Isnin, 26 Oktober 2015

Sedekah pahala kepada si mati


Ditanya tentang bacaan (al-Quran) ahli keluarga mayat adakah sampai (pahala) kepadanya? Dan tasbih (subahanallah), tahmid (alhamdulillah) dan tahlil (lailahaillah) dan takbir (allahu akbar), jika dihadiahkan kepada mayat sampai pahala kepadanya atau tidak?
Imam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata:

Sampai kepada mayat bacaan ahli keluarganya, tasbih-tasbih mereka, takbir-takbir mereka dan seluruh zikir mereka yang dibuat kerana Allah jika dihadiahkan kepada mayat dan sampai (pahala) kepadanya. Wallahu'alam.
(Majmu' Fatawa Syeikh al-Islam Ahmad bin Taimiyyah, jilid 24, ms. 324, cetakan Majma' al-Malik Fahd)

Ahad, 25 Oktober 2015

Menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat



Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah rahimahullah berkata: Perkataan ini (menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat) dan dihikayatkan juga dengan lafaz yang lain (tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat), bukan hadis nabi. Bahawasanya ianya adalah kalam manusia. Maka tidak harus disandarkan kepada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam sebagaimana yang dinukilkan oleh sebahagian orang, kerana tidak dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam kecuali apa yang disabdakan oleh baginda atau apa yang dilakukan oleh baginda atau apa yang diakui oleh baginda.

Perkataan ini mempunyai makna yang sahih pada zatnya dan benar pada seruannya. Tidak boleh menyandarkan perkataan ini kepada Nabi sallahu’alaihi wasallam. Al-Hafiz Abu al-Hajjaj al-Halabi al-Mizzi berkata: “Tidak boleh bagi seseorang menyandarkan satu huruf yang dianggap baik daripada perkataan, kepada Rasulullah sallahu’alaihi wasallam walaupun perkataan itu benar. Maka sesungguhnya setiap yang disabdakan oleh Rasulullah sallahu’alaihi wasallam adalah benar dan bukanlah setiap yang benar itu disabdakan oleh Rasulullah sallahu’alaihi wasallam.” Tamat (nukilan) daripada kitab Zail al-Maudhu’at oleh al-Hafiz al-Sayuthi muka surat 202.

Dan hadis ini maudhu’ (palsu): (tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahat) masyhur atas lidah-lidah ramai (orang) dan yang menghairankan kitab-kitab yang ditulis berkenaan hadis-hadis al-muntasyirah (hadis yang masyhur) tidak menyebutkannya.[1]
_______________________


[1] Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Qimah al-Zaman ‘Inda al-‘Ulama, ms. 30, cetakan Maktabah al-Mathbu’at al-Islamiyyah

Sabtu, 24 Oktober 2015

Amalan Baca Tiga Qul Selepas Solat Jumaat

Menjadi kebiasaan di sesetengah masjid di Malaysia selepas solat Jumaat imam akan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas sebanyak tujuh kali. Amalan ini adalah berdasarkan hadis Nabi sallahu’alaihiwasallam:

عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَرَأَ بَعْدَ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ سَبْعَ مَرَّاتٍ؛ أَجَارَهُ اللَّهُ بِهَامِنَ السُّوءِ إِلَى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى.

“Sesiapa yang membaca selepas solat Jumaat Qul Huwallahu Ahad, Qul A’uzu Bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu Bi Rabbin Nas sebanyak tujuh kali, Allah akan melindunginya daripada segala keburukan sehingga Jumaat yang seterusnya.”

Hadis riwayat Ibnu Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (no. 375).

Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa dibaca surah-surah tersebut sebelum berkata-kata (yakni sejurus selepas salam) dan dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa dia membacanya dalam keadaan membengkokkan kakinya (yakni dalam keadaan duduk tasyahud akhir).

Sanad hadis ini daif kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang daif bernama al-Khalil bin Murrah. Ibnu Hajar al-Asqalani turut mendaifkan sanad hadis ini namun menurut beliau  hadis ini mempunyai syahid (penguat) daripada hadis mursal Makhul yang dikeluarkan oleh Sa’id bin Mansur dalam Sunannya.

Oleh itu berkemungkinan hadis ini dapat meningkat menjadi hasan lighairih atau jika kekal daif sekaipun ia masih boleh diamalkan dalam bab fadhail a’mal (kelebihan amalan).

Hadis mursal Makhul tersebut terdapat sedikit penambahan di bahagian awal dan akhir lafaz hadisnya. Di awal lafaz hadisnya terdapat penambahan surah al-Fatihah di samping tiga Qul tersebut. Di bahagian akhir pula disebutkan bahawa sesiapa membaca empat surah berkenaan sebanyak tujuh kali maka diampunkan dosa-dosanya di antara dua Jumaat.

Berdasarkan hadis-hadis ini, al-Imam al-Ghazali dalam Bidayah al-Hidayah berpendapat bahawa sunat dibacakan surah-surah tersebut selepas solat Jumaat sebagaimana kata beliau:

“Jika kamu telah selesai dan telah memberi salam (daripada solat Jumaat), maka bacalah surah al-Fatihah sebelum kamu bercakap-cakap sebanyak tujuh kali, surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali dan al-Mu’awwizatain tujuh kali. Perkara tersebut akan menghapuskan dosa kamu daripada Jumaat itu sehingga Jumaat seterusnya dan akan menjadi pelindung bagi kamu daripada syaitan.”

Sabtu, 10 Oktober 2015

Syeikh Ahmad al-Marzuqi - Pengarang Aqidah al-Awam


Kitab
Aqidah al-Awwam merupakan antara kitab asas aqidah yang terkenal yang mengikut manhaj aqidah Imam Abu Hasan al-Asy’ari. Kitab ini walaupun kecil saiznya tetapi mencakupi hampir keseluruhan perbincangan ilmu akidah. Kitab ini terkenal di pondok-pondok dan institut pengajian Islam, bahkan turut dihafal oleh para pelajar. Walaupun kitab ini terkenal tetapi maklumat berkenaan pengarangnya amat terbatas. Melihat bahawa tidak ramai yang menulis mengenai pengarang matan Aqidah al-Awwam iaitu Syeikh Ahmad al-Marzuqi, maka saya tertarik untuk mengongsi sedikit biografi beliau.

Nama

Beliau ialah al-Imam al-Allamah Ahmad bin Muhammad bin Ramadhan bin Mansur bin al-Sayyid Muhammad bin Syamsuddin Muhammad bin al-Sayyid Rais bin al-Sayyid Zainuddin bin Nasib al-Din bin Nasir al-Din bin Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Rais Ibrahim bin Muhammad bin Sidi Marzuq al-Kafafi bin Sidi Musa bin Abdullah al-Muhdh bin al-Imam Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sabth ibnu al-Imam Ali bin Abi Thalib al-Makki al-Marzuqi al-Maliki al-Hasani al-Husaini.

Nasab beliau bersambung kepada Hasan bin Ali bin Abu Thalib melalui bapa beliau dan bersambung kepada Hussain bin Ali bin Abu Thalib melalui ibu beliau.

Kunyah beliau ialah Abu al-Fauz dan gelaran ini diberikan kepada beliau oleh al-Syeikh Abu al-Iqbal Ahmad Wafa manakala laqab beliau ialah al-Marzuqi, nisbah kepada al-Arif billah Marzuqi al-Kafafi.

Beliau dilahirkan di Sinbath, Mesir pada tahun 1205 Hijrah dalam keadaan cacat penglihatan.

Kehidupan ilmiah

Beliau membaca dan menghafal al-Quran sejak dari kecil sebagaimana kebiasaan kanak-kanak pada zaman tersebut. Kemudian beliau membaca al-Quran mengikut qiraat sepuluh dan menuntut pelbagai ilmu daripada ulama-ulama besar pada zamannya.

Seterusnya beliau dilantik menjadi mufti mazhab Maliki di Mekkah al-Mukarramah selepas kematian saudara beliau, al-Sayyid Muhammad pada tahun 1261 Hijrah.

Beliau mengadakan pengajian al-Quran, tafsir dan ilmu-ilmu Syariah yang lain berdekatan dengan Maqam al-Maliki di Masjidil Haram.

Di akhir-akhir usia beliau, beliau mengajar kitab Tafsir al-Baidhawi.

Beliau terkenal sebagai seorang yang zuhud dan bertakwa serta penulis yang menghasilkan penulisan yang bermanfaat.

Guru beliau

Tidak banyak maklumat yang ada berkenaan guru beliau. Hanya seorang sahaja guru disebutkan dalam biografi beliau iaitu Syeikh al-Kabir al-Sayyid Ibrahim al-‘Ubaidi. Syeikh Ahmad al-Marzuqi membaca kepada beliau qiraat sepuluh melalui jalan al-Syatibiyyah dan al-Durrah dan melalui jalan Thayyibah al-Nasyr dalam qiraat sepuluh al-Kubra.

Murid-murid beliau

1. Al-Syeikh Ahmad Dahman (1260H–1345H).

2. Al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, mufti mazhab Syafi’e di Mekah al-Mukarramah (1232H–1304H).

3. Al-Syeikh Tahir al-Takruri.

4. Antara muridnya yang terkenal ialah al-Syeikh Ahmad bin al-Sayyid Ali bin al-Sayyid Muhammad al-Hulwani al-Kabir, terkenal dengan nama al-Rifa’ie (1228H–1307H). Beliau merupakan Syeikh Qurra’ (ketua ulama al-Quran) di Syam.

Penulisan 

1. Matan Aqidah al-Awwam. Telah dicetak.

2. Tahsil Nail al-Maram Li Bayan Manzumah Aqidah al-Awwam. Kitab ini merupakan syarah kepada matan Aqidah al-Awwam karangan beliau sendiri. Telah dicetak.

3. Bulugh al-Maram Li Bayan Alfaz Maulid Sayyid al-Anam. Kitab ini merupakan syarah kepada kitab Maulid karangan Ahmad al-Bukhari.

4. Al-Fawaid al-Marzuqiyyah Syarah al-Ajurumiyyah.

5. Syair dalam ilmu falak dan puisi ini telah disyarahkan secara ringkas oleh saudara beliau, al-Sayyid Muhammad.

6. Syair berkenaan kemaksuman para nabi.

7. Bayan al-Asl Fi Lafz Bafadl.

8. Tashil al-Azhan ‘Ala Matn Taqwim al-Lisan dalam ilmu nahu.

9. Syair dalam ilmu nahu dan sarf.

Kematian

Beliau meninggal dunia di Mekah al-Mukarramah pada tahun 1281 Hijrah dan dikebumikan di Perkuburan al-Ma’lah.

Kitab Aqidah al-Awwam

Kitab ini merupakan sebuah kitab yang ringkas yang mengandungi 57 bait syair berkenaan ilmu akidah. 57 bait syair tersebut terbahagi kepada beberapa skop yang dibincangkan dalam ilmu akidah iaitu:

1. Ilahiyyat (ketuhanan). Merangkumi sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi Allah.

2. Nubuwat (kenabian). Merangkumi sifat-sifat wajib, mustahil dan harus bagi para nabi, kemaksuman mereka dan kelebihan mereka melebihi para malaikat.

3. Nama-nama para nabi dan rasul bermula dari Adam ‘alaihissalam sehingga Muhammad sallahu’alaihi wasallam.

4. Malaikat. Merangkumi sifat-sifat para malaikat iaitu tidak beribu dan berbapa, tidak makan dan minum serta tidur. Turut diterangkat 10 malaikat yang terutama di antara seluruh malaikat.

5. Suhuf dan kitab-kitab yang diturunkan kepada para rasul.

6. Hari akhirat. Hanya terdapat satu bait sahaja berkenaan hari akhirat.

7. Berkenaan Nabi Muhammad sallahu’alaihi wasallam. Bermula bait yang ke 29 sehingga bait yang ke 50 diterangkan berkenaan ibu, bapa, datuk, kelahiran, anak-anak, isteri-isteri, bapa saudara dan ibu saudara baginda sallahu’alaihi wasallam.

8. Isra’ dan Mi’raj. Terdapat 5 bait syair yang menerangkan berkenaan Isra’ dan Mi’raj.

Kisah Syeikh Ahmad al-Marzuqi bermimpi bertemu Nabi sallahu’alaihi wasallam

Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi berkata[1]:

(Ketahuilah) bahawa sesungguhnya sebab (asal mula) kitab nazham ini adalah pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) bermimpi bertemu Nabi sallahu’alaihi wallam di penghujung malam Jumaat, pada Jumaat pertama di bulan Rejab, hari keenam tahun 1258H, sedangkan para sahabat radiallahu ‘anhum berdiri di sekelilingnya.

Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepada Syeikh Ahmad al-Marzuqi: "Bacalah nazam-nazhom tauhid, yang barangsiapa menghafalnya, maka dia akan masuk syurga dan dapat menggapai tujuan dari setiap kebaikan yang sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunnah"

Lalu Syeikh Ahmad al-Marzuqi bertanya kepada Nabi sallahu’alaihi wallam: "Apa nazam-nazam itu, wahai Rasulullah?"

Para sahabat radiallahu ‘anhum berkata kepadanya: "Dengarkan dari Rasulullah apa yang beliau sabdakan."

Lala Rasulullah sallahu’alaihi wallam bersabda: "Ucapkan olehmu *Aku memulainya dengan menyebut nama Allah dan Yang Maha Pengasih*"

Maka pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) berkata : "Aku memulainya dengan menyebut nama Allah dan Yang Maha Pengasih, sampai akhir nazamm, yaitu ucapannya (syairnya):

Mushaf Nabi Ibrahim dan Nabi Musa itu* di dalamnya terdapat Kalam Allah Yang Maha Menghukumi dan Maha Tahu.

Dan Rasulullah sallahu’alaihi wallam mendengarkannya.

Tatkala Syeikh Ahmad al-Marzuqi terjaga dari tidurnya, beliau membaca apa yang dilihat dalam mimpinya, maka beliau mendapati nazam-nazam itu telah beliau hafal dalam dirinya dari awal sampai akhir.

Kemudian ketika datang malam Juma'at yaitu malam ke-28, hitungan dari Bulan Zulkaedah, pengarang (Syeikh Ahmad al-Marzuqi) melihat Nabi sallahu’alaihi wallam untuk kali kedua di waktu sahur di dalam mimpi.

Lalu Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepadanya: "Bacalah apa yang telah engkau himpun [hafal]", yakni di dalam hatimu.

Lalu Syeikh Ahmad al-Marzuqi membacanya dari awal sampai akhir, [saat itu] beliau berada di hadapan Nabi sallahu’alaihi wallam, sementara para sahabat radiallahu ‘anhum berada di sekeliling Nabi sallahu’alaihi wallam sambil mengucapkan: "Amin" setelah setiap bait dari nazam itu.

Tatkala beliau telah selesai membacanya, Nabi sallahu’alaihi wallam bersabda kepada beliau:

"Semoga Allah Ta'ala memberi taufik padamu untuk melakukan sesuatu yang Dia redhai dan menerima amalmu itu, memberikan berkat keatasmu dan memberikan manfaat [kitab ini] kepada semua hamba-Nya.”

Syarah kitab Aqidah al-Awwam

1. Kitab ini telah disyarahkan oleh beberapa orang ulama dan yang paling awal yang mensyarahkannya ialah Syeikh Ahmad al-Marzuqi sendiri iaitu kitab yang dinamakan Tahsil Nail al-Maram Li Bayan Manzumah Aqidah al-Awwam.

2. Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani (meninggal 1315 Hijrah) telah mensyarahkannya dalam sebuah kitab yang dinamakan Nur al-Zolam ‘Ala Manzumah Aqidah al-Awwam.

3. Tashil al-Maram Li Daris Aqidah al-Awwam oleh al-Syeikh Ahmad al-Qoth’ani al-‘Isawi.

4. Syeikh Muhammad ‘Alawi al-Maliki mensyarahkan dalam pengajaran beliau dan dhimpunkan oleh al-Ustaz Muhammad Ihya’ Ulum al-Din dalam sebuah kitab yang dinamakan Jala’ al-Afham Syarah Manzumah Aqidah al-Awwam.

5. Fath al-‘Allam Syarah Manzumah Aqidah al-Awwam oleh Dr Hisyam al-Kamil Hamid Musa.

Download terjemahan Aqidah al-Awwam





[1] Nur al-Zolam Syarah Manzumah Aqidah al-Awwam, ms. 13-14, cetakan Dar al-Hawi.

Rabu, 7 Oktober 2015

Empat jenis manusia


Berkata al-Khalil bin Ahmad[1]: Manusia itu ada empat jenis:
1. Seseorang yang mengetahui (berilmu), dan dia tahu bahawa dia mengetahui, maka dia adalah orang yang alim. Maka ambillah ilmu daripadanya.
2. Seseorang yang mengetahui dan dia tidak mengetahui bahawa dia tahu, maka dia adalah pelupa. Maka ingatkan dia.
3. Seseorang yang tidak mengetahui (jahil) dan dia tahu bahawa dia tidak mengetahui, maka dia adalah seorang pelajar. Maka ajarkanlah dia.
4. Seseorang yang tidak mengetahui dan dia tidak tahu bahawa dia tidak mengetahui, maka dia adalah orang yang bodoh. Maka jauhilah dia.[2]
[1] Al-Khalil bin Ahmad, merupakan imam dalam bidang bahasa dan sastera. Pengasas ilmu arudh (ilmu prosodi, imbangan irama syair). Guru kepada ulama tatabahasa Arab, Sibawaih. Lahir dan meninggal dunia di Basrah, Iraq. Hidup dalam keadaan fakir dan sabar. Meninggal dunia pada 170 H.
[2] Akhbar al-Hamqa wa al-Mughaffalin, Ibnu Jauzi, ms. 38, cetakan Dar al-Fikr al-Lubnani.

Isnin, 5 Oktober 2015

Kelebihan Selawat Tafrijiyyah


Al-Imam Yusuf al-Nabhani rahimahullah berkata[1]:

Selawat al-Tafrijiyyah ini disebutkan oleh al-Syeikh al-‘Arif Muhammad Haqqi Afendi al-Nazili dalam kitab Khazinah al-Asrar.

Dan dinukilkan daripada al-Imam al-Qurtubi, bahawa sesiapa yang melazimi membaca selawat ini setiap hari sebanyak 141 kali atau lebih daripada itu Allah akan menjauhkan kebimbangan dan kesedihannya, menghilangkan penderitaannya dan mudarat padanya, memudahkan urusannya, dicahayakan hatinya, ditinggikan darjatnya, dielokkan keadaannya, diluaskan rezekinya, dibukakan dan ditambahkan baginya pintu-pintu kebaikan dan kebajikan, kata-katanya akan dipatuhi jika dia seorang pemimpin, diamankan daripada terkena malapertaka dan teruknya musibah kelaparan dan kefakiran dan dicampakan rasa sayang dalam hati orang kepadanya. Dan tidaklah apabila dia meminta sesuatu daripada Allah kecuali Allah akan memberinya dan seseorang itu tidak mendapat faedah ini kecuali apabila berkekalan dia melazimi selawat ini. Selawat ini merupakan khazanah daripada khazanah-khazanah milik Allah, Allah akan membukakakan (khazanah tersebut) bagi sesiapa yang melazimi selawat ini daripada kalangan hamba-Nya dan menyampaikannya (hamba tersebut) dengan sebab selawat ini kepada apa yang dikehendaki oleh Allah.  

al-Syeikh al-‘Arif Muhammad Haqqi Afendi al-Nazili berkata lagi di bahagian yang lain dalam kitab tersebut:

Di antara selawat yang mujarab ialah selawat al-Tafrijiyyah al-Qurtubiyyah. Selawat ini disebut di sisi orang-orang Maghribi sebagai selawat al-Nariyyah kerana mereka apabila ingin menghasilkan sesuatu yang diingini atau menolak sesuatu yang menakutkan, maka mereka berhimpun dalam satu majlis dan membaca selawat ini sebanyak 4444 kali. Maka mereka mendapat apa yang diinginkan dengan segera. Selawat ini disebutkan di sisi Ahli Asrar (ahli tasawuf): Kunci lautan khazanah untuk memperolehi apa yang diingini oleh hamba (Allah), iaitu selawat ini:

اللَّهُمَّ صلِّ الصَّلاة الكاملة، وسلِّم السَّلام التامَّ على محمَّد....sehingga akhir

Demikian, telah mengijazahkan kepada saya (Yusuf al-Nabhani) al-Syeikh Muhammad al-Sanusi di Bukit Abi Qubais, kemudian al-Syeikh al-Maghribi kemudian al-Syeikh al-Sayyid Zain Makki radiallahu ‘anhum.

Al-Sanusi telah menambah (kalimat):
في كلِّ لمحة ونفَسٍ بعددَ كلِّ معلوم لك.

Dan beliau (al-Sanusi) berkata:

“Sesiapa yang melaziminya setiap hari sebanyak 11 kali, seolah-olah selawat ini menurunkan rezeki daripada langit dan menumbuhkannya daripada bumi.”

Al-Imam al-Dainawari berkata:

“Sesiapa yang membaca selawat ini selepas setiap kali solat sebanyak 11 kali dan mengambilnya sebagai wirid, tidak akan putus rezekinya dan akan mencapai martabat yang tinggi dan kerajaan yang kaya-raya. Dan sesiapa yang mengekalinya selepas solat Subuh setiap hari sebanyak 41 kali, maka dia akan mendapat keinginannya juga. Sesiapa yang mengekalinya setiap hari 100 kali, maka dia akan menghasilkan apa yang diingininnya dan mencapai tujuan melebihi apa yang dikehendakinya. Sesiapa yang mengekali membacanya sebanyak bilangan para rasul ‘alaihi al-salam iaitu 313 kali, akan tersingkap segala rahsia, maka sesungguhya dia dapat melihat apa yang diingininya. Sesiapa yang mengekali membacanya setiap hari sebanyak 1000 kali, maka baginya apa yang tidak dapat disifatkan oleh orang yang mensifatkan, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, sesuatu yang tidak pernah didengari oleh telinga dan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam hati seorang manusia (yakni akan mendapat ganjaran yang tidak mampu dibayangkan oleh manusia).”

Al-Imam al-Qurtubi berkata:

“Sesiapa yang ingin menghasilkan sesuatu perkara yang penting lagi besar atau untuk menolak bala yang berterusan maka bacalah selawat al-Tafrijiyyah ini dan bertawasullah dengan selawat ini kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam yang mempunyai akhlak yang agung sebanyak 4444 kali, maka sesungguhnya Allah akan membantu mendapatkan keinginan dan permintaannya berdasarkan niatnya. 

Demikian telah disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani keistimewaan bilangan ini. Maka sesungguhnya jumlah yang banyak merupakan sebab kepada keberkesanan sesuatu.”

Tamat. Seluruh nukilan tersebut daripada kitab Khazinah al-Asrar.



[1] Afdhal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat, ms.159, cetakan Dar al-Kutub al-Islamiyyah.

Khamis, 1 Oktober 2015

Menguji akal seseorang


Al-Asma'ie[1] berkata: Jika kamu ingin mengetahui tahap akal seseorang dalam satu majlis (yakni dalam masa yang singkat), beritahu kepadanya satu hadis yang tiada asal usul.Jika kamu melihat dia mendengar dan menerimanya, maka ketahuilah dia seorang yang bodoh. Dan jika dia mengingkarinya maka dia seorang yang berakal.[2]
[1] Al-Asma'ie atau nama penuhnya Abdul Malik bin Quraib bin Abdul Malik bin Ali bin Asma' al-Asma'ie al-Basri. Dilahirkan pada sekitar tahun 120 H. Guru kepada Yahya bin Ma'in, Abu Hatim al-Razi dan lain-lain. Al-Zahabi memujinya sebagai al-Imam, al-Allamah, al-Hafiz, Hujjah al-Adab, Lisan Arab. Meninggal dunia pada tahun 215 H dan ada yang mengatakan pada 216 H. (Siyar A'lam al-Nubala, jilid 10, ms. 175, cetakan Muassasah al-Risalah).
[2] Akhbar al-Hamqa wa al-Mughaffalin, Ibnu Jauzi, ms. 36, cetakan Dar al-Fikr al-Lubnani.