitab ini ialah hadis marfu’ di samping terdapat juga riwayat-riwayat mauquf serta kata-kata tabi’in dan tabi’ tabi’in.

5 - Darjat hadis yang terkandung dalam kitab ini pelbagai antara sahih dan daif kerana pengarang tidak berhasrat mengumpulkan riwayat yang sahih semata-mata bahkan beliau kumpulkan sahaja kebanyakan riwayat yang sampai kepada beliau.

6 - Pengarang menyusun riwayat dalam kitab ini berdasarkan musnad sahabat daripada kalangan sahabat lelaki dan wanita. Bermula dengan menyebutkan kumpulan riwayat hadis yang diriwayatkan oleh Khulafa’ al-Rashidin yang disusun menurut tertib khilafah. Seterusnya beliau menyebutkan riwayat baki 10 sahabat yang dijamin syurga diikuti baki riwayat sahabat-sahabat yang lain yang disusun nama sahabat-sahabat tersebut berdasarkan huruf abjab.

7 - Pengarang menyediakan bahagian khas yang menghimpunkan riwayat-riwayat sahabat wanita. Bermula dengan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh anak dan cucu perempuan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam iaitu Fatimah, Zainab, Ruqayyah, Ummu Kulthum dan Umamah binti Abi al-‘As (cucu Rasulullah). Kemudian disebutkan riwayat isteri-isteri Rasulullah bermula dengan Khadijah, Aisyah dan baki isteri-isteri baginda. Lalu barulah disebutkan riwayat baki sahabat-sahabat wanita yang lain.

8 - Beliau tidak masukkan riwayat-riwayat Abu Hurairah di dalam Mu’jam ini kerana beliau mempunyai kitab Musnad yang khas yang menghimpunkan riwayat Abu Hurairah secara khusus disebabkan banyaknya riwayat beliau.

9 - Jumlah keseluruhan riwayat marfu’ dan mauquf yang terkandung dalam kitab ini ialah sebanyak 22021 buah hadis berdasarkan penomboran Syeikh Hamdi Abdul Majid al-Salafi.

Rujukan:

- Al-Ta'rif al-Wajiz Bi Manahij Asyhar al-Musannifin Fi al-Hadith, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.