Khamis, 28 Januari 2016

Pengertian Hadis, Sunnah, Khabar dan Athar


1 - Hadis:

Ada dua pendapat tentangnya:

(i) Hadis ialah sesuatu yang disandarkan pada nabi sallahu ‘alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, pengakuan (taqrir), sifat khalqiyyah (rupa bentuk nabi) atau sifat khuluqiyyah (akhlak nabi).

Maksud pengakuan di sini adalah persetujuan atau pengiktirafan nabi sallahu 'alaihi wasallam terhadap sesuatu perbuatan sahabat.

Berdasarkan takrif ini, hadis hanya khusus kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam sahaja.

(ii) Sesuatu yang disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam, sahabat atau tabi’in.

Sesuatu yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dipanggil hadis marfu’, untuk sahabat dipanggil hadis mauquf dan untuk tabi’in pula dipanggil hadis maqthu’.

2 - Sunnah:

Ada dua pandangan tentangnya:

(i) Sunnah ialah sesuatu yang disandarkan pada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam sahaja.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis membawa maksud kata-kata dan perbuatan nabi sallahu ‘alaihi wasallam sahaja, manakala sunnah pula lebih umum daripada hadis di mana sunnah mencakupi seluruh aspek berkaitan nabi sallahu ‘alaihi wasallam seperti kata-kata, perbuatan, pengakuan, sifat luaran (fizikal) mahupun dalaman (akhlak) serta diam dan bergerak baginda.

(ii) Sunnah merangkumi sesuatu yang disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam, sahabat dan tabi’in.

3 - Khabar:

Ada tiga pendapat mengenainya:

(i) Sama seperti hadis.

(ii) Berbeza daripada hadis: Hadis adalah sesuatu yang disandarkan kepada nabi, manakala khabar adalah sesuatu yang disandarkan kepada selain nabi iaitu sahabat dan tabi’in.

(iii) Lebih umum daripada hadis: Hadis adalah sesuatu yang datang daripada nabi manakala khabar adalah sesuatu yang datang daripada nabi atau selain daripada nabi. Jadi, semua hadis adalah khabar tetapi bukan semua khabar adalah hadis.

4 - Athar:

Ada empat pendapat mengenainya:

(i) Sama seperti hadis. Oleh itu, hadis, khabar dan athar membawa maksud yang sama.

(ii) Berbeza daripada hadis: Hadis adalah apa yang disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam manakala athar pula adalah sesuatu yang disandarkan kepada sahabat atau tabi’in sama ada perkataan atau perbuatan. Takrif ini sama seperti takrif kedua bagi khabar.

(iii) Lebih umum daripada hadis: Meliputi apa yang disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam, sahabat dan tabi’in.

(iv) Pendapat fuqaha Khurasan: Athar adalah apa yang disandarkan kepada sahabat manakala khabar adalah apa yang disandarkan kepada nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

Rujukan:

1 - Al-Madkhal Ila Dirasah ‘Ulum al-Hadis oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2 - Al-Mu'jam al-Mustholahat al-Hadithiyyah oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

3 - Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar.

4 - Mustholah al-Hadith al-Muyassar oleh Dr Muhammad Khafidz Soroni, Suryani Sudi dan Rosni Wazir.

5 - Taisir Mustholah al-Hadith Wa 'Ulumuh oleh Dr Ali Abdul Basit Mazid.

6 - Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu'asiruha oleh Dr Muhammad Abu Laith al-Khairabadi.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 25/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

1 ulasan: