Jumaat, 26 Mei 2023

Hadis Kelebihan Tidur Qailulah

Maksud Qailulah

Dari segi bahasa qailulah (القَيْلُولَة) bermaksud berehat pada pertengahan waktu siang, walaupun rehat tersebut tidak disertai dengan perbuatan tidur.

Waktu Tidur Qailulah

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu tidur qailulah. Sebahagian ulama menetapkan waktu qailulah adalah sebelum waktu zohor dan sebahagian lagi mengatakan waktunya selepas zohor.

Al-Khatib al-Syirbini dalam al-Iqna’ berkata: “Qailulah adalah tidur sebelum waktu zohor.”

Al-Munawi dalam Faidh al-Qadir berkata: “Qailulah adalah tidur di pertengahan  waktu siang ketika waktu gelincir matahari (yakni waktu zohor) atau hampir waktu gelincir matahari sama ada sebelumnya atau selepasnya.”

Hukum Tidur Qailulah

Hukum tidur qailulah adalah sunat terutamanya bagi orang yang ingin solat tahajjud.

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan: “Disunatkan bagi orang yang ingin bangun tahajjud untuk tidur qailulah, iaitu tidur sebelum waktu zawal (zohor). Ia adalah seperti sahur bagi orang yang berpuasa sebagaimana sabda Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam: Qailulah itu membantu (memudahkan) qiyamullail. Diriwayatkan oleh Abu Daud.”

Al-Munawi berkata: “Perbuatan golongan salaf dan khalaf (yang melakukan qailulah) itu menunjukkan bahawa qailulah itu adalah sesuatu yang dituntut agar membantu melaksanakan qiyamullail.”

Imam al-Ghazali berkata: “Sesungguhnya dituntut untuk melakukan qailulah untuk orang yang bangun malam dan berjaga malam bagi melakukan kebajikan kerana di dalamnya terdapat perkara yang membantu untuk melaksanakan tahajjud sebagaimana terdapat dalam sahur itu perkara yang membantu untuk puasa di siang hari. Maka qailulah tanpa bangun malam itu seumpama sahur tanpa puasa di siang hari.”

Hadis Kelebihan Qailulah

Hadis Pertama

اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ.

“Makan pada waktu sahur itu membantu puasa di siang hari dan qailulah itu membantu bangun malam (qiyamullail).”

Riwayat Ibnu Majah (no. 1693) daripada hadis Ibnu ‘Abbas dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 – Disunatkan makan sahur dan tidur qailulah agar dapat membantu tubuh badan supaya kuat dan cergas bagi melaksanakan ibadah puasa dan solat malam.

2 – Galakan untuk untuk melakukan apa sahaja perkara yang diharuskan syarak agar dapat membantu melaksanakan ibadah dengan mudah.

Hadis Kedua

قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ.

“Tidurlah qailulah kerana sesungguhnya syaitan tidak tidur qailulah.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Tib al-Nabawi (no. 151) dan Tarikh Asbahan (2/30) dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 – Galakan untuk tidur qailulah agar dapat menyelisihi perbuatan syaitan yang tidak tidur qailulah.

2 – Berusaha untuk melakukan setiap perkara yang menyelisihi perbuatan syaitan kerana ia adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam seperti kita dianjurkan untuk makan menggunakan tangan kanan kerana syaitan makan menggunakan tangan kiri.