Jumaat, 11 November 2016

Hadis Larangan Berdiri Untuk Menghormati

Terdapat beberapa hadis yang melarang untuk berdiri bagi menghormati seseorang, antaranya:

Hadis Pertama

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَتَمَثَّلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesiapa yang suka orang lain berdiri untuknya maka siaplah tempatnya di neraka.”

Riwayat Abu Daud (5229) dan al-Termizi (2755) daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan.”

Hadis Kedua

مَا كَانَ شَخْصٌ أَحَبَّ إلَيْهِمْ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلّى الله عليه وسلّم، وَكَانُوا إذَا رَأَوْهُ لَمْ يَقُومُوا؛ لِمَا يَعْلَمُونَ مِنْ كَرَاهِيَتِهِ لِذَلِكَ

“Tidak ada orang yang lebih dicintai oleh para sahabat selain daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Jika mereka melihat baginda mereka tidak bangun kerana mereka tahu bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.”

Riwayat al-Termizi (2754) daripada Anas bin Malik. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan sahih gharib.”

Bagaimana Ulama Memahami Hadis Ini

1 - Imam Mulla Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih berkata: “Ancaman ini ditujukan kepada orang yang melakukannya dengan jalan takbur, sebagaimana terlihat pada kegembiraannya apabila orang berdiri untuknya.

Adapun jika dia sendiri tidak meminta perkara itu dan mereka bangun dengan kehendak mereka sendiri untuk mendapat pahala atau kerana niat merendah diri, maka tidak ada masalah.

AlBaihaqi meriwayatkan dalam Syuʿab alĪmān daripada alKhattābī mengenai maksud hadis tersebut: iaitu seseorang memerintahkan orang lain berdiri untuknya dan mewajibkan mereka berbuat demikian atas dasar kesombongan dan kebanggaan. Beliau berkata: Hadis Saʿad menunjukkan bahawa berdirinya seseorang di hadapan pemimpin yang berbudi lagi adil, serta berdirinya penuntut ilmu kepada gurunya, adalah disunatkan dan tidak makruh.

AlBayhaqi berkata: Berdiri itu hendaklah atas dasar kebajikan dan memuliakan, seperti berdirinya kaum Ansar kepada Saʿad dan berdirinya Talhah kepada Kaʿab bin Malik.

Tidak wajar bagi orang yang dihormati dengan berdiri itu itu menginginkan perbuatan tersebut daripada sahabatnya, sehingga apabila tidak dilakukan dia berdendam, mengadu atau menegur.”

2 - Imam al-Tahawi dalam Syarah Musykil al-Athar berkata: “Dalam hadis ini menunjukkan bahawa sahabat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam meninggalkan perbuatan berdiri untuk baginda kerana mereka mengetahui bahawa baginda membenci perbuatan tersebut.

Dalam hadis ini juga menunjukkan bahawa jika baginda tidak membenci perbuatan tersebut nescaya mereka akan berdiri untuk baginda.

Baginda membenci perbuatan tersebut disebabkan sifat tawaduk baginda dan bukanlah kerana perbuatan tersebut haram bagi mereka.

Bagaimana boleh disangka bahawa perbuatan tersebut haram bagi mereka? Baginda telah menyuruh mereka berdiri untuk Sa’d bin Mu’az dan berdirinya Talhah bin ‘Ubadillah - ketika baginda ada - untuk Ka’ab bin Malik bagi mengucapkan tahniah kepadannya ketika turunnya [wahyu penerimaan] taubat Ka’ab bin Malik dan baginda tidak melarang Talhah bin ‘Ubaidillah.”

3 - Imam al-Nawawi menyatatakan dalam al-Azkar:

“Adapun berdiri untuk menghormati orang yang masuk [ke dalam majlis], pendapat yang kami pilih adalah bahawa perbuatan tersebut digalakkan bagi orang yang mempunyai kelebihan dari segi zahir seperti keilmuan, kesolehan, kemuliaan, atau kekuasaan dan sebagainnya. Dan hendaklah perbuatan berdiri ini untuk tujuan kebaikan, memuliakan dan penghormatan dan bukan untuk tujuan riyak dan mengagung-agungkan.”

Kesimpulan:

Berdiri untuk menghormati seseorang tidak haram secara mutlak, tetapi bergantung kepada niat dan konteks. Jika kerana mengagungkan diri atau sombong, maka tercela dan berdosa. Tetapi jika kerana tawaduk, penghormatan, atau adab kepada orang mulia, maka ianya diharuskan dan bahkan digalakkan dalam sesetengah keadaan.

1 ulasan:

  1. Maknanya, perbuatan bangun berdiri utk menghormati dan memuliakan seseorg yg datang ke sesuatu majlis itu bukanlah termasuk dalam sunnah Nabi saw? Jadi, bangun berdiri utk menyambut kedatangan sesorg bukan dlm sesuatu majlis itu barulah sunnah Nabi saw...

    BalasPadam