Selasa, 4 Mei 2021

Mengapa Sahabat Lebih Banyak Menghafal Hadis Daripada Menulisnya?

1 - Masyarakat Arab dahulu terkenal sebagai masyarakat yang ummi (tidak membaca dan menulis). Tetapi mereka juga terkenal sebagai masyarakat yang bijaksana dan mempunyai kekuatan dan kepantasan dari segi hafalan. Perkara tersebut dapat dilihat dari segi kemampuan mereka menghafal syair-syair, nasab keturunan dan sejarah hidup mereka.

2 - Para sahabat memberikan perhatian dan fokus sepenuhnya untuk menulis al-Quran dan tidak selainnya.

3 - Nabi sallahu 'alaihi wasallam melarang para sahabat daripada menulis selain daripada al-Quran kerana bimbang berlaku campur aduk antara al-Quran dengan hadis.

4 - Para sahabat yang mampu untuk menulis pun mempunyai kekangan dari segi alatan menulis. Mereka hanya mampu menulis pada batu, tulang, pelepah kurma, dan kulit haiwan. Itu pun hanya sedikit sahaja yang mereka ada.

[علوم الحديث أصيلها ومعاصرها - الأستاذ الدكتور محمد أبو الليث الخير آبادي]

Bagaimana Sahabat Menjaga Sunnah?

1 - Mengamalkannya dan mengaplikasikannya secara amali dalam kehidupan mereka.

Mujahid berkata: "Kami bersama dengan Ibnu Umar dalam satu permusafiran. Apabila beliau melalui sebuah tempat, beliau berjalan melencong dari tempat tersebut. Beliau ditanya: Mengapa engkau lakukan sedemikian? Beliau menjawab: Aku melihat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam melakukan begitu maka aku lakukan sedemikian juga."

2 - Berbincang sesama sahabat.

Abdullah bin Mas'ud berkata: "Berbincanglah tentang hadis kerana cara untuk menghidupkannya adalah dengan berbincang tentangnya."

Ali bin Abi Thalib berkata: "Banyakkanlah menyebut tentang hadis. Kalau kalian tidak melakukan sedemikian maka hadis akan hilang."

Anas bin Malik berkata: "Kami bersama-sama dengan Nabi sallahu 'alaihi wasallam dan kami mendengar hadis daripada baginda. Apabila kami beredar, kami akan berbincang tentangnya sesama kami sehinggalah kami menghafalnya."

[علوم الحديث أصيلها ومعاصرها - الأستاذ الدكتور محمد أبو الليث الخير آبادي]

Salah Faham Maksud Zuhud

Imam Abdul Rauf al-Munawi (m. 1031 H) dalam kitab Fath al-Qadir Syarah Jami' al-Saghir berkata:

"Bukanlah zuhud itu engkau menjauhi harta secara keseluruhannya, sebaliknya engkau menganggap sama sahaja  wujudnya harta tersebut mahupun tiadanya serta hatimu tidak terikat dengan harta tersebut.

Sesungguhnya Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam itu merupakan contoh ikutan bagi golongan zahid. Baginda juga memakan daging, manisan dan madu. Baginda juga mencintai wanita, wangian dan pakaian yang cantik-cantik. Maka gunakanlah setiap perkara-perkara yang baik tanpa berlebih-lebihan dan tanpa berbangga-bangga dan waspadalah kamu daripada kezuhudan para rahib."

 Sebahagian arifin berkata:

"Bukanlah zuhud itu engkau tinggalkan dunia dari tanganmu sedangkan ia berada di hatimu. Sesungguhnya zuhud itu engkau tinggalkan dunia dari hatimu sedang ia berada di tanganmu."