Saturday, November 26, 2016

Hadis: Sesiapa yang meninggalkan solat...

مَنْ تَرَكَ صَلاَةً لَقِيَ الله وهُوَ عَلَيهِ غَضْبَان

“Sesiapa yang meninggalkan solat maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan Allah murka padanya.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Kabir (11/294, no. 11782), al-Bazzar [Kasyf al-Astar no. 343], al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah (12/86 no. 100) daripada jalur perawi Muhammad bin Abdullah al-Makharrimi daripada Sahl bin Mahmud daripada Soleh bin ‘Umar daripada Hatim bin Abi Saghirah daripada Simak bin Harb daripada ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas secara marfu’.

Al-Bazzar berkata: “Tidak diketahui bahawa hadis ini diriwayatkan secara marfu’ (bersambung sehingga Nabi sallahu ‘alaihi wasallam) kecuali dengan sanad ini. Sebahagian riwayat yang lain mauquf (terhenti setakat sahabat).”

Al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Saghir mengisyaratkannya sebagai daif.

Al-Haithami menyatakan dalam Majma’ al-Zawaid“Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Thabarani dalam al-Kabir. Dalam sanadnya terdapat Sahl bin Mahmud. Disebutkan oleh Ibnu Abi Hatim (dalam kitab beliau) dan beliau berkata: “Diriwayatkan daripadanya (Sahl bin Mahmud) oleh Ahmad bin Ibrahim al-Dauraqi dan Sa’dan bin Yazid.” Saya (al-Haithami) berkata: “Dan turut diriwayatkan daripadanya oleh Muhammad bin Abdullah al-Mukharrimi dan tidak dibincangkan statusnya oleh seorang pun. Baki perawi-perawinya adalah perawi kitab al-Sahih.”

Sahl bin Mahmud, Abu al-Sari dithiqahkan oleh al-Dhiya’ al-Maqdisi dalam al-Ahadith al-Mukhtarah dan al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad. Dipuji oleh al-Daraqutni sebagai orang yang mempunyai kelebihan [فاضل].

Muhammad bin ‘Abdullah al-Mukharrimi adalah thiqah sebagaimana dalam Taqrib al-Tahzib dan merupakan perawi al-Nasa’ie sahaja.

Sanad ini mempunyai kedaifan berpunca daripada Simak bin Harb. Dia adalah seorang yang benar [صدوق] tetapi riwayatnya secara khusus daripada ‘Ikrimah mempunyai kecelaruan [اضطراب] sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzib. Al-‘Ijli berkata dalam al-Thiqat: “Dalam hadis ‘Ikrimah, kadang-kadang dia menyandarkan kepada Ibnu ‘Abbas dan kadang-kadang dia berkata: Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda. Sedangkan ‘Ikrimah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas.” Mungkin daripada dialah punca hadis ini kadang kala diriwayatkan secara marfu’ dan kadang kala diriwayatkan secara mauquf.

Ibnu al-Ja’d dalam al-Musnad dan al-Lalakaie dalam Syarah Usul al-I’tiqad meriwayatkan dengan sanad yang sama daripada Ibnu ‘Abbas secara mauquf dengan lafaz:

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ وَهُوَ يَقْدِرُ لَقِيَ اللَّهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ

“Sesiapa yang meninggalkan solat sedangkan dia mampu melakukannya maka dia akan bertemu dengan Allah dalam keadaan Allah murka padanya.”

Al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib, al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah dan Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir pula menyatakan bahawa sanadnya hasan.

Mungkin pandangan al-Hafiz al-Sayuthi yang mendaifkan hadis ini lebih tepat. Wallaupun daif ia masih dapat diamalkan. Wallahu a’lam.



Friday, November 25, 2016

Hadis palsu: Pahala bagi isteri yang memelihara anak


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، عَنْ سَلَامَةَ حَاضِنَةِ إِبْرَاهِيمَ ابْنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّكَ تُبَشِّرُ الرِّجَالَ بِكُلِّ خَيْرٍ، وَلَا تُبَشِّرُ النِّسَاءَ، قَالَ: «أَصُوَيْحِبَاتُكِ دَسَسْنَكِ لِهَذَا؟» قَالَتْ: أَجَلْ، هُنَّ أَمَرْنَنِي، قَالَ: «أَمَا تَرْضَى إِحْدَاكُنَّ أَنَّهَا إِذَا كَانَتْ حَامِلًا مِنْ زَوْجِهَا وَهُوَ عَنْهَا رَاضٍ أَنَّ لَهَا مِثْلَ أَجْرِ الصَّائِمِ الْقَائِمِ فِي سَبِيلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِذَا أَصَابَهَا الطَّلْقُ لَمْ يَعْلَمْ أَهْلُ السَّمَاءِ وَأَهْلُ الْأَرْضِ وَمَا أُخْفِيَ لَهَا مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ، فَإِذَا وَضَعَتْ لَمْ يَخْرُجْ مِنْ لَبَنِهَا جَرْعَةٌ وَلَمْ يُمَصَّ مِنْ ثَدْيِهَا مَصَّةٌ إِلَّا كَانَ لَهَا بِكُلِّ جَرْعَةٍ، وَبِكُلِّ مَصَّةٍ حَسَنَةٌ، فَإِذَا أَسْهَرَهَا لَيْلَةً، كَانَ لَهَا مِثْلُ أَجْرِ سَبْعِينَ رَقَبَةً يُعْتِقُهُمْ فِي سَبِيلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ سَلَامَةُ، تَدْرِينَ مَنْ أَعْنِي بِهَذَا؟ هَذَا لِلْمُتَمَنِّعَاتِ، الصَّالِحَاتِ، الْمُطِيعَاتِ لِأَزْوَاجِهِنَّ، اللَّوَاتِي لَا يَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ

Daripada Anas bin Malik, [beliau berkata]:

Sesungguhnya Salamah - penjaga kepada Ibrahim, anak Nabi sallahu ‘alaihi wasallam - berkata:

Wahai Rasulullah, kamu memberi berita gembira untuk orang lelaki atas setiap kebaikan [yang dilakukan] dan kamu tidak memberi berita gembira untuk orang perempuan?
Nabi bertanya:

Adakah sahabat kamu menyembunyikan perkara ini [berita gembira untuk orang perempuan]?

Salamah menjawab:

Sudah tentu! Mereka menyuruh aku [untuk bertanya kepada kamu].

Nabi menjawab:

Apabila salah seorang daripada kamu reda apabila dia hamil daripada [hasil hubungan dengan] suaminya dan dia reda untuk taat kepadanya, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa [di siang hari], sembahyang [di malam hari] dan [berjihad] di jalan Allah. Apabila dia berasa sakit [untuk bersalin], para penghuni langit dan bumi tidak mengetahui pahala yang disediakan baginya [di sisi Allah]. Apabila dia melahirkan anak, tidak keluar seteguk [susu] dan tidak diisap daripada payu daranya isapan [susu] kecuali baginya untuk setiap kali tegukan dan isapan tersebut pahala. Apabila [anak tersebut] mengejutkannya pada waktu malam, maka baginya pahala membebaskan 70 orang hamba di jalan Allah. [Wahai] Salamah, adakah kamu tahu untuk siapakah [ganjaran ini]? [Ganjaran] ini bagi wanita yang menahan diri [daripada perkara yang Allah haramkan], wanita yang solehah, wanita yang taat kepada suaminya yang tidak mengkufuri [kebaikan] suaminya.”

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath (6733) dan Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (43/348) dan Abu Nu’aim dalam Ma’rifah al-Sahabah daripada jalur perawi Hisham bin ‘Ammar daripada daripada ‘Ammar bin Nusair daripada ‘Amr bin Sa’id al-Khaulani daripada Anas bin Malik.

Hadis ini dimuatkan oleh Ibnu Jauzi dalam al-Maudhu’at, al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Iraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Ibnu Hibban berkata dalam al-Majruhin: “Amr bin Sa’id al-Khaulani meriwayatkan daripada Anas bin Malik hadis palsu yang dapat dilihat kepalsuannya oleh orang yang teliti dalam ilmu hadis.”

Al-Hafiz al-Zahabi menyatakan dalam Mizan al-I’tidal: “Amr bin Sa’id al-Khaulani [meriwayatkan] daripada Anas bin Malik hadis palsu.”

Al-Hafiz Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berkata dalam al-Mudawi: “Hadis ini batil palsu sebagaimana kata Ibnu al-Jauzi dan kepalsuannya jelas. Agak menghairankan apabila pengarang [al-Sayuthi] memasukkannya dalam kitab ini [al-Jami’ al-Saghir].”

Beliau berkata lagi dalam al-Mughir: “Sesiapa yang menyangka bahawa [perkataan] seperti ini sabit daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam maka dia tidak ‘mencium bauan’ hadis dan ilmunya.

Al-Haithami berkata dalam Majma’ al-Zawaid: “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dalam al-Ausath. Dalam sanadnya ada ‘Ammar bin Nusair. Dia dithiqahkan oleh Ibnu Hibban dan Soleh Jazarah. Dia didaifkan oleh Ibnu Ma’in dan selainnya. Baki perawinya adalah thiqah.”

Hisham bin ‘Ammar seorang yang benar [صدوق] tetapi berubah ingatannya ketika tua. Ayahnya, ‘Ammar bin Nusair, disebutkan oleh Ibnu Hibban dalam al-Thiqat dan didaifkan [لين] oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq.

Wallahu a’lam.

Thursday, November 10, 2016

Hadis larangan berdiri untuk menghormati

1 - مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَتَمَثَّلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesiapa yang suka orang lain berdiri untuknya maka siaplah tempatnya di neraka.”

Riwayat Abu Daud (5229) dan al-Termizi (2755) daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan.”

Ancaman ini adalah bagi orang yang menyuruh orang lain berdiri untuknya yang disertai perasaan sombong dan angkuh. [مرقاة المفاتيح]

2 - مَا كَانَ شَخْصٌ أَحَبَّ إلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم، وَكَانُوا إذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا؛ لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ

“Tidak ada orang yang lebih dicintai oleh para sahabat selain daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Jika mereka melihat baginda mereka tidak bangun kerana mereka tahu bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.”

Riwayat al-Termizi (2754) daripada Anas bin Malik. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan sahih gharib.”

Kata Imam al-Tahawi dalam Syarah Musykil al-Athar: “Dalam hadis ini menunjukkan bahawa sahabat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan perbuatan berdiri untuk baginda kerana mereka mengetahui bahawa baginda membenci perbuatan tersebut. Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa jika baginda tidak membenci perbuatan tersebut nescaya mereka akan berdiri untuk baginda. Baginda membenci perbuatan tersebut disebabkan sifat tawaduk baginda dan bukanlah kerana perbuatan tersebut haram bagi mereka. Bagaimana boleh disangka bahawa perbuatan tersebut haram bagi mereka? Baginda telah menyuruh mereka berdiri untuk Sa’d bin Mu’az dan berdirinya Talhah bin ‘Ubadillah - ketika kehadiran baginda - untuk Ka’ab bin Malik untuk mengucapkan tahniah kepadannya ketika turunnya [wahyu penerimaan] taubat Ka’ab bin Malik dan baginda tidak melarang Talhah bin ‘Ubaidillah.”

Imam al-Nawawi menyatatakan dalam al-Azkar:

“Adapun berdiri untuk menghormati orang yang masuk [ke dalam majlis], pendapat yang kami pilih adalah bahawa perbuatan tersebut digalakkan bagi orang yang mempunyai kelebihan dari segi zahir seperti keilmuan, kesolehan, kemuliaan, atau kekuasaan dan sebagainnya. Dan hendaklah perbuatan berdiri ini untuk tujuan kebaikan, memuliakan dan penghormatan dan bukan untuk tujuan riyak dan mengagung-agungkan.”