Rabu, 23 Ogos 2023

Status Hadis: Jangan Pukul Anak Kamu Disebabkan Tangisan Mereka

 


لا تضْربُوا أولادَكُم على بكائِهِم، فإنَّ بكاءَ الصبيِّ أربعةَ أشهرٍ: لا إلهَ إلا اللهُ، وأربعةَ أشهرٍ: محمدٌ رسولُ اللهِ، وأربعةَ أشهرٍ دعاءٌ لوالديهِ.

“Janganlah kamu semua memukul anak-anak kamu disebabkan tangisan mereka kerana sesungguhnya tangisan anak itu pada 4 bulan yang pertama adalah La Illaha Illa Allah, 4 bulan kedua adalah Muhammad Rasulullah dan 4 bulan seterusnya adalah doa untuk kedua ibu bapanya.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (13/246) dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at (no. 317) daripada jalur sanad:

Abu al-Hasan Ali bin Ibrahim bin al-Haitham bin al-Muhallab al-al-Baladi daripada bapanya daripada Adam bin Abi Iyas daripada Laith bin Sa’ad daripada Nafi’ daripada Ibnu ‘Umar.

Pandangan Ahli Hadis

1 - Al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Hadis ini sangat munkar. Kesemua perawinya masyhur dengan kethiqahan (dapat dipercayai) melainkan Abu al-Hasan al-Baladi.”

2 – Ibnu al-Jauzi menukilkan pendapat al-Khatib al-Baghdadi dalam kitabnya, al-Maudhu’at.

3 – Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Lisan al-Mizan (5/477) berkata: “Palsu tanpa syak lagi.”

4 – Al-Hafiz al-Suyuti memuatkan hadis ini dalam al-Laali al-Masnu’ah (1/90, terbitan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah) lalu beliau membawakan hukum al-Hafiz Ibnu Hajar tersebut.

Namun beliau cuba menguatkan hadis ini dengan membawakan jalur sanad lain melalui perawi Abu Muqatil al-Samarqandi. Tetapi al-Suyuti sendiri mengatakan bahawa Abu Muqatil al-Samarqandi ini adalah perawi yang sangat daif. Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah (1/171) mengkritik al-Suyuti dengan berkata bahkan perawi tersebut bukan sekadar sangat daif, tetapi turut dituduh menipu dan memalsukan hadis. Jadi dia tidak boleh dijadikan perawi sokongan (tabi’).

Begitu juga al-Suyuti membawakan hadis sokongan (syahid) bagi hadis ini iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir daripada jalur sanad Abu al-Farj al-‘Abbas bin Muhammad bin Hayyan al-Dimasyqi daripada Muhammad bin Khuraim/Khuzaimah daripada Hisyam bin ‘Ammar daripada Ma’ruf al-Khayyat daripada Wasilah bin al-Asyqa’:

بُكَاءُ الصَّبِيِّ إِلَى سَنَتَيْنِ يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّه،ِ وَمَا كَانَ ذَلِكَ فَاسْتِغْفَارٌ لأَبَوَيْهِ، وَمَا عَمِلَ مِنْ حَسَنَةٍ فَلأَبَوَيْهِ، وَمَا عَمِلَ مِنْ سَيِّئَةٍ لَمْ تُكْتَبْ عَلَيْهِ وَلا عَلَى أَبَوَيْهِ حَتَّى يَجْرِيَ عَلَيْهِ الْقَلَمُ.

“Tangisan bayi sehingga tempoh dua tahun itu dia berkata La Illaha Illa Allah Muhammad Rasulullah dan dua tahun berikutnya adalah permohonan ampun untuk kedua ibu bapanya. Apa sahaja amalan baik yang dilakukannya maka ibu bapanya mendapat pahala. Apa sahaja amalan buruk yang dilakukannya maka tidak dicatat dosa ke atasnya dan kedua ibu bapanya sehinggalah berjalanlah pena catatan amalan ke atasnya (yakni sudah baligh).”

Hadis ini dikomentar oleh Ibnu ‘Asakir bahawa ia hadis yang sangat ganjil (gharib jiddan).

Ibnu ‘Iraq pula berkata bahawa dia tidak dapat menentukan secara pasti nama perawi yang meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Ammar sama ada namanya Muhammad bin Khuzaimah (خزيمة) atau Muhammad bin Khuraim (خريم) kerana kedua-dua perawi tersebut memang ada meriwayatkan hadis daripada Hisyam bin ‘Ammar.

Muhammad bin Khuzaimah ini dituduh oleh al-Hafiz al-Zahabi meriwayatkan hadis palsu daripada Hisyam bin ‘Ammar dan dia tidak dikenali. Ibnu Hajar pula mengkritik al-Zahabi kerana Muhammad bin Khuzaimah ini dapat dikenali kerana biografinya ada disebutkan oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq dan beliau berkata: “Hadis-hadisnya menunjukkan akan kedaifannya.”

Adapun Muhammad bin Khuraim, al-Hafiz Ibnu Hajar berkata tentangnya: “Ibnu ‘Asakir menyebutkan biografinya. Dia masyhur meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Ammar dan aku tidak mendapati padanya ada ulama yang mendaifkannya.”

Seterusnya Ibnu ‘Arraq meminta untuk pembaca mencari maklumat tentang perawi yang meriwayatkan daripada Muhammad bin Khuraim/Khuzaimah iaitu Abu al-Farj al-‘Abbas bin Muhammad bin Hayyan al-Dimasyqi.

Biografi Abu al-Farj al-‘Abbas bin Muhammad bin Hayyan al-Dimasyqi ini dapat dilihat dalam Tarikh Dimasyq karangan Ibnu ‘Asakir dan Tarikh al-Islam karangan al-Zahabi. Di bahagian senarai gurunya disebutkan nama Muhammad bin Khuraim. Oleh itu dapat dipastikan bahawa perawi yang meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Ammar tersebut adalah Muhammad bin Khuraim.

Muhaqqiq kitab Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah, Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari berpendapat bahawa tidak kira sama ada perawi tersebut adalah Muhammad bin Khuraim atau Muhammad bin Khuzaimah, hadis Wasilah bin al-Asyqa’ ini tetap adalah hadis yang munkar dan palsu.

5 – Hadis ini dimuatkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Qaul al-Badi’ (ms. 131) dengan lafaz yang berbeza dan kata beliau: “Hadis ini diriwayatkan oleh al-Dailami dengan sanad yang daif.” Namun muhaqqiq kitab ini, Syeikh Muhammad ‘Awwamah menambah perkataaan jiddan (sangat) di bahagian nota kaki, yakni hadis ini sangat daif.

Kesimpulan

Hadis ini adalah hadis yang palsu atau paling kurang, hadis yang sangat daif. Tidak harus menyebarkannya dan menyandarkannya kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Kalau ada yang ingin beramal dan menyebarkannya dengan alasan ia hadis yang sangat daif dan tidak palsu, saya katakan bahawa syarat untuk beramal dengan hadis daif adalah kedaifan hadis itu mestilah tidak terlalu berat sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar.

Ahad, 20 Ogos 2023

Cara Nak Tahu Syarah dan Hashiyyah Bagi Sesebuah Kitab

Kadang-kadang apabila kita membaca sesebuah kitab, terutamanya kitab berbentuk matan yang ringkas, kita terfikir, kitab ini ada syarah tak? Kalau ada syarah, ada hashiyyah tak untuk syarah tersebut?

Kalau untuk kitab yang masyhur seperti matan al-Ajurrumiyyah mungkin mudah untuk tahu syarah dan hashiyyah untuknya. Tapi kalau kitab yang kurang terkenal mungkin pening kepala juga untuk cari syarah dan hashiyyah untuknya.

Jadi, kali ini saya ingin memperkenalkan sebuah kitab bertajuk Jami’ al-Syuruh Wa al-Hawasyi karangan Syeikh Abdullah Muhammad al-Hasbyi.

Kitab ini dapat membantu penuntut ilmu untuk mengenali syarah dan hashiyyah yang pernah ditulis oleh ulama bagi sesebuah kitab.

Selain itu Syeikh Abdullah juga sebutkan khidmat yang lain bagi kitab itu sekiranya ada seperti hashiyyah bagi hashiyyah atau disebut sebagai taqrir, ringkasan, takhrij hadis, menukarkannya ke bentuk nazam dan lain-lain.

Beliau ada menggunakan beberapa simbol yang merujuk kepada syarah, hashiyyah, taqrir dan lain-lain (lihat jilid 1, halaman 27).

Mula-mula beliau akan menyebutkan tajuk matan, kemudian nama pengarang berserta tahun wafat, rujukan biografi pengarang matan, tempat terletaknya manuskrip matan dan sekiranya matan itu telah diterbitkan akan disebut nama penerbit dan tahun terbitan. Setelah itu baru beliau nyatakan syarah, hashiyyah, taqrir dan sebagainya yang turut dimaklumkan sama ada sudah diterbitkan atau masih berbentuk manuskrip.

Cumanya saya dapati ada juga beberapa buah syarah yang beliau tersilap letakkan bagi sesebuah kitab.

Contohnya pada jilid 2 halaman 177, bagi kitab al-Taqrib Wa al-Taisir karangan Imam al-Nawawi. Beliau menyebutkan beberapa buah syarahnya dan di antaranya beliau sebut syarah Ibnu Daqiq al-‘Id yang bertajuk تحفة اللبيب في شرح التقريب dan syarah Abu Zur’ah al-‘Iraqi yang bertajuk طرح التثريب شرح التقريب.

Sebenarnya syarah Ibnu Daqiq al-‘Id itu adalah untuk matan Abi Syuja’ atau al-Ghayah Wa al-Taqrib. Mungkin beliau menyangka kitab al-Taqrib itu merujuk kepada kitab al-Taqrib Wa al-Taisir karangan Imam al-Nawawi. Namun setelah itu di jilid 3 halaman 391 barulah tepat beliau meletakkkan syarah ini bagi matan Abi Syuja’. Mungkin beliau terlupa yang sebelum ini beliau letakkannya di bahagian syarah al-Taqrib karangan Imam al-Nawawi.

Syarah Abu Zur’ah al-‘Iraqi itu pula sebenarnya adalah syarah bagi kitab Taqrib al-Asanid karangan ayahnya, Zainuddin al-‘Iraqi. Lebih pelik lagi, selang satu halaman sebelumnya (halaman 176) elok pula beliau letakkan Syarah Abu Zur’ah al-‘Iraqi itu di bawah senarai syarah Taqrib al-Asanid karangan Zainuddin al-‘Iraqi.

Namun begitu, sedikit kekurangan yang ada tidak menjejaskan nilai dan kepentingan kitab ini. Cumanya pembaca perlu pastikan betul-betul ketepatan maklumat yang dinyatakan oleh pengarang.

Kitab ini telah diterbitkan setebal 5 jilid pada tahun 2017 oleh penerbit Dar al-Minhaj. Kitab ini juga ada diterbitkan oleh penerbit yang lain.

Kitab ini boleh dimuat turun di sini.

Selasa, 15 Ogos 2023

Imam Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal al-Hadrami – Pengarang al-Muqaddimah al-Hadramiyyah dan al-Mukhtasar al-Latif

Kota Tarim

Nama, Kelahiran dan Pembesaran

Nama beliau ialah Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar bin Muhammad al-Hajj bin Abdul Rahman bin Abdullah bin Yahya bin al-Qadi Ahmad bin Muhammad bin Fadhl bin Muhammad bin Abdul Karim Balhaj Bafadhal al-Sa’di al-Mazhiji.

Gelaran al-Sa’di adalah nisbah kepada Sa’ad al-‘Asyirah manakala gelaran al-Mazhiji pula berasal daripada nama sebuah kabilah di Yaman.

Keluarga beliau, Balhaj merupakan sebagai sebuah keluarga yang terkenal dengan keilmuan dan kesolehan di Hadramaut. Ramai dikalangan mereka yang menjadi ulama, auliya’ dan solihin. Mereka digelar keluarga Balhaj nisbah kepada datuk mereka, Muhammad al-Hajj bin Abdul Rahman bin Abdullah yang masyhur banyak menunaikan haji.

Beliau dilahirkan di Tarim, Yaman pada tahun 850 Hijrah.

Beliau membesar di bawah asuhan bapanya, Syeikh Abdul Rahman yang merupakan seorang ahli ilmu yang terkenal dengan kesolehannya. Syeikh Abdul Rahman ini belajar dan dididik oleh bapanya sendiri, Syeikh Abu Bakar. Selain itu beliau juga menuntut ilmu dengan Imam Umar al-Mahdhar dan saudara-saudaranya dan belajar dengan Imam Abdullah al-‘Aidrus (m. 865 H).

Di bawah bimbingan bapanya juga beliau menghafal al-Quran dan beberapa buah matan dalam ilmu fiqh dan bahasa Arab. Beliau memberikan perhatian untuk mempelajari ilmu tajwid, fiqh dan hadis. Bapa beliau meninggal dunia pada tahun 866 Hijrah.

Kota Aden

Guru-Guru

Setelah mempelajari asas-asas ilmu daripada bapanya dan ulama-ulama Tarim, beliau memulakan rihlah ilmiahnya ke bandar Aden. Bandar Aden yang pada waktu itu di bawah pemerintahan Daulah Tahiriyyah dan merupakan bandar ilmu yang menjadi tumpuan para ulama. Di sini beliau belajar dengan beberapa orang ulama, iaitu:

1 – Al-Syeikh al-Imam al-Faqih al-Mufti Abdullah bin Ahmad Ba Makhramah al-Saibani (m. 903 H).

2 – Al-Syeikh al-Imam al-Faqih Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bafadhal (m. 903 H).

Setelah itu beliau bertolak menuju ke Syibam, Hadramaut untuk bertemu dengan ulama di sana seperti:

3 – Al-Syeikh al-‘Arifbillah Ibrahim bin Muhammad bin Ahmad Baharmaz al-Syibami (m. 875 H).

4 – Al-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih al-Soleh Muhammad bin Ahmad bin Abdullah Bajarfil al-Dau’ani al-Hadrami (m. 903 H).

Selepas itu beliau meneruskan pula perjalanan ke dua Tanah Haram, Mekah dan Madinah untuk menunaikan haji dan umrah pada tahun 895 Hijrah. Di sana beliau berpeluang berjumpa dengan beberapa orang ulama:

Di Mekah al-Mukarramah:

5 – Al-‘Allamah al-Qadi Burhanuddin Ibrahim bin Ali bin Zahirah al-Qurasyi al-Makki al-Syafi’e (m. 891 H).

Beliau menjadi qadi di Mekah selama 30 tahun. Beliau belajar dengan al-Hafiz Ibnu Hajar, al-Syaraf al-Munawi dan Abu Bakar al-Suyuti (bapa al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti).

Di Madinah al-Munawwarah:

6 – al-‘Allamah al-Muhaddith Nasiruddin Muhammad Abu al-Farj ibnu Abu Bakar bin al-Husain al-Maraghi al-‘Uthmani al-Syafi’e al-Madani (m. 880 H).

Beliau merupakan murid kepada Ibnu al-Jazari, Waliyuddin al-‘Iraqi dan al-Hafiz Ibnu Hajar. Beliau mempunyai syarah ke atas Minhaj al-Talibin dan Alfiah Ibnu Malik.

Murid-Murid

Terdapat ramai penuntut ilmu yang datang untuk mengaut limpahan ilmu daripada beliau. Sebahagiannya belajar dengan beliau di Tarim dan sebahagian yang lain di al-Shihir setelah beliau berpindah ke situ. Di sebutkan di sini sebahagian murid-murid beliau:

1 – Al-Sayyid al-Syarif Umar bin Abdul Rahman bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin al-Faqih al-Muqaddam yang terkenal dengan gelaran Sahib al-Hamra, meninggal dunia pada 889 Hijrah.

2 – Al-Imam al-Sayyid al-‘Allamah Abdul Rahman bin al-Syeikh Ali bin Abu Bakar Ba’alawi, meninggal dunia pada 923 Hijrah.

3 – Al-Sayyid al-Syarif al-‘Allamah Muhammad bin Abdul Rahman al-Asqa’ bin al-Faqih Abdullah Balfaqih Ba’alawi al-Husaini al-Tarimi, meninggal dunia pada 917 Hijrah.

4 – Al-Faqih al-‘Allamah Abdullah bin Ahmad Basurumi al-Shihri, meninggal dunia pada 943 Hijrah.

5 – Al-Sayyid al-Syarif al-Muarrikh Umar bin Muhammad bin Ahmad Basyaiban al-‘Alawi al-Husaini, meninggal dunia pada 944 Hijrah.

6 – Al-Sayyid al-Syarif al-Faqih Ahmad al-Baidh bin Abdul Rahman bin al-Husain bin Ali bin Muhammad bin Ahmad bin al-Faqih al-Muqaddam, meninggal dunia pada 945 Hijrah.

7 – Al-Sayyid al-Syarif al-Qadhi Ahmad Syarif bin Ali bin ‘Alawi Kharad Ba’alawi al-Husaini al-Tarimi, meninggal dunia pada 957 Hijrah.

8 – Al-Syeikh al-Imam al-Faqih al-‘Allamah Abdullah bin Muhammad bin Sahl bin Hakam Baqusyair al-Hadrami, meninggal dunia pada 958 Hijrah.

9 – Al-Sayyid al-‘Allamah al-Faqih al-Muarrikh Muhammad bin Ali bin ‘Alawi Kharad Ba’alawi al-Tarimi, meninggal dunia pada 960 Hijrah. Pengarang kitab Ghurar al-Baha’ al-Dhawi Fi Manaqib Bani ‘Alawi dan al-Wasail al-Syafi’ah Fi al-Ad’iyyah al-Nafi’ah.

10 – Al-Syeikh al-Faqih al-Soleh al-Wara’ Ahmad bin Abdul Qawi bin Abdul Wahab bin Abu Bakar al-Hajj Bafadhal al-Tarimi, meninggal dunia pada 950 Hijrah. 

Kota al-Shihr

Berpindah ke Al-Shihr dan Menjadi Qadhi

Ahli sejarah tidak menyebutkan sebab perpindahan beliau dari Tarim ke al-Shihir tetapi mereka menyebutkan bahawa tokoh yang meminta beliau berpindah ke al-Shihir dan menetap di situ ialah al-‘Allamah al-Faqih Abdullah bin Muhammad bin Ahmad bin ‘Absin al-Syafi’e (m. 908 H) yang merupakan qadhi al-Shihir.

Mungkin faktor utama Ibnu ‘Absin memilih beliau untuk tinggal di al-Shihr disebabkan kemasyhuran keluarga beliau, Bafadhal dengan keilmuan dan kesolehan. Apatah lagi terdapat seorang ulama daripada keluarga ini yang terlebih dahulu menetap di al-Shihir iaitu al-Imam al-‘Arif Fadl bin Abdullah Bafadhal yang meninggal di situ pada tahun 805 Hijrah.

Setelah bersetuju berpindah ke al-Shihir, beliau lalu membawa keluarga dan anak-anaknya ke situ. Tidak ada catatan berkenaan tahun perpindahan beliau ke al-Shihir. Berkemungkinan peristiwa itu berlaku sebelum tahun 890 Hijrah kerana salah seorang murid beliau, al-Sayyid Umar bin Abdul Rahman (terkenal dengan gelaran Sahib al-Hamra) yang meninggal dunia pada tahun 889 Hijrah direkodkan telah membantu membina rumah untuk gurunya di al-Shihir.

Setelah al-‘Allamah Ibnu ‘Absin meninggal dunia pada tahun 908 Hijrah, tidak ada orang lain di al-Shihir yang layak untuk menjawat jawatan qadhi melainkan beliau. Oleh itu Sultan Abdullah bin Ja’far al-Kathiri telah memerintah beliau untuk menyandang jawatan tersebut lalu beliau menerimanya. Disebutkan juga bahawa salah seorang murid beliau, al-Faqih Abdullah bin Ahmad Basurumi (m. 943 H) turut menyokong dan mendorong beliau menerima tugasan itu. Beliau kekal melaksanakan tanggungjawab sebagai qadhi sehingga tahun 915 Hijrah dan tatkala beliau berazam untuk menunaikan haji, beliau melepaskan jawatan tersebut.

Sifat Peribadi

Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah al-‘Idrus dalam kitab al-Nur al-Safir menggambarkan keperibadian beliau sebagai seorang yang alim, beramal, mulia, banyak beribadat ('abid), warak, zuhud, berjiwa mulia, dermawan dan murah hati.

Beliau juga elok perjalanan kehidupannya, lemah-lembut, sangat sabar dalam mengajarkan ilmu, tawaduk, baik akhlaknya. Beliau juga tidak lupa tanggungjawab menyuruh perkara yang makruf dan melarang dari kemungkaran.

Beliau banyak berjalan ke sana-sini bagi memenuhi keperluan kaum muslimin yang meminta bantuan daripadanya.

Selain orang awam, beliau juga dihormati dan mempunyai kedudukan yang mulia di sini pembesar dan raja-raja.

Beliau sangat menjaga waktunya. Belaiu tidak pernah dilihat melakukan sesuatu yang lain melainkan mengajarkan ilmu, mutalaah kitab atau sedang sibuk dengan ibadat dan berzikir.

Beliau pernah mengajar di Masjid al-Shihir selain berfatwa dan mendidik murid-muridnya. Namanya mengharum sehinggalah beliau beliau menjadi tonggak dan rujukan utama dalam fatwa dan ilmu fiqh. Berterusan beliau memberi manfaat kepada manusia sehinggalah beliau meninggal dunia.

Penulisan

Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal telah menulis beberapa buah kitab yang sangat bermanfaat. Allah telah mentakdirkan kitab-kitab tersebut diterima di kalangan ulama dan penuntut ilmu, terutamanya kitab-kitab ringkasan beliau berkenaan ilmu fiqh. Begitu juga beliau mempunyai penulisan dalam bidang-bidang yang lain, namun kurang masyhur. Antara hasil penulisan beliau:

1 – Al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, atau dikenali juga sebagai al-Mukhtasar al-Kabir dan Masa’il al-Ta’lim. (Muat Turun)

2 – Al-Mukhtasar al-Latif atau al-Mukhtasar al-Saghir. Kitab ini merupakan ringkasan bagi kitab al-Muqaddimah al-Hadramiyyah. (Muat Turun)

3 – Mansak al-Hajj.

4 – Nuzhah al-Khatir Fi Azkar al-Musafir(Muat Turun)

5 – Lawami’ al-Anwar Wa Hadaya al-Asrar Fi Fadhl al-Qa’im Bi al-Ashar.

6 – Hilyah al-Bararah Fi Azkar al-Hajj Wa al-‘Umrah.

7 – Al-Hujaj al-Qawati’ Fi Ma’rifah al-Wasi’ Wa al-Qati’.

8 – Risalah Fi Aurad al-Masa’ Wa al-Sobah.

Kitab ini disebutkan oleh Syeikh Muhammad bin ‘Awadh Bafadhal, pengarang kitab Silah al-Ahl, cuma kemungkinan besar kitab ini adalah kitab Misykat al-Anwar yang merupakan karangan anak beliau, Ahmad al-Syahid.

9 – Risalah Fi al-Falak.

10 – Ma’rifah al-Qiblah.

11 – Majmu’ al-Fatawa.

Kitab ini disebutkan oleh pengarang kitab al-Silah dan beliau memuji kitab ini mengandungi faedah yang besar.

12 – Wasiyyah Nafi’ah.

Pengarang kitab al-Silah menyebutkan teks wasiat ini dalam biografi Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal.

13 – Mukhtasar al-Azkar karangan al-Nawawi.

Kitab ini dinisbahkan kepada beliau oleh pengarang kitab al-Silah. Terdapat salah seorang ahli keluarga Bafadhal yang meringkaskan kitab al-Azkar iaitu al-‘Allamah Muhammad bin Ahmad Bafadhal al-‘Adani yang merupakan guru kepada Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal. Tajuk ringkasan tersebut ialah Sirr al-Asrar Fi Tahrir Azkar al-Azkar.

Anak-Anak

Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman Bafadhal telah dikurniakan oleh Allah Ta’ala seramai 9 orang anak-anak lelaki. Kesemua mereka ada penuntut ilmu, ulama dan orang-orang soleh. Mereka adalah Ahmad, al-Husain, Zain, Hasan, Ali, Muhammad, Ibrahim, Fadl dan Yasin.

Meninggal Dunia

Setelah menghabiskan usia berbakti kepada agama dengan mengajar, menulis, berfatwa dan mendidik murid-murid, beliau kembali ke rahmatullah pada 5 Ramadan 918 Hijrah pada waktu asar. Beliau dikebumikan keesokkan harinya pada waktu dhuha di perkuburan yang masyhur di al-Shihir. Setelah itu anak cucu serta keturunan beliau juga turut dikebumikan di perkuburan yang sama di samping beliau.

Habib Umar bin Alawi al-Kaf menyebutkan dalam kitab Khulasah al-Khabar: 

Setelah orang ramai selesai mengebumikan jenazah beliau, bangun al-'Allamah Muhammad bin Umar Bahraq lalu memuji Allah dan menyampaikan khutbah. 

Beliau lalu menyebutkan hadis: "Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi maka dia benar-benar melihatku." 

Kemudian beliau berkata: "Semalam aku bermimpi melihat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Baginda bersabda: Sesiapa yang bersolat ke atas jenazah ini esok, maka Allah akan mengampunkan dosanya."

Syeikh al-Arif Billah Abdul Rahman bin Siraj berkata: "Aku merasa takjub dengan perkara tersebut dan menganggapnya terlalu besar. Bagaimana diampunkan dosa orang yang ramai ini sedangkan di antara mereka ada orang yang zalim dan fasik? Lalu pada malam berikutnya aku bermimpi melihat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Baginda bersabda kepadaku: Kamu merasa apa yang disebutkan oleh Muhammad Bahraq itu terlalu besar? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Dia juga merasakan sedemikian."

Semoga Allah merahmati beliau atas khidmat jasa beliau terhadap agama Islam.

Kubur beliau