Isnin, 28 Jun 2021

Jauhi Orang Bodoh

1 - Ibnu Abi Ziyad berkata: “Bapaku berkata kepadaku: Wahai anakku, lazimilah orang yang berakal dan duduklah bersama mereka serta jauhilah orang yang bodoh. Tidaklah aku duduk bersama orang yang bodoh melainkan aku terus bangun. Jika tidak nescaya aku akan mendapati akalku berkurangan.”

2 - Abdullah bin Khubaib berkata: “Allah mewahyukan kepada Musa alaihis salam: Janganlah kamu marah-marah kepada orang yang bodoh nescaya akan bertambah kegusaranmu.”

3 - Al-Hasan al-Basri berkata: “Menjauhi orang yang bodoh itu satu ibadah kepada Allah.”

4 - Abdullah bin Daud al-Khuraibi berkata: “Setiap sahabat yang tidak berakal maka dia lebih menyusahkan kamu daripada musuhmu sendiri.”

5 - Bisyr bin al-Harith al-Hafi berkata: “Melihat orang bodoh itu menyakitkan mata.” Kata beliau lagi: “Orang bodoh itu menyakitkan mata sama ada dia ada di depanmu mahupun tiada.”

6 - Syu’bah bin al-Hajjaj berkata: “Akal kami hanyalah sedikit. Apabila kami duduk bersama orang yang lebih sedikit akalnya daripada kami nescaya hilanglah akal yang sedikit itu. Aku berpandangan bahawa jika seseorang itu duduk bersama orang yang lebih sedikit akal daripadanya maka akan hilanglah akalnya.”

[أخبار الحمقى والمغفلين لابن الجوزي]

Khamis, 24 Jun 2021

Status Hadis: Berakhlak Dengan Akhlak Allah

 

تَخَلَّقُوا بِأَخْلَاقِ الله

 

"Berakhlaklah dengan akhlak Allah.”

Siapa Yang Sebutkan Riwayat Ini?

Riwayat ini disebutkan oleh beberapa orang ulama dalam kitab-kitab mereka. Antaranya:

1 - Imam al-Ghazali dalam al-Maqsid al-Asna menisbahkannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, akan tetapi dalam Ihya’ beliau tidak menisbahkannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

2 - Al-Suhrawardi dalam ‘Awarif al-Ma’arif. Beliau menyandarkannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

3 - Ibnu Abd al-‘Izz al-Hanafi dalam Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah menyebutkannya dengan sighah tamridh (يُرْوَى).

4 - Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat. Beliau tidak menisbahkan ucapan ini kepada sesiapa.

5 - Al-Munawi dalam al-Tauqif ‘Ala Muhimmat al-Ta’arif. Beliau juga tidak menisbahkan ucapan ini kepada sesiapa.

Penilaian Hadis

1 - Syeikh Ahmad bin al-Siddiq al-Ghumari dalam ‘Awatif al-Latha’if Min Ahadith al-Ma’arif yang mentakhrij hadis-hadis kitab ‘Awarif al-Ma’arif tidak memberi sebarang komen berkenaan riwayat ini. Namun dalam kitab Ghunyah al-‘Arif Bi Takhrij Ahadith ‘Awarif al-Ma’arif yang merupakan ringkasan kepada ‘Awatif al-Latha’if mengatakan beliau tidak mendapati sumber riwayat ini.

2 - Ibnu Taimiyyah dalam Bayan Talbis al-Jahmiyyah berkata: "Ia tidak diketahui berasal daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam dalam mana-mana kitab hadis dan ia tidak diketahui di sisi mana-mana ahli ilmu, bahkan ia termasuk dalam kategori hadis palsu di sisi mereka."

3 - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam Madarij al-Salikin mengatakan ia adalah athar yang batil. Dalam sebahagian cetakan Madarij al-Salikin menyebutkan ‘athar’ sahaja tanpa mengatakan ia batil. Mungkin kerana perbezaan manuskrip yang dijadikan rujukan oleh pentahqiq kitab.

4 - Syeikh Syu’aib al-Arnauth dan Syeikh Abdullah bin Abdul Muhsin al-Turki dalam tahqiq Syarah al-Aqidah al-Tahawiyyah menyatakan: “Tidak ketahui baginya asal dalam mana-mana kitab sunnah. Disebutkannya oleh al-Sayuthi dalam Ta’yyid al-Haqiqah al-‘Aliyyah dan beliau tidak menyandarkannya kepada sesiapa pun.”

4 - Syeikh 'Athiyyah Saqr dalam Mausu'ah Ahsan al-Kalam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam berkata: "Tidak ada hadis daripada Nabi sallahu 'alaihi wasallam dengan lafaz ini."

5 - Syeikh Bassam Abdul Wahab al-Jabi dalam tahqiq al-Maqsid al-Asna turut menyatakan bahawa beliau tidak menemui sumbernya.

Kesimpulan

Riwayat ini boleh dianggap sebagai riwayat yang tidak ada asal baginya.

Sabtu, 19 Jun 2021

Sahabat Yang Lebih Banyak Hadis Daripada Abu Hurairah

Sebagaimana yang diketahui ramai, Abu Hurairah merupakan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Akan tetapi ketika hayatnya beliau pernah mengakui terdapat sahabat lain yang mempunyai hadis lebih banyak daripada beliau. Beliau pernah berkata: “Tidak ada di kalangan sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang meriwayatkan hadis daripada baginda yang lebih banyak daripada aku melainkan Abdullah bin Amru kerana beliau menulis sedangkan aku tidak menulis.”

Lalu bagaimanakah pula Abu Hurairah boleh dianggap sebagai sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis? 

Jawapannya, walaupun Abdullah bin Amru mempunyai lebih banyak hadis akan tetapi murid beliau lebih sedikit dan tidak banyak hadis yang dapat diriwayatkan daripada beliau berbanding Abu Hurairah. 

Ini disebabkan oleh kebiasaan Abdullah bin Amru yang sering mengikuti bapanya (Amru bin al-As) yang kerap kali berpindah-randah ke beberapa tempat seperti Hijaz, Mesir dan Syam dan beliau pula tidak menetap lama di situ, selain daripada sikap beliau yang lebih banyak memberi tumpuan untuk beribadat berbanding menyampaikan hadis. 

Tambahan lagi, ketika beliau di Syam, beliau banyak membaca kitab-kitab yang ditulis oleh ahli kitab lalu meriwayatkan riwayat-riwayat mereka itu. Di sebabkan itu sebahagian tabi'in mengelak daripada meriwayatkan daripada beliau.

Madinah pada waktu itu merupakan pusat keilmuan yang menjadi tempat persingahan para penuntut ilmu berbanding bandar-bandar yang lain. Jadi Abu Hurairah telah ditugaskan oleh khalifah untuk memberi fatwa dan menyebarkan hadis di Madinah sehinggalah beliau meninggal dunia di situ. Hasilnya ramailah murid-murid yang dapat meriwayatkan hadis daripada beliau sehinggakan Imam al-Bukhari mengatakan terdapat 800 orang tabi’in yang belajar dengan beliau dan tidak ada sahabat lain yang mempunyai murid seramai ini.

Rujukan:

- فتح الباري بشرح صحيح البخاري للحافظ ابن حجر العسقلاني.

- أبو هريرة راوية الإسلام للدكتور محمد عجاج الخطيب.