Isnin, 3 Oktober 2016

Hadis: Puasa di bulan Haram

مَنْ صَامَ آخِرَ يَوْمٍ مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنَ الْمُحَرَّمِ جَعَلَهُ اللهُ تَعَالى لَهُ كَفَارَةَ خَمْسِيْنَ سَنَةً وَ صَوْمُ يَوْمٍ مِنَ المُحَرَّمِ بِصَوْمِ ثَلاثِيْنَ يَوْماً.

“Sesiapa yang berpuasa di hari terakhir bulan Dzulhijah dan di hari pertama bulan Muharram maka Allah jadikan baginya sebagai pengampunan dosa lima puluh tahun dan puasa satu hari di bulan Muharram bagaikan puasa tiga puluh hari”

Ia dinilai palsu oleh Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at dan penilaian Ibnu al-Jauzi tersebut tidak dibantah oleh al-Sayuthi dalam al-Laali’ al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

Al-Sayukani dalam Fawaid al-Majmu’ah dan al-Fattani dalam Tazkirah al-Maudhu’ah turut menilainya sebagai palsu.

Dalam sanadnya ada dua orang perawi yang pendusta dan pemalsu hadis iaitu Ahmad bin ‘Abdullah al-Juwaibari al-Harawi dan Abu al-Bakhtari Wahb bin Wahb.

Tiada yang menilainya sebagai sahih, hasan atau sekurang-kurangnya daif.

مَنْ صَامَ ثَلاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ شَهْرِ حَرَامٍ الخَمِيْس وَ الجُمُعَة وَ السَّبْت كَتَبَ اللهُ تَعَالَى لَهُ عِبَادَةَ سَبْعَمِائَة عَامٍ.

“Sesiapa berpuasa selama tiga hari daripada bulan Haram iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah akan menulis baginya pahala seperti beribadah selama tujuh ratus tahun”.

Ia diriwayatkan daripada Anas bin Malik dengan beberapa lafaz:

Riwayat al-Thabarani dalam Mu’jam al-Ausath:

1- مَنْ صَامَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ شَهْرٍ حَرَامٍ: الْخَمِيسَ وَالْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ، كُتِبَ لَهُ عِبَادَةُ سَنَتَيْنِ

“Sesiapa berpuasa selama tiga hari daripada bulan Haram iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah akan menulis baginya pahala seperti beribadah selama dua tahun”.

Riwayat Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasq dan al-Baihaqi dalam Fadhail al-Auqat:

2 -مَنْ صَامَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ شَهْرٍ حَرَامٍ الْخَمِيسَ وَالْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ كُتِبَتْ لَهُ عُبَادَةُ سَبْعِمِائَةِ سَنَةٍ

“Sesiapa berpuasa selama tiga hari daripada bulan Haram iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah akan menulis baginya pahala seperti beribadah selama tujuh ratus tahun”.

Riwayat Tamam al-Razi dalam Fawaid Tamam:

3 - مَنْ صَامَ فِي كُلِّ شَهْرٍ حَرَامٍ الْخَمِيسَ وَالْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ كُتِبَتْ لَهُ عِبَادَةُ تِسْعِمِائَةِ سَنَةٍ

“Sesiapa berpuasa selama tiga hari daripada bulan Haram iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah akan menulis baginya pahala seperti beribadah selama sembilan ratus tahun”.

Ia hanya dinilai sebagai daif oleh:

i) Ibnu al-Jauzi dalam al-‘Ilal al-Mutanahiyyah.

ii) Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Tabyin al-‘Ajab.

iii) Al-Hafiz al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid.

iv) Al-Munawi dalam al-Taisir Syarah al-Jami’ al-Saghir.

v) Al-Hafiz Muhammad Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin.  

Dalam sanadnya ada Ya’qub bin Musa al-Madani, seorang yang majhul dan Maslamah bin Rasyid al-Himmani, seorang yang mutharib al-hadis [bercelaru periwayatannya].

Ithirabnya [kecelaruan] dapat dilihat pada matannya yang tidak konsisten menyebutkan pahalanya. Kadang kala menyebut akan diberikan pahala beribadat selama dua tahun, tujuh ratus tahun dan sembilan ratus tahun.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan