Jumaat, 8 Januari 2016

Hadis Tentang Bersin

Hadis Pertama

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ فَإِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ وَحَمِدَ اللَّهَ كَانَ حَقًّا عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يَقُولَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا تَثَاءَبَ ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ.

“Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Apabila seorang itu bersin maka pujilah Allah. Menjadi tanggungjawab seorang yang mendengar saudaranya (saudara seIslam) bersin untuk mendoakannya dengan berkata:

يَرْحَمُكَ اللَّهُ

Semoga Allah merahmati kamu.

Adapun menguap, ia daripada syaitan. Apabila seorang itu menguap hendaklah dia menahan semampu yang ia boleh. Apabila dia menguap maka syaitan akan mentertawakannya.”

Riwayat al-Bukhari (no. 6223 & 6226).

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini menunjukkan bahawa bersin adalah perbuatan yang terpuji kerana ia dapat menghilangkan penyakit daripada badan manusia. Ia adalah nikmat yang besar yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia. Oleh itu hendaklah ia bersegera memuji Allah atas nikmat tersebut.

2 – Selain itu, hadis ini juga menzahirkan bahawa menguap itu adalah perbuatan yang dicela. Menguap itu berpunca daripada perut yang dipenuhi oleh makanan. Syaitanlah yang menghasut dan memujuk manusia untuk mengikut hawa nafsunya sehingga makan berlebihan lalu memenuhi dan memberatkan perutnya sampai membuatkan dia mengantuk dan menguap. Oleh itu dikatakan perbuatan menguap itu berpunca daripada syaitan dan bukan kerana syaitan itu berkuasa menjadikan seorang itu menguap.

3 – Syaitan suka melihat manusia menguap kerana pada waktu itu wajahnya berubah lalu syaitan akan mengetawakannya.

4 – Digalakkan mendoakan orang yang bersin bagi orang yang mendengarnya bersin. Hukumnya adalah sunat muakkad. Lebih elok lagi sekirannya semua orang yang mendengar bersin itu mendoakannya, tidak hanya seorang sahaja yang mendoakannya. Sebahagian ulama mazhab Maliki mewajibkan untuk mendoakan orang yang memuji Allah setelah dia bersin.

5 – Anjuran untuk berusaha menutup mulut ketika menguap atau meletakkan tangan ke atasnya.

6 – Dorongan untuk menjauhi setiap perkara yang disukai oleh syaitan.

7 – Galakan untuk mendapatkan sebab-sebab yang mendorong kepada bersin iaitu badan yang ringan dan cergas yang berpunca daripada tidak makan secara kenyang yang berlebihan.

8 – Menjauhi perkara-perkara yang menyebabkan menguap seperti bermalas-malasan dan makan berlebihan sehingga memberatkan badan.

9 – Memupuk sikap berkasih sayang dan saling mendoakan sesama Muslim.

Hadis Kedua

Anas bin Malik meriwayatkan:

Dua orang lelaki telah bersin di sisi Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Rasulullah mendoakan salah seorang lelaki tersebut dan tidak mendoakan lelaki yang lain.

Maka seseorang bertanya: “Wahai Rasulullah, dua orang lelaki telah bersin di sisimu. Kamu telah mendoakan salah seorang lelaki tersebut dan tidak mendoakan lelaki yang lain.”

Rasulullah bersabda: 

إِنَّ هَذَا حَمِدَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ فَشَمَّتُّهُ، وَإِنَّ هَذَا لَمْ يَحْمَدِ اللَّهَ فَلَمْ أُشَمِّتْهُ.

“Sesungguhnya lelaki ini telah memuji Allah (setelah bersin), maka aku mendoakannya. Dan lelaki ini tidak memuji Allah, maka aku tidak mendoakannya.”

Riwayat al-Bukhari (no. 6221 & 6225) dan Muslim (no. 2991).

Pengajaran Hadis:

1 – Doa bagi orang yang bersin itu hanya sekiranya dia memuji Allah setelah bersin. Namun sekiranya dia tidak memuji Allah maka dia tidak layak untuk didoakan.

2 – Hendaklah orang yang bersin itu menguatkan ucapan pujian kepada Allah agar dia didoakan oleh orang lain.

3 – Harus untuk menanyakan sebab bagi sesuatu hukum dan keperluan menjelaskan sebabnya bagi orang yang ditanya sekiranya ada manfaat bagi menjawabnya.

4 – Memuliakan orang yang melakukan ketaatan dan mengabaikan orang yang meninggalkan sunnah supaya dia sedar akan kesalahannya.

Hadis Ketiga

Abu Hurairah berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَطَسَ وَضَعَ يَدَهُ، أَوْ ثَوْبَهُ عَلَى فِيهِ، وَخَفَضَ، أَوْ غَضَّ بِهَا صَوْتَهُ.

“Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersin, baginda meletakkan tangannya atau kain bajunya ke mulutnya (untuk menutupnya) sambil memperlahankan suaranya (bunyi bersin).”

Riwayat Abu Daud (no. 5029) dan al-Tirmizi (no. 2746). Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini menjelaskan adab bagi orang yang bersin. Hendaklah dia meletakkan tangannya atau sesuatu yang lain seperti sapu tangan atau tisu pada mulut dan hidungnya supaya air liur atau hingusnya tidak merecik kepada orang yang berada di sampingnya.

2 – Menahan diri daripada menyakiti dan memudaratkan Muslim yang lain adalah suatu kewajipan.

3 – Antara adab orang yang bersin juga hendaklah dia berusaha sehabis mungkin untuk merendahkan suaranya ketika bersin. Namun jika dia tidak mampu menahan suaranya maka tidak menjadi suatu kesalahan baginya.

Hadis Keempat

Abu Musa berkata:

"Orang Yahudi berusaha untuk bersin ketika berada bersama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Mereka berharap agar baginda akan mendoakan mereka:

يَرْحَمُكُم الله

Semoga Allah merahmati kamu.

Namun sebaliknya baginda mendoakan mereka dengan berkata:

يَهْدِيكُمُ اللهُ ويُصْلِحُ بَالَكُمْ.

Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu.”

Pengajaran Hadis:

1 – Tidak boleh mendoakan rahmat melainkan untuk orang Muslim. Begitu juga tidak boleh mendoakan orang kafir yang bersin dengan doa yang khusus bagi Muslim.

2 – Harus untuk mendoakan orang kafir agar dia mendapat hidayah dan diperbaiki keadaannya supaya dia akan terhindar dari kekufuran.

3 – Orang Yahudi secara diam-diam mengakui kenabian Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Oleh itu mereka berusaha untuk mendapatkan doa baginda. Namun mereka tidak mahu mengakuinya kerana sifat sombong mereka.

4 – Orang Yahudi di hadapan orang Islam sengaja menzahirkan seolah-olah mereka mengikuti syariat orang Islam sedangkan pada hakikatnya mereka melakukan sedemikian demi kepentingan peribadi mereka.

Hadis Kelima

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:

إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ: الحَمْدُ لِلَّهِ، وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ: يَرْحَمُكَ اللَّهُ، فَإِذَا قَالَ لَهُ: يَرْحَمُكَ اللَّهُ، فَلْيَقُلْ: يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.

“Apabila salah seorang daripada kamu  bersin, maka hendaklah dia memuji Allah.

Hendaklah saudaranya (saudara seIslam) atau sahabatnya mendoakannya:

يَرْحَمُكَ اللَّهُ

Semoga Allah merahmati kamu.

Jika ada orang yang mendoakan orang yang bersin itu dengan berkata يَرْحَمُكَ اللَّهُ, maka hendaklah orang yang bersin itu mendoakan semula dengan berkata:

يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.

Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu.

Hadis riwayat al-Bukhari (no. 6224).

Pengajaran Hadis:

1 – Hadis ini sama seperti hadis-hadis sebelum ini yang menggalakkan memuji Allah setelah bersin dan mendoakan orang yang bersin sekirannya dia memuji Allah setelah bersin.

2 – Dalam hadis ini juga terdapat anjuran bagi orang yang bersin agar mendoakan semula orang yang telah mendoakannya.

3 – Para ulama berbeza pendapat tentang lafaz memuji Allah setelah bersin kerana terdapat beberapa riwayat tentangnya. Saya sebutkan sebahagiannya:

a – Dalam riwayat al-Bukhari (no. 6224):

الْحَمْدُ لِلَّهِ.

“Segala puji bagi Allah.”

b – Dalam riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no. 934):

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

“Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam.”

c – Dalam riwayat al-Tirmizi (no. 2738):

 الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ.

“Segala puji bagi Allah, dalam setiap keadaan.”

d – Dalam riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no. 926):

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا كَانَ.

“Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam, dalam setiap keadaan.”

Bolehlah dipilih mana-mana lafaz yang ingin diamalkan.

4 – Begitu juga terdapat beberapa lafaz doa bagi orang yang bersin:

a - يَرْحَمُكَ اللَّهُ

“Semoga Allah merahmati kamu.”

b - الْحَمْدُ لِلَّهِ، يَرْحَمُكَ اللَّهُ

“Segala puji bagi Allah. Semoga Allah merahmati kamu.”

c - يَرْحَمُنَا اللَّهُ وَإِيَّاكُمْ

“Semoga Allah merahmati kami dan kamu.”

5 – Doa orang yang bersin untuk orang yang mendoakannya juga terdapat pelbagai lafaz:

a - يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

“Semoga Allah memberi petunjuk kepadamu dan memperbaiki keadaanmu.”

b - يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ

“Semoga Allah mengampuni kami dan kamu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan