Ahad, 31 Januari 2016

Status Hadis: Aku Adalah Khazanah Yang Tersembunyi

كُنْتُ كَنْزًا مَخْفِيًا فَأَحْبَبْتُ أَنْ أُعَرَّفَ فَخَلَقْتُ الْخَلْقَ لُأَعَرَّفَ

Terjemahan

“Aku adalah khazanah yang tersembunyi. Aku suka untuk dikenali. Maka aku ciptakan makhluk supaya aku dikenali.”

Dan terdapat lafaz-lafaz yang lain yang mempunyai maksud yang sama.

Ulama yang menilai ianya sebagai palsu dan tidak ada asal baginya:

1. Ibnu Taimiyyah dalam Ahadith al-Qussas. Beliau berkata:

“Ini bukan daripada perkataan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Tidak diketahui baginya sanad yang sahih mahupun daif.”

2. Al-Zarkasyi dalam al-Tazkirah Fi al-Ahadith al-Masyhurah.

3. Al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa. Beliau berkata:

“Ia terdapat dalam banyak perkataan golongan sufi. Mereka berpegang dengannya dan membina dengan perkataan ini usul (pendapat) mereka.”

4. Muhammad Darwish al-Hut dalam Asna al-Mathalib. Beliau berkata:

“Perkataan ini disebutkan oleh golongan sufi sebagai hadis qudsi disebabkan sikap bermudah-mudah mereka.”

5. Al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah. Beliau menyebutkan bahawa penilaian Ibnu Taimiyyah dipersetujui oleh guru beliau iaitu Ibnu Hajar al-Asqalani.

6. Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah. Beliau bersetuju dengan penilaian Ibnu Taimiyyah.

7. Muhammad Tahir al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’at.

8. Al-Sayuthi dalam Tadrib al-Rawial-Durar al-Muntathirah dan al-Ziyadat 'Ala al-Maudhu'at. Beliau berkata dalam al-Tadrib:

“Batil (dan) tidak ada asal baginya.”

9. Syeikh Muhammad Abu Syahbah dalam al-Wasith Fi Ulum wa Mustholah al-Hadis. Beliau berkata:

“Ianya palsu sebagaimana kata Ibnu Taimiyyah.”

10. Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu’ah dan al-Masnu’. Beliau menukilkan penilaian Ibnu Taimiyyah lalu menyatakan ia diikuti oleh al-Zarkasyi dan Ibnu Hajar. 

Tambahan: Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam ulasan beliau terhadap kitab al-Masnu’ mengkritik setengah ahli sufi yang menggunakan kasyaf Ibnu ‘Arabi untuk mensahihkan ‘hadis’ ini. Menurut beliau pensahihan melalui kasyaf tidak diterima di sisi ahli hadis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan