Thursday, July 28, 2016

Jenis-jenis kitab hadis

a. Sunan – Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis hukum yang marfu’ (bersambung sehingga Nabi) yang disusun berdasarkan bab-bab fekah seperti taharah (bersuci), solat, zakat dan kebiasannya tidak memuatkan bab-bab akidah, sejarah, fitan (fitnah akhir zaman) dan manaqib (biografi).

Contoh kitab Sunan:

1. Sunan al-Termizi

2. Sunan Abu Daud

3. Sunan al-Nasa’ie

4. Sunan Ibnu Majah

b. Jami’ - Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis berdasarkan bab-bab fekah dan terdapat di dalamnya setiap jenis hadis seperti hadis-hadis tentang akidah, hukum hakam, akhlak, tafsir, sejarah. Perbezaannya dengan kitab Sunan adalah kebiasaannya kitab Sunan tidak memuatkan bab akidah, fitan dan manaqib.

Contoh kitab Jami’:

1. Jami’ Sufyan bin ‘Uyainah

2. Jami’ Ma’mar bin Rasyid al-Azdi.

3. Jami’ al-Bukhari atau Sahih al-Bukhari

4. Jami’ Muslim atau Sahih Muslim.

c. Musnad – Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh sahabat dan disusun berdasarkan huruf-huruf hija’ie (alif, ba, ta…), kabilah, siapa dahulu yang masuk islam atau kemuliaan nasab.

Contoh kitab Musnad:

1. Musnad Abu Daud al-Thayalisi

2. Musnad Ahmad bin Hanbal

3. Musnad al-Syafi’e

d. Mu’jam – Kitab yang menghimpunkan hadis-hadis berdasarkan susunan nama-nama sahabat, syeikh dan nama-nama negeri dan kebiasannya disusun berdasarkan huruf-huruf mu’jam (alif, ba, ta…)

Contoh Mu’jam:

1. Mu’jam al-Saghir

2. Mu’jam al-Ausath

3. Mu’jam al-Kabir, ketiga-tiganya karangan al-Thabrani.

Contoh-contoh lain jenis kitab hadis:

1. Atraf

2. Musannaf

3. Mustadrakat

4. Mustakhrajat

5. Zawaid

6. ‘Ilal

7. al-Maudhu’at

8. Takhrij

Rujukan:

1. Al-Wajiz Fi Ta'rif Kutub al-Hadis oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

2. Manahij al-Muhaddithin al-'Ammah oleh Dr Nuruddin 'Itr.



Saturday, July 23, 2016

Kisah Bahalol

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, selamat hari raya.. saya ada kemuskilan sedikit.. Betulkah ada riwayat ini..

Dalam bahasa melayu bahalol merujuk kepada bodoh atau tolol. Tahukah anda siapakah bahalol yang sebenarnya? Bahalol ialah nama seorang ulama yang hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar Rashid.

Hebatnya Bahalol atau nama sebenarnya ialah Bahlol Dana r.a ni sampaikan Imam Abu Hanifah (pengasas Mazhab Hanafi) pun mengiktiraf beliau sebagai gurunya.

Ada pengkaji mengatakan Bahalol ini ialah saudara lelaki (tak tahu lah tiri atau kandung) dan penasihat kepada Khalifah sendiri.

Bahalol dikenali sebagai Madjzub iaitu golongan yang menyembunyikan kewalian kepintaran mereka dengan perbuatan - perbuatan yang tak masuk akal. Sesetengah orang sahaja yang mampu mengenali siapa yang tergolong dalam golongan madjzub ini..

Satu kisah yang menarik ialah, ketika Harun Ar Rashid jalan - jalan dengan isterinya, Zubaidah, mereka ternampak Bahlol tgh buat rumah dari tanah liat.

Zubaidah ni pun bertanya,

 Zubaidah   : “Buat apa tu Bahalol?”

 Bahalol    : “Buat rumah! Rumah ni untuk syurga!”

 Zubaidah   : “Nak beli boleh?”

 Bahalol    : “Baiklah.. saya jual dgn 10 dinar”.

Zubaidah pun memberi 10 dinar kpd Bahlol. Lantas Bahlol terus buang duit tu dalam sungai.

Bahalol   :“Haa.. balik lah, kau dah ada rumah dah kat syurga Zubaidah”.

Tergelak ketawa Harun semasa itu.. dia berkata kepada isterinya

Harun     :“Sayang dah kena main dah dengan Bahalol tu”.

Malam tu, Harun Ar Rashid mimpi, dia mimpi masuk syurga. Di hadapan dia masa tu ada sebuah istana, yg tertera nama Zubaidah. Harun pun cuba masuk, tapi dihalang oleh malaikat.

Harun     :“Jangan menghalang laluan ku.Ini rumah isteriku!”

Malaikat menjawab “Engkau hanya boleh masuk rumah isteri kau di dunia.. bukan di syurga!”

Harun Ar Rashid terjaga dari tidur dengan berpeluh-peluh. Dikejutkannya isterinya dan pagi itu juga, mereka pergi mencari Bahalol. Mereka berjumpa dengan Bahalol yang ketika itu sedang berada tepi sungai, tengah buat rumah tanah liat.

Harun   : “Bahlol, aku datang nak beli rumah ni”


Bahalol : “Boleh!” jawab Bahlol

Harun   : “Berapa harga?” tanya Harun Ar Rashid

Bahalol : “10,000 dinar!”

Harun   : “Kenapa harganya naik sehingga 10,000?”

Bahalol : “Kerana semalam isteri kau ‘membeli tanpa melihat'!"

Apakah maksud tersirat Bahlol bila dia kata Zubaidah ‘membeli tanpa melihat’ sampaikan Zubaidah dapat harga murah?

Maksudnya Zubaidah membelinya tanpa dia melihat istana tersebut dalam mimpinya manakala Harun ingin membelinya setelah dia melihatnya dalam mimpinya.

Pengajaran yang kita boleh hayati disini hendaklah sentiasa bersangka baik dengan semua orang walau dari zahir seseorang itu nampak seperti orang tak betul namun mungkin saja dia adalah seorang dari wali Allah swt.

Jawapan:

Setakat carian saya, nama beliau ialah Buhlul bin ‘Amru (بُهْلُولٌ بن عمرو). Buhlul dan bukannya Bahalol.

Gelaran beliau ialah Abu Wuhaib al-Sairafi (أَبُو وُهَيْبٍ الصَّيْرَفِيُّ) atau Buhlul al-Majnun.

Disebutkan juga bahawa beliau adalah ‘uqala’ al-majanin (orang gila yang berakal).

Beliau adalah penduduk Kufah dan hidup di zaman pemerintahan Harun al-Rasyid. Dalam kitab-kitab sejarah dan biodata ulama ada disebutkan kisah beliau menasihati Harun al-Rasyid. Salah satunya adalah kisah beliau menasihati Harun al-Rasyid ketika Harun al-Rasyid terserempak dengan beliau ketika dalam perjalanan menunaikan haji pada tahun 188 Hijrah sebagaimana yang tercatat dalam kitab al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk Wa al-Umam oleh Ibnu Jauzi.

Menurut Ibnu Syakir dalam Fawad al-Wafayat, beliau meninggal sekitar tahun 190 Hijrah. Imam Ibnu Kathir dalam al-Bidayah Wa al-Nihayah menyebutkan bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 192 Hijrah.

Al-Imam al-Sya’rani dalam al-Thabaqat al-Kubra mengganggap beliau sebagai salah seorang wali Allah.

Adapun kisah Buhlul dengan Harun al-Rasyid dan isterinya tu saya tak jumpa dalam kitab-kitab sejarah dan tarajim ulama. Dikatakan Abu Hanifah mengiktiraf beliau sebagai gurunya tu pun saya tak jumpa. Wallahu a'lam. Mungkin boleh tanya dengan asatizah yang lain.

Thursday, July 21, 2016

Gugurnya dosa disebabkan takutnya Allah

إِذَا اقْشَعَرَّ جِلْدُ الْعَبْدِ مِنْ خَشْيَةِ اللهِ تَحَاتَّتْ عَنْهُ ذُنُوبُهُ كَمَا يَتَحَاتُّ عَنِ الشَّجَرَةِ الْيَابِسَةِ وَرَقُهَا

Terjemahan

“Apabila bergetar kulit seorang hamba itu kerana takutkan Allah, gugurlah daripadanya dosa-dosanya sebagaimana gugurnya daun daripada pokok.”

Riwayat al-Bazzar dalam Musnad (1322), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (782), al-Hakim al-Termizi dalam Nawadir al-Usul (504) dan (731), al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (5/90), Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah (8022) dan lain-lain daripada al-‘Abbas secara marfu’.

Al-Hafiz al-‘Iraqi  dalam al-Mughni kata sanadnya daif.

Al-Hafiz al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib mengisyaratkan hadis ini daif.

Al-Hafiz al-Haithami kata dalam Majma’ al-Zawaid: “Dalam sanadnya terdapat Ummu Kulthum binti al-‘Abbas dan aku tidak mengenalinya. Baki perawi-perawinya adalah thiqah.”

Al-Hafiz Ahmad al-Ghumari dalam al-Mudawi mengkritik bahawa hadis ini tidak didaifkan dengan sebab tidak tahunya al-Hafiz al-Haithami tentang Ummu Kulthum tetapi disebabkan kedaifkan salah seorang perawinya iaitu Abdul ‘Aziz bin Muhammad al-Hammawi.

Dalam hadis yang lain:

عَنِ الْعَبَّاسِ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ شَجَرَةٍ، فَهَاجَتِ الرِّيحُ، فَوَقَعَ مَا كَانَ فِيهَا مِنْ وَرَقٍ نَخِرٍ، وَبَقِيَ فِيهَا مَا كَانَ مِنْ وَرَقٍ أَخْضَرَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مَثَلُ هَذِهِ الشَّجَرَةِ؟. قَالَ الْقَوْمُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: مَثَلُهَا مَثَلُ الْمُؤْمِنِ، إِذَا اقْشَعَرَّ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَقَعَتْ عَنْهُ ذُنُوبُهُ وَبَقِيَتْ لَهُ حَسَنَاتُهُ.

Daripada al-‘Abbas beliau berkata:

“Kami duduk bersama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dibawah sepohon pokok. Kemudian bertiuplah angin lalu gugurlah daun-daun yang layu dan kekallah daun yang masih hijau. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apakah perumpamaan daripada pokok ini?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Rasulullah menjawab: “Perumpamaannya seperti seorang mukmin. Apabila bergetar (badannya) kerana takutkan Allah, gugurlah daripadanya dosa-dosanya dan kekallah pahala-pahalanya.”

Riwayat Abu Ya’la dalam Musnad (6703) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (783) daripada al-‘Abbas.

Kata al-Hafiz al-Busiri dalam Ithaf al-Khairah al-Maharah: “Diriwayatkan oleh Abu Ya’la al-Mausuli dan al-Baihaqi dengan lafaz yang satu dengan sanad yang daif.”


Friday, July 15, 2016

Kesungguhan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah



Untuk mencari penilaian al-Hafiz al-Zahabi terhadap satu hadis palsu tentang sanad, iaitu hadis:

إذا كتبتم الحديث فاكتبوه بإسناده فإن يكن حقا كنتم شركاء في الأجر وإن يكن باطلا كان وزره عليه

Terjemahan

"Apabila kamu menulis hadis, maka tulislah sekali dengan sanadnya, jika hadis tersebut benar, maka kamu akan turut serta mendapat pahala (jika ada yang beramal dengan hadis tersebut). Jika hadis tersebut batil, maka dosa di atas orang tersebut (kerana beramal dengan hadis tanpa diteliti sanadnya dahulu)."

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah sanggup menelaah kitab Mizan al-I’tidal secara lengkap selama kurang daripada 20 hari ketika beliau berziarah ke Universiti Omm Durman, Khurtum, Sudan pada tahun 1397 Hijrah.

Kitab Mizan al-I’tidal, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah dicetak sebanyak 7 jilid mempunyai sebanyak 3670 muka surat.

Semoga Allah merahmati Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.

Rujuk: Al-Isnad Min al-Din, ms. 51.

Thursday, July 14, 2016

Hadis Palsu: Doa ibu lebih mustajab

دَعْوَة الوالدة أسْرع إِجَابَة. قيل: يَا رَسُول الله، وَلم ذَاك؟ قَالَ: هِيَ أرْحم من الْأَب ودعوة الرَّحِم لَا تسْقط

Terjemahan
“Doa seorang ibu lebih cepat dimakbulkan. Para sahabat bertanya: “Mengapa begitu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”
‘Hadis’ ini disebutkan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din.
Menurut al-Imam Taqiyuddin al-Subki (طبقات الشافعية الكبرى) dan al-Hafiz al-‘Iraqi (المغني عن حمل الأسفار) mereka tidak menemui asal baginya (yakni tidak wujud dalam kitab-kitab hadis).

Wednesday, July 13, 2016

Bukan semua hadis yang disebutkan dalam kitab-kitab fiqh dapat dipegang

Al-Imam Muhammad Hayy al-Laknawi ada menyebutkan bahawa kitab-kitab fiqh walaupun ia adalah kitab yang muktabar dari segi membincangkan masalah-masalah furuk, tetapi tidak boleh dipegang secara pasti hadis-hadis yang terdapat di dalamnya. Tidak boleh hanya disebabkan hadis ada dalam kitab-kitab fiqh maka ia diyakini secara pasti bahawa ia warid daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Bertapa banyak hadis-hadis yang disebutkan dalam kitab-kitab yang muktabar sedangkan ianya adalah palsu.

Jika penulis kitab tersebut dikalangan ahli hadis, ya, mungkin dapat dipegang hadis-hadis yang disebut oleh penulis kitab atau jika penulis menyandarkan hadis-hadis tersebut kepada kitab-kitab hadis maka mungkin kita boleh menerimanya jika dia benar dalam menukilkannya..

Allah telah menjadikan setiap ilmu ini ada pakarnya. Ada dikalangan ahli hadis yang hanya terlibat dalam bidang hadis tanpa terlibat dalam bidang fiqh dan usul. Begitu juga di kalangan ahli fiqh yang hanya terlibat dengan masalah-masalah fiqh tanpa mencampuri bidang periwayatan hadis.

Al-Imam Mulla Ali al-Qari mengkritik pengarang kitab al-Nihayah dan para pensyarah kitab al-Hidayah(fiqh mazhab Hanafi) yang memuatkan hadis palsu tentang mengqadha solat fardu pada Jumaat terakhir bulan Ramadhan dapat menampung solat yang telah luput selama 70 tahun. Kata Mulla 'Ali al-Qari: "Mereka bukan ahli hadis (walaupun mereka adalah ahli fiqh)."

Rujuk: Catatan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah ke atas kitab al-Ajwibah al-Fadilah, ms. 30.