Rabu, 22 Januari 2020

4 Cara Takhrij Hadis

Secara ringkasnya terdapat 4 cara untuk mentakhrij hadis:

1 – Takhrij Hadis Berdasarkan Berdasarkan Kalimah Gharib Atau Kalimah Penting Yang Terkandung Dalam Hadis.

Kitab yang biasa digunakan untuk mentakhrij hadis dengan metod ini ialah kitab al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz a-Hadis al-Nabawi karangan sekumpulan orientalis yang diketuai oleh A.J Wensinck. 


2 - Takhrij Hadis Berdasarkan Lafaz Awal Hadis.

Untuk mentakhrij hadis dengan cara ini, seseorang itu hendaklah mengetahui awal lafaz hadis tersebut dan mencarinya dalam kitab-kitab hadis yang disusun berdasarkan huruf-huruf abjad, antaranya ialah Jam’u al-Jawami (al-Jami’ al-Kabir) dan al-Jami’ al-Saghir karangan al-Hafiz al-Sayuthi, al-Maqasid al-Hasanah karangan al-Hafiz al-Sakhawi, Kasyf al-Khafa’ karangan al-‘Ajluni, Mausu'ah Atraf Al-Ahadith An-Nabawiyyah Asy-Syarif karangan Muhammad al-Sa'id Basuni Zaghlul dan lain-lain.

3 - Takhrij Hadis Berdasarkan Perawi al-A’la

Perawi al-A’la ialah perawi yang namanya di dalam sanad berada di kedudukan sebelum Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Bagi hadis-hadis yang musnad (bersambung sanad dan disandarkan kepada Nabi) sahabatlah merupakan perawi a’la-nya manakala untuk hadis mursal, perawi a’la-nya ialah tabi’in. Untuk metod ini ada beberapa jenis kitab yang boleh digunakan:

a – Kitab Musnad – Seperti kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, Musnad Abu Daud al-Thayalisi, Musnad al-Humaidi, Musnad Abu Ya’la al-Mausili dan lain-lain.

b – Kitab Mu’jam – Seperti kitab Mu’jam al-Kabir karangan al-Thabarani.

c – Kitab al-Athraf – Kitab al-Athraf ialah kitab yang ditulis dalamnya sebahagian matan hadis yang menjadi petunjuk kepada baki hadis tersebut kemudian disebutkan sanad yang lengkap atau separa lengkap bagi hadis tersebut. Kitab yang terkenal daripada jenis ini ialah kitab Tuhfah al-Asyraf Bi Ma’rifah al-Athraf  karangan al-Mizzi.   

4 – Takhrij Berdasarkan Kandungan Hadis

Untuk metod ini anda memerlukan kitab yang disusun berdasarkan bab-bab seperti bab akidah, ibadat, muamalat, akhlak, manaqib dan lain-lain. Misalannya anda ingin mencari hadis berkenaan puasa maka anda boleh mencarinya di dalam kitab-kitab hadis yang mempunyai bab puasa di dalamnya. Terdapat banyak jenis kitab yang disusun berdasarkan bab, antaranya:

a. Jawami’ – Seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan Jami’ al-Termizi.

b. Sunan – Seperti Sunan Abu Daud, Sunan al-Nasaie, Sunan Ibnu Majah, Sunan al-Baihaqi dan Sunan al-Daraqutni.

c. Musannaf – Seperti Musannaf Abdul Razzaq dan Musannaf Ibnu Abi Syaibah.

c. Zawaid – Seperti Majma’ al-Zawaid karangan al-Haithami.

d. Al-Targhib Wa al-Tarhib – Seperti kitab al-Targhib Wa al-Tarhib karangan al-Munziri.

InsyaAllah di kesempatan yang lain saya akan perincikan lagi teknik mentakhrij hadis bagi setiap cara tersebut.  

Jumaat, 10 Januari 2020

TINGGAL SEHELAI SEPINGGANG DEMI HADIS

Ayah Imam Yahya bin Ma'in ketika meninggal dunia mewariskan kepada anaknya sebanyak 1 juta dirham. Semuanya habis Imam Yahya bin Ma'in belanjakan untuk belajar hadis sampaikan kasut pun beliau tak ada kerana turut sama beliau gadaikan.

[Siyar A'lam al-Nubala', al-Zahabi]

_______________

Imam Abu Zakariyyah Yahya bin Ma'in merupakan murid kepada  ulama hadis hebat seperti Abdullah bin al-Mubarak, Yahya bin al-Qatthan, Sufyan bin 'Uyainah dan Abdul Rahman bin Mahdi. Beliau juga merupakan guru kepada ahli-ahli hadis hebat seperti al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Abu Zur'ah al-Razi, Abu Hatim al-Razi dan lain-lain. Imam al-Zahabi memuji beliau sebagai seorang imam, al-hafiz, pakar hadis dan syeikh al-muhaddithin. Beliau meninggal dunia pada tahun 233 Hijrah.