Isnin, 1 Jun 2020

Adakah Khidir dan Ilyas Masih Hidup?



Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari رحمه الله ditanya tentang adakah Khidr dan Ilyas عليهما السلام telah wafat ataupun mereka berdua masih hidup? Wujudkah hadis yang mensabitkan perkara tersebut?

Beliau menjawab:

- Perkara tersebut ada khilaf di kalangan ulama.

- Berkenaan Khidir, al-Bukhari dan sekumpulan daripada ahli hadis berpendapat bahawa baginda telah wafat. Manakala sekumpulan ulama dan ahli sufi berpendapat bahawa baginda masih hidup.

- Sekumpulan ahli sufi menyebutkan bahawa mereka pernah bertemu dengan baginda dan mengambil ilmu daripadanya.

- Imam al-Sya’rani mempunyai sebuah kitab yang berjudul al-Mizan al-Khidiriyyah yang mana beliau menyebutkan di dalam kitab tersebut bahawa beliau bertemu dengan Khidir dan menanyakan kepada baginda tentang khilaf mazhab empat dan punca kepada khilaf tersebut. Khidir menjawab persoalan tersebut lalu dimuatkan jawapannya itu dalam kitab tersebut.

- Sahih juga kisah Umar bin Abdul Aziz melihat dan bertemu dengan Khidir. Khidir memberi berita gembira kepada beliau bahawa beliau akan menjadi khalifah.

- Adapun berkenaan Iylas, maka berlaku juga khilaf. Sa’ad al-Taftazani dalam Syarah al-‘Aqaid al-Nasafiyyah berkata: 

“Sekumpulan besar di kalangan ulama berpendapat bahawa terdapat empat orang nabi yang masih hidup: Khidir dan Iylas berada di bumi manakala Isa dan Idris berada di langit.”

- Terdapat beberapa hadis yang warid berkenaan hidupnya Khidir dan Ilyas, tetapi ianya tidak sahih, bahkan semuanya sangat lemah ataupun palsu.

Sumber:

Mausu’ah al-Syeikh Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari, jil. 16, hlm.120-121.