Ahad, 30 Oktober 2016

Hadis solat dan membaca al-Quran dalam kubur

Hadis Nabi Musa solat di dalam kubur

مَرَرْتُ عَلَى مُوسَى وَهُوَ يُصَلِّي فِي قَبْرِهِ

“Aku melalui [kubur] Nabi Musa [pada malam Israk] dan baginda sedang bersolat di dalam kuburnya.”

Hadis sahih riwayat Muslim (2375) daripada Anas bin Malik.

Hadis para nabi hidup dan solat di dalam kubur

الأَنْبِيَاءُ أَحْيَاءٌ فِي قُبُورِهِمْ يُصَلُّونَ

“Para nabi hidup dan bersolat dalam kubur-kubur mereka.”

Riwayat Abu Ya’la dalam Musnad (3425) daripada Anas.

Dinilai sahih oleh al-Baihaqi [حَيَاةِ الْأَنْبِيَاءِ], al-Munawi [فيض القدير] dan al-Zurqani [شرح الزرقاني على موطأ]. Al-Haithami [مجمع الزوائد] menilai perawi sebagai thiqah.

Hadis membaca surah al-Mulk dalam kubur

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ: ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

Daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: “Sebahagian sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam membuat khemah di atas kubur dan dia tidak menyedari bahawa di situ adalah kubur. Tiba-tiba terdengar seseorang membaca surah al-Mulk sehinggalah tamat. Lalu sahabat tersebut datang bertemu dengan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku membuat khemah di atas kubur dan aku tidak menyedari bahawa ia adalah kubur. Tiba-tiba terdengar orang di dalamnya membaca surah al-Mulk sehingga tamat. Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ia [surah al-Mulk] adalah penghalang. Ia adalah penyelamat yang akan menyelamatkan daripada azab kubur.”

Riwayat al-Termizi (2890) daripada Ibnu ‘Abbas.

Kata al-Baihaqi [إثبات عذاب القبر]: “Yahya bin ‘Amru bin Malik bersendirian meriwayatkannya dan dia adalah daif.”

Kata Ahmad al-Ghumari [المداوي]: “Kata al-Termizi: Hadis ini gharib, yakni daif.”

Al-Sayuthi menukilkan dalam Syarh al-Sudur bi Syarh Hal al-Mauta Wa al-Qubur bahawa al-Imam Kamal al-Din bin al-Zamalkani berkata dalam kitab al-‘Amal al-Maqbul Fi Ziyarah al-Rasul:

“Hadis ini jelas sebagai dalil bahawa mayat membaca dalam kuburnya surah al-Mulk. Dan telah berlaku pada umat ini peristiwa Allah memuliakan sebahagian wali-walinya dengan perkara tersebut [membaca al-Quran di dalam kubur] dan memuliakan sebahagian mereka dengan solat [di dalam kubur]. Mereka ketika hidup berdoa kepada Allah untuk mendapatkan perkara tersebut. Antara karamah yang Allah berikan kepada wali-waliNya adalah mungkin bagi mereka untuk melalukan ketaatan dan ibadat di dalam kubur.”

Peristiwa solat di dalam kubur dicatatkan berlaku kepada seorang tabi’in bernama Thabit al-Bunani. Ketika hidupnya beliau pernah berdoa:

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ أَعْطَيْتَ أَحَدًا أَنْ يُصَلِّي فِي قَبْرِهِ فَأَعْطِنِي الصَّلاةَ فِي قَبْرِي.

“Ya Allah, jika Engkau memberi kepada seseorang [kemulian] untuk bersolat di dalam kuburnya maka berikanlah kepadaku [kemulian] untuk bersolat di dalam kuburku.”

Apabila dimasukkan ke dalam liang lahad, dilihat dia mengerjakan solat. [جامع كرمات الأولياء]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan