Selasa, 24 Mac 2020

Keberkatan Kitab al-Syifa


1 - Menurut Imam Ibnu al-Muqri al-Syafi’e[1], kitab al-Syifa adalah di antara kitab yang disaksikan keberkatannya sehingga tidak akan berlaku kemudaratan di tempat yang terdapat kitab tersebut. Begitu juga tidak tenggelam kapal yang terdapat kitab al-Syifa. Apabila orang yang sakit membaca atau dibacakan kepadanya kitab ini nescaya akan disembuhkan oleh Allah dan ia adalah suatu yang mujarab (berdasarkan ujikaji/pengalaman).

2 - Kata Imam al-Khafaji[2]: “Aku di antara orang yang merasai dan menyaksikan keberkatannya (kitab al-Syifa).”

3 - Imam al-Khafaji turut menukilkan: “Sesungguhnya orang-orang soleh yang terdahulu mengatakan: Pembacaannya mujarab untuk menyembuhkan penyakit dan meleraikan simpulan kesempitan. Di dalamnya terdapat keamanan daripada tengelam, kebakaran dan taun dengan berkat baginda sallahu ‘aihi wasallam.”

4 - Imam Ahmad bin Mustafa Thasy Kubri Zadah[3] mengatakan: “Aku mendengar daripada beberapa orang syeikh bahawa menyibukkan diri dengan kitab al-Syifa pada hari-hari berlakunya wabak adalah suatu yang bermanfaat dan berfaedah.”

5 -  Imam Thasy Kubri Zadah turut menukilkan daripada Syeikh Abdul Rahman al-Bisthami al-Hanafi[4], bahawa beliau berkata: “Sekumpulan ulama bertabarruk dengan bacaan kitab al-Syifa’ karangan al-Qadhi ‘Iyadh ketika berlakunya wabak.”

Sumber:

Al-Madkhal Ila Kitab al-Syifa karangan Imam Muhammad Abdul Hayy al-Kattani (w. 1382 H), ms. 242, cetakan: Dar al-Hadith al-Kattaniyyah.
_______________

[1] Imam Ibnu al-Muqri’ merupakan seorang faqih mazhab al-Syafi’e. Dilahirkan pada tahun 765 H dan meninggal pada tahun 837 H. Berasal dari Zabid, Yaman. Antara karangan beliau ialah kitab Irsyad al-Ghawi Ila Masalik al-Hawi, Ikhlas al-Nawi Syarah Irsyad al-Ghawi dan Raudh al-Thalib yang merupakan ringkasan kepada kitab Raudhah al-Thalibin karangan Imam al-Nawawi.

[2] Imam Syihabuddin al-Khafaji lahir pada tahun 977 H di Kaherah, Mesir. Beliau merupakan seorang yang alim dalam ilmu bahasa dan kesusasteraan Arab. Beliau pernah menjadi Qadhi al-Qudhah di Mesir. Kitab beliau yang terkenal ialah Nasim al-Riyadh yang mensyarahkan kitab al-Syifa. Beliau meninggal dunia tahun 1069 H.

[3] Imam Ahmad bin Mustafa Thasy Kubri Zadah merupakan seorang sejarawan Turki. Dilahirkan di Bursa, Turki pada tahun 901 H. Pernah menjadi Qadhi di Istanbul. Antara kitab beliau yang terkenal ialah Miftah al-Sa’adah Wa Misbah al-Siyadah. Meninggal dunia pada tahun 968 H.

[4] Abdul Rahman bin Muhammad bin Ali al-Bisthami al-Hanafi merupakan seorang sejarawan dan ahli sufi. Dilahirkan di Antakya, Turki, belajar di Kaherah dan tinggal di Bursa, Turki dan wafat di situ. Al-Zirikli mengatakan bahawa beliau mahir menafsirkan mimpi. Menurut Haji Khalifah, beliau seorang yang alim dalam bidang hadis, tafsir dan fiqh. Menurut Haji Khalifah lagi, penulisan beliau tersangatlah banyak sehingga tidak mungkin untuk mengiranya.  Beliau meninggal dunia pada 858 H.