Jumaat, 16 Jun 2023

Cara Takhrij Guna Mu’jam Mufahras

Tulisan ini saya hasilkan untuk membantu para pelajar yang mengambil subjek Takhrij Hadis di peringkat universiti yang menghadapi kesukaran untuk memahami cara mencari hadis menggunakan Mu’jam Mufahras.

Terkenang suatu masa dahulu apabila saya sendiri juga menghadapi masalah yang sama sewaktu belajar di peringkat diploma. Ilmu Takhrij Hadis yang dipelajari di kelas juga hanya sekadar teori dan tidak ditunjukkan secara praktikal oleh pensyarah menyebabkan pelajar sukar untuk memahaminya. Nasihat saya kepada para pelajar agar meminta pensyarah mereka menunjukkan langkah demi langkah cara menggunakan Mu’jam Mufahras ini secara praktikal.

Apabila pensyarah saya menganjurkan khusus takhrij hadis dan menjemput seorang pensyarah dari Universiti Malaya untuk menunjukkan cara takhrij secara praktikal barulah saya dapat memahami secara sepenuhnya berkenaan teori-teori yang dipelajari sebelum ini. Sewaktu saya mempelajari ilmu ini sekali lagi di peringkat ijazah saya dapat mempraktikkannya dengan mudah dan dapat membantu rakan-rakan sekelas.

Pengenalan Kitab al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz al-Hadith

1 – Kitab ini dikarang oleh sekumpulan orientalis yang diketuai Arent Jan Wensinck yang berasal dari Belanda. Mereka juga telah dibantu oleh Syeikh Muhammad Fuad Abdul Baqi, seorang penulis dan pengkaji hadis terkenal dari Mesir yang banyak menyemak (tahqiq) kitab-kitab hadis dan meletakkan indeks baginya.

2 – Kitab ini merupakan sebuah kitab indeks bagi memudahkan pencarian kedudukan hadis yang terdapat dalam Kutub Tis’ah (Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Nasa’ie, Sunan Ibnu Majah, Muwatta’ Malik, Musnad Ahmad bin Hanbal dan Musnad al-Darimi).

3 - Kitab ini menyusun kalimah-kalimah penting dan ganjil/jarang digunapakai (gharib) yang diambil daripada hadis yang berada dalam Kutub Tis’ah lalu  disusun mengikut urutan huruf-huruf hijaiyah (alif, ba, ta’…). Seterusnya dinyatakan kedudukan hadis tersebut dalam Kutub Tis’ah.

3 – Kitab ini terdiri daripada lapan jilid dan telah diusahakan selama 52 tahun. Jilid pertamanya diterbitkan pada tahun 1936 dan jilid terakhirnya pada tahun 1988.

4 – Penyusun kitab ini menggunakan beberapa huruf arab sebagai simbol kepada Kutub Tis’ah berserta maklumat terperinci yang menunjukkan kedudukan hadis yang ingin dicari itu dalam Kutub Tis’ah. Maklumat terperinci tersebut sama ada tajuk kitab (bab besar) dan nombor bab (bab kecil)  atau tajuk kitab dan nombor hadis atau nombor jilid dan mukasurat. Berikut perinciannya:

Nama Kitab

Simbol

Maklumat Terperinci

Sahih al-Bukhari

خ

Tajuk Kitab & Nombor Bab

Sunan Abu Daud

د

Tajuk Kitab & Nombor Bab

Sunan al-Tirmizi

ت

Tajuk Kitab & Nombor Bab

Sunan al-Nasai’e

ن

Tajuk Kitab & Nombor Bab

Sunan Ibnu Majah

جه & ق

Tajuk Kitab & Nombor Bab

Sunan al-Darimi

دي

Tajuk Kitab & Nombor Bab

Sahih Muslim

م

Tajuk Kitab & Nombor Hadis

Muwatta’ Malik

ط

Tajuk Kitab & Nombor Hadis

Musnad Ahmad

حم & حل

Nombor jilid & Mukasurat

Perhatian: Sila beri perhatian kepada maklumat terperinci bagi Sahih Muslim dan Muwatta’ Malik yang menunjukkan tajuk kitab dan nombor hadis berbanding kitab lain yang menunjukkan tajuk kitab dan nombor bab. Begitu juga Musnad Ahmad yang menunjukkan nombor jilid dan mukasurat.

5 – Berikut adalah terbitan dan edisi Kutub Tis’ah yang boleh dirujuk bagi sesiapa yang menggunakan al-Mu’jam al-Mufahras:

a) Sahih al-Bukhari yang telah dinomborkan kitab, bab dan hadisnya oleh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi. (Muat Turun)

b) Sahih Muslim yang telah dinomborkan oleh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi. (Muat Turun)

c) Sunan Abu Daud yang telah dinomborkan oleh ‘Izzat ‘Ubaid al-Da’as dan ‘Adil al-Sayyid. (MuatTurun)

d) Sunan al-Tirmizi yang telah dinomborkan oleh Ahmad Syakir, Muhammad Fu’ad Abdul Baqi dan Ibrahim ‘Atwah. (Muat Turun)

e) Sunan al-Nasa’ie yang telah dinomborkan oleh Abdul Fattah Abu Ghuddah. (Muat Turun)

f) Sunan Ibnu Majah yang telah dinomborkan oleh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi. (Muat Turun)

g) Sunan al-Darimi yang telah dinomborkan oleh Fawaz Ahmad Zamrali dan Khalid al-Sab’ al-‘Alami. (MuatTurun)

h) Muwatta’ Malik yang telah dinomborkan oleh Muhammad Fu’ad Abdul Baqi. (MuatTurun)

i) Musnad Ahmad yang diterbitkan oleh al-Maktabah al-Maimaniyyah. (Muat Turun)

Sebenarnya anda boleh sahaja menggunakan terbitan yang lain asalkan penomboran kitab, bab dan hadisnya sama seperti terbitan yang saya sebutkan di atas.

Untuk Musnad Ahmad pula situasinya sedikit berbeza kerana maklumat terperinci yang menunjukkan kedudukan hadis dicari itu adalah nombor jilid dan muka surat. Oleh itu sukar pagi penerbit baru bagi Musnad Ahmad untuk menerbitkan sebuah kitab yang mempunyai jumlah jilid dan mukasurat yang sama seperti Musnad Ahmad yang diterbitkan oleh al-Maktabah al-Maimaniyyah. 

Namun anda masih boleh menggunakan Musnad Ahmad terbitan baru seperti yang ditahqiq oleh Ahmad Syakir (muat turun) atau yang ditahqiq oleh Syu’aib al-Arnaut (muat turun). 

Anda hanya perlu memastikan nombor yang telah diletakkan oleh penerbit di bahagian tepi halaman kitab ini (lihat gambar di bawah, dalam kotak merah) sama seperti yang tertera dalam al-Mu’jam al-Mufahras. Nombor atas merujuk kepada mukasurat manakala nombor bawah merujuk nombor jilid.


6 – Kitab al-Mu’jam al-Mufahras boleh dimuat turun di sini.

Cara Menggunakan al-Mu’jam al-Mufahras

1 – Pilih perkataan yang penting dan ganjil (gharib) daripada hadis yang anda ingin cari kedudukannya dalam Kutub Tis’ah. Anda tidak harus berpada dengan satu perkataan sahaja dan seharusnya memilih lebih dari satu perkataan bagi memastikan hasil pencarian anda lebih menyeluruh.

2 – Kembalikan perkataan tersebut kepada kata dasarnya (fa’el madhi). Contohnya jika terdapat perkataan يكتب dalam hadis anda perlu kembalikannya kepada fael madhinya iaitu كتب.

3 – Cari kata dasar itu dalam al-Mu’jam al-Mufahras dan salin maklumat yang dinyatakan di bawah perkataan tersebut ke kertas kosong. 

Maklumat tersebut adalah seperti ulama yang meriwayatkan hadis tersebut (seperti al-Bukhari atau Muslim dan lain-lain), nama kitab (contohnya kitab al-Iman, al-‘Ilm, al-Wudhu’ dan lain-lain), nombor bab, nombor hadis, nombor jilid dan nombor mukasurat.

4 – Kumpul semua maklumat di satu tempat di samping mengambil kira maklumat tambahan dan mengabaikan maklumat yang berulang.

5 – Berdasarkan maklumat tersebut rujuk kepada kitab asal (Kutub Tis’ah).

6 – Salin sanad dan matan hadis yang diperolehi daripada kitab asal (Kutub Tis’ah).

Praktikal Menggunakan al-Mu’jam al-Mufahras

1 – Misalnya anda ingin mentakhrij hadis berikut:

طَهُورُ إناءِ أحَدِكُمْ إذا ولَغَ فيه الكَلْبُ، أنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاهُنَّ بالتُّرابِ.

2 - Pilih perkataan yang penting dan ganjil dalam hadis tersebut:

a) طَهُورُ 

b) ولَغَ

c) الكَلْبُ

d) يَغْسِلَهُ

e) التُّرابِ

2 – Kembalikan perkataan tersebut kepada kata dasarnya (fa’el madhi):

a) طَهُورُ – طهر

b)ولَغَ  (sudah berada dalam bentuk kata dasarnya).

c) الكَلْبُ – كلب

d)  يَغْسِلَهُ – غسل

e) التُّرابِ – ترب

3 – Cari perkataan dasar itu dalam al-Mu’jam al-Mufahras dan salin maklumat yang dinyatakan:

a) Hasil carian untuk طهر (jilid 4, mukasurat 32):

b) Hasil carian untuk ولَغَ (jilid 7, mukasurat 320):

c) Hasil carian untuk كلب tidak mendapatkan hadis yang ingin dicari.

d) Hasil carian untuk غسل(jilid 4, mukasurat 499):

e) Hasil carian untuk ترب tidak mendapatkan hadis yang ingin dicari.

4 – Kumpul semua maklumat di satu tempat di samping mengambil kira maklumat tambahan dan mengabaikan maklumat yang berulang:

a) Al-Bukhari - kitab wuduk, bab ke-33.

b) Muslim - kitab taharah, nombor hadis 89,91, 92 dan 93.

c) Abu Daud - kitab taharah, bab ke-37.

d) Al-Tirmizi - kitab taharah, bab ke-68.

e) Al-Nasa’ie - kitab taharah, bab ke-50 sehingga 52 dan kitab miyah (المياه), bab ke-7 dan 8.

f) Ibnu Majah - kitab taharah, bab ke-31.

g) Al-Darimi - kitab wuduk, bab ke-59.

h) Musnad Ahmad -  jilid 2 mukasurat 245, 253, 265, 271, 314, 360, 398, 424, 427, 480, 482, jilid 4 mukasurat 86 dan jilid 5 mukasurat 56.

5 & 6 - Rujuk kepada kitab asal (Kutub Tis’ah) dan salin sanad dan matan hadis yang diperolehi:

a) Buka Sahih al-Bukhari, cari kitab wuduk di dalamnya, lalu cari hadis tersebut di bawah bab yang ke-33 dalam kitab wuduk tersebut:

b) Buka Sahih Muslim, cari kitab taharah, lalu cari nombor hadis 89,91, 92 dan 93:




c) Buka Sunan Abu Daud, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-37:

d) Buka Sunan al-Tirmizi, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-68:

e) Buka Sunan al-Nasa’ie, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-50 sehingga 52. Buka pula kitab miyah (المياه) dan cari bab ke-7 dan 8:




*Saya tak jumpa hadis ini dalam bab ke-50 daripada kitab taharah dan bab ke-8 daripada kitab miyah. Mungkin berlaku kesilapan pada al-Mu'jam al-Mufahras. Wallahu a'lam.

(f) Buka Sunan Ibnu Majah, cari kitab taharah, lalu cari bab ke-31:

(g) Buka Sunan al-Darimi, cari kitab wuduk, lalu cari bab ke-59:

(h) Buka Musnad Ahmad pada jilid 2 mukasurat 245, 253, 265, 271, 314, 360, 398, 424, 427, 480, 482, jilid 4 mukasurat 86 dan jilid 5 mukasurat 56.

Oleh kerana hadis ini ada di banyak tempat sangat dalam Musnad Ahmad saya sebutkan satu sahaja iaitu pada jilid 2 mukasurat 245:

Musnad Ahmad cetakan al-Matba’ah al-Maimaniyyah:

Untuk Musnad Ahmad cetakan yang lain, anda boleh semak satu persatu musnad Ahmad untuk mencari nombor di bahagian tepi kitab yang tertulis 245/2. Lihat nombor dalam kotak merah di bawah:  

Setelah jumpa nombor berkenaan, lihat satu persatu hadisnya sehingga jumpa yang anda cari:

Diharapkan tulisan ini dapat membantu anda menggunakan Mu’jam Mufahras. Sebarang soalan boleh tanyakan di bawah.

Khamis, 15 Jun 2023

Imam al-Tabari - Ahli Tafsir, Sejarawan, Mujtahid Mutlak dan Pakar Qiraat

Peta pengembaraan Imam al-Tabari

Nama, Nasab dan Kunyah

Nama beliau ialah Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib. Menurut pendapat yang lain nama datuk beliau ialah Yazid bin Khalid.

Kunyah beliau ialah Abu Ja’far walaupun beliau tidak mempunyai anak bernama Ja’far kerana beliau langsung tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya. Namun peletakan kunyah tersebut kerana mengikuti sunnah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam yang memberi kunyah kepada sahabat-sahabat baginda.

Gelaran beliau pula ialah al-Tabari, nisbah kepada Tabaristan yang pada hari ini terletak di Iran. Selain itu beliau juga digelar sebagai al-Aamuli, nisbah kepada bandar Aamul yang terletak di Tasbaristan yang merupakan tempat kelahiran beliau.

Kelahiran dan Pembesaran

Ada dua pendapat tentang tahun kelahiran beliau. Menurut satu pendapat, akhir tahun 224 Hijrah dan menurut pendapat yang lain, awal tahun 225 Hijrah.

Murid beliau, al-Qadhi Ibnu Kamil pernah bertanya kepada beliau:

“Bagaimana kamu boleh syak pada perkara tersebut?”

Beliau menjawab:

“Penduduk negeri kami akan mencatat peristiwa sejarah tanpa diletakkan tahun. Ditulis peristiwa kelahiran saya bersama dengan suatu peristiwa yang berlaku di negeri tersebut. Apabila saya telah besar maka saya bertanya tentang peristiwa yang berlaku itu. Maka orang-orang yang menceritakan kepada saya itu berbeza pendapat.  Sebahagian mereka berkata: Peristiwa tersebut berlaku pada akhir tahun empat (yakni 224 Hijrah) dan yang lain berkata: Bahkan pada awal tahun 225 Hijrah.”

Bapa beliau banyak membantu mendorongnya untuk menuntut ilmu semenjak masih kecil lagi. Ibnu Jarir berkata:

“Aku telah menghafal al-Quran ketika berusia 7 tahun dan aku solat bersama orang ramai (yakni menjadi imam solat berjemaah) ketika berusia 8 tahun. Aku belajar hadis ketika berumur 9 tahun. Bapaku pernah bermimpi melihat aku berada di depan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Bersamaku ada kantung yang dipenuhi dengan batu dan aku melontar batu tersebut. Ahli takbir mimpi berkata kepada bapaku: Jika dia (yakni Ibnu Jarir) besar kelak nescaya akan baik agamanya dan dia akan mempertahankan syariatnya.”

Pengembaraan Ilmu

Sebagaimana kebiasaan ulama-ulama yang lain, beliau mula belajar di negeri kelahirannya sendiri, Aamul.  Setelah beliau besar, bapanya mengizinkan beliau untuk memulakan pengembaraan menuntut ilmu. Beliau mula mengembara pada tahun 236 Hijrah ketika berusia 12 tahun dan riwayat yang lain menyebutkan ketika beliau berusia 20 tahun. Bapanya banyak mengirim wang sebagai bekal di sepanjang perjalanan keilmuannya itu.

Tempat pertama yang disinggahinya ialah Ray, Iran. Di sini beliau mempelajari mazhab Hanafi daripada Abu Muqatil Muhammad bin Muqatil al-Razi.

Setelah itu, Beliau masuk ke Baghdad dengan hasrat untuk belajar dengan Imam Ahmad bin Hanbal namun hasrat beliau tidak tercapai kerana Imam Ahmad sudah pun meninggal dunia pada tahun 241 Hijrah sebelum beliau sampai ke sana.

Namun begitu beliau tetap tinggal di Baghdad dan belajar dengan ulama-ulama yang masih ada di situ. Baghdad ketika itu berada di bawah Daulah Abasiyyah dan merupakan tempat berhimpunnya para ulama. Di sini dapat Imam al-Tabari dapat belajar dan meriwayatkan hadis daripada ramai ahli hadis di samping mempelajari fiqh pelbagai mazhab daripada para fuqaha.

Setelah itu beliau menuju ke Basrah dan menuntut dengan ulama yang masih ada pada ketika itu seperti Muhammad bin Musa al-Harasyi, ‘Imad bin Musa al-Qazzaz, Muhammad bin Abdul A’la al-San’ani, Bisyr bin Mu’az, Abu al-Asy’ath, Muhamamd bin Basyar yang terkenal dengan gelaran Bundar dan lain-lain.

Beliau meneruskan pengembaraannya ke Wasit lalu ke Kufah. Di Kufah beliau belajar dengan Abu Kuraib Muhammad bin al-‘Ala’ al-Hamdani , Hannad bin al-Sari, Isma’il bin Musa dan selain mereka. Dikatakan bahawa beliau sempat meriwayatkan lebih 100 ribu buah hadis daripada Abu Kuraib dan belajar ilmu qiraat daripada Sulaiman al-Talhi.

Setelah menghimpunkan ilmu-ilmu yang terdapat di Basrah, Wasit dan Kufah beliau kembali semula ke Baghdad untuk mempelajari ulum al-Quran secara umumnya dan ilmu Qiraat secara khususnya daripada Ahmad bin Yusuf al-Taghlabi. Beliau juga mempelajari fiqh mazhab al-Syafi’e daripada al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbah al-Za’farani dan Abu Sa’id al-Hasan bin Ahmad al-Istakhri selain belajar mazhab al-Zahiri daripada Daud bin Ali al-Zahiri.

Kemudian beliau bertolak ke arah barat untuk menuju ke Mesir. Di tengah perjalanannya itu beliau sempat singgah di Beirut dan tinggal beberapa ketika di situ untuk belajar al-Quran mengikut riwayat al-Syamiyyin daripada al-‘Abbas bin al-Walid al-Bairuti.

Imam al-Tabari lalu masuk ke Mesir pada tahun 253 Hijrah dan ketika itu adalah zaman-zaman awal pemerintahan Ibnu Tulun. Beliau menuju ke Fustat untuk belajar fiqh Maliki daripada murid-murid Abdullah bin Wahb (murid Imam Malik) seperti Yunus bin Abdul A’la, Ahmad bin Abdul Rahman bin Wahb yang merupakan anak saudara Abdullah bin Wahb dan keluarga Ibnu Abdul Hakam seperti Muhammad, Abdul Rahman dan Sa’ad. Beliau juga mempelajari fiqh al-Syafi’e daripada murid-murid Imam al-Syafi’e seperti al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi, al-Rabi’ bin Sulaiman al-Azdi, Isma’il bin Yahya bin Ibrahim al-Muzani dan Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam yang menghimpunkan antara mazhab Maliki dan al-Syafi’e.

Setelah tinggal di Mesir untuk beberapa waktu beliau kembali ke Syam dan kembali semula ke Mesir untuk kali kedua pada tahun 256 Hijrah. Beliau belajar pula dengan Yunus bin Abdul A’la al-Sadafi dan mengambil daripadanya qiraat Hamzah dan Warsh. Beliau juga bertemu dengan Abu Hasan Ali bin Siraj al-Misri yang merupakan seorang sasterawan dan pakar bahasa Arab. Ibnu Siraj bertanya kepada Imam al-Tabari tentang syair al-Tirimmah bin Hakim. Ternyata Imam al-Tabari sudah menghafalnya. Ini menunjukkan kehebatan Imam al-Tabari dalam ilmu sastera, bahasa Arab dan syair. Di Mesir juga Imam al-Tabari mempelajari ilmu arudh (ilmu syair Arab) setelah beliau ditanya tentangnya. Beliau menguasai ilmu arudh sehingga dianggap sebagai pakar ilmu arudh.

Sesudah menghabiskan waktu yang lama menuntut di Mesir timbul keinginan untuk pulang ke kampung halamannya di Tabaristan. Di tengah perjalanannya itu beliau sempat singgah ke Baghdad sebelum menuju ke Tabaristan. Ini adalah kepulangannya yang pertama ke Tabaristan setelah menghabiskan masanya bertahun-tahun mengembara mencari ilmu. Namun beliau tidak menetap lama di Tabaristan lalu kembali semula ke Baghdad dan tinggal di sebuah tempat bernama Qantarah al-Baradan.

Pada tahun 290 Hijrah beliau pulang kali kedua ke Tabaristan dan tinggal di sana sebentar sebelum pulang semula ke Baghdad dan menetap di situ sehingga akhir hayatnya.

Guru-Guru

Imam al-Tabari sempat bertemu dan belajar dengan ramai ulama yang sukar untuk dihimpunkan nama kesemuannya. Bukti ramainya guru beliau dapat dilihat pada sanad-sanad dalam kitab karangan beliau. Di sini disebutkan sebahagiannya:

1 – Muhammad bin Humaid al-Razi al-Tamimi (m. 248 H). Beliau merupakan guru pertama Imam al-Tabari di Ray. Imam al-Tabari belajar daripadanya ilmu hadis dan tafsir sehingga dikatakan Imam al-Tabari meriwayatkan daripadanya 100 ribu buah hadis.

2 – Abu Muqatil Muhammad bin Muqatil al-Razi. Beliau merupakan qadhi di Ray dan sahabat kepada Muhammad bin Hasan al-Syaibani. Beliau juga merupakan murid kepada Waki’ bin Jarrah dan Sufyan bin ‘Uyainah.

3 – ‘Imran bin Musa al-Laithi al-Basri, terkenal dengan nama al-Qazzaz (m. 240 H). Imam al-Tabari belajar daripadanya ketika mula-mula masuk ke Baghdad.

4 – Al-Walid bin Syuja’ al-Sakuni (m. 243 H). Imam al-Tabari belajar daripadanya di Kufah.

5 – Ahmad bin Mani’ al-Baghawi (m. 244H). Beliau merupakan sahabat Imam Ahmad bin Hanbal. Imam al-Tabari meriwayatkan hadis daripadanya sebagai ganti kepada Imam Ahmad.

6 – Abu Kuraib Muhammad bin al-‘Ala’ al-Hamdani (m. 247 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di Kufah dan sempat mempelajari 100 ribu buah hadis daripadanya.

Ada kisah yang menarik yang berlaku antaranya dengan Imam al-Tabari. Abu Kuraib ini merupakan seorang yang agak kasar dan bengis. Imam al-Tabari menceritakan bahawa beliau pergi ke rumahnya bersama penuntut ilmu yang lain. Lalu Abu Kuraib melihat kami di sebalik pintu kecil yang berada di rumahnya. Para penuntut ilmu ingin masuk ke dalam rumahnya.

Tiba-tiba Abu Kuraib berkata: Siapa yang menghafal apa yang dia tulis daripadaku? Para penuntut ilmu tersebut melihat sesama mereka lalu mereka melihat kepada Imam al-Tabari dan bertanya kepadanya: “Kamu hafal apa yang kamu tulis daripadanya?” Imam al-Tabari menjawab: “Ya.” Mereka lalu berkata: “Ini dia, tanyalah padanya.”

Imam al-Tabari lalu membaca hadis yang beliau telah riwayatkan daripada Abu Kuraib. Abu Kuraib terus bertanya sehingga beliau merasakan bahawa Imam al-Tabari merupakan seorang yang hebat. Beliau lalu membenarkan Imam al-Tabari untuk masuk dan belajar dengannya sehingga Imam al-Tabari dapat menguasai hadis-hadis Abu Kuraib.

7 – Hannnad bin al-Sari (m. 243 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di Kufah.

8 - Sulaiman bin Abdul Rahman bin Hammad al-Talhi al-Kufi (m. 252 H). Imam al-Tabari belajar ilmu qiraat daripadanya.

9 - Ahmad bin Yusuf bin Khalid al-Taghlabi al-Baghdadi (m. 273 H). Imam al-Tabari belajar ilmu qiraat daripadanya.

10 – Muhammad bin Abdul Malik bin Abi al-Syawarib (m. 244 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di Basrah.

11 – Muhammad bin Basyyar al-‘Abdi (m. 252 H) yang terkenal dengan nama Bundar. Imam al-Tabari bertemu dengannya di Basrah.

12 – Ya’qub bin Ibrahim al-Dauraqi (m. 252 H).

13 – Bisyr bin Mu’az al-‘Aqadi (m. 245 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di Basrah.

14 – Muhammad bin Abdul al-A’la al-San’ani (m. 245 H). Imam al-Tabari bertemu dengannya di Basrah.

15 – Al-Hasan bin Muhammad bin al-Sabbah al-Za’farani (m. 260 H). Beliau merupakan salah seorang perawi mazhab qadim Imam al-Syafi’e di Iraq.

16 – Abu Sa’id al-Hasan bin Ahmad al-Istakhri (m. 328 H). Beliau merupakan qadhi di Qom. Imam al-Tabari belajar daripadanya walaupun Imam al-Tabari lebih tua daripadanya.

17 – Daud bin Ali al-Zahiri (m. 270 H). Beliau merupakan pengasas mazhab al-Zahiri. Beliau pada asalnya bermazhab al-Syafi’e lalu keluar dan mengasaskan mazhabnya sendiri. Imam al-Tabari melazimi beliau selama beberapa ketika dan banyak menyalin kitab-kitab beliau. Setelah itu berlaku banyak perbincangan dan perdebatan antara mereka berdua sehingga Imam al-Tabari mengarang kitab mengkritik beliau yang bertajuk al-Radd ‘Ala Zi al-Asfar.

18 - Al-‘Abbas bin al-Walid al-Bairuti (m. 269 H). Imam al-Tabari belajar ilmu qiraat mengikut riwayat al-Syamiyyin daripadanya di Beirut.

19 - Yunus bin Abdul A’la al-Sadafi al-Misri (m. 264 H). Beliau merupakan murid kepada Abdullah bin Wahb. Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab Maliki dan ilmu qiraat mengikut riwayat Hamzah dan Warsh daripadanya di Mesir.

20 - Ahmad bin Abdul Rahman bin Wahb al-Misri yang digelar Bahsyal (m. 264 H). Beliau merupakan anak saudara Abdullah bin Wahb. Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab Maliki daripadanya di Mesir.

21 – Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam (m. 268 H). Beliau asalnya bermazhab Maliki namun setelah Imam al-Syafi’e datang ke Mesir beliau berpindah ke mazhab al-Syafi’e. Namun setelah itu beliau kembali semula ke mazhab Maliki.  Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab Maliki dan al-Syaf’ie serta ilmu sejarah daripadanya di Mesir. Imam al-Tabari juga turut belajar fiqh mazhab Maliki daripada dua saudara beliau, Abdul Rahman dan Sa’ad.

23 - Al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi (m. 270 H).

24 - Al-Rabi’ bin Sulaiman al-Azdi (m. 256).

25 - Isma’il bin Yahya bin Ibrahim al-Muzani (m. 264 H).

Ketiga-tiga mereka adalah murid Imam al-Syafie. Imam al-Tabari belajar fiqh mazhab al-Syafi’e daripada mereka di Mesir.

26 - Abu Hasan Ali bin Siraj al-Misri (m. 307 H). Imam al-Tabari bertemu dan belajar daripada ilmu-ilmu bahasa dan sastera Arab daripadanya di Mesir. Beliau sangat mengagumi hafalan, kebijaksanaan dan keluasan pembacaan Imam Ibnu Jarir sehinggakan Imam Ibnu Jarir telah menghafal syair al-Tirimmah sedangkan tidak ada orang lain yang menghafalnya di Mesir.

Murid-Murid

Imam al-Tabari mempunyai murid yang sangat ramai yang mengambil ilmu daripadanya dan meriwayatkan kitab-kitab karangannya. Di sebutkan di sini sebahagian murid-muridnya:

1 – Abu Syu’aib Abdullah bin al-Hasan al-Harani (m. 295 H). Beliau meriwayatkan hadis daripada Imam al-Tabari meskipun beliau lebih berusia dan mempunyai sanad yang lebih tinggi (‘aliy) daripada Imam al-Tabari.

2 – Abu Qasim Sulaiman bin Ahmad al-Tabrani (m. 360 H). Pengarang kepada tiga mu’jam yang terkenal; al-Kabir, al-Ausat dan al-Saghir. Beliau belajar tafsir dan hadis daripada Imam al-Tabari.

3 – Al-Qadhi Abu Bakar Ahmad bin Kamil (m. 350 H). Antara murid kanan Imam al-Tabari. Beliau merupakan qadhi di Kufah. Beliau ada mengarang kitab khas berkenaan biografi Imam al-Tabari. Beliau juga mengikut mazhab gurunya dalam fiqh dan mengarang kitab berkenaan mazhab gurunya.

4 – Abu Ahmad Abdullah bin ‘Adi (m. 365 H). Pengarang kitab al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal. Beliau mempunyai guru yang sangat ramai, lebih daripada 1000 orang dan antara yang terkenal ialah Imam al-Tabari.

5 – Abu al-Farj al-Mu’afa bin Zakariyya al-Nahrawani (m. 390 H). Beliau juga digelar al-Jariri, nisbah kepada Imam Ibnu Jarir kerana beliau mengikut mazhab gururnya. Beliau antara murid kanan Imam al-Tabari yang bertanggungjawab memelihara kitab-kitab dan fiqh Imam al-Tabari. Selain itu, beliau juga mensyarahkan kitab Imam al-Tabari seperti kitab al-Khafif dan Ahkam Syara’I’ al-Islam.

6 – Muhammad bin Ali bin Isma’il al-Qaffal al-Kabir (m. 365 H). Beliau belajar daripada Imam al-Tabari di Iraq.

Kitab Penulisan

Imam al-Tabari merupakan seorang yang sangat bijak menjaga dan menyusun waktunya. Beliau mengkhususkan waktu khas daripada harinya untuk mengarang kitab iaitu pada waktu antara zohor dan asar dan setelah waktu isyak. Oleh itu beliau dapat menghasilkan banyak karya sepanjang hidupnya sehinggakan beliau antara ulama yang dijadikan contoh dari segi banyaknya hasil penulisan.

Ali bin ‘Ubaidullah al-Samsami berkata:

“Al-Tabari tekun menulis selama 40 tahun dan setiap hari beliau menulis sebanyak 40 lembaran. Dengan menghitungnya jelaslah bahawa kesemua yang beliau tulis lebih daripada 580 ribu helai lembaran.”

Murid-muridnya juga pernah menghitung keseluruhan jumlah helaian penulisan beliau lalu dibahagikan kepada jumlah hari kehidupan beliau, semenjak beliau baligh sehingga meninggal dunia. Mereka mendapati bahawa pada setiap hari sekurang-kurangnya beliau menulis sebanyak 14 helaian.

Berikut adalah senarai hasil tulisan beliau:

(i) Kitab-kitab yang telah diterbitkan:

1 – Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Ay al-Quran.

Kitab ini terkenal dengan nama Tafsir al-Tabari, nisbah kepada pengarangnya. Kitab ini merupakan kitab tafsir terbesar dan terawal dari abad ke-3 Hijrah yang sampai ke hari ini. Pada mulanya Imam al-Tabari ingin mengimlakkan kitab ini sebanyak 30 ribu helaian kertas namun murid-muridnya mengadu tidak sanggup untuk menyalinnya. Lalu beliau meringkaskannya kepada 3000 helaian sahaja supaya mudah untuk membaca dan menghafalnya. Beliau mula mengimlakkan kitab ini pada tahun 283 Hijrah dan tamat pada 290 Hijrah.

Dalam kitab ini Imam Ibnu Jarir menafsirkan al-Quran menggunakan riwayat-riwayat yang ma’thur sama ada dengan al-Quran sendiri atau hadis Nabi sallahu ‘alaihi wasallam serta pendapat sahabat dan tabiin yang disertakan sanad-sanadnya. Pendapat-pendapat sahabat dan tabiin tersebut akan disertakan pendalilannya dari sudut bahasa dan syair-syair Arab. Jika sahabat dan tabiin berbeza pendapat dalam menafsirkan suatu ayat beliau akan mengemukan tarjih beliau sendiri. Beliau juga mengambil berat untuk membentangkan bentuk-bentuk qiraat bagi ayat yang sedang ditafsirkan sebagaimana beliau juga turut menyenaraikan hukum-hukum fiqh, mazhab-mazhab sahabat dan tabiin serta ijmak ulama. Bagi ayat-ayat berkaitan hukum-hakam pula beliau akan menyebutkan istinbat beliau daripada ayat tersebut.

Kitab ini telah dipuji oleh ramai ulama seperti Imam al-Nawawi dan al-Hafiz al-Zahabi yang mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang pernah menulis kitab tafsir seumpama kitab ini.

Ibnu Khuzaimah pernah meminjam kitab tafsir ini daripada Ibnu Khalawaih lalu memulangkannya setelah membacanya selama beberapa tahun. Beliau lalu berkata: “Aku melihat di dalamnya dari awal hingga akhirnya. Tidak aku ketahui bahawa ada di atas muka bumi ini orang yang lebih alim daripada Ibnu Jarir.”

Suatu masa dahulu kitab ini pernah dianggap hilang ditelan zaman sehingga orientalis German, Theodor Nöldeke pernah berkata: “Kalaulah kita berjaya mendapatkan kitab ini nescaya kita tidak perlu lagi kepada kitab tafsir yang ditulis kemudian daripadanya.” Namun setelah itu manuskrip tafsir ini berjaya ditemui lalu diterbitkan. Tafsir al-Tabari ini pertama kali diterbitkan menggunakan 3 naskhah manuskrip tulisan tangan oleh al-Matba’ah al-Maimaniyah kepunyaan syarikat Mustafa al-Babi al-Halabi pada tahun 1903. Setelah itu, ia diterbitkan beberapa kali oleh penerbit yang berbeza.


2 – Tarikh al-Umam Wa al-Muluk.

Kitab ini terkenal dengan nama Tarikh al-Tabari, nisbah kepada pengarangnya sebagaimana kitab tafsir beliau. Nama lain baginya ialah Tarikh al-Rusul Wa al-Muluk dan Yaqut al-Hamawi menyebutkan namanya sebagai Tarikh al-Rusul Wa al-Anbiya’ Wa al-Muluk Wa al-Khulafa’. Imam al-Tabari menyelesaikan penulisan kitab ini pada tahun 303 Hijrah.

Isi kandungan kitab ini dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian:

(i) Khutbah kitab

Kitab ini dimulakan dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian dibincangkan berkenaan penciptaan manusia, susur galur penulisan kitab ini dan manhaj beliau di dalamnya.

(ii) Mukadimah

Mukadimah kitab ini mengandungi perbahasan berkenaan masa dari sudut akidah Islam, pendapat-pendapat ulama tentang kadar masa sejak awal hingga akhirnya dan tentang kebaharuan (huduth) masa. Setelah itu dilanjutkan perbincangan tentang permulaan penciptaan makhluk dan berkaitan makhluk pertama yang dicipta iaitu Qalam. Perbincangan selanjutnya berkenaan kejadian langit, bumi, siang, malam, matahari, bulan, penciptaan Iblis dan kisah-kisah tentangnya.

(iii) Bahagian pertama: Sejarah dunia sebelum Islam

Penceritaan kisah-kisah para anbiya’ bermula nabi Adam sehingga nabi Muhammad sallhu ‘alaihi wasallam.

(iv) Bahagian kedua: Sejarah dunia selepas Islam

Dapat dibahagikan kepada empat zaman:

A – Zaman Kenabian

Bermula dari penurunan wahyu sehingga tahun 11 Hijrah, iaitu tahun kewafatan Rasulullah sallhu ‘alaihi wasallam.

B – Zaman Khulafa al-Rashidin

Sejarah khulafa al-Rashidin, pembukaan negara dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sehingga tahun 40 Hijrah.

C – Zaman Khalifah Umawiyah

Sejarah kerajaan Umawiyah, khalifah-khalifahnya, pembukaan negara dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sehingga kejatuhan Khalifah Umawiyah pada tahun 132 Hijrah.

D – Zaman Khalifah Abbasiyah

Sejarah khalifah Bani Abbasiyah, peperangan yang berlaku dan pepecahan kumpulan dan aliran agama Islam yang terzahir di zaman ini sehingga tahun 302 Hijrah.

Kitab ini pertama kali diterbitkan di Leiden, antara tahun 1878 dan 1879, di bawah seliaan beberapa orang orientalis. Terbitan ini dianggap tidak sempurna kerana mereka tidak berjaya mendapatkan manuskrip yang lengkap bagi kitab ini. Di bahagian akhir kitab ini juga dilampirkan kitab al-Muntakhab Min Zail al-Muzayyal Fi Tarikh al-Sahabah Wa al-Tabi’in dan Mukhtasar Tarikh al-Tabari karangan ‘Uraib bin Sa’ad al-Qurtubi.

Setelah itu kitab ini diterbitkan beberapa kali dan antara cetakan yang terbaik ialah terbitan Dar al-Ma’arif di Mesir sebanyak 11 jilid, pada tahun 1960 sehingga 1967, di bawah seliaan Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim. Kitab ini diterbitkan dengan merujuk kepada cetakan-cetakan Tarikh al-Tabari yang telah diterbitkan sebelumnya berserta manuskrip tulisan tangan yang tidak berjaya ditemui oleh beberapa orang orientalis tersebut. Di samping itu turut dilampirkan dua buah kitab ‘Uraib bin Sa’ad yang disebutkan sebelum ini berserta Takmilah Tarikh al-Tabari karangan Muhammad bin Abdul Malik al-Hamzani. Muhaqqiq juga telah merujuk kepada kitab-kitab yang mempunyai hubungan dengan Tarikh al-Tabari seperti Tafsir al-Tabari, Sirah Ibnu Hisyam dan kitab-kitab sejarah, bahasa, sastera dan diwan-diwan syair.

3 – Tahzib al-Athar Wa Tafsil al-Thabit ‘An Rasulullah Min al-Akhbar

Dalam kitab ini Imam al-Tabari menyusun hadis-hadis yang beliau riwayatkan menurut susunan musnad, dimulakan dengan musnad 10 sahabat yang dijamin syurga. Kemudian diikuti dengan musnad ahli bait, al-mawali, kemudian musnad bani Hashim dan hanya berakhir dengan musnad Abdullah bin ‘Abbas kerana beliau meninggal dunia sebelum menyelesaikan kitab ini.

Hadis-hadis yang terkandung dalam kitab ini beliau syarahkan dari sudut sanad dan matannya. Dari sudut sanad, beliau huraikan jalur-jalur sanad dan ‘ilalnya. Dari sudut matan pula, beliau jelaskan lafaz hadis yang gharib berserta maknanya, hukum syarak yang dapat diistinbat daripada hadis, khilaf fuqaha berserta dalil dan hujah mereka dan tarjih dan pandangan peribadi beliau terhadap permasalah tersebut.

Dalam musnad Abu Bakar yang merupakan bab pertama dalam kitab ini beliau menyebutkan sebuah mukadimah yang menjelaskan syarat dan manhaj beliau dalam kitab ini. Dalam kitab ini beliau mensyaratkan hadis-hadis sahih sahaja, namun beliau juga menyebutkan hadis-hadis yang tidak sahih kerana bertujuan untuk menjelaskan illah hadis tersebut dan disebutkan juga hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh sebahagian ulama yang beranggapan ia sahih walaupun di sisi Imam al-Tabari ia tidak sahih.

Di samping Imam al-Tabari tidak sempat menyelesaikan kitab ini, kitab ini juga sampai ke zaman kita secara tidak lengkap. Hanya beberapa bahagian daripada kitab ini yang masih tersisa dan diterbitkan dengan tahqiq Syeikh Mahmud Syakir iaitu: Musnad Umar bin al-Khattab, sebahagian musnad Ali bin Abi Talib dan sebahagian Musnad Abdullah bin Abbas. Pada tahun 1995 penerbit Dar al-Ma’mun menerbitkan sebahagian musnad Abdul Rahman bin ‘Auf dan musnad al-Zubair bin al-‘Awwam dengan tahqiq Ali Ridha bin Abdullah.

4 – Ikhtilaf al-Fuqaha’

Nama asli bagi kitab ini ialah Ikhtilaf Ulama al-Amsar Fi Ahkam Syara’iq al-Islam. Kitab ini merupakan kitab karangan beliau yang pertama. Dalam kitab ini beliau menyebutkan fiqh yang dikhilafkan oleh para fuqaha iaitu: Malik bin Anas, al-Auza’ie, Sufyan al-Thauri, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, al-Syafi’e dan Abu Thaur. Begitu juga beliau menyebutkan pendapat para fuqaha di kalangan sahabat dan tabiin. Setelah menyiapkan kitab ini beliau mengajarkannya kepada murid-muridnya. Semasa mengajarkan kitab ini beliau sentiasa memperbaikinya di samping menambah ulasan, pendapat peribadi dan tarjih beliau terhadap perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan fuqaha.

Kitab ini telah dikarang setebal 3000 helaian kertas yang menyamai kitab tafsir beliau. Yaqut al-Hamawi menyebutkan bahawa kitab Tarikh beliau telah ditulis dalam 1000 helaian kertas. Pada hari ini kitab Tarikh al-Tabari telah dicetak sebanyak 10 jilid. Oleh itu sekiranya dicetak kitab Ikhtilaf al-Fuqaqa’ ini secara lengkap nescaya akan mencapai sebanyak 30 jilid. Ini menunjukkan bahawa kitab ini adalah sebuah ensiklopedia gergasi yang menghimpunkan ilmu khilaf dan fiqh perbandingan. Kitab ini juga membuktikan keluasan ilmu Imam al-Tabari yang menghimpunkan khazanah ilmu fiqh semenjak zaman sahabat, tabiin sehingga zaman imam-imam mazhab.

Malangnya kitab ini tidak sampai ke zaman kita secara lengkap melainkan hanya sebahagian kecil sahaja. Penerbitan kitab ini pertama kali diusahakan oleh seorang orientalis German bernama Friedrich Kern pada tahun 1902 di Mesir. Pada tahun 1933 kitab ini diterbitkan sekali lagi di Leiden berserta penambahan isi kandungannya di bawah seliaan orientalis German, Joseph Schacht.

5 - Al-Tabsir Fi Ma’alim al-Din

Kitab ini asalnya adalah surat yang dikirimkan kepada pengikut beliau di Aamul, Tabaristan untuk menjelaskan beberapa isu akidah yang menjadi perselisihan antara Ahli Sunnah dan pengikut aliran yang menyeleweng. Beliau akan menyebutkan pendapat-pendapat kumpulan sesat tersebut lalu mengkritiknya dan menyatakan pendapat yang benar di sisi Ahli Sunnah.

Kitab ini diterbitkan oleh Dar al-Asimah pada tahun 1997 dengan tahqiq Ali bin Abdul Aziz al-Syibl setebal 272 halaman berserta indeks dan ulasan pentahqiq. Muhaqqiq menggunakan manuskrip yang terdapat di El Escorial, Sepanyol dan manuskrip tersebut tidak sempurna kerana terdapat kerosakan di bahagian 6 helaian terakhirnya.

6 – Sarih al-Sunnah

Dinamakan juga kitab ini sebagai Syarah al-Sunnah. Kitab ini merupakan sebuah kitab kecil yang ditulis dalam beberapa helaian kertas. Kitab ini mengandugi beberapa persoalan akidah seperti al-Quran adalah kalam Allah dan bukan makhluk, melihat Allah di hari akhirat, perbuatan hamba (af’al a-‘ibad), kedudukan sahabat dalam Islam, iman bertambah dan berkurang, hukum lafaz al-Quran yang diucapkan oleh manusia, isu nama adalah sama dengan objek yang dinamakan (al-ism huwa al-musamma) dan peringatan agar tidak mereka-reka ucapan seseorang sedangkan dia tidak mengucapkannya.

Kitab ini telah diterbitkan beberapa kali antaranya oleh Dar al-Khulafa’ pada tahun 1985 dengan tahqiq Badr bin Yusuf al-Ma’tuq.

(ii) Kitab-kitab yang belum diterbitkan atau telah hilang atau yang belum dapat dipastikan kewujudannya:

4 – Latif al-Qaul Fi Ahkam Syara’iq al-Islam

Imam al-Tabari mengarang kitab ini selepas kitab Ikhtilaf al-Fuqaha’. Kitab ini merupakan kitab fiqh beliau yang terpenting dan merupakan tonggak bagi pengikut mazhabnya.

Dalam kitab ini beliau menyebutkan masalah-masalah fiqh berdasarkan ijtihad beliau sendiri berserta dalil dan pendalilannya. Kitab ini berjaya disempurnakan oleh beliau dan mengandungi sebanyak 83 kitab (bab-bab besar). Ketebalannya berjumlah 2500 helaian kertas iaitu hampir menyamai kitab tafsir beliau.

Kitab ini dimulakan dengan sebuah mukadimah berkenaan manhaj dan kaedah beliau dalam berijtihad. Mukadimah ini dinamakan sebagai al-Risalah kerana mengikut jejak langkah Imam al-Syafi’e yang menjadikan kitab al-Risalah sebagai mukadimah bagi kitab beliau, al-Umm.

5 -  Al-Khafif Fi Ahkam Syara’iq al-Islam

Kitab ini merupakan ringkasan kepada kitab al-Latif bagi meraikan golongan yang rendah semangatnya bagi membaca kitab tebal-tebal. Ini adalah kebiasaan para fuqaha yang menghasilkan kitab kepada beberapa tingkatan. Kitab yang nipis biasanya dikarang untuk pemula dan orang yang tidak berkeahlian agar mudah difahami. Kitab yang tebal-tebal pula untuk golongan khusus yang ingin mendalami perbahasan fiqh yang lebih rumit dan kompleks. Menurut Yaqut al-Hamawi, ketebalan kitab ini adalah sebanyak 400 helaian kertas, iaitu hampir satu per tiga kitab Tarikh al-Tabari.

Sebab penulisan kitab ini adalah untuk memenuhi pemintaan seorang menteri bernama Abu Ahmad al-‘Abbas ibnu al-Hasan al-Azizi yang berhasrat untuk meneliti hukum-hukum fiqh. Lalu beliau mengirim surat kepada Imam al-Tabari supaya meringkaskan kitab al-Latif tersebut. Setelah selesai meringkaskannya Imam al-Tabari lalu mengirimkannnya kepada menteri tersebut lalu dihadiahkan wang sebanyak 1000 dinar namun enggan diterima oleh Imam al-Tabari.

6 – Basith al-Qaul Fi Ahkam Syara’iq al-Islam

Kitab ini diantara kitab terpenting yang dihasilkan oleh Imam al-Tabari di akhir hayat beliau. Kitab ini dimulakan dengan sejarah fiqh Islam dan perkembangannya di Madinah lalu beralih ke zaman sahabat dan tabiin yang tersebar luas ke serata belahan dunia seperti Mekah, Kufah, Basrah dan Syam. Setelah itu barulah  Imam al-Tabari mula menyebutkan hukum-hukum fiqh, furuk-furuknya, pendapat ulama, kesepakatan dan khilaf mereka. Beliau lalu melakukan tarjih dan memilih pandangan yang dianggap tepat di sisi beliau. Ketebalan kitab ini dianggarkan oleh Yaqut al-Hamawi setebal 2000 helaian kertas dan Imam al-Tabari meninggal dunia sebelum sempat menyempurnakannya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa kitab beliau bertajuk Maratib al-Ulama dan Adab al-Qadha adalah sebahagian daripada kitab al-Basith dan ditulis sebagai mukadimah baginya.

7 – Al-Radd ‘Ala Zawi al-Asfar

Kitab ini dihasilkan oleh Imam al-Tabari untuk mengkritik pandangan Daud bin Ali al-Zahiri, pengasas mazhab al-Zahiri. Berlaku beberapa sesi perbincangan dan perdebatan antara mereka berdua dan Imam al-Tabari berusaha mempertahankan pendapat dan dalil-dalil beliau. Lalu muncul seorang pengikut Daud al-Zahiri yang mencela Imam al-Tabari dalam majlis munazarah tersebut. Imam al-Tabari lalu beredar dari majlis itu dan menulis kitab ini. Daud al-Zahari pula tidak bercakap dengan pengikutnya itu selama setahun sebagai balasan terhadap apa yang dia telah lakukan kepada Imam al-Tabari. Kitab in ditulis sedikit demi sedikit sehingga mencapai 200 helaian kertas. Namun beliau tidak menyambung penulisannya setelah kematian Daud al-Zahiri.

8 – Al-Radd ‘Ala Ibnu ‘Abdul Hakam ‘Ala Malik

Sewaktu di Mesir Imam al-Tabari telah mempelajari fiqh Maliki daripada keturunan Ibnu ‘Abdul Hakam iaitu Muhammad, Abdullah dan Sa’ad. Kitab ini dikarang khusus untuk mengkritik pendapat guru-gurunya itu dan fiqh mazhab Maliki.

9 – Manasik al-Hajj

Kitab ini juga dinamakan sebagai Mukhtasar Manasik al-Hajj atau Adab al-Hajj. Kitab ini menghimpunkan hukum-hakam fiqh dan adab-adab yang perlu diketahui oleh orang yang melaksanakan haji.

10 – Kitab al-Faraid atau Mukhtasar al-Faraid

Kitab ini berkenaan hukum-hakam dan nas-nas syarak berkaitan hukum faraid, cara membahagikan harta pusaka dan senarai ahli waris pusaka.

11 – Kitab al-Waqf

Kitab ini dikarang untuk Khalifah al-Muktafi. Di dalamnya disebutkan tentang ijmak dan khilaf ulama berkenaan waqaf berserta syarat-syarat dan hukum-hukum waqaf.

12 – Kitab al-Syurut

Ilmu Syurut merupakan salah satu cabang ilmu fiqh. Ilmu ini membicarakan tentang cara untuk menulis dan merekodkan hukum-hukum syarak dengan cara yang betul agar dapat digunakan apabila perlu. Imam al-Tabari antara yang terawal menulis kitab dalam bab ini dan kitab ini menjadi rujukan penduduk Baghdad. Ada ulama yang berpendapat kitab ini merupakan sebahagian daripada kitab al-Basith.

13 – Al-Mujaz Fi al-Usul

14 – Al-Adar Fi al-Usul

15 – Al-Qiyas

16 – Al-Risalah

Keempat-empat kitab di atas ini merupakan kitab beliau dalam bidang usul fiqh. Tiga kitab yang awal tidak sempat disiapkan dan kitab keempat adalah mukadimah bagi kitab al-Latif sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.

17 – Zail al-Muzayyal

Kitab ini dikarang sebagai sambungan dan pelengkap bagi kitab Tarikh beliau. Kandungan kitab ini berkenaan sejarah sahabat, tabiin dan para ulama setelah itu sehingga zaman Imam al-Tabari. Beliau menyenaraikan tarikh kewafatan mereka, nasab, guru-guru, murid-murid, pujian dan kritikan (al-jarh wa al-ta’dil) terhadap mereka, kisah-kisah menarik tentang mereka dan pembelaan terhadap beberapa tokoh yang dituduh berfahaman menyeleweng sedangkan tuduhan itu tidak benar.

Kitab ini telah beliau imlakkan kepada murid-muridnya pada tahun selepas 300 Hijrah dan ditulis dalam 1000 helaian kertas. Kitab ini telah hilang (mafqud) namun ringkasan bagi kitab ini yang dilakukan oleh ‘Uraib bin Sa’ad al-Qurtubi masih ada dan dicetak di bahagian akhir Tarikh al-Tabari sebagimana yang dijelaskan sebelum ini.

18 – Al-Musnad al-Mujarrad

Kitab ini menghimpunkan hadis-hadis yang beliau riwayatkan daripada guru-gurunya lalu beliau mengajarkannya kepada orang ramai.

19 – Fadhail Ali bin Abi Talib

Sebab penulisan kitab ini kerana beliau terdengar seseorang yang meragui hadis Ghadir Khum, lalu beliau mengarang kitab ini yang menyebutkannya berserta riwayat-riwayat dan sanad-sanadnya. Setelah itu beliau masukkan sekali hadis-hadis berkenaan kelebihan Ali bin Abi Talib. Namun beliau meninggal dunia tanpa sempat menyiapkannya.

20 – Fadhail Abu Bakar Wa Umar

Kitab ini mengumpulkan hadis dan athar yang menunjukkan kelebihan Abu Bakar dan Umar kerana terdapat sebahagian penduduk Tabaristan yang celupar mulutnya sehingga mencerca mereka berdua. Kitab ini juga bertujuan menolak tuduhan Syiah yang dilemparkan kepada beliau disebabkan penulisan beliau berkenaan hadis Ghadir Khum. Kitab ini juga tidak sempat disempurnakan.

21 – Fadhail al-Abbas

Kitab ini dikarang atas pemintaan sebahagian pemimpin berketurunan al-Abbas bin Abdul Muttalib yang ingin supaya dihimpunkan hadis-hadis berkenaan al-Abbas dan kedudukan beliau dalam Islam. Kitab ini juga tidak sempat disempurnakan.

22 – Musnad Ibnu Abbas

Menurut Dr Muhammad al-Zuhaily, kitab ini mungkin sebenarnya sebahagian daripada kitab Tahzib al-Athar yang sudah dibicarakan sebelum ini.

23 – Kitab Fi Ibarah al-Ru’ya

Menghimpunkan hadis-hadis berkenaan mimpi dan takwilannya. Imam al-Tabari meninggal dunia sebelum menyempurnakannya.

24 – Hadith al-Tair

Ibnu Kathir berkata: “Aku melihat baginya kitab yang menghimpunkan di dalamnya sanad-sanad hadis al-Tair.”

25 – Kitab al-Qiraat Wa Tanzil al-Quran

Kitab ini berkenaan ilmu qiraat, nama-nama qurra’ dan mazhab Imam al-Tabari dalam qiraat. Menurut Abu Ali al-Ahwazi, saiz kitab ini adalah setebal 18 jilid.

Kitab ini tidak pernah dicetak dan diterbitkan namun selamat sampai sebahagiannya ke zaman kini. Terdapat sebuah manuskrip tulisan tangan bagi kitab ini di Maktabah Jami’ al-Azhar.

26 – Adab al-Nufus al-Jadidah Wa al-Akhlaq al-Nafisah

Kitab ini juga dinamakan Adab al-Nafs al-Syarifah Wa al-Akhlaq al-Hamidah. Isi kandungannya berkenaan topik-topik penyucian hati seperti warak, zuhud, ikhlas, riyak, sombong, tawaduk, sabar dan lain-lain. Beliau menyebutkan hadis dan ucapan sahabat dan tabiin yang diriwayatkan berkenaan topik-topik tersebut.

Kitab ini telah diimlakkan kepada muridnya pada tahun 310 Hijrah dan berjaya disalin sehingga 4 juzuk yang mengandungi 500 helaian kertas. Kitab ini tidak sempat disempurnakan.

Begitu juga di sana terdapat beberapa lagi kitab-kitab karangan Imam al-Tabari yang tidak disebutkan di sini kerana bimbang akan memanjangkan tulisan ini.

Pujian Ulama

Imam al-Tabari diberi pujian dan sanjungan yang tinggi oleh para ulama terkemuka yang mengetahui keunggulan, kedudukan, ketakwaan, ilmu, dan karya-karyanya. Sememangnya beliau layak untuk mendapatkan gelaran dan penghargaan tersebut. Di sini disebutkan beberapa pujian tersebut:

1 - Al-Khatib al-Baghdadi (m. 463 H) berkata: "Beliau adalah salah seorang imam di kalangan ulama, ucapannya dijadikan hakim/pemutus dan pendapatnya dijadikan rujukan karena pengetahuannya dan keunggulannya. Beliau telah mengumpulkan ilmu yang tidak ada tandingannya di zamannya."

2 - Yaqut al-Hamawi (m. 626 H) berkata: "Abu Ja'far al-Tabari, seorang ahli hadis, ahli fiqh, pakar al-Quran, sejarawan yang terkenal dan masyhur."

3 - Jamaluddin al-Qifti (m. 646 H) berkata: "Beliau adalah seorang alim yang sempurna, faqih, pakar al-Qur'an, ahli nahu, ahli bahasa Arab, pakar hadis, ahli sejarah, dan pengumpul pelbagai ilmu pengetahuan. Tidak dilihat orang lain yang mempunyai ilmu yang sama sepertinya dan dia menulis karya-karya besar."

4 – Ibnu Khallikan (m. 681 H) berkata: “Beliau adalah penulis kitab tafsir yang besar dan  kitab sejarah yang terkenal. Beliau adalah imam dalam berbagai bidang ilmu. Beliau memiliki karya-karya yang indah dalam berbagai bidang yang menunjukkan luas pengetahuannya dan kelebihannya yang melimpah-limpah. Beliau termasuk dalam golongan imam mujtahid.”

5 – Ahli sejarah Islam, al-Hafiz al-Zahabi (m. 748 H) berkata: "Beliau adalah imam yang agung, seorang mufassir, Abu Ja'far, pemilik karya-karya yang sangat bagus. Beliau adalah salah satu dari para imam besar yang dijadikan sandaran dalam Islam."

Beliau berkata lagi:

"Beliau adalah seorang imam, tokoh mujtahid, seorang alim pada zamannya, Abu Ja'far al-Tabari, pemilik karya-karya yang indah. Beliau seorang yang banyak mengembara dan bertemu dengan tokoh-tokoh hebat. Beliau merupakan tokoh ilmu yang unik sepanjang zaman. Seorang yang bijak dan memiliki banyak karya yang jarang mata dapat melihat orang seumpamanya."

Kemudian al-Zahabi berkata lagi: "Beliau adalah seorang yang dapat dipercayai, jujur, pakar hadis, terkemuka dalam bidang tafsir, imam dalam fiqh, ijma'  dan khilaf. Sangat alim dalam sejarah dan latar belakang manusia, sangat arif tentang qiraat, bahasa, dan banyak lagi."

6 - Tajuddin al-Subki (m. 771 H) berkata: "Beliau adalah seorang imam agung, mujtahid mutlaq, Abu Ja'far al-Tabari, berasal dari Aamul, Tabaristan. Beliau adalah salah satu imam dunia dalam ilmu dan agama."

7 - Al-Hafiz Ibn Kathir (m. 774 H) berkata: "Beliau meriwayatkan banyak hadis dari ramai ulama. Beliau melakukan perjalanan jauh dalam mencari hadis, menulis maklumat sejarah yang banyak, dan memiliki tafsir yang lengkap yang tak tertandingi oleh yang lain, serta karya-karya lain yang penuh dengan ilmu berkaitan usul dan furuk.  Salah satu karyanya yang terbaik adalah Tahzib al-Athar. Jika beliau menyelesaikannya nescaya tidak akan ada keperluan lagi untuk karya yang lain kerana  ia sudah mencukupi,  tetapi beliau tidak sempat menyelesaikannya."

Ibnu Kathir berkata lagi: “Beliau adalah seorang yang ahli beribadah, zuhud, warak, teguh dalam memegang kebenaran dan tidak takut kepada celaan manusia. Beliau memiliki suara yang indah ketika membaca al-Qur'an, beserta pengetahuan yang lengkap tentang cara membaca al-Quran dengan kaedah yang terbaik. Beliau adalah salah seorang daripada tokoh golongan solihin. Beliau juga adalah salah seorang daripada ulama hadis yang berkumpul di Mesir pada zaman Ibn Tulun. Beliau adalah salah seorang daripada imam-imam Islam dalam ilmu dan beramal dengan kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.”

Kebijaksanaan Imam al-Tabari

Salah satu bukti kecerdasan dan kecerdasan Imam al-Tabari adalah berdasarkan apa yang diceritakan oleh Imam al-Tabari sendiri tentang dirinya yang mempelajari ilmu 'arudh dalam satu malam.

Beliau berkata: "Ketika saya tiba di Mesir, tidak ada seorang pun daripada para ulama yang tidak bertemu dengan saya dan menguji pengetahuan saya dalam ilmu yang mereka kuasai. Pada suatu hari, seorang lelaki datang dan bertanya kepada saya tentang sesuatu dalam ilmu 'arudh dan saya tidak mempersiapkan dirinya untuknya sebelum itu. Jadi saya berkata kepadanya: "Saya tidak mahu berbicara tentang ilmu 'arudh pada hari ini. Tanyalah saya pada esok hari. Saya kemudian meminta seorang rakan untuk membawa buku ilmu 'arudh karya al-Khalil bin Ahmad lalu dia membawakannya. Saya membacanya sepanjang malam. Pada malamnya saya tidak tahu tentang ilmu arudh namun pada pagi harinya saya telah menguasai ilmu 'arudh tersebut."

Rutin Harian Imam al-Tabari

Imam al-Tabari bijak mengatur waktunya antara mengajar, menulis, tidur, dan beribadah. Beliau tidur sejenak sebelum zohor dan melakukan solat zohor di rumahnya. Kemudian beliau mulai menulis hingga asar. Setelah itu beliau keluar untuk melakukan solat asar. Kemudian beliau duduk di depan orang ramai dan mengajarkan mereka al-Quran dan orang membacakan al-Quran kepadanya sehingga maghrib.

Setelah itu, beliau duduk untuk mengajar ilmu fiqh. Sesi belajar dan muzakarah dilakukan di hadapannya hingga waktu akhir solat isyak. Kemudian beliau masuk ke dalam rumahnya. Setelah memasuki rumahnya, beliau tidak mengizinkan sesiapa pun masuk kerana beliau sibuk dengan penulisan melainkan kerana hal yang penting .

Beliau tetap menjaga bacaan al-Quran hariannya. Setiap malam, beliau membaca seperempat atau bahagian yang banyak daripada Al-Quran. Ibnu Kamil berkata: “Beliau telah membahagi waktu malam dan siangnya untuk kepentingan dirinya, agamanya, dan masyarakat sebagaimana yang Allah telah memberi petunjuk padanya.”

Mazhab Jariri

Ramai ulama yang pakar dalam bidang sejarah syariat Islam, sejarawan, dan pengarang kitab biografi menyatakan bahawa Imam al-Tabari telah mencapai darjat ijtihad mutlak. Beliau kemudian memisahkan diri dari mazhab al-Syafi'e dan membangunkan mazhab tersendiri yang dikenali sebagai mazhab Jariri dalam bidang fiqh. 

Dalam kitab Tabaqat al-Fuqaha, Abu Ishaq al-Shirazi menyebutkan Ibn Jarir al-Tabari sebagai salah seorang daripada mujtahid yang bebas dan tidak meletakkannya dalam golongan pengikut Mazhab al-Syafi'e.

Ibn Khallikan berkata: "Beliau termasuk dalam kalangan imam mujtahid dan tidak bertaklid kepada sesiapapun."

Namun begitu mazhab beliau tidak bertahan lama dan akhirnya pupus sekitar abad ke-5 Hijrah.

Ibn Farhun al-Maliki berkata: "Adapun pengikut-pengikut al-Tabari dan Abu Thaur, mereka tidak ramai dan tidak berlangsung lama. Pengikut-pengikut Abu Thaur pupus setelah tiga ratus tahun dan pengikut-pengikut al-Tabari pupus selepas empat ratus tahun."

Imam al-Tabari bersama Hanabilah

Setelah beliau pulang dari mengembara mencari ilmu dan menetap di Baghdad, telah berlaku perbalahan antara beliau dengan Hanabilah. Perbalahan itu berlaku kerana tiga sebab. Pertama, beliau dituduh memperkecilkan penguasaan fiqh Imam Ahmad. Kedua, tuduhan bahawa beliau berfahaman Syiah. Ketiga, permusuhan beliau dengan dengan beberapa orang tokoh Hanabilah di Baghdad seperti Abu Bakar bin Abu Daud al-Sijistani yang merupakan anak penulis Sunan Abu Daud. Abu Bakar bin Abu Daud telah menuduh beliau berfahaman nasibi (membenci 'Ali bin Abi Talib) lalu mempengaruhi kerajaan untuk menindas Imam al-Tabari. Beliau turut mengecam Imam al-Tabari kerana beriktikad bahawa bacaan al-Quran adalah makhluk.

Untuk membersihkan namanya, Imam al-Tabari menulis sebuah buku kecil bertajuk Sarih al-Sunnah untuk menjelaskan pendirian beliau tentang isu-isu akidah tersebut. Namun buku berkenaan tidak berjaya menangkis tuduhan-tuduhan palsu yang dilemparkan kepada beliau. Hanabilah tetap berdegil memulau dan menghalang pergerakan beliau sehingga beliau meninggal dunia. Pengkebumian jenazah beliau juga turut dihalang sehingga jenazahnya terpaksa dikebumikan di dalam rumahnya. Imam Ibnu Khuzaimah pernah membela Imam al-Tabari dengan katanya: “Aku tidak mengetahui seorangpun di atas muka bumi ini yang lebih alim daripada Ibnu Jarir. Sesungguhnya Hanabilah telah menzalimi beliau."

Kewafatan

Sesungguhnya Allah telah memberkati kehidupan Imam al-Tabari. Beliau hidup selama 86 tahun dengan kehidupan yang dipenuhi dengan ibadat, menulis kitab, berfatwa, mengajarkan ilmu dan mendidik murid-muridnya. Berkekalanlah kisah hidupnya diingati sepanjang sejarah. Namanya disebut-sebut di bibir-bibir manusia, bukunya berpindah dari generasi ke generasi dan ilmunya terus dimanfaatkan oleh manusia hingga hari kiamat.

Setelah selesai melakukan perjalanan panjang mencari ilmu pengetahun beliau memilih untuk menetap di Baghdad, ibu kota khalifah Abbasiyah yang merupakan pusat kebudayaan dan ilmu pengetahuan terbesar di dunia pada saat itu. Kehidupan beliau dikelilingi dengan para pelajar dan ulama yang mengambil manfaat dari ilmunya dan mengarang buku-buku yang sebahagiannya telah ditulis di akhir hayatnya. Rohnya kembali kepada penciptanya pada tanggal 26 Syawal 310 Hijrah. Peristiwa ini berlaku pada masa pemerintahan Khalifah Abbasiyah, al-Muqtadir Billah. Beliau telah dikebumikan di rumahnya yang terletak di Rahbat Ya'qub, Baghdad. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya ke atas Imam al-Tabari atas sumbangan dan jasa beliau terhadap Islam.

Kubur Imam al-Tabari

Baca juga: